Ikuti penjelasannya kepada ketua biro Harakah Kelantan, MAZLAN JUSOH, dan jurugambar, RIZAL TAHIR.
HARAKAH: Hukum ciptaan manusia gagal bendung jenayah?
NIK AZIZ: Allah yang mengetahui bahawa bahawa tidak ada cara lain untuk mengubati manusia melainkan takwa kepada Allah. Dalam surah Yaasin, Allah sebut, maksudnya: “Al-Quran berguna hanya kepada manusia yang mengikutnya dan gerun kepada Allah.” Negeri-negeri yang tolak Islam dan menggunakan undang-undang sendiri seperti Malaysia , kerajaan tidak boleh menimbulkan rasa gerun di hati rakyat terhadap neraka, seksa kubur dan soal jawab di Padang Mahsyar.
Kerajaan yang ada tidak meletakkan dasar di atas asas yang ditetapkan al-Quran. Cuma kita tiru fail (dasar) yang digubal di London, India atau Greek. Inggeris menjajah negeri orang dengan tidak ada rasa gerun atau malu-aib. Inggeris jajah Tanah Melayu, Belanda jajah Indonesia. Mereka tiada rasa malu atau aib langsung biarpun menjajah negeri orang. Macam mana hendak ambil undang-undang mereka untuk membasmikan jenayah di negara kita.
Islam mempamerkan seksa di dalam kubur, neraka yang sedang menunggu manusia di akhirat kelak. Bagi menyelesaikan masalah jenayah sehingga menyebabkan kematian Nurin ialah kembali kepada hudud. Hukuman hudud bagi kesalahan tertentu akan dipotong tangan. Kerat tangan merupakan denda yang tidak mematikan manusia. Orang yang dikerat tangan boleh lagi bekerja misalnya sebagai jaga, bawa teksi dan jurujual.
Peliknya, hudud di tempat kita ditolak sedangkan kes gantung dilaksanakan, misalnya kepada pengedar dadah. Malaysia tolak hudud kerana orang Inggeris tidak melaksanakannya. Hukuman gantung dilaksanakan kerana hukuman itu ada di Barat.
Bukankah Kelantan sudah lama lulus rang undang-undang Hudud?
Kami di Kelantan telah siapkan undang-undang Hudud. Kami mahu melaksanakan dalam perundangan di negeri ini. Melaksanakan Hudud bukan kerja kami kerana ia kerja hakim. Tetapi Pusat tidak benarkan kita masuk dalam senarai perundangan di peringkat Kelantan. Biar rakyat di Malaysia tahu bahawa di antara undang-undang di Kelantan ialah Hudud. Jadi hendak laksanakan Hudud terserah kepada kebijaksanaan hakim. Misalnya, kalau hukuman bunuh tidak dijatuhkan ke atas tertuduh kerana ada kesamaran, maka Hudud juga tidak boleh dilaksanakan kalau ada kesamaran.
Kerajaan negeri telah tunaikan tanggungjawab?
Kita bentang enakmen itu pada 1993. Tetapi kita diberi amaran keras kalau mahu melaksanakan Hudud, Pusat mahu bertindak. Ada juga surat amaran Perdana Menteri. Kami telah rasai tindakan Pusat ketika Mageran dahulu. Jadi bila tidak dibenarkan, kita meneruskan apa yang dibolehkan. Surat PM menjadi saksi di dunia akhirat terhadap apa yang kita buat.
Bagaimana hendak atasi halangan itu?
Kita boleh melaksanakannya hanya apabila dapat menguasai pemerintahan Pusat. Apabila menguasai Pusat kita akan masukkan Hudud dalam senarai perundangan. Pelaksanaan Hudud itu kerja hakim yang akan menentukan syarat-syarat hendak potong tangan dan perkara-perkara lain. Draf Hudud dibuat ahli undang-undang termasuk pensyarah universiti dan ulama.
Apa perasaan Tuan Guru apabila pelaksanaannya dihalang?
Saya melahirkan rasa kesal kerana akibatnya boleh dilihat secara jelas. Jenayah tidak menurun dan terus berkembang. Sampai budak yang tidak akil baligh pun dibunuh kejam. Tiada kasihan belas, malu-aib dibunuh budak 8 tahun kerana nafsu buas manusia. Salah guna harta kerajaan pula banyak berlaku dan dilaporkan media tiap hari. Mereka tidak ingat kepada azab dalam kubur kerana mengambil harta kerajaan dengan cara haram. Sedangkan di akhirat kelak akan dibakar. Ini berlaku kerana kita tidak didik rakyat dengan agama, cuma hanya menggunakan undang-undang ciptaan manusia.
Bagaimana cara menyedarkan rakyat tentang Hudud?
Kita adakan perayaan ulang tahun Hudud setiap tahun. Tiap-tiap tahun orang yang bertadarus al Quran juga akan bertemu dengan ayat-ayat mengenai Hudud. Tapi kita hendak laksanakan tidak boleh kerana ada orang sekat.
Ada usaha jumpa dengan Perdana Menteri yang terkenal dengan Islam Hadhari bincang isu itu?
Belum lagi. Islam Hadhari makin teruk lagi. Saya hendak tanya kalau ada Islam Hadhari perlu ada Iman Hadhari. Ini kerana yang membentuk jiwa manusia bukan Islam tetapi iman. Jiwa manusia bercabang dua iaitu takwa dan fujur (jahat). Misalnya, ketika kecil manusia takut kepada rotan dan apabila besar takut kerana ada takwa.
Tuan Guru tidak terima Islam Hadhari?
Usahkah saya, orang dia sendiri pun tidak faham Islam Hadhari. Mengapa baru sekarang hendak cetuskan Islam Hadhari, sedangan Umno sudah lebih 50 tahun wujud. Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. sudah bermula lebih 1,400 tahun lalu. Apa jaminan Islam Hadhari boleh membentuk jiwa manusia? Atas point mana Islam Hadhari boleh membentuk akhlak rakyat Malaysia? Sudah berapa ramai orang Umno boleh berubah pada zaman hadhari berbanding sebelum hadhari? Manusia hanya boleh berubah apabila faham adanya azab kubur. Perkara seumpama ini tidak ada dalam Islam Hadhari.
Perdana Menteri sebut Islam Hadhari sekadar tamadun?
Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan di Kelantan adalah sebahagian konsep tamadun. Banyak pembaharuan yang kita buat di Kelantan termasuk memperkenalkan rumah tiga bilik. Tidakkah itu menggambarkan sudah lama kita bertamadun.
Sebelum ini Tuan Guru sarankan supaya tidak diadakan pilihan raya ketika musim haji dan tengkujuh.
Selepas kenyataan itu PM memberitahu tidak akan membuat pilihan raya dalam tempoh terdekat ini. Saya ucapkan terima kasih sekiranya beliau ikhlas membuat kenyataan itu. Kalau adakan pilihan raya musim tengkujuh menyebabkan perlu kepada motorbot dan banyak perkara lain. Dan musim haji menyebabkan jemaah haji akan mendoakan supaya dilaknatkan ke atas kita kerana pandai-pandai mengadakan pilihan raya sehingga menafikan hak mereka.
Bila Tuan Guru jangka pilihan raya diadakan?
Kita sebenarnya masih ada masa dua tahun lagi. Di Malaysia tempoh pilihan raya diadakan tidak sampai lima tahun. Di negara lain sudah awal-awal lagi diumumkan tarikh pilihan raya. Macam kita takut kepada rakyat. Membuatkan rakyat tidak tahu, tiba-tiba umumkan pilihan raya.
Mungkin tahun depan?
Wallahu a'lam. Terpulang PM, cuma saya ingatkan jangan terpengaruh dengan istilah pilihan raya diadakan lambat lagi. Lambat lagi itu bermaksud kalau bukan bulan ini, bulan depan. Cakap orang politik berbulu-bulu.
Bagaimana persiapan PAS Kelantan?
Perkara utama ialah daftar pengundi. Kadang-kadang nama orang kampung kita dihantar ke tempat lain. Pengundi hendaklah benar-benar serius dengan daftar pemilih. Kita kena ambil tahu kalau ada orang luar dimasukkan ke dalam daftar pemilih di tempat kita.
Mampukah PAS pertahankan kerajaan negeri?
Kalau pilihan raya diadakan secara bersih, kita yakin dapat pertahankan. Orang Melayu atau bukan Islam boleh melihat contoh apa yang kita buat di Kelantan. Cina, Melayu dan India semua yang terdapat di Kelantan adalah rakyat saya. Saya tidak bezakan di antara mereka.
Dari segi persiapan calon?
Calon yang baik tidak ada sebab kita tukar. Setahu saya calon yang ada baik-baik belaka. Tidak kedengaran ada yang lesapkan duit kerajaan. Saya tidak dengar ada yang cuai jaga rakyat.
Ada calon baru?
Di kawasan yang kita tidak menang lagi kita letak calon baru.
Pelancaran Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) mungkin menjadi alat utama Umno bagi menarik sokongan rakyat?
Senarai pembangunan yang hendak dibuat pada ECER belum lagi kita ketahui. Bagi saya perkara utama yang perlu dimasukkan dalam ECER ialah pendaratan gas. Gas yang terdapat di perairan Kelantan perlu didaratkan di negeri ini. Saya sedih mengapa gas dari JDA di perairan Kelantan didaratkan di Thailand. Tiada asas langsung. Pendaratan di Thailand kalau dibuat juga tidak berkat kerana harta kita dibawa ke tempat lain. Kita hanya boleh seronok setakat dunia. Kadang-kadang orang berasa mujur kalau ada orang mati kerana masa hidupnya jahat sangat. Kalau boleh apabila kita mati orang akan merasakan kekosongan kerana sewaktu hidup sekarang berkhidmat kepada mereka.
Tuan Guru sokong ECER?
Kita kena sokong. Allah membuat dunia penuh dengan bahan mentah dan sesiapa yang boleh bangunkan kita kena sokong. Bahan mentah itu kena diproses. Kami di Kelantan membuat kemajuan sepadan dengan apa yang ada pada kami.
Tuan Guru puas hati apa yang telah dibuat di Kelantan?
Kita laksanakan segala ilmu yang kita belajar. Orang yang belajar ilmu Islam iaitu Fiqah, Tauhid, Usuluddin, Tasawur dan Tafsir sama ada di pondok atau di luar negara akan merasakan di Kelantan ilmu mereka itu berguna. Kalau tidak ada kerajaan seperti di Kelantan, orang yang belajar fiqah tidak dapat praktikkan ilmu mereka. Sebab hendak laksanakan tidak boleh. Alim ulama akan merasakan ada kelebihan ilmu yang mereka pelajari.
Kalau tidak ada kerajaan seperti di Kelantan ilmu agama yang dipelajari macam kosong. Ini satu dosa besar. Hatta tazkirah dilarang di negeri tertentu. Sedangkan al-Quran itu sendiri bermaksud tazkirah. Itu pun berlaku ketika orang Islam yang jadi Menteri Besar, apa kata kalau orang bukan Islam menjadi Menteri Besar, tentunya lagi teruk. Sepatutnya kita orang Islam kena sebar Islam kepada orang bukan Islam. Tetapi orang bukan Islam ragu-ragu hendak masuk Islam kerana orang Islam sendiri mencaci agama mereka.
Mungkin Tuan Guru bertanding lagi?
Saya sudah sebut akan bertanding.
Bagaimana sepatutnya amalan di penghujung Ramadan dan menjelang Aidilfitri?
Bagi menghadapi hari terakhir Ramadan yang dilakukan Nabi Muhammad ialah bertapa cara moden iaitu dalam masjid. Baginda hanya bertapa dalam bukit ketika belum menjadi Nabi. Bertapa dalam bukit memutuskan hubungan dengan manusia. Itu bukan kerja agama. Bertapa dalam masjid kita bertapa daripada kegiatan dunia tetapi masih lagi bertemu dengan orang. Lima kali sehari kita boleh bertemu dengan orang atau lima kali sehari kita boleh tazkirah. Cuma kita hentikan sedikit kegiatan keduniaan.
Kita boleh bertadarus, berbincang, mesyuarat dan bercakap dalam suasana masjid. Hari Raya Puasa atau Haji pula adalah anjuran agama bukan anjuran kerajaan atau mana-mana persatuan. Apabila disebut agama mesti terlibat dengan peraturan Allah. Pertama, kita mesti bertakbir. Orang Cina, India dan Melayu yang Muslim sebut Allahuakbar. Ini menunjukkan perbezaan di antara amalan anjuran agama dan ciptaan manusia.
Contohnya laungan Hidup Melayu hanya disebut orang Melayu. Orang Cina dan India tidak sebut. Tetapi Allahuakbar disebut semua Muslim tanpa mengira bangsa. Amat penting bagi umat Islam laungkan Allahuakhbar, bermula ketika jatuh matahari malam hari raya sehingga sebelum Zohor esok harinya. Kalau Raya Haji bermula malam raya sehingga habis hari tasyrik (empat hari).
: Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]
Sabtu, Oktober 06, 2007
|
0
komentar ::
Blog Gadgets

,

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang Interbiu Nik Aziz: Mana iman hadhari pula? silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "