Kuala Lumpur: Berzikir sambil menari yang menjadi amalan segelintir umat Islam di negara ini menimbulkan kekeliruan di kalangan umum, sama ada ia dibenarkan syariat Islam atau sebaliknya.
Meneliti komen di beberapa klip video memaparkan aksi zikir sambil menari yang dimuat naik ke laman YouTube di Internet, jelas menunjukkan masyarakat Islam mahu pihak berwajib memberi penjelasan mengenai amalan itu.
Tambahan pula, kenyataan beberapa pakar agama mengenainya mengandungi percanggahan. Ada mengatakan hukumnya harus dan dibenarkan, namun ada juga menganggap ia amalan bidaah.
Bagaimanapun, agak mengecewakan apabila pihak berkuasa agama yang dihubungi Harian Metro untuk mendapat penjelasan perkara ini keberatan memberi kerjasama dan gagal memberikan jawapan memuaskan.
“Minta maaf, sila rujuk kepada pihak berkuasa agama yang lain.” Itu komen Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin ketika dihubungi, kelmarin.
Berdasarkan klip video di laman YouTube, amalan zikir sambil menari itu menjadi amalan jemaah sebuah masjid di Kampung Dong, Raub, Pahang, namun Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang dihubungi Harian Metro turut memberi jawapan hambar. “Kami memang maklum perkara ini dan ia kini dalam siasatan kami,” kata seorang jurucakap JAIP yang enggan namanya didedahkan.
Menonton klip video amalan zikir sambil menari jemaah masjid di Kampung Dong, ia memaparkan sekumpulan jemaah lelaki menggerakkan badan ke kiri dan kanan sambil mulut mengalunkan petikan ayat suci al-Quran.
Mereka melakukan amalan itu yang dikenali juga sebagai Ratib Tegak atau Ratib Saman dengan cara berdiri dan membentuk formasi bulatan sambil turut disertai beberapa kanak-kanak.
Berdasarkan maklumat tertera, video berdurasi hampir dua minit dengan tajuk ‘Zikir Menari’ itu dimuat naik di laman YouTube sejak 26 Jun lalu dan ia juga banyak dikongsi di laman sosial Facebook.
Tokoh agama yang juga pendakwah bebas, Datuk Hassan Mahmud ketika diminta mengulas perkara itu turut bersetuju pihak berkuasa berkaitan perlu segera memberi pencerahan kepada masyarakat Islam di negara ini bagi mengelak kekeliruan berpanjangan.
“Saya minta pihak berwajib seperti jabatan agama Islam atau pihak lain yang bertanggungjawab lebih peka dengan segera membuat keputusan perkara itu agar masyarakat tidak terkeliru.
“Tindakan ini penting dalam merungkai permasalahan membabitkan akidah umat Islam. Jika tidak ditangani segera ia boleh menyebabkan berlaku perselisihan pendapat.
“Jika amalan itu menyimpang daripada ajaran Islam pihak berwajib perlu menguar-uarkannya dan begitulah sebaliknya,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya pendapat peribadinya, Hassan berkata ada tiga perkara perlu diambil kira bagi menentukan amalan zikir menari itu menyeleweng daripada syariat islam atau tidak.
“Pertama, apa bacaan ketika melakukan zikir atau ratib itu. Jika hanya membaca ayat al-Quran, tidak menjadi kesalahan namun jika bukan ayat al-Quran, maka ia jelas menyeleweng,” katanya.
Hassan berkata, perkara kedua kesahihan guru yang mengajar atau membimbing sesuatu perbuatan ratib itu adakah dia mempunyai sanat (tauliah perguruan yang sahih) atau tidak.
“Perkara ketiga bagaimana dilakukan. Sebagai contoh, adakah dengan keadaan bercampur antara lelaki dan wanita, goyang (badan) atau tidak, macam mana cara ia dibuat,” katanya.
Menurutnya, berzikir sambil menari banyak diamalkan di negara luar, malah ada dilakukan di dalam gua dan di sebalik bukit, tetapi dikhuatiri ada antara mereka menyimpang daripada ajaran Islam.
“Kami bimbang apa dilakukan di negara ini datangnya daripada ajaran yang tidak betul,” katanya.
+
Usah lembap tangani kekeliruan masyarakat
Kuala Lumpur: “Seperti sudah menjadi kebiasaan pihak berkuasa agama agak lembap apabila menangani sesuatu kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat.
“Sebagai contoh, bila isu Ratib Tegak atau Ratib Saman ini kecoh diperkatakan di Internet, sepatutnya mereka harus segera memberi penjelasan,” kata Dr Mohd Sukki Othman, seorang pendakwah bebas yang juga pensyarah Jabatan Bahasa Asing Universiti Putra Malaysia (UPM). Menurutnya, tindakan segera itu penting bagi mengelakkan orang ramai terpengaruh dan mengikut amalan itu secara membuta tuli.
“Kami tidak mengatakan amalan itu salah, cuma ia jarang dipraktikkan di negara ini dan saya percaya mungkin ramai berasakan perbuatan itu sesuatu yang pelik dan wajarlah menjadi kebimbangan masyarakat.
“Sebab itu pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan mengeluarkan kekeliruan masyarakat melalui kenyataan dan penerangan dari semasa ke semasa sama ada amalan itu boleh dilakukan atau tidak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dr Mohd Sukki berkata, secara asasnya Ratib Tegak tidak menjadi kesalahan kerana ratib atau zikir boleh dilakukan dengan apa cara, sama ada duduk, berdiri atau sebagainya.
Bagaimanapun, katanya, dikhuatiri mungkin ada ajaran tertentu yang menyeleweng hingga umat Islam tidak dapat membezakan dengan apa berlandaskan agama.
“Yang penting, kalau mahu menari sekali pun semasa ratib biarlah khusyuknya dalam berzikir, bukan khusyuk menari. Itu sudah tidak mendapat pahala.
“Apa yang penting, apabila berlaku sesuatu kekecohan atau kekeliruan berkaitan agama, jabatan agama sepatutnya bertindak proaktif kerana dibimbangi akan terus mengelirukan masyarakat Islam,” katanya.
Seorang lagi pendakwah bebas, Ahmad Dasuki Abd Rani pula berpendapat amalan Ratib Tegak atau Ratib Saman satu bidaah yang direka-reka kerana tiada satu nas atau dalil untuk umat Islam mengamalkannya.
Beliau yang juga Penasihat Kompleks Ilmu Al-Azhari berkata, amalan itu sebenarnya dilakukan ajaran tarikat yang membuat pelbagai cara kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah sedangkan perkara itu tidak disyariatkan dalam Islam untuk dilaksanakan umatnya.
“Apa saja ibadat kita lakukan, perlu ikut cara Rasulullah. Saya tak kata amalan itu berdosa kerana mereka sebut zikrullah semasa melakukannya tapi ia tidak disyariatkan dan tiada suruhan untuk melakukannya.
“Dari sudut akhlak, sangat tak sesuai dengan masyarakat serta tidak membawa faedah. Jadi, perlu dihentikan kerana akan menimbulkan fitnah dan tidak melambangkan adab sebagai orang Islam,” katanya.
‘Ia bukan rekaan kami’
Raub: “Amalan itu kami namakan Ratib Tegak atau Ratib Saman. Ia bukan amalan sesat malah ia bukan kami sendiri yang reka. Sebaliknya, ia adalah amalan sejak zaman sahabat Nabi lagi.”
Demikian penjelasan Imam Masjid Abu Bakar As Siddiq Kampung Dong, Hashim Awang, 74, mengenai amalan zikir menari yang diamalkan jemaah masjid itu dan dimuat naik ke laman YouTube di Internet.
Sambil menolak tanggapan amalan itu bertentangan syariat Islam, beliau berkata kekeliruan timbul mungkin disebabkan sesetengah klip video itu dimuat naik video ke YouTube menggunakan tajuk tidak sesuai hingga menimbulkan persepsi negatif.
“Ratib Tegak yang diamalkan di masjid kami berpandukan pegangan agama, kitab dan rujukan, malah dalam al-Quran juga ada menyebut orang yang berakal iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah SWT ketika mereka berdiri, ketika duduk dan ketika berbaring.
“Amalan itu sudah lama diamalkan di daerah ini dan saya percaya ia turut diamalkan di daerah lain di Pahang dan di negeri lain,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, di sini.
Hashim berkata, amalan Ratib Tegak di Kampung Dong dipelopori seorang guru agama dikenali sebagai Syeikh Oman Mohamad berasal dari Batu Pahat, Johor, yang berhijrah ke Kampung Durian Sebatang di Dong pada 1910.
“Kalimah yang kami ucapkan ketika Ratib Tegak sama dengan ratib biasa yang diamalkan orang lain, cuma bezanya Ratib Tegak dilakukan dalam nada yang kuat dan dalam keadaan berdiri serta sedikit pergerakan tubuh badan,” katanya.
Menurutnya, amalan Ratib Tegak itu sudah diikutinya sejak usia muda dan kini sudah 16 tahun dia membawa amalan berkenaan sebagai imam di Kampung Dong dan akan diteruskan kepada generasi seterusnya.
Menjelaskan lebih lanjut pergerakan ketika melakukan Ratib Tegak, Hashim berkata ia dilakukan dalam tujuh langkah dan semakin kuat nada ratib, semakin laju gerak tubuh.
+ Harian Metro

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
CHAIRMAN / FOUNDER :: Saya adalah pengasas dan pemilik Asal Blog Ini yang di mulakan pada tahun April 2004, dan menggunakan alamat blog http://ttuyup.blogspot.com. Pada awal tahun 2007 saya menjemput en. Adam Merah menyertai blog ini dan pada akhir tahun yang sama, saya meminta en. Adam menguruskan blog ini untuk saya.

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "