2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Mangsa sumpah suami

SOALAN

SAYA melayari rumah tangga bersama pilihan hati sejak 13 tahun lalu. Kami dikurniakan empat cahaya mata yang cerdik dan comel.
Sepanjang perkahwinan ini saya diuji Allah SWT dengan sikap suami yang terlalu cerewet dan terlalu ‘berkira’.

Anak yang semakin membesar mula mengenali sikap ayah mereka. Hati bertambah sayu bila anak berkata ‘sabarlah mama’, ‘sampai hati ayah buat mama macam ni’ dan ‘kenapalah ayah macam tu mama’.

Satu hari saya kemalangan kecil ketika mahu meletakkan kereta. Bumper kereta depan terlanggar pembahagi jalan. Kemek sedikit di bawahnya. Dalam hati Tuhan saja yang tahu betapa takutnya saya pada waktu itu. Wajah bengis suami tergambar di ruang mata. Sudah tentu saya akan diherdik dan dimaki hamun seperti selalunya kalau saya dan anak melakukan kesilapan.

Ternyata telahan saya tidak pernah silap kalau bercerita soal sikap suami. Saya diherdik dan disumpah seranah depan anak bila dia dapat tahu keadaan kereta kesayangannya itu. Perkataan ‘bodoh’, ‘sial’ dan ‘kenapa kau tak mampus saja masa langgar tu’ silih berganti menjadi santapan jiwa saya.

Keesokan harinya saya mohon bantuan seorang rakan untuk membawa kereta ke bengkel. Syukur kerana sedikit saja yang kemek dan sehari saja kereta dapat dibaiki seperti asal. Biarpun begitu saya berasakan dia tidak akan berpuas hati.

Ternyata tepat lagi telahan saya bila suami mengherdik saya. ‘Bodoh! Kau ingat dah elok tu?” Macam-macam lagi ayat keluar daripada mulutnya yang tidak tergamak saya tulis di sini.

Sebenarnya Dang Setia, suami saya cerewet dalam semua hal. Bayangkanlah, kami anak-beranak dimaki, diherdik dan disumpah seranah dengan pelbagai perkataan yang tidak sepatutnya dia lafazkan jika kami melakukan kesilapan yang selalunya tidak sebesar manapun

Contohnya, anak tidak boleh sama sekali menyentuh dinding dalam rumah kerana takut kotor. Mulutnya akan riuh rendah menegur ‘jangan itu’ atau ‘jangan ini’ ketika mereka bermain basikal di halaman rumah. Anak juga tidak dibenarkan bergurau-senda dalam kereta kerana mengganggu tumpuannya.

Barang miliknya jangan disentuh seperti kereta, motor, telefon bimbit atau apa saja barang yang dibelinya. Bayangkan motosikalnya tidak pernah dibawa sesiapa kecuali dia saja.

Saya pun tidak pernah memegang telefon bimbitnya kerana dia takut sangat tercalar kalau ada sesiapa yang pegang. Saya tidak akan mengangkat telefon bimbit waktu dia mandi atau tertinggal walaupun saya tahu panggilan itu datangnya daripada saudara mara.

Dang Setia, saya kasihan melihat anak yang mula nampak tertekan dengan sikap ayah mereka. Saya pun mula meluat dan muak dengan sikap cerewetnya yang tidak kenal tempat. Sering saya menangis sendiri, apakah saya sanggup hidup berpuluh-puluh tahun lagi dengan sikap lelaki seperti ini.

Saya pernah juga menegur dan berbincang mengenai sikapnya, tetapi dia masih tidak berubah. Saya pernah meluahkan perasaan kepada ibunya. Mereka sememangnya tahu perangai suami saya sejak dulu. Kata ibunya, dia tidak pandai berkongsi barang dengan adik-beradiknya, kedekut dan berkira. Mereka sendiri tidak dapat mengubah sikapnya.

Namun saya dan anak menjadi mangsa sekarang. Saya cuba menunjukkan contoh yang baik kepada suami saya.

Barang dan harta yang saya beli dengan duit sendiri tidak pernah saya berkira dan berpeluang sama-sama menggunakannya, tetapi tidak bagi dia.

Sikapnya yang pelik itu juga membuatnya dia tidak ramai kawan dan lebih suka menyendiri. Tolonglah saya Dang Setia untuk mencari jalan penyelesaian ke atas masalah saya.

Saya ingin menyelamatkan rumah tangga kami demi anak walaupun saya tidak pasti apakah masih ada rasa cinta terhadapnya.

ISTERI MEMENDAM RASA
Melaka



JAWAPAN


Dang Setia sangat bersimpati dengan nasib puan dan mengakui masalah puan bukan mudah untuk diselesaikan.

Secara jujur, Dang Setia berpendapat tidak banyak pilihan yang puan ada dan pilihan yang terhad itu pula memerlukan keberanian, ketabahan dan pengorbanan besar.

Ini kerana, tidak keterlaluan jika Dang Setia mengatakan yang keputusan menang-menang sungguh sukar untuk puan peroleh, melainkan keajaiban berlaku dengan suami puan berubah sikap menjadi individu penyayang sebagaimana yang puan kehendaki.

Dang Setia bukan ingin menakut-nakutkan puan atau mengajar puan untuk menyerah kalah, namun yang Dang Setia lakukan ialah berpijak di bumi nyata selepas menyelami apa yang berlaku secara rasional.

Maksud Dang Setia, impian puan untuk suami berubah sikap dan puan mampu meneruskan hidup riang dan gembira bersamanya serta anak sebenarnya adalah sesuatu yang sukar menjadi kenyataan.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa sukar untuk suami puan mengubah sikap buruknya. Ibu bapa dan keluarganya sudah mencuba, namun gagal. Begitu juga puan yang pernah mengajaknya berbincang secara baik tapi tetap tidak mengubah apa-apa.

Lantas, jika puan terus hidup bersamanya, ia membawa maksud puan besar kemungkinan akan menderita sepanjang hidup puan.

Dan ini juga bermaksud, jika puan tidak mahu mengalami penderitaan itu, satu-satunya jalan ialah puan tidak lagi hidup bersamanya.

Ya, inilah pilihan sukar yang perlu puan buat. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini, dan Dang Setia tidak menyalahkan mereka.

Dang Setia juga bukan menggalakkan orang bercerai dan sedar banyak keburukan akibat perceraian.

Bagaimanapun, pada masa sama Dang Setia tidak mahu bersikap hipokrit dan sekadar memberi harapan palsu pada puan dengan mengatakan: “Bersabarlah... masalah puan mungkin dapat diselesaikan satu masa kelak kerana suami puan akan berubah sikap.”

Berdasarkan pengalaman, Dang Setia mendapati individu yang bersikap seperti suami puan memang sukar berubah sikap, melainkan selepas sesuatu yang drastik berlaku dan menginsafkannya.

Persoalannya, apakah perkara yang drastik itu? Mungkin puan tidak perlu ke tahap bercerai tetapi memadai sekadar melakukan tindakan awal ke arah itu.

Maksud Dang Setia, tindakan mengadu masalah puan ke pejabat agama atau membuat tuntutan perceraian mungkin boleh menjadi perkara drastik yang menginsafkan suami puan, lantas berubah sikap.

Jika itu berlaku, wajar puan memberi peluang kedua kepadanya dan menarik balik tuntutan perceraian, namun jika dia masih dengan perangai lamanya, Dang Setia harap puan ada kekuatan dan keberanian untuk menempuh kehidupan sendiri bersama anak demi mencari kebahagiaan yang sekian lama hilang.

Dang Setia mahu puan faham dan sedar bahawa sebagai manusia, puan berhak untuk hidup gembira dan bukan menjadi mangsa deraan mental dek maki hamun seorang suami.

Bukan itu matlamat perkahwinan. Seorang isteri berhak mendapat belaian kasih sayang, nafkah zahir dan batin serta perlindungan daripada suaminya.

Jika keadaan adalah sebaliknya, isteri berhak memohon perceraian dan sebab itulah Islam membenarkan perceraian.

Akhir sekali, jangan lupa lakukan solat hajat, istikharah dan banyak berdoa memohon Allah memberi petunjuk untuk puan menemui jalan penyelesaian terbaik kepada masalah yang dihadapi kerana Dialah sebenarnya yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Red10 :: Lelaki, belajarlah dengan alam sekeliling kamu, jangan terlampau bodoh sombong, fahami tanggungjawab kamu yang sebenar, ikut agama, jangan ikut suka hati kamu sahaja.

Cik NiNe Che Kadir , Rabu, Januari 06, 2010 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

PENULIS Cik NiNe Che Kadir

Nama Penuh saya ialah Cik NiNe Binti Che Kadir, saya menggunakan nama pena C9 dan Cik 9P. Mulus

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog