Wikileaks diberi amaran keras
WASHINGTON 28 Nov. - Pentadbiran Barack Obama memberi amaran kepada WikiLeaks bahawa rancangannya untuk mendedahkan dokumen yang diklasifikasi sebagai dokumen Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) akan membahayakan banyak nyawa, mengancam operasi global memerangi pengganas dan memburukkan hubungan AS dengan sekutu-sekutunya.
Sebagai langkah tegas ekoran bimbang dengan kesan pendedahan itu, Jabatan Negara AS lewat semalam mengeluarkan satu surat daripada peguam kanan kepada pengasas WikiLeaks, Julian Assange bagi memaklumkan kepadanya bahawa tindakan menerbitkan dokumen itu adalah melanggar undang-undang dan menggesa supaya ia dihentikan.
Dalam surat itu, Penasihat undang-undang Jabatan Negara AS, Harold Koh berkata, penerbitan 250,000 dokumen diplomatik sulit yang dikatakan akan didedahkan oleh WikiLeaks itu boleh membahayakan banyak nyawa, mengancam operasi tentera yang sedang berjalan ketika ini dan mengugat kerjasama AS dengan negara-negara sekutu.
Menurut Jabatan Negara AS, mesej Koh itu adalah sebagai reaksi kepada satu surat yang diterima oleh Duta AS ke Britain, Louis Susman daripada Assange dan peguamnya, Jennifer Robinson pada Jumaat lalu.
Menurut Jabatan Negara, surat yang diterima kelmarin itu meminta maklumat berhubung individu-individu yang mungkin menghadapi risiko ancaman paling tinggi jika dokumen itu didedahkan.
"Walaupun anda menyatakan ia bagi melindungi nyawa mereka, tetapi sebenarnya anda telah melakukan sebaliknya dan membahayakan nyawa mereka yang tidak bersalah," tulis Koh dalam surat balasnya.
Menurut Koh, kerajaan AS tidak akan berurusan dengan WikiLeaks untuk menentukan apa yang perlu atau tidak perlu didedahkan.
Wikileaks dijangka mendedahkan dokumen-dokumen rahsia itu secara dalam talian hari ini dan Koh berkata, kerajaan AS telah dimaklumkan bahawa The New York Times, akhbar Britain, Guardian dan majalah Jerman Der Speigel telahpun diberi melihatnya.
Sementara itu, Britain dilaporkan bersiap sedia dengan kebanjiran maklumat sulit diplomatik yang dikatakan akan didedahkan oleh laman web WikiLeaks itu hari ini. - Agensi
+
WikiLeaks teruskan pendedahan
WASHINGTON 29 Nov. - Laman web WikiLeaks semalam mula mendedahkan lebih 250,000 dokumen diplomatik Amerika Syarikat (AS), termasuk berhubung kebuntuan membabitkan penyelidikan nuklear Pakistan dan desakan pemimpin- pemimpin Arab supaya AS menyerang Iran.
Dokumen lain turut melibatkan pembongkaran cubaan serangan siber kerajaan China terhadap Google, rancangan menyatukan semula semenanjung Korea selepas kejatuhan Korea Utara dan kenyataan Raja Abdullah dari Arab Saudi yang meminta AS mengebom Iran bagi menghentikan program nuklearnya dengan berkata: 'Penggal sahaja kepala ular itu'.
Maklumat sulit itu yang kebanyakannya bertarikh dari 2007 hingga Februari lalu turut mendedahkan bagaimana Jabatan Negara AS mengarahkan diplomat supaya mengintip pegawai asing, selain mendapatkan kad kredit mereka serta nombor penerbangan yang mereka naiki.
Pendedahan itu juga memperlihatkan kata-kata tertutup yang boleh menimbulkan skandal termasuk kenyataan Presiden Yemen yang berbunyi: 'Kami akan terus menyatakan bom itu milik kami dan bukan kepunyaan kamu' semasa membincangkan serangan sulit AS ke atas al-Qaeda.
Satu dokumen lagi mendedahkan tentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang menunjukkan beliau memerlukan rawatan hampir setiap masa daripada seorang jururawat Ukraine berambut perang yang mengghairahkan.
Akhbar New York Times, The Guardian di Britain, Der Spiegel di Jerman, Le Monde di Perancis dan El Pais di Sepanyol semalam melaporkan tentang pendedahan itu dan berkata, lebih banyak dokumen akan dibongkar dalam masa beberapa hari lagi.
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange menyifatkan pendedahan tersebut sebagai 'sejarah diplomatik AS' yang meliputi semua isu besar.
Pada bahagian pengenalan pendedahan, WikiLeaks menggambarkan AS sebagai kuasa besar hipokrit dan menyerang percanggahan antara imej 'baik' negara itu yang ditonjolkan berbanding apa yang dikatakan secara tertutup.
"Dokumen-dokumen itu menunjukkan intipan meluas AS ke atas sekutu-sekutunya dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di samping sengaja 'membutakan mata' terhadap rasuah dan penderaan manusia di 'negara-negara yang bergantung kepadanya'," jelasnya.
White House dalam reaksinya berkata, pendedahan tersebut 'sangat tidak berasas dan meletakkan nyawa pegawai-pegawainya dalam bahaya'.
"Pendedahan seumpama ini membawa risiko kepada diplomat, pegawai risikan dan dan semua individu di dunia yang datang ke AS bagi membantu menggalakkan demokrasi serta kerajaan terbuka," kata Setiausaha Media, Robert Gibbs dalam satu kenyataan. - AFP
+
WikiLeaks bocor rahsia AS
WASHINGTON Sebanyak 251,287 dokumen Amerika Syarikat (AS) disiarkan di laman WikiLeaks di Internet kelmarin yang membocorkan maklumat daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mengenai penilaian pemimpin dunia dan maklumat rahsia lain.
Maklumat yang disiarkan itu mencetuskan kejutan dalam kalangan pemimpin dunia dan dunia diplomatik.
Akhbar New York Times, Guardian dan majalah Der Spiegel bersama akhbar di Perancis serta Sepanyol memperoleh dokumen tersebut.
Namun identiti yang penyebar maklumat itu tidak didedahkan.
Menurut akhbar itu, kebanyakan maklumat tersebut dilabelkan sebagai maklumat sulit, disimpan sebagai dokumen paling sulit.
Antara kandungan mengejutkan itu ialah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengarahkan para diplomatnya memainkan peranan sebagai perisik dengan melakukan kerja-kerja pengintipan.
Sebagai contoh, satu arahan sulit dihantar kepada para diplomat AS dengan menggunakan nama Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada Julai tahun lalu.
Arahan itu meminta maklumat terperinci mengenai sistem komunikasi yang digunakan oleh para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut akhbar New York Times, salah satu arahan yang ditandatangani oleh Hillary adalah meminta maklumat biografi dan biometrik mengenai diplomat-diplomat Korea Utara daripada diplomat-diplomat AS.
Menurut akhbar Guardian, arahan itu meminta maklumat perisikan mengenai Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berhubung cara pengurusan dan caranya membuat keputusan serta pengaruhnya.
Dokumen itu turut mendedahkan penilaian mengenai watak dan peribadi beberapa pemimpin dunia yang dibuat oleh diplomat AS.
Antara pemimpin dunia yang dinilai itu ialah Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang dilabelkan sebagai Hitler yang merujuk kepada bekas pemimpin Jerman Adolf Hitler.
Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin tidak terkecuali daripada dinilai oleh para diplomat AS. Agensi
+
Amerika pandang hina pemimpin dunia.
WikiLeaks anggap Washington bersikap hipokrit dalam hal-ehwal antarabangsa
WASHINGTON: Laman web pembocor maklumat WikiLeaks semalam menyiarkan ratusan ribu dokumen diplomatik Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mendedahkan secara terperinci bagaimana Washington memandang rendah hingga menghina pemimpin dunia.
Paling serius, kabel itu juga menunjukkan Amerika mengarahkan operasi pengintipan terhadap diplomat asing di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa.
"Pembocoran maklumat itu adalah 'sejarah diplomatik Amerika' meliputi semua isu penting ketika Washington berdepan pendedahan memalukan"
Amerika menyifatkan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy terlalu mudah tersinggung dan mempunyai gaya kuku besi; Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin digelar Batman manakala Robin ialah Presiden Dmitry Medvedev dan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dirujuk sebagai 'Hitler'.
Selain itu, pemimpin Itali, Silvio Berlusconi, suka berparti dan tidak cekap sebagai seorang pemimpin moden Eropah; pemimpin Libya, Muammar Gaddafi pula dikatakan suka dengan seorang jururawat Ukraine yang montok dan mengiringinya ke mana saja manakala Canselor Jerman, Angela Merkel tidak suka mengambil risiko dan tidak kreatif.
Sementara itu, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, disifatkan 'amat lemah dan tidak suka mendengar fakta tetapi mudah dipengaruhi sesiapa yang melaporkan komplot terhadapnya meskipun sukar dipercayai manakala pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il, disifatkan 'lelaki tua yang gendut' dan mengalami trauma fizikal dan psikologi.
Akhbar The New York Times, The Guardian, akhbar Jerman Der Spiegel, akhbar Perancis Le Monde dan akhbar Sepanyol El Pais menyiarkan bahagian pertama dokumen berkenaan dan berkata susulan akan dibuat pada hari berikutnya.
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange menyifatkan pembocoran maklumat itu sebagai 'sejarah diplomatik Amerika' yang meliputi semua isu penting ketika Washington berdepan pendedahan memalukan itu.
WikiLeaks mula menyiarkan 251,287 maklumat, 15,652 daripadanya dianggap '
sulit' dari 274 kedutaan Amerika di seluruh dunia di laman webnya sendiri
http://cablegate.wikileaks.org
Dalam satu pengenalan, ia menyifatkan Amerika sebagai kuasa besar hipokrit dengan dua sikap berbeza ketika berada di khalayak dan ketika 'di balik tabir'.
"Maklumat itu menunjukkan tahap pengintipan Amerika ke atas sekutunya dan PBB; 'menutup sebelah mata' dalam isu rasuah dan hal asasi dengan 'negara rakan' rundingan 'belakang pintu' dengan negara yang sepatutnya berkecuali; melobi untuk korporat Amerika dan kaedah yang diambil diplomat Washington untuk merebut peluang.
Dokumen juga mendedahkan pertelingkahan nuklear Pakistan hingga kepada gesaan pemimpin Arab Saudi agar Iran diserang.
Maklumat yang dibocorkan itu juga mendedahkan usaha kerajaan China menggodam laman web Google, rancangan menyatukan Semenanjung Korea selepas kejatuhan Korea Utara dan kenyataan Raja Arab Saudi bahawa Amerika perlu mengebom Iran untuk menghentikan program nuklearnya dengan berkata: "Potong saja kepala ular itu".
Ia memperincikan kenyataan tertutup yang boleh mencetuskan skandal termasuk kata-kata Presiden Yaman kepada tentera Amerika, 'Kami akan terus kata bahawa bom itu kepunyaan kami dan bukan anda' ketika membincangkan serangan rahsia Amerika ke atas al-Qaeda. AFP/Agensi
+
Negara Arab minta AS serang Iran
WASHINGTON - Dokumen sulit Amerika Syarikat (AS) yang didedahkan dalam laman web WikiLeaks di Internet kelmarin mendedahkan bahawa pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah meminta AS menyerang Iran.
Tujuan serangan itu diminta adalah untuk menghalang program nuklear Iran.
Maklumat itu didedahkan menerusi penghantaran maklumat menerusi kabel melalui kedutaan AS.
Ia turut mendedahkan bahawa AS, Israel dan negara-negara Arab mengesyaki bahawa Iran semakin hampir untuk mengeluarkan senjata nuklear.
Raja Arab Saudi berulang kali menggesa AS untuk menyerang Iran bagi menamatkan program senjata nuklearnya.
"Baginda (Raja Abdullah) memberitahu anda (pegawai-pegawai AS) untuk memotong kepala ular," kata Duta Arab Saudi ke Washington, Adel al-Jubeir.
Maklumat itu didedahkan berdasarkan satu laporan berhubung mesyuarat antara Raja Abdullah dengan pegawai tinggi tentera AS, Jeneral David Petraeus pada April 2008.
Maklumat itu turut mendedahkan bahawa:
- Pegawai-pegawai di Jordan dan Bahrain meminta secara terbuka supaya program nuklear Iran dihentikan dengan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk ketenteraan.
- Pemimpin-pemimpin di Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir merujuk Iran sebagai jahat, satu ancaman yang wujud dan satu kuasa yang akan menyebabkan negara tersebut berperang.
- Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates memberi amaran pada Februari lalu bahawa jika usaha-usaha diplomatik gagal risiko perkembangan senjata nuklear di Asia Barat akan berlaku menyebabkan perang berlaku menerusi satu serangan Israel.
- Ketua Perisikan tentera Israel, Mejar Jeneral Amos Yadlin memberi amaran pada tahun lalu bahawa: "Israel tidak berada dalam satu kedudukan untuk silap penilaian ke atas Iran dan menjadi terkejut seperti AS mengenai serangan 11 September 2001."
- Ketika ditanya mengenai kenyataan itu, jurucakap Jabatan Negara AS, PJ Crowley semalam menyatakan bahawa dasar AS adalah tidak memberi komen berhubung bahan-bahan itu.
Iran berulang kali menyatakan bahawa program nuklearnya adalah untuk membekalkan tenaga dan bukan mengeluarkan senjata nuklear. - Agensi
+
'Isytihar WikiLeaks badan penjenayah'
AS marah tindakan siar kabel diplomatik
WASHINGTON: 'Senaraikan WikiLeaks sebagai pengganas', 'Dakwa Wikileaks' dan 'Tidak Bertanggungjawab' adalah antara maklum balas ahli perundangan Amerika Syarikat yang berang dengan penyiaran lebih 250,000 kabel diplomatik kelmarin kerana disifatkan sebagai mengancam nyawa dan keselamatan negara itu.
Sekurang-kurangnya seorang pembuat dasar Amerika menggesa pendakwaan ke atas pengasas laman web pendedahan rahsia yang sebelum ini mengeluarkan hampir setengah juta laporan sulit tentera berhubung perang ke atas Iraq dan Afghanistan.
Rumah Putih menggelar pendedahan kelmarin satu 'tindakan tidak bertanggungjawab dan bahaya' selepas butiran sebahagian kabel diplomatik itu diterbitkan akhbar The New York Times (NYT) dan media Eropah.
"Jelas, pendedahan seperti itu memberi risiko kepada diplomat kami, perisik profesional dan mereka di seluruh dunia yang datang ke Amerika untuk bantuan mempromosi demokrasi dan dasar keterbukaan kerajaan," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Robert Gibbs.
Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar yang juga Senator Demokrat, John Kerry, menggelar pendedahan itu 'tindakan tidak bertanggungjawab yang membahayakan nyawa' dan menolak kenyataan pengasas Wikileaks, Julian Assange bahawa mereka bertindak untuk kepentingan awam.
"Ini bukan latihan akademik mengenai kebebasan maklumat dan ia tidak sama dengan pendedahan Kertas Pentagon yang membabitkan analisis bertujuan menyelamatkan rakyat Amerika dan mendedahkan penipuan kerajaan," merujuk kepada sejarah rahsia Perang Vietnam yang bocor pada 1971. AFP
+
Wanita montok iringi Gaddafi
WASHINGTON: Pemimpin veteran Libya, Muammar Gaddafi bimbang terbang merentasi lautan, lebih gemar untuk tinggal di tingkat bawah dan hampir tidak pernah melakukan perjalanan tanpa jururawat kepercayaannya warga Ukraine, seorang 'wanita montok berambut perang' menurut dokumen Amerika Syarikat dikeluarkan WikiLeaks kelmarin.
Gaddafi disifatkan mempunyai personaliti pelik dan tidak dapat diramalkan mengikut kabel Jabatan Negara yang disiarkan laman web akhbar New York Times (NYT), sampel kecil daripada lebih 250,000 dokumen yang didedahkan WikiLeaks kelmarin.
Kabel sejak September 2009 menggambarkan bagaimana Gaddafi yang lebih gemar penerbangan pendek dan kemudahan di tingkat bawah yang memberi masalah logistik kepada kakitangannya.
Malah, pemimpin Libya itu tidak pernah melakukan lawatan tanpa seorang jururawat Ukraine di sebelahnya, Galyna Kolotnytska.
"Gaddafi memiliki sepasukan jururawat dan bergantung penuh kepada jururawat Ukraine itu yang digambarkan sebagai seorang wanita montok berambut perang," kata satu kabel rahsia dari Tripoli, 29 September 2009.
Satu sumber memberitahu Kedutaan Amerika Syarikat bahawa Gaddafi tidak boleh melakukan lawatan tanpa Kolotnytska kerana dia saja yang tahu rutin pemimpin itu.
"Sesetengah pegawai kedutaan mendakwa Gaddafi dan Kolotnytska, 38, memiliki hubungan romantik," katanya.
"Ketika beliau tidak mengulas berhubung khabar angin itu, seorang pegawai politik Ukraine baru-baru ini mengesahkan bahawa jururawat Ukraine itu berkunjung ke mana saja dengan pemimpin berkenaan."
Kabel itu ditulis selepas pihak berkuasa Amerika membincangkan rancangan lawatan pemimpin Libya itu ke New York tahun lalu untuk berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Selepas dokumen perjalanan jururawat berkenaan ditangguhkan, Kerajaan Libya menguruskan satu pesawat peribadi untuk mengambilnya supaya dia dapat menyertai Gaddafi dan rombongannya ke Portugal, yang mana pemimpin itu bermalam dalam perjalanan ke New York, menurut dokumen.
Ketika lawatannya yang pertama ke Amerika Syarikat, Gaddafi tidak dibenarkan untuk mendirikan khemah biasanya di Manhattan atau melawat tapak serangan 11 September di Pusat Dagangan Dunia. AFP
+
WikiLeaks akan bongkar lagi
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Pengasas Wikileaks, Julian Assange merancang untuk mendedahkan pula dokumen sulit mengenai kepincangan dalam industri perbankan melibatkan bank-bank utama di Amerika Syarikat (AS).
Assange, 39, merancang mendedah berpuluh-puluh ribu dokumen dalaman berhubung kepincangan dalam bank-bank utama AS awal tahun depan, lapor Forbes Magazine.
Nama Assange terus menjadi sebutan apabila beliau mencetuskan kegemparan baru-baru ini bertindak mendedahkan rahsia sulit AS mengenai perang di Iraq dan Afghanistan melalui laman web itu, sehingga menimbulkan kemarahan negara kuasa besar itu.
Beliau terus menarik perhatian dunia apabila membuat pendedahan terbaru berhubung berpuluh-puluh ribu dokumen sulit diplomatik AS sehingga menggugat pentadbiran Presiden Barack Obama.
Soalnya siapakah Assange?
- Assange merupakan seorang warga Australia dan kini menetap di Sweden dan berhadapan tuduhan rogol dan mencabul.
- Pada 20 Ogos, 2010, satu siasatan dibuka terhadap Assange di Sweden berhubung dakwaan beliau merogol seorang wanita di Enköping pada 14 Ogos. Dua hari kemudian beliau didakwa melakukan keganasan seksual terhadap seorang lagi wanita yang tinggal bersamanya di Stockholm.
- Pada 18 November, Mahkamah Daerah Stockholm meluluskan permintaan untuk menahan Assange berhubung dakwaan merogol dan mencabul.
- Assange mula mewujudkan laman web kontroversi itu pada 2006.
- Beliau berpegang pada prinsip 'setiap individu boleh mengakses semua perkara' dan atas kepakarannya sebagai penggodam komputer, beliau mula menggodam laman-laman web kerajaan dan syarikat-syarikat dari seluruh dunia sebelum WikiLeaks diwujudkan lagi.
- Pada pertengahan 1990-an, Assange didenda di Australia selepas mengaku bersalah di atas 24 tuduhan menceroboh laman-laman web.
- Pada Julai lalu, beliau mendedahkan rahsia perang di Afghanistan menerusi laporan Afghan War Diary yang menyaksikan pembongkaran 92,000 dokumen sulit, diikuti 400,000 dokumen maklumat sulit AS berhubung perang Iraq pada bulan lalu.
- Ahad lalu, beliau mendedahkan lebih 250,000 dokumen mengandungi maklumat diplomatik AS serta kenyataan-kenyataan memalukan pemimpin-pemimpin dunia.
- Pada 20 November, satu waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan melalui Interpol oleh Polis Sweden bagi menangkapnya. Satu waran tangkap turut dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah (EU) melalui Schengen Information System.
- Pada 29 November, Peguam Negara Australia, Robert McClelland memberitahu sidang media bahawa Australia akan melancarkan siasatan ke atas WikiLeaks dan kegiatan Assange berikutan pendedahan dokumen sulit AS itu.
- Pada hari yang sama, Timbalan Menteri Luar Ecuador, Kintto Lucas menawarkan Assange untuk tinggal di negara itu tanpa sebarang syarat. - Agensi
+
WikiLeaks hadapi dua serangan elektronik
WASHINGTON: WikiLeaks, menghadapi dua serangan elektronik sejak kelmarin yang bertujuan menyekat pengguna membaca beribu-ribu dokumen sulit yang memalukan Amerika Syarikat di mata masyarakat antarabangsa tetapi laman web pembocor rahsia itu terus berjaya berfungsi.
Laman web berkenaan menghadapi serangan pertama Ahad lalu sebelum ia menyiarkan 25,000 kabel diplomatik Amerika. Serangan biasanya menggunakan taktik menghantar banyak permintaan untuk mendapat data ke laman web sasaran. Kesan serangan itu belum jelas, lapor Cable News Network (CNN).
WikiLeaks kembali pulih serangan serangan pertama dengan menyiarkan dokumen berkenaan yang dikumpul dari kedutaan Amerika di seluruh dunia.
WikiLeaks menyifatkan penyiaran kabel diplomatik itu sebagai pendedahan maklumat rahsia terbesar dalam sejarah.
"Dokumen itu mendedahkan kepada dunia kegiatan hal ehwal antarabangsa kerajaan Amerika," katanya dan mendedahkan serangan elektronik kedua ke atasnya dalam mesej di Twitter.
Sumber serangan terbaru tidak diketahui tetapi pakar komputer Arbor Networks tindakan terbaru membabitkan taktik lebih sofistikated kerana menyerang pelayan WikiLeaks dan tidak hanya meminta data.
Seorang penggodam, Jester, yang pernah menyerang laman web militan Islam, mendakwa menggunakan aplikasi gelombang rendah untuk cuba melumpuhkan WikiLeaks.
Tidak diketahui juga siapa yang 'mengarahkan' serangan dilakukan terhadap WikiLeaks yang dikecam Amerika dan sekutunya atas pendedahan terbaru.
Apapun, tidak kira siapa yang melancarkan serangan dan kaedah yang digunakan gagal memberi kesan terhadap penyaluran maklumat WikiLeaks.
Selain itu, sekalipun laman WikiLeaks terganggu, media termasuk akhbar Britain dan Amerika, The Guardian serta New York Times masih dapat mengakses dokumen rahsia itu dan menyiarkannya. Agensi
+
Jangan terperangkap dengan WikiLeaks: Teheran
TEHERAN: Iran semalam menyuarakan kesangsian terhadap kesahihan dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks.
Sehubungan itu, ia mendesak negara Arab yang berjiran dengannya supaya tidak terpedaya dengan 'perangkap' itu.
Memo diplomatik Amerika Syarikat dari negara Arab yang didedahkan WikiLeaks sejak beberapa hari lalu membongkar tumpuan terhadap ancaman nuklear Iran serta kebimbangan kemungkinan sengketa serantau tidak dapat dielakkan.
"Ini adalah rancangan yang penuh dengan kesangsian. Ia memasukkan beberapa elemen jenayah Barat dan Amerika Syarikat untuk membolehkannya kelihatan sebagai boleh dipercayai," kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast ketika menjawab soalan mengenai pendedahan itu pada sidang akhbar di Teheran.
Menurutnya, musuh dunia Islam berusaha melaksanakan projek 'Iranophobia' dan perpecahan.
"Projek ini hanya melindungi kepentingan rejim Zionis dan penyokongnya," kata Ramin, merujuk kepada Israel.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad sebelum ini menolak dokumen yang didedahkan WikiLeaks dengan menyifatkannya sebagai 'tidak bernilai.' - AFP
+
Korea Utara gila: Kuan Yew
SINGAPURA: Laman sesawang WikiLeaks mendedahkan, pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menggelar Korea Utara sebagai 'orang gila' (psikopatik), manakala pemimpinnya, Kim Jong-Il dianggap 'orang tua gemuk' yang menuntut pihak lain memujanya.
Dalam dokumen memperincikan perbualan di antara Kuan Yew dan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, James B Steinberg, dan disiarkan laman sesawang berkenaan, pemimpin veteran Singapura itu berkata, dia akan terkejut jika Korea Utara bersetuju menyerahkan senjata nuklearnya seperti dituntut Barat.
"Mereka adalah manusia gila dengan seorang tua gemuk menjadi pemimpin berarak keliling stadium mengharapkan pujian," katanya.
Perbualan Kuan Yew dengan Steinberg berlangsung pada Mei tahun lalu.
Kini berjawatan Menteri Mentor, Kuan Yew membandingkan masalah Korea Utara dengan pengalamannya hidup di zaman Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
"Kuan Yew berkata, berdasarkan pengalaman tiga setengah tahun di Singapura itu, orang ramai akan mentaati mana-mana kerajaan yang berjaya menafikan makanan, pakaian dan perubatan untuk mereka," kata dokumen berkenaan.
Menurut perbualan, Kuan Yew yakin Korea Utara boleh menyerahkan senjata usangnya tetapi menyimpan bom nuklear sebagai langkah berjaga-jaga jika AS menyerang Pyongyang.
"Sebagai tindak balas terhadap Korea Utara, Jepun mungkin membangunkan senjata nuklearnya sendiri," katanya.
Pada masa sama, kata Kuan Yew, Beijing rela Korea Utara dilengkapi senjata nuklear berbanding rejim itu dijatuhkan kerana menganggap negara berkenaan sebagai penampan bagi keselamatannya. - AFP
+
WikiLeaks ada satu lagi fail misteri
LONDON - Laman web WikiLeaks menggesa orang ramai memuat turun satu fail 'insurans' misteri yang dipercayai menyimpan maklumat yang akan disebarkan jika pengasasnya, Julian Assange dibunuh, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam satu mesej di laman jaringan sosial Twitter semalam, WikiLeaks menyiarkan pautan kepada fail dikenali sebagai Pirate Bay bersama komen: "Kini adalah masa sesuai untuk memuat turun 'insurans sejarah".
Fail gergasi itu yang bersaiz hampir 2 Gigabit (GB), dipercayai menyimpan beribu-ribu dokumen rahsia Amerika Syarikat (AS) dengan tujuan untuk memalukan kerajaan dan berpotensi menjejaskan hubungan AS dengan negara-negara sekutunya.
Fail tersebut berada di Internet sejak musim panas tahun ini dan ia dikunci dengan menggunakan kod rahsia.
Jika berlaku kematian Assange, kunci rahsia itu akan dibuka sekali gus mendedahkan dokumen-dokumen sulit tersebut kepada sesiapa yang memuat turun fail itu dan memiliki kuncinya.
Tidak dapat dipastikan mengapa WikiLeaks kini menggesa pengguna Internet supaya memuat turun fail berkenaan tetapi keputusan itu dipercayai berkemungkinan kerana ia merancang untuk mendedahkan kuncinya tidak lama lagi. - Agensi
+
AS kawal ketat maklumat
WASHINGTON - Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) kelmarin menyatakan ia amat kesal dengan pendedahan sebarang maklumat rahsia dan akan mengetatkan kawalan keselamatan bagi menghalang pembocoran maklumat seperti pendedahan kabel diplomatik Jabatan Negara AS oleh WikiLeaks.
Lebih 250,000 kabel diplomatik diperoleh laman web berkenaan yang kemudian diserahkan kepada akhbar New York Times dan kumpulan media lain.
Pendedahan tersebut membawa kepada penyiaran berita mengenai urusan dalaman diplomatik AS termasuk penilaian yang melucukan dan memalukan terhadap pemimpin-pemimpin dunia.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton menyatakan pembocoran ratusan ribu maklumat diplomatik itu merupakan satu serangan ke atas masyarakat antarabangsa selain AS.
Beliau yang membuat komen pertama mengenai pembocoran maklumat oleh WikiLeaks itu menyatakan pemberi maklumat kepada laman itu bertindak secara haram.
Menurutnya, pentadbiran Presiden Barack Obama sedang mengambil beberapa langkah agresif untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab mencuri maklumat tersebut. - Agensi
Adam Merah
,
Khamis, Disember 02, 2010
|
0
komentar ::
Blog Gadgets
...lagi Artikel yang Berkaitan :
Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah
JOIN TO MEMBER BLOG
atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
Author / Penulis
PENULIS
Adam Merah
CHAIRMAN :: Saya bermula di blog ini pada februari 2007 selepas dijemput oleh Mr. Ttuyup. Pada bulan november 2007 saya mengambilalih sepenuhnya bloh ini daripada Mr. Ttuyup, tetapi bermula Mac 2008 saya mengubah bentuk dan corak penampilan blog ini. Saya pernah mengubah alamat blog ini kepada www.red10.tk yang diperolehi secara percuma. Selepas setahun kemudian alamat ini dipadamkan selepas pihak terbabit mengenakan bayaran.
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang
Pendedahan Wikileaks silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "