2+4 hrs...Twogether Fourever

Khamis : 17 April 2025   
@ 19 Syawal 1446H / 5:42 PM

16Isnin,Julai

Rezeki tidak berkat

KENAPA umat Islam tidak membenci rasuah seperti mereka membenci babi? Ia perlu difikirkan kerana ramai yang sanggup memberi atau menerima 'suapan' yang kesannya lebih buruk berbanding memakan babi.
 
Orang yang miskin jiwa saja mengamalkan rasuah kerana mereka bersifat mementingkan diri sendiri, tamak dan tidak amanah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
 
Rasuah tidak memilih sesiapa sama ada golongan berharta, miskin dan bijak pandai yang berpotensi melakukannya. Sebab itu, nafsu perlu diurus dengan akal dan hati yang suci.
 
Apabila terlalu tamak dan rakus, iman mula lemah sehingga mudah dikuasai nafsu jahat. Kita perlu sentiasa diingatkan supaya tidak menjadikan nafsu sebagai 'raja' dalam diri.
 
Semua kekayaan yang didapati secara haram tidak mendapat keberkatan. Islam mengharamkan rasuah tanpa tolak ansur seperti sabda Rasulullah yang diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan di dalam api neraka."
 
Malah, ibadah mereka juga tertolak dengan sendirinya dan jika ada kebaikan yang dilakukan, semua itu menjadi sia-sia belaka. Jika amalan rasuah tidak 'dilenyapkan' dengan segera memungkinkan seseorang terdedah dengan pelbagai malapetaka dalam kehidupan.
 
Kesalahan rasuah tidak terletak kepada kecil, besar saiz atau nilai yang diterima. Ia berkaitan sama ada seseorang itu pemberi, penerima atau menjadi orang tengah kepada perbuatan itu.
 
Islam tidak menyekat umatnya mencari seberapa banyak rezeki di atas muka bumi ini. Cuma Allah memberi peringatan supaya tidak gelojoh mencari rezeki sehingga melanggar batas peraturan ditetapkan agama.
 
Kita dituntut mencari rezeki halal daripada sumber baik dan bersih. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Baqarah, ayat 188).
 
Sumber halal pastinya menjamin serta memberi kesan positif kepada kehidupan seseorang. Menggunakan apa saja bentuk keistimewaan daripada amalan rasuah akan menjadi darah daging.
 
Rasuah turut mencetuskan pelbagai jenayah berat lain seperti membunuh, peras ugut dan berdendam sehingga memusnahkan kehidupan manusia keseluruhannya.
 
Rasulullah sendiri pernah cuba ditawarkan orang bukan Islam dengan beberapa tawaran kerana mahu menyekat baginda daripada menyebarkan ajaran Islam.
 
Kafir Quraisy takut dakwah yang dibawa Rasulullah berkembang pesat dan pengikut Rasulullah bertambah ramai. Mereka kemudian mengutus Utbah bin Rabi'ah berjumpa Rasulullah dan menawarkan beberapa tawaran supaya baginda dapat bekerjasama dengan mereka.
 
Namun Rasulullah tetap tegas dengan pendiriannya menolak tawaran itu dan tidak akan meninggalkan perjuangannya berdakwah menegakkan syiar Islam.
 
Walaupun dijanjikan dengan harta kekayaan, pangkat dan kuasa baginda tetap menolak segala tawaran yang diberikan itu.

Perunding motivasi syariah, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi berkata, rasuah adalah dosa daripada banyak jenis dosa atau maksiat yang ditegah dalam Islam demi menjaga kepentingan awam.
 
"Ulama berpandangan, orang yang melakukan dosa itu ialah mereka yang terbiasa merasai kelazatan maksiat malah mengulanginya kerana ketagihan.
 
"Islam mendefinisikan rasuah sebagai sogokan, wang suapan atau yang seumpama dengannya dengan tujuan supaya pihak tertentu dapat mengurus serta menyelesaikan hal yang dikehendakinya dengan segera dan menguntungkan," katanya.
 
Beliau berkata, pengharaman rasuah disebabkan berlakunya kezaliman sehingga berlakunya penindasan terhadap orang lain.
 
"Bayangkan jika kita beratur panjang untuk membayar bil, tiba-tiba ada orang baru masuk dan tidak mengambil angka giliran terus ke kaunter tertentu memotong barisan orang lain disebabkan penjaga kaunter itu kenalan rapatnya.
 
"Kalau itu sudah menyakitkan hati kita, apatah lagi kezaliman rasuah memotong rezeki orang lain dengan jalan yang salah dan haram. Berhubung persoalan ini, Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud, "Mereka suka sekali mendengar perkataan yang dusta lagi sangat suka makan yang haram (wang sogokan)".
 
"Ibnu Mas'ud mentafsirkan ayat berkenaan iaitu sogokan (rasuah) dapat berlaku pada tiap-tiap sesuatu, barang siapa yang memberi sesuatu pemberian dalam sesuatu pembelaan kepada seseorang supaya pembelaan itu dapat mengembalikan yang hak atau dapat menolak kezaliman (aniaya) lantas diterimanya maka pemberian itu dinamakan sogokan.
 
"Jelas sekali, rasuah amat menjijikkan malah lebih hina daripada tanggapan kita terhadap khinzir," katanya.
 
Mohd Fakhrurrazi berkata, mereka yang memperoleh rezeki dengan cara haram sudah pasti tidak ada keberkatan dalam hidup mereka.
 
"UIama mentakrifkan berkat atau barakah rezeki itu ialah kepastian kebaikan di sisi Ilahi pada satu perkara. Apabila jatuh kepada perkara yang sedikit, ia akan bertambah banyak.
 
"Apabila banyak, ia menambah manfaatnya. Hebatnya keberkatan rezeki itu adalah ia akan dipulangkan semula dalam bentuk kita taat kepada perintah Allah.
 
"Rasuah tidak hanya menghilangkan berkat rezeki malah membawa kerosakan kepada umat Islam. Anak juga menjadi keras hati kerana 'disuap' dengan rezeki haram.
 
"Sebagaimana sabda nabi yang bermaksud, sesiapa yang melakukan satu dosa, maka satu titik hitam yang akan terpalit di hatinya. Jangan salahkan anak yang mempunyai masalah moral kerana semua itu berpunca daripada kesan rasuah.
 
"Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim, nabi ada menyebut seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: Wahai Tuhanku... wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram.. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.
 
"Hadis itu menerangkan orang yang makan daripada sumber haram akan tertolak amalan dan doanya seolah-olah apa yang dilakukan sia-sia dan tidak dikira sebagai amal yang soleh," katanya.
 
Menurutnya, kesan buruk rasuah turut ditolak pengusaha serta peniaga di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Eropah.
 
"Mereka sedar sifar rasuah adalah prasyarat untuk menjadi negara maju. Perolehan kontrak adalah hasil kebijaksanaan dan kualiti kerja masyarakat, bukannya hasil kebodohan memberi rasuah.
 
"Nabi Muhammad memberi amaran, akan sampai satu zaman manusia tidak lagi menghiraukan dari mana sumber harta yang mereka peroleh sama ada halal atau haram (Riwayat Al-Bukhari).
 
"Dari sudut pencegahan, ia tidak hanya terhad kepada penguatkuasaan undang-undang tetapi perlu juga dengan pendidikan serta teladan yang baik.
 
"Akhlak Nabi Muhammad cukup mulia sehingga ia tidak dipertikaikan musuh baginda. Konsepnya mudah, yang tua perlu bagi memberi contoh baik dan tidak mengamalkan rasuah dan barulah golongan muda meneladaninya.
 
"Begitulah rantaiannya sehingga negara bebas rasuah. Kalau pihak atasan sendiri yang mengamalkan rasuah, kempen yang hebat macam mana sekalipun tetap tidak memberi kesan.
 
"Allah mengingatkan kita, jika mengalami masalah baliklah semula ke jalan Allah, ikutlah jalan Islam dan sunah baginda kerana itulah sebaik-baik jalan pencegahan," katanya.
 
Mohd Fakhrurrazi berkata, kebenaran dalam masyarakat tidak akan tertegak sekiranya perbuatan sogok menyogok masih dilakukan manusia.
 
"Manusia sering melanggar hukum untuk memenuhi kehendak hawa nafsunya. Bagi golongan muda terutamanya graduan yang baru bekerja, mereka sentiasa mencari jalan pintas untuk hidup mewah dan bergaya.
 
"Sepatutnya, untuk merasai kesenangan rasailah kepahitan terlebih dahulu. Orang yang pernah merasai kesusahan akan menghargai nikmat kesenangan jika ia melalui jalan benar dan tidak menindas sesiapa.
 
"Ramai yang terbabit dengan rasuah kerana mereka mahu hidup senang. Allah memberi jawapan penyelesaian kepada masalah kesempitan hidup yang dialami manusia iaitu hanya perlu kembali bertakwa kepada Allah," katanya.
 
Oleh Mohd Fadly Samsudin, fadly@hmetro.com.my
Cik NiNe Che Kadir , Isnin, Julai 16, 2012 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

PENULIS Cik NiNe Che Kadir

Nama Penuh saya ialah Cik NiNe Binti Che Kadir, saya menggunakan nama pena C9 dan Cik 9P. Mulus

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog