2+4 hrs...Twogether Fourever

Jumaat : 14 Mac 2025   
@ 15 Ramadan 1446H / 8:16 PM

22Sabtu,Oktober

PERTUKARAN BANDUAN ISRAEL, HAMAS


Diharap jadi mangkin proses damai

NYAWA seorang askar Israel lebih penting daripada lebih 1,027 banduan Palestin.

Ini harga yang 'dibayar' oleh Israel bagi mendapatkan pembebasan askarnya, Sarjan Gilad Shalit, yang telah ditangkap kumpulan Hamas sejak Jun 2006.

Ketika itu, Sarjan Shalit berusia 19 tahun dan berpangkat koperal.

Selasa lalu, Sarjan Shalit akhirnya dibebaskan oleh Palestin dalam satu perjanjian pertukaran banduan yang disifatkan sebagai bersejarah dan satu kemenangan oleh kumpulan Hamas yang mengawal Jaluran Gaza. Ini kali pertama dalam tempoh 26 tahun seorang askar Israel yang masih hidup dikembalikan ke tanah airnya.

PENTINGNYA NYAWA SEORANG ASKAR

Sejurus Sarjan Shalit ditangkap oleh anggota militan yang menyerang pos keselamatan Israel di kawasan sempadan lima tahun lalu, Israel telah melancarkan serangan balas di Gaza bagi membebaskan sarjan muda itu.

Serangan demi serangan dilancar, namun askar itu masih gagal dibebaskan.
Pada masa yang sama, korban jiwa di kalangan rakyat Palestin terus meningkat.
Ratusan penduduk dilaporkan terkorban, termasuk kaum wanita dan kanak-kanak.
Ketika itu, anggota militan yang menculik Sarjan Shalit, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemerintah Hamas, menuntut agar pertukaran banduan Palestin diadakan bagi pembebasan askar Israel itu.

Namun, tawaran itu ditolak oleh Israel. Menyusuli penculikan itu, Israel mengetatkan lagi sekatan ke atas Jaluran Gaza.

Sejak itu, keluarga Sarjan Shalit tidak putus-putus mendesak pemerintah Israel berusaha membebaskan beliau.

SIAPA TAHANAN PALESTIN YANG DIBEBASKAN?

Di bawah perjanjian pertukaran banduan, seramai 477 banduan Palestin dibebaskan pada Selasa lalu. Lagi 550 banduan akan dibebaskan dalam tempoh dua bulan mendatang.

Antara mereka ialah dua banduan wanita yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Ahlam Tamimi didakwa terlibat dalam pengeboman restoran piza di Israel pada 2001, yang menyebabkan 15 orang terkorban.

Amneh Muna, pula merancang membunuh seorang budak Israel pada 2001.

Lagi 25 banduan wanita akan turut dibebaskan.

Di bawah perjanjian itu, para banduan yang dibebaskan akan diletakkan di bawah sekatan, bergantung kepada kes individu.

Ada antara mereka tidak akan dibenarkan ke luar negeri, ada yang akan disekat perjalanan mereka atau dikehendaki melaporkan diri kepada polis setempat.

MENGAPA PERTUKARAN DAPAT DICAPAI SEKARANG

Ketika berucap di Parlimen, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata dengan banyak perubahan berlaku di rantau Timur Tengah sekarang, beliau tidak pasti sama ada perjanjian lebih baik akan dapat dicapai pada masa depan bagi pembebasan Sarjan Shalit.

Beliau menegaskan jika peluang ini tidak direbut sekarang, ia mungkin tertutup buat selama-lamanya. Seorang pengamat politik, Profesor Noha Bakr, memberitahu agensi berita Xinhua perjanjian berkenaan dapat dicapai ekoran revolusi pemberontakan yang telah melanda rantau itu, dengan Mesir dijangka memainkan peranan lebih aktif.

'Ini merupakan satu perjanjian yang 'menang-menang' dan saya meramalkan lebih banyak perjanjian akan dimeterai pada masa depan, sedang Israel terpaksa berdepan dengan perubahan di rantau itu dan berusaha menjalin hubungan yang lebih damai dengan negara-negara jirannya,' kata Profesor Bakr.

Pemerintah Hamas di Gaza juga menerima tekanan membuat perjanjian sekarang.

Ini memandangkan Penguasa Palestin yang mengawal Tebing Barat semakin meningkat popularitinya menyusuli tindakannya membuat permohonan kepada PBB bagi mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka baru-baru ini.

KESAN PERJANJIAN PERTUKARAN BANDUAN

Seorang menteri Israel menyifatkan pembebasan begitu ramai banduan Palestin menandakan kemenangan bagi pengganasan.

Rakyat Israel sendiri berbelah bagi sama ada itu satu tindakan yang wajar.

Menurut tinjauan yang dijalankan di negara itu, 50 peratus rakyat Israel berpendapat pembebasan banduan Palestin akan membahayakan keselamatan negara itu. Lagi 48 peratus bagaimanapun tidak menyokong pendapat itu.

Netanhayu sendiri akur harga yang perlu dibayar oleh Israel bagi mendapatkan pembebasan seorang askar Israel adalah tinggi.

Dalam suratnya kepada para mangsa serangan Palestin, beliau yang ditukil agensi berita AP berkata : 'Saya akur sukar bagi anda faham bahawa para penjahat yang telah melakukan jenayah kejam ke atas orang yang anda sayangi tidak dihukum dengan setimpalnya.
'Dalam waktu sukar ini, saya berharap anda akan mendapat ketenangan apabila mengetahui bahawa saya dan seluruh rakyat Israel berkongsi keperitan yang anda tanggung.'

Apakah kesannya ke atas rundingan damai di antara kedua-dua seteru ini?

Seorang pakar Ronald W. Zweig dari Universiti New York, dalam rencananya untuk CNN, berkata perjanjian ini menunjukkan kedua-dua pihak mampu bertolak ansur dan perkembangan ini 'membayangkan satu harapan.'

'Hakikat bahawa Israel dan Hamas telah berunding - walaupun bukan secara langsung - merupakan satu perkembangan yang disambut baik,' katanya.

Mesir telah memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam perjanjian pertukaran banduan ini.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, turut ditukil sebagai berkata pertukaran banduan itu diharap dapat menggerakkan proses damai.

'Dengan pembebasan banduan ini, ia akan mempunyai kesan positif yang lebih meluas dalam proses damai Timur Tengah,' kata Ban yang ditukil agensi Reuters.

Menurut beliau, sejak beberapa tahun lalu, PBB telah menggesa agar Sarjan Shalit dan semua banduan Palestin yang hak asasi mereka dianiaya dibebaskan.

Ketika ditemui wartawan setibanya di Mesir selepas dibebaskan pada Selasa lalu, Shalit berkata: 'Sudah tentu saya sangat rindu pada keluarga. Saya juga rindukan rakan-rakan. Saya berharap perjanjian ini akan membuka jalan bagi kedamaian di antara Palestin dengan Israel.'
Susunan Suhana A. Samat

Unknown , Sabtu, Oktober 22, 2011 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog