Sabtu : 12 April 2025   
@ 14 Syawal 1446H / 1:38 AM

24Khamis,Mac

Libya vs Pengganas yang di Iktiraf dunia

ORANG ramai melihat rangka pesawat F-15E Amerika Syarikat yang terhempas berhampiran bandar Benghazi, semalam.
 
Pesawat pengebom Amerika terhempas

LONDON – Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat terhempas di sebuah kawasan lapang di Libya selepas ia mengalami kegagalan mekanikal lewat kelmarin.
 
Namun dua juruterbang tersebut telah diselamatkan oleh anggota-anggota pemberontak di kawasan dekat kubu kuat penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
 
Menurut saksi, di tempat kejadian, jet pejuang yang terhempas itu adalah jenis F-15E Eagle.
 
"Kami baru sahaja menemui jet pejuang Amerika itu di sebuah kawasan lapang dan ia dipercayai mengalami kegagalan mekanikal yang menyebabkan ia terhempas.
 
"Krew-krew jet itu dipercayai selamat," kata pemberita akhbar Daily Telegraph, Rob Crilly melalui laman Twitternya.
 
Jurucakap ibu pejabat perintah di Stuttgart, Karin Burzynski berkata, salah seorang krew telah berjaya diselamatkan dan pembedahan untuk menyelamatkan seorang lagi masih dilakukan.
 
Mereka hanya mengalami luka kecil selepas keluar dari jet dengan menggunakan kerusi anjal.
 
Sementara itu, jurucakap tentera Amerika, Vince Crawley mengesahkan nahas itu tetapi menolak untuk memberitahu lokasi sebenar tempat kemalangan.
 
Dia juga tidak mahu mendedahkan bagaimana dan ke mana krew pesawat telah dibawa.
 
Crawley menegaskan nahas itu berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan mekanikal dan bukan kerana tembakan musuh.
 
Serangan udara pasukan tentera Barat sudah memasuki malam ketiga yang meletakkan sasaran untuk melindungi orang awam daripada pasukan tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
 
Kehadiran jet tentera itu adalah untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan resolusi untuk mengenakan larangan tersebut.
 
Pergolakan di Libya bermula sejak 15 Februari lalu apabila sejumlah penunjuk perasaan membuat tunjuk perasaan bagi menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun.
 
Tunjuk perasaan itu kemudian bertukar menjadi pertempuran antara para pemberontak dengan askar-askar Gaddafi.
 
Para penentang itu menganggap Gaddafi gagal memerintah dengan baik dan membazirkan wang negara. – Agensi
 
 
+
 
Semakin terhimpit
 
TRIPOLI - Rakyat Libya semakin terhimpit dalam konflik di negara itu selepas tentera bersekutu meneruskan serangan udara bagi hari ketiga berturut-turut, semalam.
 
Letupan kuat menggegarkan ibu negara, Tripoli, semasa pasukan tentera Gaddafi cuba menghentikan sebarang serangan baru oleh tentera antarabangsa yang melaksanakan zon larangan terbang di negara itu.
 
Sementara itu, sebuah jet pejuang milik Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terhempas di sebuah kawasan di Libya tetapi juruterbangnya dilaporkan selamat.
 
Nahas itu dipercayai berpunca akibat kerosakan alatan di dalam pesawat.
 
Kebangkitan rakyat di Libya bertukar menjadi besar-besaran, Februari lalu, selepas protes antikerajaan berkembang sehingga membentuk pergerakan pemberontak bagi menuntut Gaddafi meletak jawatan.
 
Serangan udara ke atas Libya yang diketuai AS, Perancis dan Britain dimulakan, Sabtu lalu, selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan usul mewujudkan zon larangan terbang di negara pengeluar minyak itu.
 
 
+
 
Obama dikecam campur tangan
 
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mula dikritik hebat berhubung tindakannya menyerang Libya.
 
Bagaimanapun, Obama mempertahankan pendekatannya dalam isu Libya dan menegaskan tentera AS akan bertindak mengikut matlamat yang digariskan dalam usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), minggu lalu.
 
"Muammar Gaddafi (pemimpin Libya) perlu dihalang daripada menyerang penduduk negara itu dan beliau juga perlu dijatuhkan," katanya, kelmarin.
 
Menurutnya, AS juga menggunakan cara lain termasuk sekatan ekonomi bagi menamatkan pemerintahan Gaddafi selama 42 tahun.
 
Obama sebelum itu didakwa tidak berunding dengan Kongres sebelum melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Libya.
 
 
+
 
'Ambil balik anugerah Nobel daripada Obama'

LA PAZ: Presiden Bolivia, Evo Morales menggesa anugerah Nobel Keamanan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ditarik balik kerana menyifatkan keputusan pemimpin itu melancarkan serangan tentera terhadap Libya menunjukkan beliau tidak layak mendapat anugerah itu.
 
"Dua tahun lalu, kita mendengar bahawa Presiden Obama memenangi anugerah Nobel Keamanan tetapi adakah beliau mempertahankan keamanan dunia sekarang, atau tidakkah beliau yang mencetuskan keganasan?" kata Morales kepada pemberita.
 
Ulasan dibuat beberapa hari selepas Obama mengarahkan pengeboman mensasarkan tentera Libya sebagai usaha yang disokong PBB untuk melindungi penduduk awam.
 
"Bagaimana mungkin untuk memberi anugerah Nobel Keamanan kepada seseorang yang melancarkan serangan, pengeboman? Ia satu pencabulan, serangan, pencerobohan," kata Morales, pemimpin Latin Amerika berhaluan kiri yang lantang mengkritik Amerika Syarikat.
 
"Obama adalah ketua kumpulan yang mengetuai serangan dan pencerobohan, dan tidak ada kena mengena dengan mempertahankan hak asasi manusia," katanya.
 
Obama menerima anugerah berkenaan pada Disember 2009 kurang setahun selepas dilantik sebagai presiden Amerika.
 
Dalam ucapan beliau di Oslo, Obama merujuk dirinya sebagai ketua komander sebuah negara yang berada di tengah-tengah dua perang dan menyifatkan konflik bersenjata adalah tepat pada masanya.
 
Obama menghadiahkan AS$1.4 juta (RM4.2 juta) hadiah wang tunai yang dimenanginya itu kepada 10 badan kebajikan termasuk kumpulan yang bekerja bagi pemulihan Haiti dan menyokong keluarga tentera. – AFP
 
 
+
 
AS mahu Gaddafi lepas kuasa

Jet pasukan tentera bersekutu serang pertahanan Libya, lindungi pemberontak
 
TRIPOLI: Presiden Amerika Syarikat mahu Muammar Gaddafi menyerah kuasa tetapi mengakui tidak ada mandat untuk menggulingkan ketua negara itu ketika serangan diteruskan terhadap pertahanan Libya buat hari ketiga bagi mewujudkan zon larangan terbang meliputi bandar dikuasai pemberontak hingga ibu negara, Tripoli.
 
Pada masa sama, Obama berharap 'senjata' lain yang digunakan termasuk membekukan aset Libya bernilai berbilion dolar dapat membantu menjatuhkan Gaddafi.
 
Bedilan senjata antipesawat terus kedengaran di ibu negara Libya buat hari ketiga, ketika serangan udara dilaporkan di timur Libya.
 
Dalam tempoh 24 jam lalu, tentera Amerika dan Britain melancarkan 12 peluru berpandu Tomahawk terhadap pangkalan tentera Libya termasuk markas pelancaran Scud. Kira-kira 80 serangan udara dilakukan kelmarin.
 
Stesen televisyen Libya berkata beberapa kawasan di Tripoli diserang kelmarin. Serangan peluru berpandu bagaimanapun sudah cukup memusnahkan kebanyakan pertahanan udara Libya.
 
Stesen televisyen Libya melaporkan, beberapa kawasan di Tripoli menjadi sasaran serangan baru oleh apa yang disifatkan 'musuh tentera salib'.
 
"Serangan ini tidak akan menakutkan rakyat Libya," kata stesen televisyen itu. Stesen televisyen al-Jazeera melaporkan dua sistem radar di dua pangkalan udara di timur terkena serangan itu.
 
Sementara itu, penduduk yang terkepung di dua bandar yang dikuasai pemerontak di Misrata dan Zintan di selatan Libya berkata mereka diserang tentera Gaddafi.
 
Penganalisis keselamatan berkata mereka percaya tentera kerajaan cuba memasuki kawasan orang awam untuk mengelak serangan udara.
 
Kuasa Barat, bagaimanapun, tidak mengesahkan serangan terbaru selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan zon larangan terbang dan semua tindakan wajar bagi melindungi orang awam daripada serangan tentera Gaddafi. – Reuters/Agensi 
 
 
+
 
Puak pro-Gaddafi serang dua 'bandar pemberontak'

TRIPOLI (Libya): Pasukan-pasukan yang taat kepada Encik Muammar Gaddafi menyerang dua bandar di Libya semalam selepas tiga malam serangan udara ke atas Tripoli, namun kempen Barat menghadapi persoalan mengenai masa depan struktur perintahnya.
 
Dalam pertempuran terbaru semalam, pasukan Gaddafi menggunakan kereta kebal untuk menyerang bandar di barat dikuasai pemberontak, Misrata, dengan meriam.
 
Beberapa orang maut termasuk empat kanak-kanak apabila kereta yang mereka tumpangi terkena tembakan meriam, kata beberapa penduduk.
 
Angka kematian dalam serangan kelmarin 40 orang, kata mereka.
 
'Keadaan di sini sangat teruk. Kereta-kereta kebal mula menembak bandar ini dengan meriam sejak pagi,' kata seorang penduduk, Encik Mohammed, kepada Reuters semalam melalui telefon di luar hospital bandar itu.
 
'Penembak curi juga ada dalam operasi itu. Sebuah kereta awam musnah dan empat kanak-kanak di dalamnya terkorban, yang paling tua berusia 13 tahun,' katanya lagi.
 
Rangkaian berita Al Jazeera berkata pasukan Gaddafi sedang cuba merampas kembali bandar dikuasai pemberontak di barat, Zintan, menggunakan senjata berat.
 
Para penduduk telah lari dari pusat bandar itu untuk berlindung di gua-gua di pergunungan.
 
Televisyen Libya berkata beberapa kawasan di Tripoli telah diserang dari udara kelmarin.
 
Namun belum ada pengesahan adanya serangan udara terbaru daripada Barat dalam kempen mereka mengenakan satu zon larangan terbang dan melindungi orang awam.
 
Pemberontak yang diusir balik ke kubu kuat mereka di bandar timur Benghazi, tidak membuat apa-apa bagi meneruskan rancangan untuk mara ke Tripoli. Ini mencetus kebimbangan, perang itu akan menemui jalan buntu.
 
Pihak Barat belum memutuskan negara manakah yang akan meneruskan operasi itu apabila Washington berundur.
 
Sementara itu, sebuah pesawat F-15E angkatan udara Amerika terhempas di Libya semalam.
 
Menurut tentera Amerika, seorang anggota kru dapat diselamatkan dan seorang lagi 'dalam proses pencarian'. Kemalangan itu kemungkinan angkara kerosakan mekanikal dan bukan kerana diserang, kata tentera Amerika. -Reuters.
 

+
 
Brazil gesa gencatan senjata di Libya

SAO PAULO - Kerajaan Brazil menggesa gencatan senjata diadakan di Libya, di mana serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyebabkan konflik bertambah buruk di negara Arab itu, kelmarin.
 
Kementerian Luar Brazil menegaskan gencatan senjata perlu dilakukan bagi melindungi orang awam dan memberi ruang kepada kerajaan Libya di bawah pimpinan Muammar Gaddafi mengadakan rundingan secara damai dengan puak penentang.
 
Minggu lalu, Brazil, China, India, Jerman dan Rusia mengambil pendirian berkecuali daripada menyokong usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan semua cara digunakan untuk mewujudkan zon larangan penerbangan di Libya.
 
Sementara itu, pemimpin beberapa negara Afrika lain termasuk Uganda, Afrika Selatan dan Zimbabwe turut mengecam serangan Barat itu yang dianggap hanya helah untuk mengawal bekalan minyak Libya.
 
 
+
 
Tiada siapa tahu di mana Gaddafi
 
WASHINGTON: Pegawai kanan tentera Amerika Syarikat berkata, tidak banyak maklumat diketahui mengenai keadaan dan lokasi Muammar Gaddafi selepas Barat melancarkan serangan ke atas Libya awal pagi Ahad lalu.
 
Pegawai pemerintah tentera AS di Afrika, Jeneral Carter Ham, berkata tentera juga tidak melancarkan sebarang usaha bagi mengesan di mana Gaddafi berada.
 
"Saya tak tahu banyak mengenai lokasi pemimpin Libya itu," katanya.
 
Dalam serangan diketuai AS itu, satu daripada peluru berpandu dilancarkan memusnahkan bangunan yang menjadi kubu Gaddafi di Tripoli.

Kemusnahan itu menimbulkan tanda tanya sama ada Barat memang mahu membunuh Gaddafi.

Menurut Carter, serangan udara ke atas Libya disasarkan untuk memusnahkan pusat kawalan tentera Gaddafi.
 
"Setakat ini serangan itu berkesan," katanya. - AFP
 

+

Kediaman Gaddafi diserang lagi
 
TRIPOLI: Kompleks kediaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dibom sekali lagi awal pagi tadi.
 
Kubu kuatnya di selatan negara itu dan sebuah pangkalan tentera laut juga menjadi sasaran serangan ketika kecaman antarabangsa mengenai serangan udara terhadap Libya meningkat.

Televisyen Libya melaporkan, serangan terhadap Tripoli dilakukan waktu malam.
 
Letupan kuat dan tembakan anti pesawat kedengaran berhampiran kediaman Gaddafi pada jam 3 pagi (waktu Malaysia).

Letupan sama menggegarkan Tripoli malam Ahad lalu dengan pegawai pasukan bersekutu berkata bangunan pentadbiran dalam kompleks kediaman pemimpin Libya itu musnah selepas terkena bedilan satu peluru berpandu.

Saksi berkata, pangkalan tentera laut Libya yang terletak kira-kira 10 kilometer ke timur Tripoli turut dibom awal semalam.
 
Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim turut mendakwa, Misrata, bandar ketiga terbesar Libya, 214 kilometer ke Tripoli, berjaya dibebaskan tiga hari lalu dan tentera Gaddafi kini melancarkan gerakan memburu 'elemen pengganas.'
 
Bagaimanapun, seorang jurucakap pemberontak di Misrata yang dihubungi menerusi telefon berkata, bandar itu tetap dalam penguasaan kumpulan berkenaan meskipun berdepan dengan serangan tentera Gaddafi.

Seorang pegawai perubatan di Misrata mengesahkan, 40 orang terbunuh dan 300 cedera dalam pertempuran.

Dalam pada itu, tentera Libya berundur 100 kilometer dari Benghazi, bandar yang masih dikuasai pemberontak, selepas diserang secara besar-besaran oleh pesawat pengebom tentera bersekutu.
 
Bagaimanapun, pasukan yang setia kepada Gaddafi itu berjaya menyekat kemaraan di kedudukan baru mereka di Ajdabiya. - AFP
 

+

Serangan di Libya diperhebat

ZWITINA, Libya 22 Mac - Tentera Bersekutu membedil Libya untuk tiga malam berturut-turut malam tadi, dengan menyasarkan sistem pertahanan udara dan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi serta kompleks kediamannya di Tripoli.
 
Serangan sejak Sabtu lalu itu berjaya menyekat kemaraan askar Gaddafi dan mengembalikan sedikit momentum kepada pemberontak yang berada di ambang kekalahan pada minggu lepas.
 
Namun unit-unit tentera pemberontak yang tidak tersusun belum memanfaatkan kempen bedilan kuasa Barat itu, sekali gus meningkatkan kebimbangan konflik di negara ini boleh membawa kepada kebuntuan berlarutan.
 
AS menolak tindakan khusus untuk menggulingkan Gaddafi, meskipun Perancis semalam berkata, Paris berharap kerajaan Libya akan runtuh dari dalam.
 
Dalam pada itu, komander tentera AS dalam operasi Libya, Jeneral Carter Ham berkata, tentera bersekutu mungkin mengurangkan serangannya.
 
"Saya merasakan kita mungkin melihat kekerapan serangan berkurangan kecuali berlaku sesuatu yang luar biasa atau di luar jangkaan," kata Ham.
 
Presiden AS, Barack Obama berkata, Washington akan menyerahkan kuasa pemerintahan ke atas operasi Libya dalam masa beberapa hari lagi.
 
Beliau tidak menyatakan negara atau pertubuhan mana yang akan mengambil alih kuasa itu, tetapi Britain dan Perancis telah memainkan peranan utama dalam menuntut campur tangan ketenteraan di Libya.
 
Serangan peluru berpandu dan pengeboman itu cukup meluas sehingga memusnahkan sebahagian besar sistem pertahanan udara Libya.
 
Sementara itu, sebuah jet pejuang F-15 milik AS terhempas hari ini selepas mengalami kegagalan mekanikal di tenggara Benghazi, bagaimanapun juruterbangnya berjaya keluar dari pesawat sebelum ia terhempas. - AP/AFP
 
 
+

Bandar kabilah Guededfa jadi sasaran
 
TRIPOLI: Tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat, Britain dan Perancis semalam mengebom bandar Sebha di selatan Libya yang menjadi kubu kuat kabilah Guededfa, suku kaum Muammar Gaddafi.
 
"Sejak Sabtu lalu, pakatan musuh melancarkan serangan udara dan peluru berpandu terhadap Tripoli, Zuwarah, Misrata, Sirte dan Sebha, dengan menjadikan lapangan terbang sasaran utama," kata jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim pada sidang akhbar di Tripoli.
 
"Ya, Sebha diserang hari ini (semalam)," katanya ketika menjawab satu soalan mengenai bandar yang terletak 750 kilometer ke selatan Tripoli.

Menurutnya, tentera bersekutu juga menyerang sebuah 'pelabuhan nelayan kecil,' 27 kilometer ke barat Tripoli.

Menurut Ibrahim, serangan semalam menyebabkan beberapa orang awam terbunuh, terutamanya di Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, 360 kilometer ke timur Tripoli.

Mussa turut memberi amaran kepada Eropah mengenai kebanjiran pendatang Afrika. - Reuters
 

+
 
Rahsia Denmark
 
OSLO: Sejumlah negara Barat menyertai kempen ketenteraan Amerika Syarikat, Britain dan Perancis ke atas Libya dengan membawa motif berlainan, kata penganalisis.
 
Ekoran pelaksanaan Resolusi 1973 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Norway, Denmark, Kanada dan Belgium menghantar jet pejuang masing-masing ke Laut Mediterrenean untuk menyerang rejim Muammar Gaddafi.
 
Penganalisis berkata, Denmark mahu memainkan peranan penting menyokong kebangkitan rakyat di dunia Arab, berbeza dengan sikap meraka terhadap isu Afghanistan dan Iraq.
 
"Peranan Denmark di Libya mendapat sokongan kuat di dalam negara," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen, berkata negara itu memberi sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat rantau Arab.
 
"Walaupun Denmark kecil, tetapi kita memiliki tanggungjawab dari segi sejarah melaksanakan tanggungjawab antarabangsa," katanya.
 
Menjelang pilihan raya umum - dijangka sebelum November ini, keputusan Rasmussen dijangka memberi kelebihan kepada partinya untuk mendapat mandat sekali lagi.
 
Pakar konflik Afrika di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Denmark, Bjoern Moeller, berkata keputusan kerajaan turut dapat memenangi sokongan Washington.
 
Pandangan itu turut disokong Ketua Institut Hal Ehwal Antarabangsa Norway, Jan Egeland.

Kata Egeland, selepas beberapa tahun, Denmark kini memiliki peluang terbaik untuk memberi sokongan kuat kepada pembabitan tentera AS di negara luar.

"Bagi Norway pula, kerajaan mahu menunjukkan kepada semua pihak terhadap komitmen mereka menyokong setiap resolusi PBB," katanya. - AFP
 

+
 
Obama berdolak-dalik
 
SANTIAGO: Amerika Syarikat semalam memberi mesej berbeza mengenai matlamatnya menyerang Libya,
 
Presiden Barack Obama berkata pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mesti digulingkan tetapi pada masa sama, berikrar tentera Amerika akan mematuhi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
 
"Tindakan ketenteraan kami ialah menyokong mandat antarabangsa daripada Majlis Keselamatan yang secara khususnya tertumpu pada ancaman kemanusiaan Gaddafi terhadap rakyatnya sendiri," kata Obama pada satu sidang akhbar.

"Serangan udara dan peluru berpandu yang dilancarkan hujung minggu lalu adalah untuk menyokong Ketetapan 1973 Majlis Keslamatan PBB yang secara khusus tertumpu pada usaha kemanusiaan. Kami akan bertindak berdasarkan mandat itu," katanya.
 
Tetapi, pada masa sama, pemimpin Amerika Syarikat itu menegaskan: "Adalah menjadi dasar Amerika untuk melihat Gaddafi meletak jawatan."
 
Beliau menuduh pemimpin Libya itu yang sudah memerintah selama lebih empat dekad membunuh orang awam ketika cuba mematahkan kebangkitan pembangkang.
 
Pentadbiran Amerika berdepan dengan tekanan kerana tidak mendedahkan matlamat perang mereka di Libya walaupun Obama menegaskan beliau tidak akan mengerahkan tentera daratnya ke negara itu.
 
Pemerhati berpendapat, matlamat sebenar peperangan itu tidak dijelaskan dan tentera Amerika tidak mempunyai keupayaan untuk terbabit dalam satu lagi peperangan selepas Iraq dan Afghanistan.
 
Kecaman antarabangsa terhadap serangan yang dilancarkan oleh Amerika, Britain dan Perancis terhadap sistem pertahanan udara Libya juga semakin meningkat.
 
Pemerintah kanan tentera Amerika, Jeneral Carter Ham berkata, tentera bersekutu dengan jelas menumpukan serangan mereka untuk menguatkuasakan zon larangan terbang dan melindungi orang awam.

Beliau berkata, Gaddafi tidak menjadi sasaran dan kedudukannya tidak diketahui.

Tetapi, semalam, tentera bersekutu, buat kali kedua menyerang kompleks kediaman pemimpin Libya itu.

"Kami tidak mempunyai misi untuk membantu pemberontak Libya," kaa Ham kepada wartawan di Pentagon. -AFP
 
 

+

Tiada kebenaran sasar Gaddafi: Cameron
 
LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam berkata, tidak ada kebenaran rasmi untuk menukarkan rejim di Libya meskipun terdapat cadangan daripada menteri negara itu supaya Muammar Gaddafi menjadi sasaran serangan udara.
 
Selepas kompleks Gaddafi di Tripoli musnah dalam serangan tentera Barat, Cameron berkata, ketetapan Majlis Keselamatan PBB terhad pada penguatkuasaan gencatan senjata dan zon laran terbang bagi melindungi rakyat Libya.
 
"Ia secara khusus tidak menyebut mengenai kebenaran bagi menyingkirkan Gaddafi menerusi tindakan ketenteraan," kata Cameron kepada Parlimen sebelum anggota Dewan mengundi mengenai serangan itu.
 
Namun, menurutnya, Barat masih mahu melihat pemerintahan Gaddafi selama 41 tahun berakhir.

"Pandangan kami adalah jelas. Tidak ada masa depan yang baik untuk Libya selagi Gaddafi masih berkuasa," katanya.
 
Anggota Parlimen Britain memberi sokongan padu terhadap tindakan ketenteraan itu selepas jet dan kapal selam negara itu meneruskan serangan untuk hari kedua bersama-sama Perancis dan Amerika Syarikat.
 
Setiausaha Pertahanan, Liam Fox Ahad lalu berkata, ada kemungkinan tentera Britain mensasarkan Gaddafi.

Setiausaha Luar, William Hague tidak menolak kemungkinan itu. - Reuters
 

+
 
Beri pemberontak senjata: Iran
 
TEHERAN: Jika Barat mahu membantu orang awam di Libya, mereka perlu menyalurkan senjata kepada kumpulan penentang rejim Muammar Gaddafi, bukan mengebom pemimpin terbabit.
 
Dalam ucapan menyambut Nowruz (tahun baru Iran) semalam, pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, berkata apa yang dilakukan Amerika Syarikat ke atas Libya hanyalah langkah strategik bagi mendapatkan tapak di negara kaya dengan petroleum itu.
 
Khamenei turut menyelar kenyataan Presiden AS, Barack Obama, yang menganggap penunjuk perasaan pro-demokrasi di Iran sama seperti kebangkitan rakyat menentang kerajaan kuku besi di rantau Timur Tengah.

Sambil menyambut baik protes rakyat di dunia Arab sebagai 'kebangkitan Islam, Khamenei turut mengecam keras pendekatan diambil Gaddafi.
 
"Iran mengecam 100 peratus pentadbiran Gaddafi dan bagaimana dia menguruskan kemarahan rakyatnya.

"Bagaimanapun, kita juga mengecam 100 peratus pencerobohan serta campur tangan AS serta Barat di negara itu," katanya.
 
Sepatutnya, kata Khamenei, Barat menyalurkan senjata seperti kelengkapan antikapal terbang kepada pemberontak bagi menghadapi serangan rejim Gaddafi.
 
Katanya, AS bercadang menjadikan Libya sebagai tapak strategik bagi memantau kebangkitan revolusi di Tunisia dan Mesir.
 
"Itulah niat jahat Barat," katanya. - Reuters
 
 
+
 
Pemandu dakwa 3 wartawan media antarabangsa hilang kini ditahan tentera rejim Libya
 
TOBRUK: Tiga wartawan Barat yang hilang di timur Libya minggu lalu, ditahan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi, kata pemandu mereka, semalam.
 
Petugas media terbabit - termasuk dua daripada Agence France-Presse (AFP), Dave Clark dan Roberto Schmidt gagal dikesan sejak Sabtu lalu.
 
Seorang lagi petugas media yang ditawan adalah jurugambar Getty, Joe Raedle.

Pemandu wartawan itu, Mohammed Hamed, berkata dia membawa petugas media terbabit dari Tobruk menuju Ajdabiya bagi mendapatkan laporan pertempuran di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.
 
"Beberapa kilometer dari Ajdabiya, kami terserempak dengan konvoi tentera kerajaan.
 
"Kami berpatah balik tetapi dipintas kumpulan berkenaan," katanya. - AFP
 
 
+

Barat tidak ada hak di Libya: India
 
NEW DELHI: Negara asing tidak berhak mencampuri urusan dalaman Libya, kata pemimpin India, semalam, sekali gus menambah kecaman antarabangsa terhadap kempen ketenteraan ke atas rejim Muammar Gaddafi.
 
India yang bersikap berkecuali terhadap undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menguatkuasakan zon larangan terbang mengambil sikap sama seperti China dan Russia.

Ketiga-tiga negara itu mengecam serangan udara diketuai AS, Britain dan Perancis yang bertujuan melemahkan sistem pertahanan udara Libya.

Menteri Kewangan India, Pranab Mukherjee, berkata tiada mana-mana negara asing berhak campur tangan dalam konflik dalaman sesebuah kerajaan.

"Tiada negara boleh memutuskan untuk menukar sesuatu rejim," katanya.
 
Sama ada rejim terbabit akan berubah atau tidak, kata Pranab, bergantung kepada rakyat negara itu sendiri.
 
Menteri Luar India, SM Krishna, pula menggesa konflik itu dihentikan segera.

Semalam, media tempatan mengkritik sikap New Delhi yang kelihatan 'keliru' dan 'naif' terhadap isu berkenaan. - Reuters
 

+

Majoriti rakyat Britain bantah perang
 
LONDON: Kira-kira 53 peratus rakyat Britain berpendapat anggota tentera negara itu tidak perlu meletakkan diri mereka dalam bahaya untuk melindungi rakyat Libya daripada rejim Muammar Gaddafi.
 
Kajian pendapat terbaru juga mendapati, sebanyak 43 peratus daripada rakyat negara itu menentang serangan tentera terhadap negara itu. Hasil kajian itu yang dijalankan oleh ComRes Survey untuk stesen televisyen ITV News diumumkan semalam.
 
Hanya 35 peratus responden berkata, Britain bertindak betul untuk menyertai tindakan tentera antarabangsa bagi melaksanakan gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sementara 43 peratus tidak bersetuju dan 22 peratus lagi memberi jawapan tidak tahu.
 
Responden juga berbelah bagi mengenai sama ada tindakan itu memberi gambaran baik terhadap Perdana Menteri, David Cameron. - Reuters
 

+

Republikan selar Obama
 
WASHINGTON,: Semakin ramai anggota Republikan menyelar kegagalan Presiden Barack Obama menyediakan rancangan jelas mengenai serangan terhadap Libya.
 
Majoriti anggota parti itu menyokong strategi Obama di Afghanistan.
 
Namun, tokoh Republikan, termasuk Speaker Dewan perwakilan, John Boehner, Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata, Howard McKeon dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Ileana Ros-Lehtinen mempersoalkan serangan terhadap Libya.

Perselisihan pendapat itu boleh memburukkan lagi hubungan dengan Republikan ketika presiden dari Parti Demokrat itu memerlukan persetujuan mereka mengenai tahap belanjawan persekutuan di dalam negara bagi mengelak kerajaan menghentikan penyediaan perkhidmatan serta kemungkinan gagal membayar hutang.
 
Ros-Lehtinen menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan Obama setakat ini dalam memberi butir terperinci kepada rakyat Amerika mengenai kaitan kepentingan keselamatan dalam negara dengan serangan terhadap Libya.
 
Antara suara paling lantang dari anggota Republikan mengenai peranan Amerika dalam serangan itu ialah daripada anggota biasa parti itu yang mendapat sokongan daripada pergerakan Parti Teh.
 
"Ketika ini kita terbabit dengan dua peperangan dan saya tidak yakin kita perlu terlibat dengan perang ketiga," kata Senator Rand Paul, pengasas Parti Teh di Senat, merujuk kepada perang di Iraq dan Afghanistan.
 
Beberapa tokoh Republikan menggesa diadakan perbahasan Kongres mengenai tindakan Amerika di Libya. Malah ada yang mahu pengundian dijalankan berhubung perkara itu. - Reuters
 
 
+
 
China bimbang serangan bakal cetus bencana kemanusiaan
 
BEIJING: China memberi amaran, bencana kemanusiaan boleh berlaku di Libya dan bimbang dengan laporan kematian orang awam di negara itu.
 
Beijing turut menggesa pertempuran di negara utara Afrika itu dihentikan serta-merta.
 
Jurucakap Kementerian Luar China, Jiang Yu, berkata negara itu menentang sebarang tindakan yang menyebabkan kematian lebih ramai orang awam melalui tindakan ketenteraan.
 
"Kita melihat laporan bagaimana penggunaan tentera menyebabkan lebih ramai orang awam maut dan China menentang keras sebarang tindakan membawa bencana kemanusiaan," katanya.
 
Jiang tidak menyatakan secara langsung sama ada serangan itu melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam undian terhadap usul ke atas Libya minggu lalu, 10 negara anggota Majlis Keselamatan PBB menyokong resolusi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bagi melindungi orang ramai di situ daripada menjadi mangsa serangan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi.
 
Lima lagi anggota badan itu - termasuk China - mengambil sikap berkecuali.

Negara lain yang berkecuali adalah Russia dan India.
 
Bagaimanapun, Russia tidak menggunakan kuasa veto yang ada padanya sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Akhbar rasmi China turut meningkatkan bantahan mereka terhadap serangan udara ke atas Libya, semalam dengan menganggap pihak yang menyokongnya melanggar undang-undang antarabangsa. - Reuters
Unknown , Khamis, Mac 24, 2011 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog