/

Sesuci Hati Isteriku [Episod 20/20] akhir

Hari-hari yang berlalu terasa amat perit buat Remie. Ketiadaan Riana sudah amat menyakitkan, kini dia diseksa pula dengan kehilangan Elly secara tiba-tiba. Tanpa ucap selamat, tanpa kata perpisahan Elly lenyap dari pandangannya sekelip mata.

Remie sungguh keliru. Setiap kali dia ke apartment Elly, mangga besar sentiasa tercatuk kukuh pada palang gril. Malah kunci pintu dan kunci gril yang ada dalam simpanannya sudah tidak boleh digunakan lagi. Elly sudah berpindahkah ? Kalau berpindah mengapa secara tiba-tiba, mengapa dia langsung tidak diberitahu ? Ini bukan cara Elly. Remie tahu benar. Elly tidak akan sengaja melarikan diri daripadanya. Remie lalu cuba menjejaki Elly di kediaman keluarganya. Benar seperti sangkaan kereta yang selalu digunakan Elly ada terletak di hadapan banglo mewah itu. Tetapi Remie tidak dibenarkan masuk. Sewenang-wenang saja dia dihalau pengawal ketika dia cuba bertanya tentang Elly. Nombor telefon bimbitnya juga sudah tidak aktif lagi. Dia cuba juga merisik di tempat kerja Elly tetapi jawaban yang diperoleh langsung tidak sedap didengar. Elly sudah berhenti kerja. Fahamlah Remie, Elly telah gagal memujuk keluarganya untuk berkahwin dengannya. Mungkin juga Elly dilarang untuk berjumpa dengannya sama sekali.

Termenung panjang Remie. Apa yang dirasa sekarang ialah seperti anak kecil yang ditinggalkan ibu. Bingung dan kehilangan punca. Sesungguhnya dia tidak tegar menghadapi ujian ini. Ia terlalu menyakitkan. Satu demi satu kenangan mengimbas mencelarukan fikiran. Kenangan bersama Riana, kenangan bersama Elly. Dia teringat Riana yang setia, yang patuh dan yang paling tulus mencintai dirinya. Dia juga teringat Elly yang manja, yang paling jelita dan mendambakan belaian kasihnya setiap saat. Mengapa kedua-duanya harus pergi dalam masa yang sama di kala dia masih bingung membuat pertimbangan. Mungkinkah ini balasan ke atas sikap tamaknya selama ini. Dia tamak kasih sayang mereka dan enggan melepaskan salah satu dari mereka biarpun keadaan menuntutnya berbuat begitu. Kini kedua-duanya sudah diragut pergi dari sisinya sekelip mata.

Yang tinggal hanya penyesakan berpanjangan. Batin benar-benar terseksa dihantui kehilangan kedua-dua wanita yang paling rapat dan paling dikasihinya. Riana telah pergi tanpa meninggalkan sebarang kesan. Puas sudah Remie mengintip di sekeliling rumah Mimi kalau-kalau Riana menumpang di situ, tetapi usaha seminggunya itu sia-sia belaka. Tanda-tanda kehadiran riana langsung tidak kelihatan. Untuk mengetuk pintu rumah itu dia khuatir Mimi pula yang akan terpinga-pinga bertanya apa masalah. Untuk merisik ke rumah keluarga Riana, dia risau ibu dan ayah mentuanya itu mengesyaki apa-apa pula. Lagi pun dia tidak berapa rapat dengan keluarga mentua. Semenjak menikahi Riana baru beberapa kali saja dia mengikut Riana pulang ke kampung. Selebihnya dia membiarkan rRana bersendirian menjenguk orang tua.

Riana ! Tanpa sedar Remie mendail lagi nombor telefon isterinya itu. Seperti biasa talian tetap beku tanpa pernah diaktifkan lagi. Barulah Remie teringat tangannya sendirilah yang telah menghancurkan telefon Riana. Malah kad SIMnya juga ditinggalkan terdampar di tepi dinding di tempat berakhirnya riwayat telefon itu.

Puas diamuk keresahan sendiri, Remie berusaha mencari apa saja peninggalan Riana yang mungkin boleh memberi klu ke mana Riana membawa diri. Almari pakaian dan kabinet barangan habis diselongkarnya. Tiada apa-apa catatan diari atau buku alamat. Yang ada hanyalah sekeping kertas A4 putih berlipat yang dijumpai di celah-celah fail dokumen peribadi mereka. Diarikah ini ? Rasanya bukan kerana ia hanyalah sekeping kertas dan cuma tercatat beberapa baris ayat. Tetapi setelah membacanya Remie tahu itulah luahan dari sekeping hati yang kecewa. Tiada lain yang mengecewakan Riana kecuali dirinya sendiri yang gagal berperanan sebagai seorang suami, seorang kekasih atau hatta sebagai seorang teman sekali pun. Remie membaca lagi.

Diriku ini bolehlah diibaratkan seperti sebatang pokok getah yang ditoreh setiap hari. Biar pun sakit tapi aku tetap menahan kerana aku hanya mahu berkhidmat untuk dia. Tetapi dia tidak pernah menyedari bahawa torehannya yang tidak menentu itu akan membuatkan aku terluka, sakit dan akhirnya mati. Namun beginilah aku yang tidak mampu lari. Dan memang pun aku tidak mahu lari. Aku rela mati di tangannya.

Akhirnya kertas itu kembali ke tempat asal. Tak sanggup lagi Remie menyeksa batinnya dengan penyesalan yang tidak berpenghujung. Mungkin Riana sudah pun melupakan dirinya. Mungkin Riana sudah pergi jauh dari situ sehingga tidak sudi lagi bekerja di kilang itu, tempat di mana dia yang mengusahakan agar Riana diterima bekerja.

Kalaulah Riana dan Elly kembali semula kepadanya, akan dia letakkan mereka di tempat yang paling mulia di sisinya. Akan dia pastikan kedua-dua mereka bersatu di bawah satu bumbung kasih dan saling mengasihi sesama sendiri. Seharusnya begitu kerana mereka mempunyai hati yang sama yakni hati yang mencintai dirinya.

Tetapi mahukah peluang kedua kembali kepadanya setelah apa yang dia lakukan pada peluang kali pertama. Tiada satu orang di dunia yang sangat bertuah yang mampu memiliki apa yang dihajatkan. Seperti juga diri Remie yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Dia hanya seorang manusia yang sering mempersiakan peluang. Yang pergi tetap pergi dan yang hilang tetap hilang. Remie terus bersendirian menghitung hari demi hari, bulan demi bulan yang berlalu sambil berharap dikembalikan kebahagiaan hidupnya.

Sehinggalah pada suatu petang yang suram, Remie sedang merenung polos ke arah sepasang suami isteri yang sedang melayani anak bermain di taman permainan, kelekaannya dikejutkan oleh deringan telefon bimbit. Belum pernah dilihatnya nombor pemanggil ini. Cepat-cepat Remie menekan butang dan menunggu suara orang di sana. Dalam hatinya hanya berharap dapat mendengar suara Riana atau pun Elly.

"Hei jantan tak guna ! Datang ke Ampang Puteri sekarang. Ambil balik harta kau "
Belum sempat dia membalas apa-apa talian telah pun diputuskan. Terkebil-kebil Remie memandang telefon seolah-olah benda itu telah menggigit cuping telinganya. Harta ? Dia mencari semula nombor itu dan cuba memanggil. Kedengaran suara lelaki yang sama menjawab panggilan.

"Hello. Siapa ni, huh ? Kalau nak cakap cakaplah terus-terang, jangan cakap sekerat-sekerat !"semburnya geram. Sudahlah berani menggelarnya jantan tak guna. Kurang ajar sungguh.
"Kau nak tahu aku siapa ? Aku abang Ellyna Datuk Majid alias Datuk Ayub. Aku takde masa nak berborak dengan kau dalam telefon, yang aku nak kau datang Ampang Puteri sekarang. Aku nak tengok setakat mana hebat jantan yang menjual cinta untuk seks."

Ah, rupanya abang Elly. Tapi mengapa di Ampang Puteri, adakah sesuatu telah berlaku kepada Elly ? Remie segera memecut perdana V6nya ke Hospital Ampang Puteri. Rasanya tidak ingin membazir sesaat pun. Apa sebenarnya yang menimpa Elly. Atau mungkin Elly sudah melahirkan kerana tak salah perkiraannya kandungan Elly sudah pun mencecah lapan bulan.

"Bilik Ellyna Datuk Majid ?"
Dia tercungap-cungap ketika sampai di meja pendaftaran itu. Senyuman manis penyambut tetamu melegakan sedikit lelah akibat berjalan dengan pantas dari tempat meletak kereta.

"Encik ni Zuraimi Ahmad Zaki ?"
"Ya, saya."
"Datuk Ayub sekeluarga sedang tunggu Encik Zuraimi di bilik menunggu VIP di tingkat lapan. Silakan."

Remie bergegas ke tempat yang dinyatakan. Datuk Majid atau Datuk Ayub adalah orang yang sama tetapi dia belum pernah sekali pun bersua muka dengan lelaki itu. Hanya pernah melihatnya beberapa kali di surat khabar dan juga di televisyen. Dia tahu bapa Elly itu orang berpangkat dan terhormat dan dia juga tahu apa kemungkinan yang dihadapinya sebentar lagi. Biarlah. Biarlah apa saja yang akan berlaku kerana dia sudah pun bersedia untuk segala-galanya.

"Hah, sampai pun kau. Ingatkan tak berani nak datang. Papa, inilah orangnya yang bunuh anak papa, yang menganugerahkan gelaran datuk untuk papa buat kali kedua."

Remie pelik. Lelaki ini nampaknya sangat mengenalinya sedangkan dia sendiri belum pernah melihat lelaki ini. Agaknya dialah Fazrul, abang Elly yang telah menelefon tadi. Di situ ada seorang lagi lelaki dalam lingkungan lima puluhan yang memang dicamnya sebagai Datuk Ayub, bapa Elly. Seorang wanita berambut perang berdiri di sisinya. Dan di sebelah wanita itu, seorang wanita Melayu lewat dua puluhan yang mungkin isteri Fazrul. Mereka semua berdiri biar pun di bilik itu terdapat cukup sofa yang kelihatan sangat selesa untuk diduduki. Di wajah mereka tidak terbayang kemesraan menyambut kehadirannya sebaliknya memberi peringatan ada perkara penting yang mahu mereka luahkan sekejap lagi.

"Duduklah, Zuraimi."pelawa Datuk Ayub. Remie menurut. Setelah Datuk Ayub duduk di hadapannya, barulah yang lain-lain turut duduk kecuali Fazrul yang berdiri di tepi tingkap sambil merenung ke luar.
"Kamu tahu apa yang kamu telah buat ?"
Remie mengangguk. Meski pun Datuk ini menyoalnya dengan sopan tetapi dia tetap merasa gementar seolah-olah sedang disoal-siasat kerana telah membunuh seseorang.
"Saya tahu, Datuk. Tapi saya tak tahu apa yang berlaku sekarang. Beritahu saya, mana Elly ? Tolong benarkan saya jumpa dia. Saya mesti jumpa dia."

Datuk Ayub menggeleng perlahan.
"Kalau kamu jumpa dia apa yang kamu nak buat ?"

Datin Marcella pada ketika itu mula berpaling ke arah lain. Begitu juga Nadia. Air jernih tampak bergenang di mata mereka. Remie semakin gelisah.
"Saya nak kahwin dengan dia."

Mereka semua tidak kelihatan terkejut langsung. Malah Datuk Ayub tetap berwajah tenang seperti yang dia mula-mula lihat tadi. Fazrul sahaja yang kelihatan agak gelisah sesekali menekan birai tingkap dengan kuat seolah-olah menahan marah.

"Kalau mengikutkan marah saya boleh buat apa saja terhadap kamu atas apa yang telah kamu buat. Saya boleh dakwa kamu di mahkamah, saya boleh upah orang pukul kamu. Tapi atas dasar menghormati diri saya dan permintaan anak perempuan saya maka saya tak buat apa-apa pada kamu. Sebaliknya kami yang terpaksa berkorban kerana kamu. Terlalu banyak kehilangan. Semuanya kerana kamu."kata Datuk Ayub perlahan. Dia tidak memandang Remie sebaliknya merenung kosong ke depan.

"Nanti dulu, Datuk. Siapa yang halang saya dari bertanggungjawab, siapa yang kurung Elly di rumah ? Saya akui saya bersalah dan saya dah pun bersedia untuk pikul tanggungjawab saya. Tapi Datuk yang tak mahu menerima saya !"luah Remie geram. Adakah dia masih dipersalahkan setelah dibiarkan menderita berbulan-bulan ?

"Ya, sebab kamu dah beristeri. Kami tak suka nak bermenantukan lelaki yang macam kamu yang tidak punya pendirian. Kaki perempuan."
Terbeliak mata Remie mendengarnya. Darah terasa naik ke muka. Melampau benar penilain mereka terhadap dirinya.
"Jadi apa yang Datuk mahu dari saya ?"
"Kamu tidak layak memberi saya apa-apa. Malah saya yang terpaksa memberi kamu hak saya. Apa nak buat, watak macam kamu memang selalunya menang."

Saat itu seorang jururawat membawa masuk seorang bayi yang masih merah dan terus diserahkan ke pangkuan Remie seperti arahan Datuk Ayub. Remie terpinga-pinga.

"Ini anak kamu. Baru saja dikeluarkan dari inkubator kerana lahir tak cukup bulan. Kalau mengikut hati saya takkan saya benarkan kamu sentuh atau pandang pun anak ini. Tapi saya terpaksa serahkan dia di bawah jagaan kamu. Itu permintaan anak perempuan saya."

"Permintaan terakhir. Apa maksud Datuk ? Kalau ya pun tak sukakan saya bagilah saya jumpa Elly sekali. Saya nak jumpa dia."balas Remie dengan agak keras. Saat itu Fazrul datang mendekat sambil jari telunjuknya menuding ke muka Remie.

"Kalau kau nak tahu, adik aku dah meninggal disebabkan kau. Dia jatuh tangga sewaktu cuba nak curi-curi keluar untuk jumpa kau. Apa yang kau buat sampai dia jadi macam tu ?!"

"What?!"
"Ya. Dah seminggu Elly meninggal. She didn't survive ketika doktor buat pembedahan untuk keluarkan bayi ni. Pendarahan terlalu banyak. Anak ini pun nasib baik saja dapat diselamatkan. Kami sendiri pun tak sempat jumpa Elly. Tapi sewaktu dalam perjalanan ke hospital Elly sempat berpesan supaya beri anak ini kepada kamu. Kamu jagalah dia seperti menjaga nyawa kamu sendiri."celah Datin Marcella. Wanita itu kelihatan begitu pasrah kerana sudah kering air mata untuk menangisi nasib anak perempuannya.

"Elly...Elly meninggal ? Datuk bohong ! Tolong bawa saya jumpa Elly sekarang, saya nak jumpa Elly !"
Bayi di pangkuannya tiba-tiba menjerit nyaring. Remie panik. Dia terasa kekok. Seumur hidupnya belum pernah memegang bayi sekecil itu.
"Please, Datuk. Jangan uji saya macam ni. Tolonglah benarkan saya jumpa Elly. Saya nak sangat tengok Elly pegang anak ni. Benarkan saya jumpa dia, Datuk."rayu Remie sungguh-sungguh. Dia sudah tidak malu lagi dengan muka sememeh, air mata bergenang atau apa saja. Yang dimahukannya sekarang melihat Elly tersenyum dan memangku bayi mereka.

"Hei ! Kau tak faham bahasa ke ? Aku cakap Elly dah takde, dah meninggal ! Semua ni kerana kau ! Hei...kau tahu tak, kalau ikutkan hati aku, dah lama aku patah-patahkan tengkuk kau, aku cincang-cincang badan kau sampai lumat. Tapi Elly terlalu sayangkan kau sampai tak benarkan aku sentuh kau langsung. Kalau tidak kau dah lama mati, tahu !"sempat Fazrul menunjal jari telunjuknya ke kepala Remie. Rahangnya berketup-ketap kerana menahan marah. Remie pula tertunduk kaku.

Sukar untuk mempercayai kata-kata mereka sehingga dia bertanya sendiri kepada doktor yang merawat anaknya. Benar bagai dikata, Elly meninggal akibat pendarahan yang banyak selepas terjatuh dari tangka. Bayi itu pula terpaksa dikeluarkan walau pun belum cukup matang. Hari ini saja dikeluarkan dari inkubator setelah seminggu diperam di sana.

Pulanglah Remie ke kediamannya dengan mengendong bayi yang sekejap menangis sekejap diam dengan minda yang merewang entah ke mana. Dia masih mencari-cari kebenaran akan apa yang terjadi. Elly sudah seminggu meninggal...Elly kekasihnya sudah seminggu bersemadi di liang lahad. Dan dia sebagai orang yang paling disayangi Elly, tidak berada di sisi sewaktu perjuangannya antara hidup dan mati, antara nyawanya sendiri dan nyawa anak mereka. Elly ! Tanpa sedar Remie menumbuk dinding dan menarik-narik rambutnya sendiri. Setelah tidak berdaya dia membiarkan dirinya terjelepuk di tepi dinding sambil menangis meratap semahu-mahunya.

Kasihan kekasihku Elly...menderita sehingga ke hujung nyawa. Dan sekarang bagaimana pula nasib Elly. Sudahkah dia disoal Munkar dan Nankir akan amalannya semasa hidup di dunia. Sudahkah dia ditunjukkan azab seksa neraka kerana perbuatan dosanya. Sudahkah badan Elly yang cantik dicucuh dengan besi panas akibat tidak menutup aurat semasa hayatnya. Bagaimana suasana Elly di sana, sempitkah, gelapkah di dalam kubur ? Mengingatkan semua itu Remie semakin kuat meraung dan merintih sambil memanggil-manggil nama Elly. Rasanya mahu saja terjun ke lubang kubur Elly untuk merayu kepada Tuhan agar jangan diseksa kekasihnya. Rasanya mahu mati saat itu juga agar tidak terus merasai racun jiwa yang maha sakit itu.

Detik masa terus berlalu, malam semakin menginjak usia. Remie seakan tersedar dari igauan bila bayi yang dibawa pulang tadi menangis nyaring tanpa berhenti-henti. Segera dia menghampiri bayi yang tergedik-gedik di tengah-tengah katil besar itu. Bayi itu cuma berbungkus kain lampin putih dan berselimutkan kain pelikat kotak-kotak miliknya. Remie meneliti objek di hadapannya itu sungguh-sungguh. Setelah beberapa ketika barulah dia menyedari objek bergerak yang ditatapnya itu adalah anaknya sendiri. Seorang manusia lain yang terhasil dari penurunan zuriatnya.

Lelaki atau perempuan ? Sedari tadi Remie tidak mengetahui anaknya itu lelaki atau perempuan. Tiada sesiapa mengkhabarkan dan dia sendiri terlupa untuk bertanya lantaran otaknya terlalu tepu untuk berfikir tentang apa-apa setelah mengetahui Elly telah pergi dari dunia ini. Dengan cermat Remie merungkaikan kain pembungkus bayinya, dan tahulah dia anaknya itu perempuan. Setelah itu dia tidak tahu bagaimana hendak memakaikannya semula. Remie menepuk dahi. Tiada sebarang persediaan mental dan fizikal, tiada sebarang peralatan bayi bagaimana dia hendak menjaga anak itu sendirian.

Remie mengeluh lagi. Mama tidak sudi membantu memandangkan dia masih belum berjaya membawa Riana pulang. Mahu meminjam pembantu rumah mama pun tidak boleh. Malah cadangannya agar dihantarkan Nana dan Nini ke kondo untuk menemani pada malam itu pun ditolak mentah-mentah oleh mama. Kerasnya hati mama. Kalaulah Riana ada tentu dia tidak perlu cemas begitu. Di mana kau sayang ? Pulanglah, pulanglah......

"What's wrong with you, Remie ? Ini anak siapa ? Wife you mana ? Hey, what's going on here ?"
Suraya benar-benar panik sebaik saja sampai ke kediaman itu. Seorang anak kecil menangis tanpa henti, keadaan bilik tidur tunggang-langgang dan Remie sendiri kelihatan seperti orang kurang waras. Sudahlah tanpa angin tanpa ribut tiba-tiba saja Remie memanggilnya datang ke kondo itu pada tengah malam buta.

Mahu tidak mahu terpaksa dia menenangkan bayi itu yang tidak diketahui kepunyaan siapa. Setahunya Remie belum pun mempunyai anak. Di bilik itu tidak terlihat olehnya sebarang susu atau makanan bayi. Puas dia bertanya kalau-kalau Remie ada menyimpannya tetapi Remie tetap membisu bagai orang hilang punca. Akhirnya Suraya mengambil segelas air mineral dan memasukkannya ke dalam mulut bayi menggunakan hujung jari. Bagai anak burung yang kelaparan, anak itu menganga-nganga minta disuap. Tersentuh benar hati Suraya melihatnya. Barulah Remie tampak sedikit tenang setelah tangisan bayi berhenti.

"Sue you kena tolong I. Tolong I jaga anak ni, please.";rayunya penuh harap. Suraya semakin tidak mengerti.
"Tapi anak siapa ni ? Mana you dapat anak ni, I tak fahamlah."
"Ini anak I...."
Suraya ternganga. Begitulah seterusnya sehingga Remie selesai bercerita. Termenung dia seketika. Patutlah Remie sering hilang tumpuan, sentiasa berwajah muram dan kerap-kali tidak hadir ke pejabat. Ada beberapa kali Remie marah-marah tanpa sebab. Rupanya begitulah cerita. Tiba-tiba Suraya merasakan lelaki di hadapannya itu bukan lagi lelaki idamannya. Mungkin apa yang dirasakan sebelum ini bukanlah cinta tapi lebih kepada perasaan tertarik kepada ciri-ciri luaran Remie. Kalau cinta masakan perasaan itu boleh hilang sekelip mata. Lagi pun dia tidak ingin menggantung harapan yang tak pasti. Hanya yang terhegeh-hegeh menarik perhatian Remie sedangkan lelaki itu tidak sedikit pun menunjukkan tindak balas.

"Ok. I boleh tolong you tapi malam ni saja. Esok you carilah maid atau sesiapa saja untuk jaga anak you. Tapi sekarang you mesti cari susu untuk anak you ni, dia lapar. Mungkin ada di Seven Eleven you carilah sampai dapat."

Remie menjeling jam di dinding. Sudah jam satu pagi mana ada lagi kedai yang beroperasi. Hanya Seven eleven harapannya. Tanpa berniat menjeling cermin muka dia terus mencapai kunci kereta dan melangkah dengan longlai.

"Remie."panggil Suaraya. Langkah Remie terhenti.
"I rasa you patut cari isteri you. Bukan semata-mata untuk jaga anak you tapi untuk diri you sendiri."katanya sayu. Simpatinya memuncak melihat keadaan Remie. Berbeza benar Remie yang dilihatnya malam ini berbanding Remie yang selalu diintainya di pejabat. Remie yang sekarang ini dilihatnya tidak ubah bagai pengemudi kapal yang kepatahan layar. Suraya berdoa agar Remie berjaya meneumi isterinya. Biarlah mereka kembali bahagia bersama kehadiran anak ini dan dia sebagai orang ketiga tidak mahu menangguk di air keruh.

***********************************


"Puan, tolonglah. Demi Tuhan tolonglah terima anak saya ni. Saya tak mampu jaga dia seorang diri. Saya takkan lupakan budi baik puan dan Allah sajalah yang mampu membalas."

"Tenang, encik. Saya tak ada masalah untuk terima anak encik di bawah jagaan Pondok Kasih Ummi tapi saya teringin nak tahu kenapa encik nak hantar anak encik ke sini, kerana tiada orang yang saja suka-suka hantar anak mereka ke rumah anak yatim atau ke mana-mana kalau tidak kerana terpaksa."balas Ummi Nadrah. Pada perkiraannya dari gaya lelaki ini tidak menunjukkan dia kesempitan wang ringgit untuk membesarkan seorang anak.
"Ibunya dah meninggal. Saya terpaksa bekerja."
"Tapi encik boleh mengambil orang gaji atau mengupah sesiapa saja untuk jaga anak encik."
"Tak. Saya tak mahu orang lain jaga. Saya cuma nak cari seorang perempuan yang betul-betul sesuai untuk anak saya. Bila saya jumpa dia nanti saya akan ambil balik anak saya. Puan jangan risau seminggu sekali saya datang jenguk dia."

Ummi Nadrah mengangguk. Kalau sudah begini tidak guna lagi bersoal-jawab banyak kerana lelaki ini nampaknya sudah begitu nekad untuk meninggalkan anaknya di pusat itu. Anak yang baru belajar membuka mata itu bertukar tangan. Buat seketika Remie terdiam merenung anaknya yang kini di pangkuan Puan Ummi Nadrah, pengasas pusat jagaan anak-anak yatim Pondok Kasih Ummi. Sesungguhnya dia tidak ingin melakukan itu tetapi dia tiada pilihan lain. Dia mahu menggunakan setiap saat masanya yang ada untuk mencari Riana sehingga ketemu dan setelah itu barulah dia akan mengambil semula anaknya dari pusat itu.

"Nah puan ambil ini. Gunakan untuk keperluan anak saya dan keperluan seluruh pusat jagaan puan."
Remie menghulurkan sekeping cek yang diterimanya dari Datuk Ayub semasa mereka berjumpa di Ampang Puteri beberapa hari yang lalu.

"Ini bukan untuk kamu tapi untuk cucu saya. Ambil dan anggaplah ini sebagai amanah."agak sinis ayat itu singgah di telinganya sehingga Remie merasa perlu membalas.
"Tentu saja untuk cucu Datuk. Tapi tanpa duit Datuk pun saya masih mampu membesarkan anak saya, janganlah Datuk risau."
Terbakar benar hatinya tetapi mengenangkan orang tua itu adalah bapa Elly maka dia diamkan saja.

"Tapi....tapi jumlahnya terlalu besar."
Ummi Nadrah teragak-agak. Belum ada seorang dermawan yang secara individu menyumbangkan wang sebanyak itu untuk kegunaan pusat jagaannya.

"Tak apa, puan ambillah. Duit ini memang sepatutnya berada di sini."putus Remie. Sekali lagi Ummi Nadrah merenung cek itu. Seratus ribu ringgit Malaysia. Kaya benar agaknya lelaki ini.

Remie meninggalkan pusat itu dengan hati yang bulat. Tunggulah anak, sedikit masa lagi kau akan kembali ke rumah kita bersama mamamu yang baru yang akan mengasihimu sehingga ke syurga. Remie mendengar gema itu di dalam dirinya dan di dalam azamnya.

"Esya ! Esya ! Sini..."panggil Ummi Nadrah kepada seorang pekerja sukarela yang sedng asyik melayan anak-anak bermain di salah satu bilik permainan. Gadis yang dipanggil Esya itu segera datang kepadanya.
"Ya, ummi. Ada apa ?"
"Ni, tengok. Kita dapat seorang lagi anak baru. Umurnya baru seminggu lebih, ibunya meninggal dunia sewaktu melahirkan. Tapi ayahnya orang kaya, derma seratus ribu. Bolehlah kita besarkan pusat ni dan tambah pekerja ya, Esya."beritahu Ummi Nadrah penuh kekaguman.

Gadis itu Cuma mengangguk sambil matanya tidak lepas merenung anak di dalam dukungan. Selaut kasihnya tumpah sebaik saja menyentuh anak itu. Terasakan anak itu terlalu rapat dengannya bagaikan dia sendiri yang melahirkannya.
"Siapa namanya ummi ?"
"Nur Fitrah."
"Nur Fitrah, sayang mama."dikucupnya berkali-kali anak itu dengan kasih yang tak bertepi. Sekejapan saja dia merasakan dia telah mejadi seorang ibu. Ibu yang akan menjaga anak ini sehingga habis usianya.

"Ummi, bagilah anak ini pada Esya. Esya bawak balik ke rumah ya."pintanya penuh harap. Rasanya tidak boleh lagi berpisah dengan anak ini.
"Eh tak bolehlah macam tu Esya. Ayahnya masih ada, setiap minggu akan datang jenguk. Lagi pun Esya kan kerja, nanti siapa yang nak jaga dia bila Esya pergi kerja ?"
"Esya bawalah ke sini. Nanti bila dah habis kerja waktu petang Esya ambillah balik."
"Jadi Esya nak jaga Nur Fitrah seorang, tak nak lagi jaga anak-anak lain di sini ?"
"Bukan macam tu ummi. Esya...Esya cuma rasakan Nur Fitrah dah macam anak Esya sendiri."
"Dan anak-anak yang lain bukan anak Esya ?"
Esya menggeleng perlahan. Ummi Nadrah tersenyum dan menepuk bahunya.

"Ummi tahu Esya sayangkan Nur Fitrah tapi ada baiknya kita jaga dia di pusat ini seperti juga anak-anak yang lain. Setiap hari lepas Esya habis kerja, Esya ada masa dari petang sampai ke malam untuk bersama Nur Fitrah."

Esya mengangguk setuju tapi wajahnya tetap muram. Nur Fitrah dipeluk rapat ke dadanya.
"Esya, Esya.... Sukakan budak-budak tapi dia sendiri tak mahu kahwin. Kalau Esya kahwin dah lama Esya ada anak sendiri."ujar Ummi Nadrah. Dia pelik melihat seorang gadis cantik sanggup secara sukarela berpenat-lelah di pusat itu selepas seharian bekerja di tempat lain. Kalau perempuan muda lain pada usia itu sibuk membina keluarga sendiri tetapi ia tidak berlaku kepada gadis ini.
"Esya suka hidup cara ni, ummi. Selagi berpeluang biarlah Esya terus berbakti setakat mana yang mampu. Lagi pun Esya tak tahu lagi mana nak tuju selepas habis kerja. Ada baiknya Esya buat kerja kebajikan macam ni."balas Esya perlahan.

***************************************


Pagi Ahad itu awal-awal lagi Remie bersiap-siap untuk ke Pondok Kasih Ummi. Dia sudah terlalu rindu kepada Nur Fitrah yang telah seminggu tidak ditemui. Anaknya itu kini pandai tersenyum. Badannya juga sudah bertambah montel setelah beberapa minggu di pusat jagaan itu. Lega hati Remie melihatnya. Semoga Nur fitrah mendapat jagaan yang sempurna sehingga dia membawanya pulang pada suatu masa nanti. Cepat atau lambat, hanya takdir yang akan menentukan selama mana dia memerlukan masa untuk mencari Riana.

"Minta maaf Encik Zuraimi. Kita tunggu sekejap lagi boleh ya."
Ummi Nadrah menjeling jam lagi entah untuk kali ke berapa. Sudah pukul sebelas pagi tetapi Esya tidak sampai-sampai juga. Menyesal pula dia membenarkan Esya membawa pulang Nur Fitrah pagi tadi. Kebiasaannya pada hari Ahad Esya akan datang ke pusat itu pada pukul enam pagi untuk membantu menyiapkan sarapan anak-anak dan akan pulang ke rumahnya dua jam kemudian dengan membawa bersama Nur Fitrah. Pada jam sepuluh pagi dia akan membawa Nur Fitrah semula ke pusat itu kerana bapa anak itu akan datang melawat pada jam dua belas tengah hari. Begitulah yang berlangsung setiap minggu. Ummi Nadrah sama sekali tidak menyangka Esya akan terlambat hari ini dan kebetulan pula bapa budak itu datang awal dari kebiasaan. Cemasnya sudah tidak terkira lagi tambahan pula bila melihat wajah lelaki itu semakin keruh.

"Cuba puan telefon dia. Manalah tahu sesuatu berlaku di rumah."cadang Remie.
"Esya ? Dia tak ada telefon."

Remie menoleh. Manusia apa di zaman ini yang tidak mempunyai telefon. Sudahlah berani membawa anak orang pulang ke rumah. Makcik ini pun tolol benar mengkhianati amanah orang, gerutu hati Remie.

"Macam tu jomlah bawak saya ke rumah dia."
Mahu tidak mahu Ummi Nadrah terpaksa bersetuju bila Remie sudah pun melangkah ke keretanya. Setelah memaklumkan kepada beberapa orang pembantu, dia ikut bolos ke dalam Perdana hitam yang sudah pun dihidupkan enjinnya. Mujur juga dia pernah beberapa kali ke rumah Esya sebelum ini. Remie hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Ummi Nadrah sedia maklum lelaki itu sudah marah.

Sebaik sampai ke hadapan sebuah rumah teres dua tingkat yang ditunjukkan, Remie dengan cepat memberhentikan kereta dan menerpa ke pintu pagar. Dia kenal benar kereta Kancil merah yang tersadai di depan rumah itu. Nombor pletnya sudah hafal benar di dalam kepalanya. Setelah mendapati pintu pagar tidak berkunci Remie bergegas pula ke pintu rumah dan diketuknya pintu itu sekuat hati. Ummi Nadrah mengkiut dari belakang kerana menyangka Remie mahu memaki-hamun Esya.

"Yana ! Yana ! buka pintu , Mie datang ni. Cepat buka pintu, Yana."
Sebentar kemudian kedengaran pintu dibuka dari dalam dan demi saja melihat orang yang membukakan pintu, Remie tidak dapat menahan dirinya daripada memeluk dan mencium orang itu bertalu-talu. Orang itu pula tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut dan di muka pintu Ummi Nadrah tercengan-cengang.

*******************************************


"Saya nak tanya awak satu soalan yang tak pernah saya tanya. Selain dari saya dan Elly siapa lagi perempuan yang ada dalam hidup awak ?"
"Mama, Nana, Nini, Fifi."
"Hei betul-betul la..."
"Takde."
"Takde ? Awak jangan nak tipu, kalau tak saya tak nak ikut awak balik."
"Sumpah takde."
"Habis tu budak yang kat opis awak tu ?"
"Siapa ? Sue ?"
Riana mencebik. Sue konon !

"Oh budak tu. Lorrr....dengan dia pun awak nak jelous ke ? Entah apa-apa la awak ni. Sue tu anak buah Rahmat, takkan saya nak ada apa-apa dengan dia pulak. Memang dia nak rapat dengan saya tapi saya buat dek je, tak pernah pun sentuh dia."
"Tak pernah ? Betul ?"
"Betul. Dia je selalu sentuh saya."
"Ha?!"
"Adui....adui...oit sakit la...ish...main-main pun dah boleh ke ?"
"Nak main-main tunggu lain tahun."
"Awak percaya tak saya nak tujukan satu lagu untuk awak ?"
"Percaya...tapi lagu apa ?"

Remie memasang satu pita lagu yang kelihatan agak lama pada pemain di dalam keretanya. Suara Nash mula kedengaran.

Tuhan sengaja menduga kita
Di mana kesabaran manusia
Engkau isteri yang ku sanjungi
Lambang semangat cinta dunia


Pasti engkau terkenangkan
Peristiwa semalam
Saatku menggadaikan cinta
Pada onak dan duri asmara


Entah di mana akal fikiran
Hingga sesat di jalan yang terang
Ini suratan yang diberikan
Menguji kekuatan jiwa


Waktu engkau ku lupakan
Dalam kemarau panjang
Betapa hatimu rela
Demi melihatku bahagia


Kau menahan segala siksa
Di hati hanya berdoa
Mengharapkan aku kan pulang
Agar terang cahaya


Ku yang hanyut di arus dosa
Di laut ribut melanda
Dan berenang ke pelabuhan
Kasih sayang sebenar


Air mata cinta darimu
Ku menjadi rindu
Pada syurga di wajahmu
Tiada tanda kau berdosa


Biar aku cium tangan mu
Membasuh lumpur di muka
Ku yang hanyut berarus dosa
Di laut ribut melanda


Kau menahan segala seksa
Di hati hanya berdoa
Ku berenang ke pelabuhan
Mencari cinta sebenar


Kan ku tahan apa hukuman
Di hati hanya berdoa
Biar aku cium tangan mu
Sekali lagi bersama


Bukan sekali jalan berduri
Hanya tuhan yang pasti
Mengerti...


"Waaa...jiwang la awak. Sekarang dah pandai ya."
"Jiwang tak jiwang tapi saya betul-betul insaf bila dengar lagu ni. Waktu tu saya tengah pening kat mana nak cari awak, tiba-tiba kat radio keluar lagu ni...."
"Tape ni mana dapat ?"
"Sue punya."
"Apa ?!"
"Elleh...macamlah tak dengar. Sue punya. Saya pinjam dari dia. Hei, dia suruh saya cari awak tau, lepas tu dia suruh saya nyanyikan lagu ni bila jumpa awak nanti."
"Rapat awak dengan dia eh ?"
"Mesti la rapat."
"Awak jangan mengada-ngada....saya tak nak ikut awak balik rumah ni kang."
"Ah sudahlah awak, dari tadi tak nak ikut, tak nak ikut....tu nampak tu. Kondominium Sri Bayu, dah sampai rumah pun. Tapi kan, waktu kemas-kemas barang awak tadi saya rasa macam ada kurang satu barang la."
"Apa ?"
"Hamster awak. Awak dah tak bela binatang tu lagi ke ?"
"Tak. Sebab dia mengingatkan saya pada hari awak halau saya dari rumah.....saya tak nak ingat, saya tak nak tengok hamster lagi."
"Sorry sayang..."
Tangan si isteri digenggam erat.
"Takpelah. Lagi pun saya ada yang lain nak bela."
"Apa pulak tu ?"
"Ni....."
Pandangannya jatuh ke pangkuan Riana. Nur Fitrah tersenyum-senyum bagai mengerti.
"Thank you sayang. Tak sangka awak baik sangat. Anak saya dengan Elly pun awak tak kisah nak peluk, cium...."
"Anak awak kan anak saya jugak. Saya sayang Fifi, sayang sangat-sangat...."

Ketika mereka memasuki kawasan kondominium Sri Bayu, Riana menahan nafas. Di sini hatinya pernah terluka namun dia tetap kembali bagai tak pernah merasai perit luka itu.

"Yana, inilah rumah kita, syurga kita. Sebagai jaminan saya takkan buat kerja bodoh macam dulu, nah awak ambillah ni."
Geran unit kondo yang tercatat namanya itu membuatkan Riana terkedu beberapa saat.
"Kenapa awak buat macam ni ?"
"Sengaja saya tukar kepada nama awak supaya saya tak boleh halau awak dari rumah ni walau macam mana marah sekali pun."
"Kalau saya yang halau awak ?"
"Ermmm...tak. Awak takkan pernah halau saya. Awak lagi peluk-peluk saya adalah."
Mereka ketawa mesra. Nur Fitrah pula terlena di ribaan. Remie buat seketika merenung sayu ke wajah kecil yang comel itu. Dia kini bahagia tetapi tetap terkenang nasib Elly di sana. Kadang-kala bayangan Elly mengganggu tidurnya.

"Mie."
"Malam ni kita sembahyang sama-sama. Lepas tu kita bacakan surah Yasin untuk Elly. Boleh ?"

Remie sebak mendengar permintaan itu. Perkara itulah yang difikirkannya sesaat lalu tetapi Riana dulu yang menyuarakan. Dia meraih tangan kanan Riana lalu mencium tangan itu lama-lama. Tiada perkataan yang dapat meluahkan kesyukurannya dengan rahmat ini.
"Yana, terimalah saya sebagai lelaki yang paling jahat dalam hidup awak, yang mengaku lemah dan mencintai awak sebanyak-banyaknya. Hukumlah saya kalau awak rasa itu perlu untuk menebus kesalahan saya yang dulu. Buatlah apa yang awak nak buat pada saya. Saya rela menjadi kuli awak selama-lamanya."

Riana tertawa kuat. Sudah lama dia tidak mampu ketawa dan hari ini Remie si lelaki angkuh itu bermuka toya memohon simpati.
"Ermmm...kuli saya ya ?"
"Yalah, tapi sebelum tu tolong saya dulu boleh ? Ni cadar ni....dah lama saya tak tukar dah rasa gatal-gatallah, tak selesa pulak nak baring. Tolong tukarkan yang baru, jap lagi saya nak rehat sikit. Penat betul rasanya."kata Remie selamba. Riana menggeleng sambil terus bergerak ke almari pakaian mencari cadar bersih. Ya, seorang kuli meminta tuannya menukarkan cadar untuk berbaring-baring sekejap lagi. Dalam hati Riana tersenyum lucu. Nampaknya dia tidak akan pernah layak untuk menjadi tuan dan Remie tidak sesuai langsung menjadi kulinya. Tetapi dia tetap bangga menjadi tuan yang diperhambakan kuli. Memang beginilah hidupnya di samping seorang kuli bernama Zuraimi Ahmad Zaki.

--- TAMAT ----

try , Khamis, Februari 02, 2006 | 3 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

3 ulasan :

  1. saya suka baca cerpen ni sebab ianya ada unsur2 keinsafan dan keromantikkan hidup berumahtangga apabila terbitnya kasih sayang antara suami isteri........

    BalasPadam
  2. cerita nie paling sedih sekali dan ia amat menginsafkan pada sesiapa yg pnah berbuat demikian.. semulia-mulia perempuan,lagi mulia perempuan yg bergelar isteri...

    BalasPadam
  3. isteri itu anugerah allah.,.
    sedarlah para suami sekalian.,.

    BalasPadam

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog