RINITIS ALERGI... membran hidung pesakit mengalami keradangan dan membengkak.
HIDUNG tersumbat, gatal, bersin dan mata berair - keadaan itu tentu menimbulkan rasa kurang selesa dan sering disangka petanda hendak demam. Namun, ciri ditunjukkan bukan demam biasa tetapi antara gejala mereka yang mengalami demam alergi.
Istilah lain bagi ketidakselesaan itu ialah alahan hidung atau rinitis alergi iaitu keadaan yang menyebabkan membran hidung pesakit mengalami keradangan dan membengkak kerana sensitif terhadap satu atau beberapa bahan alahan.
Dianggarkan, hampir 1.4 bilion penduduk dunia mengalami gangguan alahan dan peratusan kejadian itu semakin meningkat, menjadikan ia antara masalah perubatan kronik paling lazim di dunia. Malah, kes alahan hidung di rantau Asia Pasifik juga semakin meningkat dalam tempoh 10 tahun ini.
Di Malaysia, rinitis antara penyakit yang sering dihidapi dan menjejaskan 40 peratus penduduk. Alahan adalah punca utama rinitis di kalangan pesakit kanak-kanak dan pertengahan usia membabitkan 80 peratus.
KESEDARAN... kempen Hentikan Bersin, Hapuskan Gatal yang memberi kefahaman orang awam mengenai alahan hidung.
Bagaimanapun, di kalangan pesakit lebih berusia, hampir separuh menghidap rinitis alergi manakala selebihnya mengalami gangguan bukan alergi.
Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Prepageran Narayanan, berkata ada dua jenis alahan hidung yang utama iaitu gejala yang berlaku sekali sekala dan gejala yang berlarutan.
“Alahan hidung sekali sekala berlaku kurang empat hari seminggu atau kurang empat minggu berturut-turut, manakala alahan hidung berlarutan berlaku lebih empat hari seminggu dan lebih empat minggu berturut-turut,” katanya.
Menurutnya, anasir paling lazim menyebabkan alahan hidung ialah bahan di luar rumah seperti kulat, pokok, rumput atau debunga rumpai manakala antara bahan di dalam rumah yang menyebabkan alahan ialah habuk, hama permaidani, bulu binatang, najis lipas dan kulat serta makanan pedas. Selain itu, ada pesakit yang sensitif dengan keadaan sejuk, perubahan cuaca atau makanan tertentu.
“Pendedahan terhadap bahan itu menyebabkan individu terbabit mengalami hidung tersumbat, gatal, bersin, berlendir atau mata berair. Rinitis alergi dan resdung ada kaitan antara satu sama lain kerana rinitis alergi menyebabkan hidung tersumbat dan seterusnya menyebabkan resdung.
“Resdung ialah radang pada lapisan bahagian dalam hidung yang boleh menyebabkan akut atau kronik. Apabila resdung menyebabkan hidung tersumbat dan dipenuhi cecair (lendir), kuman mudah membiak dan menyebabkan gejala seperti sakit kepala dan rembesan kuning dalam hidung.
“Hidung tersumbat akibat resdung mungkin berpunca daripada kesejukan atau polip dalam hidung (ketumbuhan),” katanya.
Menurutnya, apabila antigen ditemui, sistem imun pesakit alahan hidung akan menghasilkan histamin lalu menyebabkan timbulnya gejala alahan.
Kaji selidik dijalankan antara 2009 hingga 2010 di lapan negara Asia Pasifik mencatatkan, daripada 491 kediaman yang ditinjau di Malaysia, 41 peratus kanak-kanak menghidap alahan hidung bermusim manakala 48 peratus menghidap alahan hidung perenial. Ini ketara berbanding 37 peratus orang dewasa yang menghidap alahan hidung bermusim dan alahan hidung perenial.
Kaji selidik sama mendapati, kebanyakan peserta menyatakan alahan hidung menjejaskan mutu hidup mereka dan menyebabkan kemerosotan prestasi sekolah, prestasi kerja dan produktiviti, terutama apabila gejala serangan alahan hidung mencapai tahap paling teruk.
Produktiviti dan mutu hidup juga mungkin terjejas apabila pesakit alahan hidung cuma merawat diri sendiri dan memakan ubat atau bahan antihistamin yang menjejaskan tidur.
Dr Prepageran berkata, penting untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan betul.
Alahan hidung yang dapat dibezakan dengan influenza biasa dengan tepat dan diuruskan dengan berkesan membolehkan pesakit meneruskan aktiviti harian dengan gangguan minimum.
“Pesakit diminta tidak menggunakan ubat selesema yang dipilihnya sendiri apabila mengalami alahan hidung, sebaliknya berjumpa doktor bagi mendapatkan diagnosis dan ubat betul supaya gejala alahan hidung dikawal dan mutu hidup dipelihara,” katanya.
Gejala:
· Gatal di hidung, mulut, mata, tekak atau kulit
· Masalah untuk menghidu
· Hidung berair
· Bersin
· Mata berair
Gejala yang mungkin terjadi selepas alahan hidung:
§ Hidung tersumbat
§ Batuk
§ Telinga tersumbat dan kurang deria bau
§ Sakit tekak
§ Lingkaran gelap di bawah mata
§ Bengkak di bawah mata
§ Keletihan dan keradangan
§ Sakit kepala
§ Masalah ingatan dan lambat berfikir
Komplikasi yang mungkin terjadi
Penghidap alahan hidung mungkin menderita pelbagai masalah kesihatan. Masalah kesihatan utama ialah:
Ø Letih
Ø Gangguan tidur
Ø Kualiti hidup dan produktiviti merosot
Ø Pergerakan terhad
Ø Tumpuan berkurangan
Ø Memberi kesan kehidupan sosial
Masalah kesihatan sampingan:
v Lelah
v Otitis media (jangkitan pada telinga tengah)
v Resdung akut
Diagnosis
Dua kaedah lazim digunakan untuk diagnosis alahan hidung. Diagnosis dibuat berdasarkan keluhan pesakit atau gejala yang ditunjukkan.
1. Ujian pada kulit - bahan yang dipercayai boleh menyebabkan alahan diletakkan di permukaan kulit biasanya sama ada di lengan atau belakang badan dilakukan untuk mengetahui bahan yang menyebabkan sensitif kepada pesakit.
Tanda reaksi alahan dipantau oleh pengamal perubatan. Satu ujian yang dilakukan akan dapat keputusannya dalam masa 15 atau 20 minit.
2. Ujian darah - Fungsi utama ujian darah bagi mengesan tahap hemoglobin dalam darah. Jika ada kecacatan, tanda alahan dapat dilihat pada tisu. Ujian ini biasanya digunakan apabila ujian pada kulit tidak dapat membantu atau gagal mengesan jenis alahan.
Rawatan
Walaupun diketahui tiada penyembuhan untuk masalah alahan setakat ini, perubatan dan panduan dapat membantu mengawal gejala alahan hidung. Pesakit perlu mengelak terdedah kepada bahan yang boleh menyebabkan alahan. Jika tidak dapat menghindarinya, beberapa jenis ubat boleh membantu mengurangkan alahan.
Antihistamin
Antihistamin digunakan untuk melegakan rinitis alergi, pruritus (gatal-gatal), rinitis, urtikaria (ruam dan gatal) dan tindak balas alergik lain. Antihistamin boleh dibeli dalam bentuk tablet, sirap atau semburan hidung. Ia membantu menghalang kesan keradangan hidung.
Dekongestan
Agen yang mengurangkan atau melegakan kesesakan hidung. Tugas dekongestan ialah mengecutkan saluran darah dalam hidung dan disediakan dalam bentuk semburan hidung atau tablet bagi menyediakan kelegaan segera masalah hidung tersumbat.
Semburan hidung tidak sepatutnya digunakan lebih tujuh hari kerana ia boleh merosakkan tisu hidung dan menyebabkan gejala semakin teruk, keadaan yang dikenali sebagai ‘rhinitis medicamentosa’.
Kortikoid
Hormon steroid yang digunakan untuk merawat masalah radang jangka panjang kronik seperti asma, alahan kulit atau demam alergi.
Kortikoid boleh didapati dalam dua bentuk iaitu semburan hidung dan tablet. Penggunaan kortikoid dalam dos tinggi dalam jangka panjang, terutama apabila diambil dalam bentuk tablet, boleh memberi kesan sampingan yang tidak diingini.
Bagaimanapun, kortikoid dalam bentuk tablet hanya diberi kepada pesakit yang mengalami alahan teruk.
Rawatan gabungan
Kombinasi ubat terbukti berkesan dalam merawat alahan hidung dengan masalah hidung tersumbat.
Pencegahan
Pencetus alahan harus disingkirkan atau dielak bagi mencegah atau meminimumkan serangan alahan hidung. Antara langkah yang wajar diambil ialah:
guna bantal serat sintetik dan cadar telap tilam
sering membasuh cadar, sarung bantal dan selimut dengan air panas
alihkan barangan perabot, mainan kanak-kanak, permaidani dan haiwan peliharaan
kerap membersihkan rumah dan menghapuskan tempat pembiakan lipas
gunakan pembersih hampagas dan penapis udara berkecekapan tinggi
tempatkan haiwan peliharaan di bilik tertentu
kerap membasuh barangan perabot fabrik dan permaidani
elakkan makanan yang boleh mencetuskan alahan hidung
Pencetus bukan alahan seperti asap rokok, bau yang kuat, pencemaran udara, suhu sejuk dan panas lembab juga patut dielakkan atau dikawal seboleh mungkin.
Oleh NORAINON OTHMAN, norainon@hmetro.com.my

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "