KUALA LUMPUR, 1 April 2013 - Tidak ramai masyarakat tertarik dengan barang yang terpakai. Sesetengah pula mahu mengetahui sama ada kualiti barangan terpakai itu dijamin baik atau merasa tidak selesa untuk mengguna barang yang pernah dipakai oleh seseorang.
Namun, apa yang mereka tidak sedar adalah tujuan di sebalik penjualan barang seumpama.
Kebelakangan ini, tercetus satu pendekatan kreatif yang diterajui oleh badan-badan bukan kerajaan, bagi mempelbagaikan kaedah dalam aktiviti mengumpul dana. Kaedah yang dimaksudkan adalah penubuhan kedai-kedai amal yang berteraskan konsep membeli sambil menderma.
Dengan menawarkan harga yang rendah, kedai amal ini menjual pelbagai jenis barangan terpakai hasil sumbangan orang ramai dan barangan yang diwakafkan oleh para pengusaha kedai kerana tidak terjual.
Namun, akibat daripada stigma barang terpakai, kedai-kedai amal ini berhadapan dengan cabaran untuk menjalankan perniagaan mereka, sekalipun perniagaan mereka ini bukanlah bertujuan mendapat keuntungan.
Antara perintis kepada penubuhan kedai amal ini ialah dua organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu Islamic Relief Malaysia (IRM), yang menubuhkan "Charity Shoppe" dan Aman Palestin Berhad dengan ‘Kedai Amal Aman Palestin’.
TUJUAN PENUBUHAN KEDAI AMAL
"Kalaulah anda semua dapat lihat apa yang telah saya lihat," kata Pengarah IR Malaysia, Dr Zairulshahfuddin Zainal Abidin di hadapan kira-kira 30 peserta Kursus Induksi Sukarelawan anjuran IRM di bandar baru Bangi baru-baru ini.
Menurutnya, cara pemikiran masyarakat di Malaysia terhadap isu-isu kemanusiaan adalah berpaksikan kepada perspektif penderma, bukan penerima bantuan.
Beliau mengakui bahawa niat para penderma adalah bagus. Bagaimanapun, mereka harus diberi pendedahan mengenai keperluan mereka yang terlibat dalam konflik ataupun bencana alam.
"Contoh terdekat adalah ketika berlakunya tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, yang menimpa Madrasah At-Taqwa pada 21 Mei, 2011. Setelah diteliti, penghuni Madrasah At-Taqwa itu sebenarnya hanya memerlukan pakaian sekolah.
"Contoh lain adalah kanak-kanak miskin di Pakistan. Mereka memerlukan bekalan air bersih untuk kegunaan harian. Jadi sumbangan yang diberikan mestilah boleh membantu untuk melaksanakan projek bekalan air bersih," jelasnya.
Menurutnya lagi, peranan kedai-kedai amal ini penting untuk membantu mereka yang ingin memberi sumbangan dalam bentuk barang terpakai.
"Jadi, bagi sesiapa yang ingin menyumbangkan pakaian atau sebagainya, tetapi tidak pasti jika mereka memerlukannya atau tidak, barang itu bolehlah disumbangkan ke kedai-kedai amal untuk dijual dan hasil jualan akan disalurkan kepada misi bantuan kemanusiaan," tambahnya.
CHARITY SHOPPE
Bakal menyambut ulang tahun pertama penubuhannya pada 21 April ini, Charity Shoppe memberi tumpuan kepada tiga golongan iaitu mereka yang mempunyai banyak barang, golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dan golongan asnaf dan fakir miskin.
Pengurus Charity Shoppe, Datin Norelan Ismail berkata IRM menjalankan aktiviti jualan barang terpakai sebelum kedai "Charity Shoppe" ditubuhkan.
"Pada waktu itu, semua barang yang dikumpul, disimpan di rumah saya sebelum dijual di tapak-tapak ekspo. Suami saya membina sebuah bangsal untuk dijadikan ruang menyimpan barang," jelas beliau.
Menurut beliau, barang berkenaan hanya dipindahkan keluar setelah Islamic Relief Worldwide (IR), yang beribu pejabat di Birmingham, United Kingdom, mewakafkan sebuah bangunan kedai di bandar baru Bangi kepada IRM.
Norelan berkata, barang terpakai masih ada nilai untuk dijual dan tidak menjadi masalah jika orang ramai diminta untuk menyumbang barang yang tidak lagi diingini.
TIDAK MEMINTA-MINTA
"Jika sebuah badan kebajikan meminta sumbangan dalam bentuk wang ringgit, pastinya permintaan itu akan difikirkan dua atau tiga kali. Tapi, kalau minta mereka sumbangkan barang yang tidak diguna lagi, mudah untuk mereka memberinya," ujar beliau.
IRM tidak mahu dilihat sebagai sebuah badan kebajikan yang hanya meminta sahaja sebaliknya masyarakat perlu dididik mengenai perkara ini dan mentaliti mereka terhadap barang terpakai yang dijual di kedai-kedai amal perlu diubah.
"Mereka juga perlu tahu membezakan barang yang hendak dibuang, dan barang yang ingin mereka sumbangkan untuk tujuan kebajikan. Kuncinya adalah menyumbangkan barang yang mereka sayang, bukan barang yang tidak mahu.
Datin Norelan turut menekankan bahawa orang ramai perlu tahu bahawa misi bantuan kemanusiaan IRM melibatkan penerima manfaat di dalam dan luar negara.
"Kutipan dana yang dijalankan akan disalurkan terus kepada dana am, yang akan menampung kos bagi projek-projek yang sedang berjalan di dalam dan luar negara," katanya.
Antara projek yang sedang dijalankan di Malaysia ialah "Give of Hope", "Ramadan Relief", e-Khairat dan "Back to School".
KEDAI AMAL AMAN PALESTIN
Bagi Penyelia Jualan, Mohd Azmir Samadi, kedai yang ditubuhkan atas inisiatif Aman Palestin (AP) Berhad ini tampil berbeza dengan mengetengahkan konsep perjuangan pembebasan Palestin, di samping menjual barangan terpakai.
Ia menjual barangan kraftangan yang dihasilkan oleh kaum ibu dan golongan pemuda di Palestin seperti rantai kunci, bendera kecil, bekas tisu, hasil sulaman, mafla dan Al-Qur’an Palestin.
Dibuka pada Januari lepas, kedai ini turut menjual barang dengan konsep perjuangan pembebasan Palestin yang dihasilkan di Malaysia seperti kemeja-T, lencana, mafla, rantai kunci, pelekat kereta dan buku ilmiah.
"Kami ingin mendidik rakyat Malaysia akan semangat perjuangan penduduk Palestin untuk meneruskan kehidupan di sana meskipun menghadapi pelbagai jenis sekatan," ujar Azmir.
Azmir berkata, bajet untuk pembelian kraftangan dari Palestin adalah di bawah peruntukan AP Berhad dan akan dibeli sewaktu penganjuran misi ke Gaza.
Beliau juga memaklumkan bahawa bajet yang diperuntukkan oleh AP adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia, dan sebagai penjaga amanah, AP menggunakan wang sumbangan ini serta hasil jualan di kedai amal hanya untuk kebajikan rakyat Palestin.
"Lima puluh peratus daripada hasil jualan kedai amal ini bukan sahaja akan disalurkan ke Gaza, tetapi juga ke Tebing Barat, Utara Lubnan, dan Syria.
Manakala 40 peratus akan disalurkan ke tabung am bagi menampung projek-projek kebajikan di Malaysia," jelasnya.
Menurutnya, hanya 10 peratus daripada dana ini digunakan bagi tujuan operasi dan pengurusan kedai amal ini.
Azmir berkata lagi, melalui penubuhan kedai amal ini, Aman Palestin berharap ia dapat menyedarkan rakyat Malaysia agar bersyukur di atas nikmat kemakmuran dan kebebasan yang sedang dinikmati.
"Kita juga ingin menggalakkan aktiviti kebajikan dalam kalangan rakyat Malaysia, tidak kira melalui pembelian ataupun sekadar sumbangan barangan terpakai," ujarnya.
BAGAIMANA SAMBUTAN PENGUNJUNG?
Bagi suri rumah dari Bangi, Norhazlina, 43, berbelanja di Charity Shoppe adalah satu daripada cara untuk beramal di samping sebagai pendekatan yang kreatif untuk menggalakkan orang ramai memberi sumbangan.
"Bila orang tak perlukan sesuatu barang, kita boleh jual pada harga yang lebih murah. Pada masa yang sama, duit itu boleh digunakan untuk membangunkan ummah," tambah beliau.
Sementara itu, seorang pengunjung di Kedai Amal Aman Palestine, Nurul Amalina Noor Azmi, 26, mengakui barang yang dijual memenuhi kehendak pembeli, terutama yang beragama Islam kerana terdapatnya buku-buku Islam dan pakaian muslim dan muslimah.
Selain teruja dengan harga yang murah, beliau juga merasa bertuah kerana berpeluang melihat sendiri hasil kraftangan penduduk.
"Ini melambangkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan dan bangkit melawan kezaliman Israel. Saya seolah tidak percaya yang negara mereka sedang bergolak," ujarnya lagi.
Bagi yang ingin memberi sumbangan atau membeli sambil beramal, atau ingin melihat hasil kraftangan penduduk Palestin, bolehlah berkunjung di kedua-dua kedai amal berkenaan di lokasi-lokasi berikut:
· Islamic Relief Charity Shoppe: A-05-1, Paragon Point, Jalan Medan PB5, Seksyen 9, Pusat Bandar, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
· Kedai Amal Aman Palestin: No.2-G, Jalan Putra 6, Taman Putra Kajang, 43000 Kajang Selangor.
- Bernama

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

Seorang Surirumah Sepenuh Masa

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "