Elly yang terbaring di katil tersenyum senang melihat kedatangan Remie. Dikuakkan sedikit langsir tingkap agar ruang bilik itu lebih bercahaya. Dia cuba bangun ketika Remie melabuhkan punggung di pinggir katil.
"Eh, janganlah…nanti berkedut pulak baju I."tepis Remie ketika Elly cuba memeluk tubuhnya.
Hari ini dia belum pun masuk ke pejabat. Pagi tadi selepas keluar dari rumah dia terus ke pejabat seorang pelanggan. Selesai berbincang dan minum bersama pelanggan, dia menelefon Elly untuk meminta berjumpa petang nanti tetapi Elly pula memberitahu kurang sihat dan memintanya segera datang ke apartment.
"Tukar bajulah…kan banyak baju you kat sini."rengek Elly. Banyak, baju I memang banyak kat sini tapi tak lama lagi akan I angkut semuanya, desis hati Remie.
"Kan I kerja ni, mana boleh melepak kat sini. Yang you ni kenapa tak pergi kerja, nak kata demam badan tak panas pun."Remie meraba dahi dan pipi Elly. Memang tiada tanda-tanda demam tapi wajahnya agak pucat.
"You tak perasan pun I sakit ? tak ambil peduli pasal I langsung…"
"tapi mulai hari ni you kena selalu ada kat sini, I perlukan you…"bisik Elly perlahan sambil membawa tangan kanan Remie ke bibirnya lalu diciumnya penuh kasih.
Remie berpaling ke arah lain. Sekeras-keras dia kadang-kala akan termakan pujuk rayu Elly yang pandai menggoda, tetapi kali ini dia perlu bertekad. Apa pun yang akan terjadi, keputusan yang telah diambil akan dikotakannya. Riana lebih memerlukan dirinya. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, Riana sedang membawa benih cinta mereka. Cukuplah selama ini dia menjadi seorang suami yang telah banyak melukakan hati isteri, dia tidak mahu kelak anaknya turut merana andai dia masih mempunyai wanita lain.
"Since I dah ada kat sini, biarlah I berterus-terang…you dengar baik-baik dan please jangan kata apa-apa, sebab I dah buat keputusan…."
Remie menarik nafas dalam-dalam. Elly tenang menanti dengan senyuman nipis menghiasi wajahnya. Ah, mengapa begitu rupawan sekali wanita ini. Bening matanya, halus kulitnya, lembut rambutnya…membawa Remie mengimbau kembali saat-saat manis yang lalu.
Saat mereka berdua disandingkan di pentas theater sewaktu di tingkatan lima. Dia putera zaman lampau yang dinikahkan dengan puteri raja kerana kebijaksaan membanteras pengkhianat bangsa. Puteri dengan rela hati menerima kerana sang putera telah lama menjadi raja hatinya. Pada hari persandingan dia begitu terpukau dengan kejelitaan puteri berbusana Melayu zaman silam, dan dari saat itu bermulalah era percintaan di dunia nyata yang menyemarakkan api cemburu teman-teman.
Ketika mereka bersama kelab kembara sekolah menyertai ekspidisi mendaki gunung Stong di Kelantan, berkeretapi dari Kuala Lumpur ke Ulu Kelantan yang mengambil masa semalaman, Elly terlena di bahunya dalam kedinginan gerabak keretapi dan sewaktu semua orang sedang terlena, dia buat pertama kali memberanikan diri mencium pipi mulus Elly. Betapa indahnya waktu dulu.
Elly, bukan setakat memberi cinta malah sanggup bersabung nyawa untuknya. Di kala keriangan bermandi-manda bersama teman-teman di puncak air terjun gunung Stong, dia telah tersilap langkah dan hampir saja terjunam ke pusar air yang deras kalau tidak diselamatkan Elly dengan menarik bajunya dan berpaut di batu licin. Dia tidak akan pernah melupakan itu. Kerana nekad Ellylah dia masih terselamat.
Juga, dia masih teringat bagaimana Elly beria-ia menentang sewaktu dia berura-ura untuk terjun ke bidang modelling setelah dilamar oleh sebuah agensi modelling. Kata Elly dia langsung tidak sesuai dan tidak akan pernah berjaya kalau bernekad menjadi model. Alasannya dia memang tidak berjiwa seorang model. Yang sebenarnya Elly takut dia akan dikenali ramai dan seterusnya mengganggu-gugat hubungan mereka. Waktu itu dia hanya ketawa.
Dia cukup menyedari kekhuatiran Elly dan dia yakin gadis itu benar-benar mencintai dirinya. Memang dia pun tidak ingin menjadi model. Lamaran itu hanya datang kebetulan ketika mereka bersama-sama merayau di Lot 10. Lalu, Ellylah yang mencadangkan agar dia memulakan perniagaan sendiri. Elly yang bertungkus-lumus menyiapkan kertas cadangan dan Elly juga yang berusaha keras mencari pelanggannya yang pertama.
Sepuluh tahun sudah mereka bersama. Terlalu banyak kisah suka-duka untuk dikenang tetapi kini dia terpaksa meninggalkan Elly. Keputusan itu terlalu sukar. Untuk melafazkannya terasakan seperti memijak bara. Pedih. Namun, kala membayangkan wajah Riana di samping seorang anak kecil yang memanggil-manggil namanya, hatinya kembali bulat.
"I dah buat keputusan, kita tak boleh bersama lagi. I…I…terpaksa tinggalkan you. Sorry."
"Apa you cakap ni ? You tak sayangkan anak you ke ?"
"Sebab sayangkan anaklah, I nak putuskan hubungan kita. I tak mahu hidup tak tentu arah lagi. Berilah I peluang jadi bapa yang baik."
"Then kenapa nak tinggalkan I ? You sepatutnya luangkan lebih banyak masa dengan I. I mengandungkan anak you Remie !"
"You what ?!"
Sekeping surat bercop klinik swasta yang dihulurkan Elly disambut dengan terketar-ketar. Benar. Pengakuan yang mengesahkan Ellyna Datuk Majid mengandung dua bulan itu ditandatangani doktor klinik terbabit. Remie dilambung ombak debaran. Sungguhkah ini?
"Macam mana boleh jadi macam ni ? Kan I selalu cakap, berhati-hati. You tak makan ubat ke ?"
Elly menggeleng.
"I terpaksa buat macam ni. Kalau tidak, sampai bila-bila pun you takkan fikirkan masa depan kita. Please honey, kita kahwin ya."
"How could you !"tangannya sudah diangkat separuh untuk menampar pipi Elly, tetapi segera diturunkannya semula. Surat dari klinik telah renyuk digumpal dan terpelanting ke dinding. Remie terduduk di pinggir katil dengan kedua-dua tangan memanggung kepala.
"I'm really sorry honey…tapi I buat ni semata-mata untuk kita. Untuk you dan I. I tak suruh you buang Riana…. I cuma nak you fikirkan pasal I juga, I just nak hidup bersama dengan you. Tu saja."
"Tapi cara you ni salah ! Kita bukan hidup bersendirian di dunia ni Elly. Kita ada mak bapak, ada keluarga. Kalau you tak nak fikirkan pasal keluarga you, fikirkanlah pasal keluarga I ! Mama, papa I…apa mereka kata nanti !"
"I know…I know…that's why I buat semua ni. You ingat mak bapak you senang-senang ke nak bagi kita kahwin ? Sebab tu I cari jalan. Kalau I dah buncit, tentu mama dan papa you tak sanggup nak biarkan begitu saja. Tentu diorang suruh kita kahwin. Begitu juga dengan family I, diorang takkan sewenang-wenangnya biar I bersama you kalau diorang tahu you dah kahwin."
"Huh !"
Genggaman penumpuk terlepas ke muka tilam. Hatinya panas. Mengapa terlalu malang hidup ini.
"You ni pentingkan diri ! Tak fikir langsung tentang orang lain. I ada isteri. You ingat semua masalah boleh selesai bila you buat macam ni ? Masalah bertambah rumit tahu tak ?"
Elly tersenyum sinis. Dia bergerak ke almari dan mengeluarkan sesuatu dari laci.
"Isteri. Well, terpulang pada you nak kata apa, tapi I nak you tengok gambar ni. Inilah isteri yang you agung-agungkan sangat tu. Lepas tengok, ikut suka youlah kalau masih nak simpan dia sebagai isteri you."
Remie rakus merampas sampul besar di tangan Elly. Seketika kemudian matanya buntang memerhati satu demi satu imej yang tertera di gambar itu. Riana ! Aksi-aksi Riana berpacaran bersama seorang lelaki kelihatan begitu mesra. Minum bersama, bergelak-ketawa. Berjalan-jalan di pusat beli-belah, malah ada gambar memaparkan mereka berbual di tempat parking bawah tanah. Siapalah yang dapat menghalang andai terjadi sesuatu yang kurang sopan di tempat yang sunyi sebegitu ? Hatinya bertambah panas.
"You jangan ingat I sengaja fitnah dia. I ternampak depan mata, isteri you tu tengah berkepit dengan jantan lain. Jantan tu bekas kekasih dia kan ? I cuma tak nak you terus ditipu dengan perangainya yang pura-pura baik tu. I tahu semua kisah-kisah dia yang dulu. Boleh you ambil perempuan macam tu jadi bini you ? You tak takut mama you tahu pasal kisah silam dia ?"
"Dan lagi, I nak ingatkan you. Tak usahlah you berangan nak dapatkan anak dengan dia. Kalau you nak tahu, sebelum dia jumpa you, dah dua kali dia buat abortion. Selalunya perempuan yang banyak kali buat abortion akan susah nak mengandung lagi. So you sendiri fikirlah. Dan kalau dia boleh mengandung sekali pun, you nak ke zuriat dari rahim perempuan macam Riana tu?"
"You diam !!"
Gambar-gambar berterabur bersepahan di serata ruang bilik.
*************************************
Riana cepat-cepat melangkah masuk ke rumah bila terpandang kereta Remie ada di tempat parkir sebaik dia sampai di perkarangan bangunan kondo itu. Remie yang masih berpakaian ke pejabat sedang duduk di sofa menatap tajam ke skrin rata televisyen.
"Cepatnya awak balik hari ni. Ni kenapa masam sangat ? Baju pun tak tukar lagi…kenapa ni ? Awak nak minum, saya ambilkan ya."
"Tak payah. Awak pergi klinik tadi ? Doktor cakap apa ?"
Riana tidak jadi melangkah. Dia diasak kehairanan melihat wajah masam Remie yang langsung tidak memandang ke arahnya. Dia jadi ragu untuk menyampaikan berita itu. Semalam Remie beria-ia mahu dia ke klinik untuk memeriksa sama ada dia mengandung, tetapi dia tidak pergi. Rasanya sia-sia saja dia ke doktor sedangkan dia tidak sakit apa pun.
Memang Riana langsung tidak terfikir yang dirinya mengandung kerana memang tiada tanda-tanda ke arah itu. Dia muntah kerana perut kosong berisi angin, dan pening kerana terlalu banyak menangis mengenangkan kesudahan hidupnya dengan Remie. Tetapi untuk kepastian, dia mendapatkan nasihat Mimi. Mimi menyuruh dia membeli alat menguji kandungan di farmasi dan itulah yang dia lakukan. Ternyata keputusannya seperti yang diduga. Memang dia tidak mengandung.
"Tak. Saya tak pregnant Mie. Sorry, belum rezeki kita agaknya."
Hujung jari Remie digenggam erat. Dia sendiri kecewa, malah terlebih kecewa lagi kerana terpaksa menghampakan Remie.
"Saya dah agak. Memang awak tu dah tak boleh mengandung. Dua kali abortion, Tuhan pun tak ingin nak bagi peluang ketiga."balas Remie dengan suara tegang. Riana lantas terkesima.
"Abortion ? Apa awak cakap ni, siapa yang buat abortion ?"
"Dah. Tak payah lagi nak berpura-pura, nak tunjuk baik. Sekarang kau pergi kemaskan baju-baju kau, keluar dari rumah ni. Aku tak nak tengok muka kau lagi."
Bagai hendak gugur jantung Riana mendengar bait kata-kata itu. Remie menggelar 'kau-aku'. Hantu mana yang telah merasuk lelaki ini. Semarah mana pun dia, belum pernah sekasar itu. Dan, Remie menghalaunya keluar dari rumah itu ?
"Ya Allah. Dah kenapa dengan awak ni ? Takkan pasal saya tak pregnant awak nak halau saya ?"
"Bukan pasal tu. Pasal kau dah tipu aku hidup-hidup selama tiga tahun lebih kau tahu. Kenapa kau tak cakap dengan aku, kenapa kau tak berterus-terang yang kau tu pembunuh anak sendiri ? Aku pun tak tahu dengan jantan kau yang mana satu, tapi sampai dua kali kau buat abortion ya. Sekarang baru aku tahu, jahat betul kau ni."
Riana terjelepuk di depan sofa. Lututnya lemah tidak mampu berdiri. Akal fikiran pula berkecamuk tidak menentu.
"Saya…saya tak tahu apa yang awak cakapkan."
"Sudahlah Riana. Pergi mati dengan lakonan kau. Ni ! Ni apa ? Kau tengok sendiri."
Satu sampul surat kuning bersaiz A4 dilempar kasar ke hadapan ribanya. Terketar-ketar tangan Riana menarik keluar isinya. Gambar-gambar yang diambil secara curi ketika dia bersama Irfan beberapa minggu lalu terbentang di depan mata.
"Mie…dengar dulu saya cakap. Ini Irfan…"
"Aku tahu ! Aku tahu itu bekas pakwe kau kan ? Sekarang kau dah baik balik dengan dia ya. Pandai betul kau ni. Kau kahwin dengan aku, kau buat baik dengan aku, elok-elok aku dah percaya habis dengan kau…kau pergi menggatal dengan jantan lain ya. Memang bodoh betul aku kahwin dengan perempuan macam kau. Anjing takkan pernah lupakan tahi, begitu juga kau. Kau perempuan jahat, sampai bila-bila pun takkan jadi baik !!"
"Remie ???"
Saat itu sayup-sayup bunyi telefon bimbitnya kedengaran dari dalam tas tangan yang diletak di atas meja kecil. Remie pantas menyelongkar ke dalam tas tangan lalu menyuakan telefon kecil itu tepat ke depan muka Riana.
"Nah. Boy kau telefon. Jawablah ! Pakwe kau nak ajak keluar tu. Takkan tak nak jawab."
Riana kaku ketakutan. Ini bukan suaminya yang biasa. Remie seakan dirasuk hantu jembalang sehingga hilang ciri gentleman yang ditatangnya selama ini.
"Kau jawab telefon ni. Kalau tak aku hempukkan …"serentak itu juga telefon bimbit Riana sudah terbang laju ke dinding dan berderai segala bateri dan isi perutnya di situ. Riana terus tersedu.
"Kau pergi. Pergi kemaskan kain baju kau sekarang. Aku tak nak tengok muka kau lagi kat rumah ni. Kau perempuan hina !"
"Mie dengarlah Yana cakap. Yana tak buat…"
"Dah dah aku tak nak dengar !"
Pegangan Riana di tangannya disentap keras lalu Remie bangkit menghala ke almari. Dikautnya kesemua baju Riana lalu dicampak ke hadapan Riana yang sedang tersedu di hadapan sofa. Riana semakin hiba melihat kunci kereta dan sangkar hamsternya turut dilonggok di situ…
Bersambung...............................

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "