2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Sesuci Hati Isteriku [Episod 19/20]

Suasana tegang menguasai ruang rumah Ahmad Zaki sekeluarga. Zaharah terbenam di sofa dengan wajah masam mencuka, Ahmad Zaki tidak jauh darinya kelihatan meraup muka dan beristighfar beberapa kali mencuba untuk bertenang. Remie terduduk di hujung sofa panjang, merenung kosong ke permaidani dengan wajah tanpa ekpsresi. Dari tingkat atas, dua orang gadis kembar Nana dan Nini berdiri polos memerhati ke bawah sambil berpegangan tangan sesama sendiri. Wajah mereka memerah dan ada air jernih yang mula bertakung di pelupuk mata.

"Apa dosa mama sampai kau balas begini along ? Mama dah bagi kau cukup didikan, agama...tapi macam ni along buat kat mama. Along tak ingat keluarga ke, dah buang keluarga ke sampai begini sekali tindakan along ?"rintih Zaharah buat ke sekian kali.
"Dah la mama. Mama asyik membebel je, along penat la nak dengar. Sekarang ni along mintak jasa baik mama dengan papa, restu pernikahan along dengan Elly. Tu saja. Tak kisahlah kalau mama dan papa tak nak tolong uruskan, biar along buat sendiri."

Zaharah membulat mata.
"Apa?! Kahwin ? Dah gila ke along ni ? Habis Yana macam mana ?"

Remie membuang pandang ke kejauhan. Memang telah diduga mama akan menentang tetapi apalah dayanya lagi. Dia sudah tidak memikirkan tentang Riana atau sia-siapa lagi. Yang penting sekarang menyelamatkan Elly.

"Betul along nak kahwin dengan budak tu ?"soal Ahmad Zaki tiba-tiba setelah lama mendiamkan diri. Remie mengangguk.
"Betul pa. Selama ni dia dah banyak menderita sebab along. Semua ni salah along, biarlah along tebus semuanya kali ni. Along menyesal..."

'Senangnya along cakap. Dulu-dulu tak nak fikir sekarang baru nak menyesal. Muda-muda dah kahwin dua, esok nak sampai ke tua tak tahu berapa pulak bini kau, along !"dengus Zaharah geram. Sukar untuk menerima anak lelakinya terlibat dalam masalah serumit ini. Selama ini dia bangga anak lelakinya kacak, pandai berdikari dan berperibadi baik, tetapi siapa sangka di sebalik semua itu tersembunyi satu kepincangan yang amat memalukan.

"Eloklah along kahwin dengan dia. Bila dah kahwin tu, jaga keluarga along baik-baik. Sama ada budak tu atau pun Yana, bila dah jadi isteri along, adalah tanggungjawab along. Mereka amanah Tuhan untuk along. Dah, lepas ni papa tak nak dengar apa-apa lagi pasal masalah perempuan atau keluarga along."

"Abang??"
Sekali lagi Zaharah tersentak bagai tercucuk duri. Matanya membulat merenung si suami.
"Biarlah Zah. Ini saja cara yang ada. Budak ni dah besar, biar dia rasa sendiri pahit manis hidup dia. Dosa yang dia buat, biar dia tanggung sendiri."putus Ahmad Zaki tenang. Hatinya sendiri pedih untuk menerima semua ini tetapi sesungguhnya tiada jalan lain lagi yang dapat dilalui. Daripada membiarkan Remie membunuh anak yang tidak berdosa itu, lebih baiklah anak itu dilahirkan dan diperkenalkan kepada dunia penuh pancaroba ini.

"Ma, sebagai anak takde apa lagi yang along harapkan dari mama kecuali restu mama untuk along teruskan hidup ni. Along tahu along bersalah, sebab tu along minta sangat mama restukan apa yang along nak buat ni. Ini saja cara untuk tebus dosa along. Pasal Yana, mama janganlah risau...pandailah along uruskan."

Zaharah masih berbelah bahagi. Perasaannya bercampur-baur. Dia berasa marah dengan keterlanjuran anaknya tetapi dalam masa yang sama simpati kala terpandang wajah yang memohon restu itu. Anaknya sedang melalui saat-saat yang sukar. Tetapi idea untuk mendapat menantu kedua itu langsung tidak jejak di kotak fikirannya. Terlalu sukar, terasa bagai menjerut lehernya.

"Huh ! Suka hati kaulah along. Kalau mama halang pun kau kahwin juga kan. Satu je mama nak ingatkan, jangan sesekali kau bawa budak tu balik ke rumah ni. Mama tak suka dan tak ingin nak tengok. Dan anak kau tu pun, kau jagalah sendiri. Mama tak mahu ambil peduli. Mama cuma nak Yana. Sekarang kau pergi cari Yana sampai dapat."kata Zaharah dengan muka masam mencuka.

Lega hati Remie mendengarnya. Dia tidak ingin bertekak lagi. Dia tahu marah mama tidak akan ke mana. Kelak nanti bila kemarahannya reda, mama tidak akan sampai hati untuk tidak memepedulikan cucu sendiri. Biarpun anak itu terhasil di luar ikatan pernikahan, hakikatnya anak itu tetap cucu mama.

Dengan perasaan sedikit tenang bagai telah terlepas satu bebanan, Remie meraih tangan mamanya lalau mencium tangan itu penuh hormat.
"Thank you ma. Ampunkan along ya. Dah la mama jangan risau lagi, along tahu apa nak buat. Mama doakan along saja."Kemudian dia beralih kepada papanya. Kepada orang tua ini dia tidak tahu hendak berkata apa. Hubungan mereka tidak berapa rapat tetapi dia tahu papa sentiasa memeberi sokongan padu kepadanya.

"Along balik dulu."Selepas mengucup tangan Ahmad Zaki Remie bergerak perlahan ke pintu. Sebelum keluar dia sempat mendongak ke tingkat atas. Di situ Nana dan Nini tersengih sambil menyapu air mata di pipi masing-masing. Remie cuma mampu melempar senyuman hambar kepada dua orang adiknya itu. Tentu mereka sedih mengetahui hubungannya dengan kakak ipar mereka kini bermasalah. Itu pun tidak dikhabarkan sebab sebenar Riana meninggalkan rumah. Biarlah mereka terus menganggap Riana meninggalkannya kerana kecil hati ekoran terbongkar hal perhubungannya dengan wanita lain. Kalaulah mama tahu yang sebenarnya dia yang menghalau Riana dari rumah, sudah pasti mama juga turut menghalaunya dari menjejakkan kaki ke rumah itu.

Semenjak ketiadaan Riana, Remie terasa agak sepi berada di kondo itu. Sepi yang tidak mungkin dapat diubati dengan perkara lain. Untuk menghindarkan kesepian dia sering menghabiskan masa di luar, tinggal sehingga lewat malam di pejabat atau mengunjungi Elly di apartmentnya. Tetapi setiap kali berada di tempat-tempat itu hatinya terasa ingin balik ke kondo. Jejak sahaja kaki di kondo, dihimpit dengan kesepian dan perasaan kehilangan akan sesuatu, dia terasa ingin keluar pula. Semuanya serba tak kena..

Dia pernah cuba menelefon Riana beberapa kali tetapi bila semua panggilannya disambut peti pesanan suara, barulah dia menyedari bahawa telefon bimbit Riana telah pun hancur berkecai dek kerana perbuatannya sendiri.
Ke mana Riana membawa diri ?

Perasaannya terdetik ingin tahu tetapi mengenangkan perbuatan Riana menipu dirinya membuatkan dia terasa bagai seorang lelaki dayus yang diperkotak-katikkan. Dia paling benci bila kewibawaannya dicabar. Apatah lagi yang menipu itu Riana, perempuan yang telah berjaya mewarnai diari hidupnya, isteri yang dipercayai dan dikasihi, orang yang tidur berkongsi selimut dengannya. Sukar untuk mempercayai perut langsing yang dibelainya saban hari itu pernah mengandungkan anak luar nikah. Lebih keji, anak itu dibunuh tanpa diberi peluang bernafas di muak bumi ini. Dan yang melalukan itu ialah Riana !

Mungkin tidak mengapa kalau Riana berterus-terang dari mula. Dulu sewaktu dia mula merapati Riana, telah didesaknya perempaun itu agar mendedahkan semua rahsia hidupnya agar di kemudian hari tiada yang sangsi atau tersembunyi. Dia sangkakan Riana berlaku jujur dengan menceritaka segala-galanya. Rupa-rupanya segagah dia sebagai seorang lelaki masih mampu diperdaya kelicikan perempaun seperti Riana.

Elly pula kini semakin manja dan berusaha untuk mengambil hatinya. Tetapi Remie sudah tidak seghairah dulu untuk bersama Elly. Fikirannya runsing. Dia bakal memiliki anak yang tidak layak berbinkan namanya walaupun nyata dialah bapa anak itu. Itulah hukum agama dan dia sesekali tidak mampu mengubahnya. Bagaimana hendak diterangkan kepada anak itu nanti andai dia bertanya mengapa namanya berbin atau berbintikan Abdullah. Bagaimana anak itu hendak memahami dia tidak berhak mewarisi harta mama papanya seperti anak-anak yang yang lain.

Semua itu menyesakkan fikiran Remie. Dia tidak mahu memikirkan hal itu tetapi di kala bersendirian persoalan-persoalan begitu kerap mengganggu ketenangannya.

"You nampak tak happy sejak dua tiga hari ni. Kenapa honey ? Kan kita dah nak kahwin, you sepatutnya rasa happy."tegur Elly.
"Tak perlu bagitahu apa yang patut atau tak patut I buat. You sepatutnya fikir betul tidak apa yang kita nak buat ni."
Satu hal lagi yang merisaukannya, tentang penerimaan keluarga Elly dengan keadaan ini. Apakah segala-galanya akan berjalan lancar seperti yang diyakini Elly ?

"Apa yang you risaukan. Parents I masih bercuti kat Switzerland lagi. Nanti bila diorang balik I bagitahulah. Pandailah I handle. You jangan risau ok, tak lama lagi kita akan kahwin. I nak selamanya di sisi you."Elly bersandar manja ke lengannya.
"Berapa percent you confident mak bapak you akan setuju ?"

Elly berkerut kening kemudian ketawa mengekek.
"You ni tanya percent macam cikgu matematik pulak. Come on, mama dan papa I...tahulah I nak handle macam mana. Yang you ni pulak sejak bila dah pandai ambil serius hal sekeliling. Selalu tu tak macam ni pun ?"

"Yes I'm dead serious, Elly ! Of course I'm serious. You ingat hal ni main-main, ini soal hidup atau mati you tahu tak ?"
"Baguslah kalau you ambil serius, sebab I dah penat hidup main-main. Selama ni you tak pernah fikirkan hal I dengan serius. Kalau dari dulu lagi you serius, perkara ni takkan terjadi. Kita boleh hidup bersama aman damai."

"Sudah ! Kalau nak kahwin dengan I please jangan ungkit hal-hal yang menyakitkan hati. I dah tak ada sesiapa lagi you tahu tak. Mama dan papa dah tak mahu ambil peduli, Riana pun dah tak ada..."kendur suara Remie bagai menyatakan kekesalan.

"Baguslah dia tak ada. She doesn't belong here."kata Elly perlahan.
"She does belong here. She's my wife !"sanggah Remie lantas segera keluar dari apartment. Begitulah selalunya kalau timbul persoalan Riana antara dia dan Elly. Setiap kali Elly mengaitkan nama isterinya dengan perkara yang tidak baik dia jadi tidak tentu. Dia cuma mahu menjaga anggota badannya agar tidak mengasari Elly. Selagi boleh dia akan terus menjaga dirinya daripada menjadi lelaki bacul hanya kerana tidak mampu mengawal amarah.

Namun ada kalanya gelodak perasaan yang menghimpit tidak mampu disembunyikan walaupun dia cuba berlaga biasa.

"Muka kau macam muka orang hilang bini."
Remie mendongak memandang tuan empunya mulut lancang itu. Rahmat tersengih sambil terus duduk di hadapannya tanpa dijemput.

"Ingat aku macam kau. Kau sorang je yang hilang bini kat sini."
Rahmat hanya ketawa mendengar kata-kata itu. Melihat wajah keruh Remie dia dapat meneka lelaki itu sedang menanggung masalah peribadi.
"Hemmm...yalah, kau hebat mana pernah kalah soal perempuan. Tapi petang ni kita ada mesyuarat dengan wakil Genting. Jangan pulak kau bawak muka cap sardin dua ringgit kau tu ke meeting petang nanti, kang hilang pulak keyakinan diorang pada kita."

Muka Remie semakin kelat. Malas dia melayan Rahmat yang ada-ada saja tetapi dia tetap menghormati lelaki itu sebagai seorang abang yang telah lebih dulu makan garam daripadanya. Ada kalanya Rahmat memberikan nasihat-nasihat berguna untuknya.

"Dahlah. Jom makan, aku lapar ni. Hah, tengok dah pukul dua... patutlah perut aku bergendang semacam. Jom !"ajak Rahmat. Remie bangun dengan malas.

"Kau turun dulu, aku gi toilet jap."
"Ok."
Rahmat berjalan keluar dari bilik Remie. Sebaik melintasi meja Suraya, dia melihat anak buahnya itu masih tekun menghadap komputer.

"Amboi rajinnya kerja, sampai tak keluar makan. Nak jadi pekerja contoh ke ?"
Suraya berpaling. Senyuman indah segera menghiasi wajahnya.

"Paksu... mana ada rajin, Sue cuma tengok-tengok pasal internet security ni. Paksu nak gi makan eh ?"
"Ha ah... Sue tak nak makan ke ?"
"Nak. Paksu belikan eh ? Sue nak makan nasik paprik, tolong tapaukan untuk Sue boleh ?"pinta Suraya.

"Apa pulak tapaunya. Jomlah sekali, join paksu dengan Remie."
Suraya tersenyum simpul.
"Boleh ?"

Rahmat mengangguk. Suaraya lalu tersengih girang.
"Paksu turun dulu. Sue nak mekap jap."
Suraya bangkit untuk ke bilik air. Di situ dia tertembung Remie yang baru saja keluar dari bilik air. Lelaki itu cuma memberinya senyum tawar bagai tidak bersemangat.

"Remie."panggil Suaray ketika Remie sudah melepasinya beberapa langkah. Remie berpaling.
"You nak gi makan dengan paksu eh ? Tunggu I ya, just one second."
Remie mengangguk.

Sebentar kemudian Suraya berlenggang keluar. Dia tersenyum melihat Remie terpacak di sisi mejanya.
"I'm ready. Let's go."
Mereka beriringan turun tangga untuk ke tempat telak kereta. Sambil berjalan Suraya seperti biasa galak bercerita itu ini siap dengan gelak tawanya yang manja. Remie tersenyum, sesekali menyoal balas untuk mengambil hati.

Dari kejauhan Riana melihat suaminya berjalan ke kereta diiringi seorang gadis manja. Desakan rindu mendorongnya ke sini tetapi kini apa yang terhidang di depan matanya mengesahkan bahawa Remie memang telah berkerat rotan berpatah arang dalam perhubungan dengannya.

Di hati Riana terdetik simpati untuk gadis manis berbaju kurung biru polos itu. Gadis itu tidak menyedari gelak tawanya hari ini akan bertukar menjadi tangisan suatu hari nanti. Teruslah, teruslah menikmati wajah kacak dan tutur lunak Remie kerana tidak lama lagi tutur yang lunak itu akan menjadi tengking hamun, wajah yang kacak itu akan menjadi igauan buruk sepanjang kehidupanmu.
Perlahan-lahan Riana mengundurkan kereta dan berlalu dari situ.

*******************************


"Mama, Elly nak khawin."
Datin Marcella tersentak. Belum habis cemas melihat Elly muntah-muntah bagai perempuan bunting sulung, anak gadis itu tiba-tiba membicarakan soal kahwin pula. Semua ini menimbulakn tanda tanya yang bukan sedikit.

"Elly ok tak ni ? macam sakit je...kita ke klinik ya sayang..."
Anak yang tersandar lemah di sofa itu direnungnya dengan seribu kehairanan. Wajah Elly pucat, dadanya pula kelihatan beromabk-ombak selepas memuntahkan segala isi perut. Elly menggeleng lemah.

"Tak payahlah mama. Elly cuma nak kahwin. Beritahu papa, malam ni Elly bawa Remie jumpa mama dan papa ya. Kita jemput abang Fazrul dan Kak Nadia sekali. Sekejap lagi Elly call abang Fazrul."

"Nanti dulu. Ni kenapa tiba-tiba cakap pasal kahwin. Muntah-muntah, muka pucat macam orang pregnant, Elly ada apa-apa ke ?"

Hati wanitanya sangsi melihat tingkah-laku si anak. Sangat mencurigakan. Dia baru saja pulang bercuti bersama suami di Switzerland, ingatkan apabila pulang ke rumah hatinya lebih tenang melihat kebahagiaan anak-anak tetapi hari ini dia diperlihatkan petanda akan sesuatu yang kurang baik.

Ketika Elly cuba bangun sekali lagi cairan kuning menerobos keluar dari mulutnya sebelum mereka sempat berbuat apa-apa.
"Sapinah !!!"Datin Marcella menjerit lantang kepada pembantu rumahnya. Berlari-lari wanita Indonesia itu ke ruang tamu tetapi saat itu cairan muntah Elly telah pun bertebaran di merata tempat. Di sofa, di meja kopi malah di atas permaidani tebal, muntah meleleh membangkitkan bau yang tidak menyenangkan.

Datuk Ayub mundar-mandir di sekeliling ruang tamu. Fikirannya buntu mengenangkan perbuatan si anak. Elly sudah melampau. Sewenang-wenangnya menconteng arang ke muka orang tua. Apakah tersalah ajarannya sehingga tergamak Elly membalas budinya sebagai orang tua sebegitu rupa. Kalau Marcella seorang gadis barat serba moden berjaya dilenturnya menjadi seorang wanita Melayu yang penuh adab kesopanan, mengapa pula Elly yang dilahirkan separuh Melayu itu bertukar menjadi orang putih pula. Tadi nyaris saja dia melayangkan pelempang ke pipi Elly kalau tidak dihalang Marcella.

"Jangan pukul dia abang.... dia tengah mengandung."
Hatinya tenang kembali melihat wajah sebak Marcella dengan linangan air mata. Paling-paling dia hanya mampu merengus. Bagaimana seorang pemimpin terhormat sepertinya dumalukan sedemikian rupa. Jika diketahui orang ramai akan hal itu, dia bakal kehilangan jawatan. Dia bakal dihina dan dicemuh, perniagaan nya akan hancur berkecai.

"Apa yang Elly buat ni tersangat melampau. Kenapa mesti sakitkan hati papa sedangkan dari dulu lagi papa dah pesan, kalau nak sangat dengan budak tu buatlah cara baik. Kenapa sampai jadi macam ni ? Elly sengaja nak malukan papa."luahnya kesal.

"Yalah Elly. Kalau suka sama suka, kenapa tak bawak dia jumpa papa dan mama awal-awal lagi. Kami bukannya tak suka dengan pilihan Elly, kami cuma tak suka Elly buat benda yang salah. Tengok, sekarang dah jadi macam ni....semua orang malu. Apa Elly tak malu ke ?"sampuk pula Datin Marcella. Elly terus terisak-isak dan tenggelam di pangkuannya.

"Huh ! Macam mana nak buat cara baik mama, papa.... anak perempuan papa dan mama ni, tergila-gilakan suami orang !"celah Fazrul tiba-tiba setelah sejak tadi cuma menjadi pemerhati drama itu.

"Apa ?!!"
Kedua-dua Datuk Ayub dan Datin Marcella terperanjat bagai disengat kala jengking. Mata mereka membulat merenung Elly. Elly pula mengangkat wajah merenung Fazrul dengan pandangan yang sukar dimengertikan.

"Selama ni abang sabar je tengok gerak-geri kau, Elly. Dari dulu abang cakap jangan melampau sangat, jangan benarkan budak tu keluar masuk rumah kau, tapi kau degil. Abang dah siasat semua pasal dia, lelaki tu dah ada isteri dan dia saja nak main-mainkan kau aje. Nah sekarang kau tengoklah, kau susah payah bawak perut sedangkan dia bersenang-lenang dengan dengan bini dia."luah Fazrul dengan geram. Isterinya Nadia menggenggam jemarinya menyuruh bersabar.

"Bukan. Bukan macam tu. Mama....papa....Remie tak macam tu. Remie sayangkan Elly. Elly dah lama kenal dia. Tolonglah bagi Elly kahwin dengan dia. Anak ni anak dia, dan kami sama-sama nakkan anak ni."rayu Elly. Dia kini melutut di hadapan papanya tetapi Datuk Ayub sudah membuat keputusan.

"Fazrul, bawa Sapinah pergi apartment Elly, kau pergi kemaskan semua barang-barang dia dan bawak balik ke rumah ni. Marce, pergi ambilkan dokumen apartment tu dan bagi pada Fazrul. Papa nak kau uruskan penjualan apartment tu hari ni juga, Fazrul. Nadia, lepas ni tolong mama kau kemaskan bilik Elly di tingkat atas."putus Datuk Ayub.

Semua orang terdiam dan menyedari arahan itu mesti dilaksanakan tanpa perlu bertangguh-tangguh lagi. Tinggal Elly saja yang meraung-raung sendirian di ruang tamu banglo itu.

Bersambung lagiiii.....................

try , Khamis, Februari 02, 2006 | 3 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

3 ulasan :

  1. Hampir sama dengan kasus hati masyarakat Indonesia, bagaimana ? kalau di visualkan di jual di TV Indonesia dan Malaisia

    BalasPadam
  2. Bolehkan aku membuka peluang bikin sinema cerpen? Untuk Indonesia dan Malaisia

    BalasPadam

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog