2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Sesuci Hati Isteriku [ Episod 17/20]

~Andai gunung tak mungkin didakap Mengapa bermimpi di siang hari~


"Kenapa dengan awak ni ? nampak tak bermaya semacam. Apa masalah, cuba cerita."
Irfan terus membuang pandang ke seberang jalan. Hiruk-pikuk kota tidak sedikit pun mengganggu lamunannya yang semakin jauh. Inilah kelemahan lelaki ini, tidak tegar menghadapi rintangan. Riana tidak pasti apa masalahnya kali ini tetapi dia dapat menduga Irfan sedang karam diamuk badainya sendiri.

Sayang….jiwanya yang pelembut telah menjadikan dia cepat lemah dengan sedikit dugaan.
"Entahlah. Rasa malas nak ingat tapi semakin cuba dilupa semakin pening kepala ni. Bingung."kata Irfan sejurus selepas mendiamkan diri. Riana tekun mendengar saat Irfan mula bercerita. Rupanya sulit juga permasalahan Irfan. Riana turut merasa terpukul. Apatah lagi bila Irfan tidak sudah-sudah mengeluh.

"Kalaulah awak di tempat dia…tentu keadaan tak jadi macam ni."
"Tak baik cakap macam tu. Dah memang dia dijodohkan dengan awak, terimalah. Seburuk-buruk dia masih isteri awak, belum terlambat untuk melentur dia."
Irfan menjuih.

"Huh ! melentur ? dia tu dah jadi jadi buluh, dah boleh bakar buat lemang…nak lentur macamana lagi ?"
Riana tertawa kecil. Wajah Irfan yang masam mencuka ditelitinya. Patutlah dua-tiga hari lepas telefonnya tidak henti berdering. Bila diangkat tiada suara yang menjawab. Rupanya Irfan yang memancing perhatian. Dia agak gusar pada mulanya untuk menemui Irfan di sini kerana bimbang dimarahi Remie namun saat mendengar suara Irfan penuh keluh-kesah, dia gagahi juga.

Irfan pernah sudi mendengar masalahnya, kini masanya pula mendengar masalah Irfan. Berkongsi dan membantu apa yang terdaya. Bukankah mereka telah berjanji untuk tidak saling melupakan.

"Semasa bertunang dulu takkan awak tak nampak perangai dia?"risik Riana. Irfan mengeluh lagi.
"Nampak pun buat-buat tak nampak. Lagi pun dulu perangainya taklah menonjol sangat. Semua nampak baik. Ingatkan dialah pilihan yang terbaik, rupanya…."

"Rupanya apa ? rupanya awak tersalah pilih…."
"Boy…awak dari dulu suka menyesal dengan apa yang terjadi. Bukankah dulu awak yang pilih dia. Sekarang ni Allah turunkan ujian, awak kenalah tempuhi. Tetapkan hati tu…apa pun yang berlaku, dia tetap isteri awak. Awak kena bimbing dia."
"Kalau awak harapkan bila dah kahwin hidup kita akan bahagia selama-lamanya…awak silap Boy. Bila-bila masa hidup kita selalu ada rintangan. Semua terletak atas diri kita sendiri, kuat atau tak…"
Irfan terus mendiamkan diri. Riana jadi bosan. Dalam hatinya terdetik syukurlah jodohnya bukan dengan lelaki ini.

Antara Irfan dan Remie terlalu jauh perbezaan karektor mereka. Irfan memang baik, romantik, lemah-lembut, bertolak-ansur, berjiwa penyayang dan gemar memanjakan wanitanya. Namun saat tiba sedikit ujian, dia mudah gentar. Sebagai anak bongsu dia lebih cenderung mengikut kata keluarganya berbanding pendiriannya sendiri.
Berbeza dengan Remie yang dilahirkan sebagai anak sulung, lelaki itu bersikap dominan dalam segala hal, baik dengan keluarga atau dengan wanita dalam hidupnya. Semua katanya perlu dipatuhi namun kadang-kala menuntut perhatian yang berlebihan. Begitu pun, Riana masih berasa selamat berada di bawah lembayung taklukan Remie kerana sememangnya lelaki itu mempunyai suatu nilai yang tidak mungkin ditemuinya pada lelaki lain. Nilai cinta dan kasihnya yang terlalu mahal.

"Awak datang jumpa saya ni, dia tak bising ke ?"
"Dia tak tahu saya jumpa awak. Kalau dia tahu, bising jugak."
Riana tersenyum memerhati wajah keruh Irfan. Lelaki ini telah menjadi lemah hanya kerana seorang wanita bergelar isteri. Kalaulah Remie yang berada di tempat Irfan sekarang, mungkin wanita itu telah lama makan hati dan pastinya tidak berpeluang untuk berperangai seperti yang dilakukannya sekarang.

"Pergi mati dengan awak. Suka hati awaklah nak buat apa, nak tinggal kat mana,nak kerja apa…suka hati awak. Besok jadi apa-apa hal jangan tanya saya, jangan salahkan saya."begitulah reaksi Remie mungkin. Egonya sebagai lelaki pantang sesekali dicabar. Dan buat sekian kalinya Riana bersyukur dirinya menjadi isteri Remie dan Remie itu suaminya. Biarlah Remie tidak romantik dan biarlah Remie tidak memanjakannya berlebihan asalkan Remie terus kuat menjadi dirinya sendiri.

Malam tadi Remie tidak balik. Riana dapat mengagak tentu Remie kembali berkepit dengan kekasihnya. Apa yang telah dilakukan oleh perempuan itu ? ugutannya tempoh hari sedikit sebanyak menyeramkan Riana. Dia tahu perempuan itu pasti sanggup melakukan apa saja untuk kembali merampas Remie.

Mengapa dugaan selalu datang dalam hidupnya. Baru saja ingin bahagia, Elly kembali mengganggu-gugat kebahagiaannya. Riana sedar dan amat mengerti, perempuan itu takkan berdiam diri selagi Remie tidak menjadi miliknya seorang. Bagaimana dia hendak menamatkan kemelut ini sedangkan Remie sendiri nampak buntu. Kisah cinta tiga segi ini takkan ada kesudahan sehingga salah seorang dari mereka menjadi mangsa. Ellykah, atau dirinya sendirikah yang bakal menjadi korban…atau mungkinkah Remie.

Namun untuk mengalah tidak sesekali. Dia bukanlah dewi yang berhati mulia rela mengorbankan diri sendiri demi kebahagiaan Elly. Dia isteri Remie sedangkan Elly cumalah seorang kekasih. Dialah yang lebih berhak ke atas Remie. Jauh di sudut hati Riana turut menyesali kemelut yang melanda ini. Andai dia tidak dipertemukan dengan Remie tiga tahun lalu, mungkin Elly dan Remie sedang berbahagia berdua kini. Dan jika dia tidak bertemu Remie, dengan siapakah sepatutnya dia dijodohkan ? Riana beristighfar perlahan. Semua yang terjadi adalah kehendak takdir dan nama Remie memang telah tercatit sejak azali untuk menjadi teman hidupnya.

"Saya ni buang masa awak saja kan. Terima kasih sebab sudi mendengar, tapi saya tahu tak ada siapa yang dapat selesaikan masalah saya ni."
"Jangan cakap macam tu. Kita kan kawan. Masalah awak masalah saya juga. Satu yang saya harapkan, tolonglah bertegas sekali ini. Gunakan hak awak sebagai suami. Awak ketua keluarga, kena ingat tu."

Irfan menganguk lemah. Begitu pun, Riana tidak pasti sejauh mana Irfan akan mengikut saranannya. Kasihan lelaki itu. Isteri yang baru beberapa tahun dinikahi itu mula membuat onar. Gaya hidupnya berubah semenjak menamatkan pengajian di universiti. Enggan bekerja di Kuantan tempat kelahirannya meski pun kerjaya Irfan telah bertapak kukuh di situ. Kalau isteri lain redha mengikut suami ke mana saja, dia pula memaksa Irfan mengikutnya berkerja di Kuala Lumpur. Terpaksalah si suami yang lembut hati itu memohon bertukar ke Kuala Lumpur juga.

Selesai hal kerja, hal lain pula yang menjadi masalah. Dia enggan melahirkan anak dengan alasan kerjayanya baru bermula sedangkan di pihak keluarga Irfan tertunggu-tunggu zuriat dari anak bongsu itu. Itu yang membuatkan emak Irfan semakin tidak betah bersua muka dengan menantu perempuannya nan seorang itu. Sudahlah penampilannya yang semakin hari semakin ranggi dengan baju ketat dan rambut berwarna, selalu pula mengelak kalau Irfan mengajak balik ke Seremban menjenguk keluarganya.

Kini Irfan semakin tersepit antara keluarga dan isteri. Riana turut merasa simpati. Namun apalah dayanya untuk membantu kecuali menjadi pendengar keluh-kesah Irfan yang setia. Dia hanya mampu berdoa agar Irfan sekeluarga terus sejahtera. Jangan sampai nanti tembok keegoan Irfan diinjak sehingga memaksanya melakukan keputusan paling bodoh cukuplah. Riana terasa ngeri sendiri bila memikirkan kemungkinan itu.

Dan pada hari-hari yang seterusnya, Riana menjadi peneman setia di kala Irfan memerlukan bahu untuk bersandar. Seandainya cuma itulah bantuan yang mampu dihulurkan, dia rela melakukannya asalkan dapat memastikan Irfan tidak terus kebuntuan sendirian. Dia pun sudah semakin kesunyian lantaran Remie kini kembali membahagikan masanya untuk perempuan itu. Hatinya sudah tidak mampu menangis.

Pada malam bersejarah ketika dia cuba meninggalkan kondo dahulu, Remie pernah berjanji untuk tidak sesekali meninggalkannya, namun saat itu Riana cukup menyedari bahawa perkara sebegini pasti akan berulang selagi kemelut antara mereka bertiga tidak dihuraikan. Kini terbukti apa yang dikhuatirkannya itu benar belaka. Selagi Remie masih belum membuat keputusan selagi itulah suaminya itu akan terus terumbang-ambing antara dua persimpangan. Sampai bila….sampai bila hatinya akan terus dilukai…

*********************************************


"Yana….sorry. Mie minta maaf ya sayang…Mie minta maaf. "
"Mie tak tahan tengok Yana macam ni. Please…senyumlah Yana. Pandang muka Mie ni."
Namun Riana terus membisu. Remie tertunduk melutut di sisi isterinya yang bungkam di atas sejadah dengan seluruh tubuh berselubung telekung sembahyang. Di ribaannya masih terbuka senaskah al-Quran tetapi Remie tahu Riana sudah tidak menumpu pada pembacaannya lagi. Hanya anak matanya yang merenung kosong ke baris-baris ayat suci tetapi pandangannya telah dikaburi air jernih dari takung mata yang semakin lama semakin banyak membuak dan akhirnya menitis perlahan-lahan ke pipinya.

Remie menghela nafas. Sesungguhnya menghadapi saat-saat begini lebih menyakitkan berbanding kehilangan pelanggan di syarikat. Sejak dia kembali bersama Elly, Riana seakan-akan mengerti sendiri dan langsung tidak bertanya ke mana dia pergi, kenapa tidak pulang tidur di rumah. Malah setiap kali dia pulang ke kondo ini sekembalinya dari apartment Elly, Riana tidak lagi menyambut kepulangannya seperti biasa. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Wajahnya murung menyimpan duka.

Bukan Remie tidak tahu isterinya itu menderita kerananya, tetapi dia sengaja buat-buat tidak mengerti. Tetapi malam ini, hatinya tidak tertahan lagi melihat Riana di rumah sedang mengadu kedukaan kepada Yang Maha Esa dengan linangan air mata sedangkan dia baru saja meluangkan masa bersama Elly. Remie terasa sebal. Diakah seorang lelaki tolol yang tidak tahu diuntung ?

"Yana pandanglah muka Mie. Jangan buat Mie macam ni please…Mie…Mie tak boleh tengok Yana macam ni." Remie terus merayu. Suaranya kedengaran sebik.
"Apa yang saya buat pada awak ?"
Naskah al-Quran ditutup perlahan, dikucup tiga kali dan akhirnya kembali ke tempat simpanannya di atas meja kecil bersebelahan almari pakaian.

Remie menggeleng.
"Yana tak buat apa-apa tapi Mie yang buat. Mie minta maaf sayang, Mie sendiri pun tak tahu kenapa boleh jadi macam ni. Yana Mie sayang….dan…dan Elly pun Mie sayang."
"Kalau sayang dia, pergilah…jangan buat dosa lagi Mie. Ambillah dia. Dia dah tak ada sesiapa lagi yang boleh diharapkan kecuali awak seorang."

"Tapi Yana macam mana ?"soal Remie pula bagai orang dalam kedunguan. Riana tersenyum lirih.
"Lepaskanlah saya. Ambil Elly dan jagalah dia baik-baik. Awak dah lama bersama dia, sayang kalau hubungan tu tak diteruskan. Awak dah jaga saya selama tiga tahun lebih, itu dah mencukupi buat saya. Saya akan berbahagia kalau awak janji nak nikah Elly dan bawa dia tinggal di sini bersama awak."

Mendengarkan itu Remie tersentak bagai terkena renjatan. Tubuh Riana diterpa dan disingkapnya telekung yang menyelimuti tubuh itu. Wajah Riana dipalingkan menghadap pandangannya.

"Apa awak cakap ni ? saya tak boleh terima awak cakap macam tu. Awak tak sayangkan saya ke Yana ? awak betul-betul nak tinggalkan saya ? awak memang tak sayang saya ke ?"soalnya bertubi-tubi dengan wajah cemas.

Riana terus terisak kuat. Sedih. Dia tak pernah melihat Remie secemas itu tetapi apalah dayanya sekarang. Hatinya sudah dipasrahkan dan dilapangkan seluas-luasnya untuk menerima apa saja kemungkinan. Dia tidak ingin lagi terus bermain teka-teki. Dia tahu sampai bila-bila pun Remie tidak akan mampu membuat keputusan kerana sememangnya Remie tidak berupaya untuk meninggalkan salah seorang dari mereka.

Seandainya Elly bertekad untuk tetap memiliki Remie biarlah dirinya saja yang berundur. Bukan dia ingin menjadi wira di sini mengorbankan diri sendiri demi orang lain tetapi menyedari memang perempuan itu lebih berhak ke atas Remie. Dia hanya awan lalu yang muncul secara tiba-tiba di padang yang gersang sedangkan Elly telah lama mengalirkan sungai kasih tak berhenti arus.

Lagi pun dia tidak sanggup membilang dosa Remie kerana mengulit perempuan itu yang belum sah buatnya. Andai dia mengundur diri, akan selesailah segala masalah. Remie dan Elly boleh hidup tenang dan dia sendiri akan meneruskan perjalanan duka hidupnya. Pahit maung hanya sementara. Dia pasti akan bertemu kebahagiaan jua di hujung pencarian. Atau di mana-mana. Segala-galanya diserahkan kepada Yang Maha Esa.

"Yana jawab soalan Mie. Yana cakap apa tadi….Yana tak sayang Mie ke ?" Remie terus mendesak. Riana tidak sanggup menentang pandangan mata itu yang mula berkaca. Tubuhnya terasa tersepit dipeluk Remie.

"Sayang. Yana sayang sangat kat awak. Tapi kita tak boleh terus macam ni. Cuba awak fikir, sampai bila kita nak duduk macam ni ? awak tak takut dosa ke Mie ? dulu awak buat dosa dengan saya, masih tak tertebus. Ini awak tambah lagi dosa dengan Elly. Cukuplah Mie, cukup. Kita tak tahu bila kita akan mati. Yana takut sangat ni…kalaulah tiba-tiba kita mati, macam mana nasib kita di akhirat nanti ? kita banyak dosa Mie…"rintih Riana perlahan dan tersekat-sekat oleh esak tangis.

Remie menghela nafas panjang. Tangannya sibuk menguak rambut Riana dan menyapu titisan air mata yang lebat di pipi Riana dan di pipinya sendiri.

"Please jangan cakap pasal mati Yana. Ok. Ok. Mie janji. Mie buat keputusan sekarang, Mie akan tetap bersama Yana. Esok Mie jumpa Elly, cakap terus-terang yang Mie tak boleh bersama dia lagi. Mie akan tinggalkan dia."

Riana terdiam. Semudah itukah keputusan Remie. Mampukah dia menepis godaan Elly di kemudian hari. Dan semudah itukah Elly berdiam diri melihat Remie terlepas ke tangannya secara mutlak ?

"Dah. Jangan sedih-sedih lagi ya sayang. Mulai hari ni Yana soranglah isteri Mie, ratu hati Mie sampai bila-bila. Jom kita makan. Yana belum makan lagi kan ? Kejap Mie panaskan pizza ya. Tadi sebelum balik Mie ada beli pizza." Riana didorongkan untuk duduk di birai katil. Selepas menyuakannya sikat dan cermin Remie terus bergegas ke dapur sambil menjinjit kotak pizza.

Riana terpaku menyoroti langkah Remie. Bukankah malam ini harus diraikan ? dia pasti peristiwa malam ini tidak akan berulang lagi sepanjang hidupnya. Remie menangis, berjanji akan meninggalkan kekasih yang telah lebih sepuluh tahun didampingi dan yang paling aneh Remie berusaha menyediakan makan malam untuknya biar pun hanya memanaskan pizza yang dingin.

Haruskah dia ketawa atau menyanyi kegembiraan dengan peristiwa yang cuma mungkin berlaku sekali ini saja sepanjang hidupnya bersama Remie. Memang bibirnya ingin tersenyum tetapi rawan di hati masih mendongkol. Riana perlu mengingatkan diri sendiri yang berkata-kata itu tadi ialah Remie, kata-kata yang keluar di bibir tetapi tidak lekat di hati. Bila-bila masa boleh terubah. Selagi belum terbukti, dia tidak ingin mempercayai kata-kata itu.

"Nah. Dinner dah datang. Jom makan sayang. Dah cuci muka ?"
Riana terlopong melihat Remie masuk ke bilik dengan menatang dulang berisi kepingan pizza dan dua gelas jus oren. Meja kecil di sisi katil dipindahkan ke beranda dan Remie menempatkan dulangnya ke meja itu. Riana masih terpaku. Dia sangkakan Remie akan memanggilnya makan di dapur dan dia seperti biasa terpaksa mengelap pisau dan garfu untuk Remie makan, tetapi sebaliknya Remie telah melakukan semuanya sendiri malam ini.

"Pakai baju ni sayang, kat luar tu sejuk."
Kejutan tidak habis di situ. Remie mengambil baju sejuk panjang yang tergantung di dalam almari dan disarungkannya ke tubuh Riana. Uh, peristiwa malam ini benar-benar unik antara banyak-banyak malam yang berlaku dalam hidupnya. Dia boleh menikmati malam ini tetapi usah bermimpi Remie akan melayannya bagaikan permaisuri di lain hari. Sebaliknya hanya dialah yang akan terus melayan lelaki itu bagaikan raja.

"Kenapa Yana ? Tak sedap ke pizza ni ?"
Kepingan pizza kembali ke piring. Riana berlari ke bilik air sambil menekup mulut.Di situ terhambur cairan berwarna coklat kuning dari mulutnya. Remie mengekori.
"Kenapa ni sayang ? Ok tak ni ?"belakang Riana digosok-gosoknya dengan perasaan cemas tidak keruan.

"Pening. Saya pening, saya nak baring."
Cepat-cepat Remie memapah Riana ke katil kemudian bergegas pula ke dapur mendapatkan segelas air suam. Selepas itu diselongkarnya pula laci di almari mencari minyak angin panas.
Sambil menyapu minyak angin ke dahi Riana Remie tersenyum-senyum sendiri.
"Kenapa awak senyum-senyum macam kambing busuk ni?"tanya Riana hairan.
"Muntah-muntah. Pening-pening. Awak pragnant ya ?"

Riana berkerut kening. Mengandung ? Benarkah dirinya mengandung ? Memang bulan lepas periodnya tidak datang, tetapi dia tidak berasa seperti dirinya mengandung. Dia muntah dan loya mungkin kerana perutnya kosong sejak pagi lagi tidak makan apa-apa. Dan sebaik menyuakan pizza ke mulut tadi, aroma bawang putih yang kuat telah mendesak angin dalam badannya melonjak keluar. Tetapi andai benar dirinya mengandung, dialah manusia paling gembira pada malam ini.

"Jomlah ke klinik. Kita check sekarang. Saya tak sabar ni, jomlah…." desak Remie.
Riana tersenyum nipis. Dia juga tidak sabar tetapi dia takut melihat harapan Remie yang menggunung itu. Kalau dia tidak mengandung pasti mereka akan kecewa.

"Tak apalah, saya boleh pergi sendiri esok. Kita tengok esok macam mana ya."pujuk Riana. Remie tersenyum dan mengangguk. Dalam hatinya tidak sabar menunggu esok. Dan esok juga dia akan menemui Elly dan memutuskan hubungan mereka. Biarlah dia menghancurkan sekeping hati Elly asalkan dia tidak menghancurkan dua jiwa, Riana dan anaknya yang bakal lahir. Dia nekad, apa pun yang akan terjadi dia akan terus bersama Riana buat selama-lamanya.

Bersambung......................

try , Khamis, Februari 02, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog