Dua perkara asas yang mesti diberi perhatian di dalam membicarakan hubungan Muslim terhadap Rasulullah adalah al-hubb (cinta) dan al-ittiba’ (ikut).
T |
idak dapat dinafikan bahawa nikmat Islam yang dikecapi sekarang ini adalah hasil perjuangan gigih yang penuh cabaran dan ujian yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan generasi hebat terdahulu.
Jasa besar oleh insan mulia ini tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja. Apatah lagi oleh mereka yang mengaku sebagai umat Muhammad. Maka pelbagai cara dilakukan dan diamalkan dalam usaha untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah, terutamanya bersempena dengan bulan kelahiran Baginda.
Tanggal 12 Rabiulawal, pelbagai sambutan dan perayaan diadakan demi mengingati kembali tarikh kelahiran Nabi Muhammad. Di Malaysia, pada tanggal ini diadakan majlis secara besar-besaran, walaupun terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan ulama tentang tarikh yang tepat kelahiran Rasulullah.
Maklumat yang masyhur dan tersebar dalam kalangan kita ialah pada 12 Rabiulawal. Pendapat lain menyatakan bahawa tarikh yang tepat bagi kelahiran Rasulullah ialah pada 9 Rabiulawal tahun gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi. (Lihat: al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (al-Mansurah: Dar al-wafa’, cet. 2, 2000), hal. 71).
Namun begitu, perbezaan tarikh ini bukanlah menjadi persoalan utama. Apa yang penting ialah masing-masing telah berusaha untuk menunjukkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah dan ia diterjemahkan dengan cara mengadakan sambutan ini. Diharapkan semoga masing-masing melakukannya tidak dengan tujuan lain kecuali untuk tujuan kebaikan dan mendapat balasan daripada ALLAH.
Sesungguhnya tidak diragukan lagi bahawa perasaan kasih dan sayang kepada junjungan mulia Muhammad wujud di dalam sanubari setiap individu Muslim yang sempurna imannya. Namun, adakah ianya sama dengan perasaan kasih dan sayang seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Baginda?
Tidak syak lagi, para sahabat adalah golongan yang paling mencintai dan menyayangi baginda. Kecintaan dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah telah dibuktikan. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi mentaati Rasulullah. Senang dan duka dikongsi bersama.
Dugaan dan rintangan diharungi semua. Harta benda menjadi infak utama. Hatta nyawa menjadi galang gantinya, asalkan risalahnya dijaga dan terpelihara. Golongan inilah yang telah diberi pengiktirafan oleh Rasulullah sebagai golongan yang terbaik. Sabda Rasulullah (yang bermaksud): “Sebaik-baik manusia adalah yang berada di kurunku (para sahabat), kemudian yang menyusuli mereka (para tabiin), kemudian yang menyusuli mereka (tabi’ al-tabiin)”. (Riwayat al-Bukhari)
Golongan yang paling mengasihi dan menyayangi Rasulullah ini juga telah menunjukkan contoh teladan, bagaimana mereka menterjemahkan kasih sayang mereka itu, sama ada ketika hayat Rasulullah mahu pun setelah Baginda wafat.
Justeru, adalah menjadi tugas kita untuk menyemak kembali adakah amalan yang kita lakukan sekarang ini dengan tujuan menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah sama seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Baginda? Sekiranya ia bertepatan, maka teruskanlah dan sebarkanlah.
Tetapi jika sebaliknya, maka adalah lebih baik dan utama untuk diberhentikan. Jadikanlah para sahabat Baginda ini sebagai golongan teladan. Ianya akan pasti membawa kita ke jalan kebenaran.
Justeru, persoalan yang terpampang di hadapan kita ialah; adakah cukup untuk kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah hanya dengan melakukan perarakan sempena Maulid al-Rasul? Atau ia hanya sekadar untuk memenuhi takwim kalendar tahunan? Atau untuk menunjukkan adanya perlaksanaan syiar Islam? Atau untuk menghabiskan peruntukan kewangan tahunan? Atau sebagai salah satu faktor kemajuan pelancongan? Atau untuk mendapatkan sokongan dan pujian? Jika semua persoalan ini jawapannya ialah ”tidak”, maka apa yang perlu kita buktikan?
Apa yang perlu kita buktikan ialah apa yang telah dibuktikan oleh para sahabat dan generasi cemerlang terdahulu. Kecintaan mereka kepada Baginda dibuktikan dengan mengikuti dan mengamalkan sunnah baginda. Kita yakin dan percaya bahawa kecintaan mereka kepada Rasulullah adalah jauh lebih tinggi daripada kita, walaupun mereka tidak pernah meraikan hari kelahiran Baginda ini.
Cinta dan ikuti (al-hubb wa al-ittiba’)
D |
ua perkara asas yang mesti diberi perhatian di dalam membicarakan hubungan Muslim terhadap Rasulullah adalah al-hubb (cinta) dan al-ittiba’ (ikut). Kedua-dua elemen ini mesti wujud secara beriringan di dalam diri seorang Muslim.
Tidak cukup untuk seseorang menyatakan perasaan cintanya terhadap Rasulullah tanpa mengikuti sunnah baginda. Begitu juga sebaliknya jika seseorang itu mengikuti ajarannya tanpa ada perasaan kasih dan sayang kepada baginda.
Sejarah Islam telah membuktikan wujudnya dua golongan ini.
Pertama: Abu Talib, bapa saudara Rasulullah, adalah antara manusia yang paling mencintai Nabi Muhammad. Abu Talib pernah memelihara Baginda setelah kematian ibu bapanya.
Dialah juga antara peribadi penting yang telah mempertahankan Rasulullah daripada ancaman kafir Quraish semasa menyebarkan dakwah di zaman permulaan Islam. Namun, sayang sekali, walau begitu tinggi kasih sayang Abu Talib kepada anak saudaranya, namun ianya tidak diiringi dengan mengikuti ajaran yang dibawa olehnya.
Maka natijahnya, Abu Talib tetap termasuk di dalam golongan mereka yang tidak beriman.
Kedua: Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan ketua golongan munafik. Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi Muhammad.
Namun, ikutannya ini tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada baginda. Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi Muhammad. Tindakan munafik ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan kasih sayang di dalam diri terhadap Rasulullah.
Justeru, hubb dan al-ittiba’ ini mesti digandingkan dan wujud selari demi memastikan kesempurnaan iman kita terhadap Rasulullah.
Anas bin Malik melaporkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: ”Tidak beriman dikalangan kamu sehinggalah aku lebih dicintainya melebihi ayahnya, anaknya dan manusia sekaliannya”. (Riwayat al-Bukhari)
ALLAH juga telah menetapkan bahawa taat dan ikuti Rasulullah ini merupakan tanda taat dan patuh kepadaNya, maka ia adalah lebih utama untuk membuktikan kecintaan kepada baginda sendiri. Firman ALLAH yang bermaksud: ((Katakanlah (wahai Muhammad) Sekiranya kamu mencintai ALLAH, maka ikutlah aku, nescaya kamu akan dikasihi ALLAH dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu)). (Ali Imran: 31)
Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ”Ayat ini merupakan kayu ukur kepada sesiapa yang mendakwa mencintai ALLAH tetapi tidak berada di atas jalan Muhammad, bahawa sesungguhnya dia adalah dusta di dalam dakwaannya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad di dalam keseluruhan percakapan dan amalannya”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Damsyiq: Dar al-Fiha’, Cet. 2, 1998 ), 1/477)
Mari kita bersama-sama muhasabah diri ini sejauh mana perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah. Janganlah perasaan cinta kepada kebesaran dunia, kaum keluarga, harta benda, pangkat dan kedudukan mengatasi perasaan cinta kepada ALLAH dan RasulNya.
Seterusnya, cinta ini perlulah diiringi dengan menuruti jejak langkah Baginda dan mengamalkan sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan kepada kita. Semoga dengan perasaan cinta dan ikutan kita kepada Rasulullah ini menjadi penolong untuk kita bersama-sama dengan Baginda di syurga kelak.
Amin.
*Oleh A RAZAK MUTHALIB, Sinar Harian, 25 Januari 2013
*Penulis adalah Perunding Latihan dan Motivasi di RK Training & Management

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
Nama Penuh saya ialah Cik NiNe Binti Che Kadir, saya menggunakan nama pena C9 dan Cik 9P. Mulus

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "