2+4 hrs...Twogether Fourever

/

..:: Mungkinkah... (Episod 8) ::..

ANAK kunci yang baru dikeluarkan dari beg tangan. Dengan perlahan kunci diacu ke tombol pintu. Kasut kulit lelaki yang berkilat menimbulkan tanda tanya dilubuk hati. Diabaikan perasaan sangsi yang mula menyemarak. Tombol pintu dipulas dan pintu dibuka dengan perlahan. Anak kecil yang masih bersinar dengan senyuman dipimpin masuk bersama.

Hujung selendang dikibaskan. Bahang akibat simbahan cahaya matahari belum reda. Suis kipas dihidupkan. Mak Limah memimpin Sofea ke sofa. Duduk melepaskan lelah. Perjalanan hampir sehari suntuk memang memenatkan. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa dua tiga jam menjadi lebih panjang kerana menaiki kenderaan awam.

Pemuda itu terus menerjah keluar dan berlarian menuruni anak tangga. Dengan pakaian yang separa basah dia menuju bilik Mak Limah. Bergegas menyimpan semua baju dan peralatan peribadi ke dalam beg. Pintu ditutup rapat dan dikunci dari dalam.

Farisya menuruni anak tangga dengan perlahan. Dua susuk tubuh yang menjadi tamu mata membuahkan kejutan di hati. Bibirnya mengukir senyuman dan kian melebar apabila dibalas. Bila masa pulak diorang sampai. Tak perasan pun, jadi diorang nampak la Syam. Adui.

"Bila mak sampai?" Tubuh tua itu dihampiri. Farisya menyapu pipinya, membuang air yang membasahi.

"Adala dalam lima minit. Kenapa lelaki tu kat sini."

"Isya ajak dia tidur kat sini." Kegelisahan mula menyelubungi raut wajah tua itu. Farisya menyedari perubahan air muka Mak Limah, pelahan tangan tua itu diusap.

"Mak jangan takut. Hari ni dia balik KL."

Bunyi hon kedengaran dari luar rumah. Farisya menyelak langsir, sebuah Proton Perdana V6 berwarna hitam sedang menanti di pinggiran jalan. Dia pasti itulah kereta syarikat yang dimaksudkan Syamsul. Segera dia melangkah ke bilik Mak Limah lalu diketuk.

"Jap, tengah siap."

Tombol pintu cuba diputar, gagal, pintu dikunci dari dalam. "Aler. Apa pulak kunci, camne Sya nak tolong."

Pintu dibuka. Syamsul keluar bersama beg pakaian. "Syam dah siap baru nak tolong."

Melangkah perlahan menuju ke pintu utama. Dipertengahan jalan dia melemparkan senyuman ke arah Mak Limah dan Sofea.

Farisya pegun di pintu, memerhatikan pemergian Syamsul. Membalas lambaian Syamsul yang sedang membolos masuk ke dalam kereta. Perdana V6 itu meluncur laju dan menghilang di sebalik barisan rumah. Dia masih lagi di pintu, memerhatikan lokasi di mana hilangnya kereta.

Pintu ditutup kembali. Dia melangkah mendapatkan Mak Limah dan Sofea. "Nape tak bagitau. Isya boleh jemput."

"Takpelah, mak tak nak menyusahkan orang." Perlahan melangkah meninggalkan Farisya terpinga-pinga.

 

--ooOoo-

COMFORTER tebal ditarik hingga menutupi leher. Begitu nyenyak tidur sehingga tidak sedar waktu. Mata dibuka perlahan, sinar terang yang menerusi tingkap memanah retina. Shahrul merenung jam di dinding. Pukul tujuh pagi, dah tiba waktu berangkat. Bibirnya dimajukan ke pipi Tina, mencium pipi.

Lena terganggu apabila terasa pipinya dikucup. Tina membuka mata, wajah Shahrul memenuhi bola mata. Bibir merah menyentuh bibir Shahrul, sebentar saja. Dengan malas Tina bangun mencapai tuala di pinggir katil. Memandang Sharul yang sudah berseluar.

Shahrul tersenyum melihat Tina yang sedang berpakaian.

"Dah sampai masa. Shah nak balik. Jumpa lagi."

"Tunggu la sekejap. Kita breakfast sama-sama." Tina bergerak menuruni tangga, mendahului Shahrul yang sedang mencari kata yang sesuai untuk menolak.

Takpelah, lewat sikit. Bukannya selalu lewat.

"Tina tak kerja ke hari ni?" Soalnya setelah berada di samping Tina yang sedang menyiapkan roti bakar.

"Tak, belum ada call lagi." Roti yang masih panas disapukan dengan kaya. Tina mengerling ke arah Shahrul yang dari tadi memandangnya.

"Kenapa?"

MC ajelah hari ni. Malas pulak nak datang kerja bila dah jumpa Tina ni. "Kita picnic macamana?"

Senyuman mekar di bibir Tina. Tak puas-puas lagi. Dah semalaman bersama pun masih nak bersama lagi. Tina masih lagi berdiam, mengiakan pun tidak menfaikan pun tidak.

Shahrul menjongket kening. Sekian lama menanti pertanyaannya yang dibiarakan tanpa keputusan.

"Amacam? Ok ke?"

Seronok Tina melihat Shahrul menanti jawapan. Timbul pula rasa kasihan. "Ok jugak, kat mana?"

"Yang dekat-dekat ajelah."

"Batu Layar?"

"Kat Kota tu ke?" Tina mengangguk memberikan pengesahan. "Ok gak. Nak bertolak bila?"

"Nanti la, tak sabar la Shah ni. Gelojoh. Perempuan tak suka tau."

"Eleh, ada la."

Tanpa soalan diajukan Shahrul sudah dapat membaca melalui kerutan di dahi Tina. Lantas memberikan jawapan walaupun tidak disoal.

"Tina la."

Akibatnya satu cubitan mengenai lengan.

 

--ooOoo-

WAP dari nasi hangat menyerbu keluar apabila penutup dibuka. Perlahan diceduk bagi memenuhi pinggan polistrene. Farisya menghulur pinggan separuh penuh itu kepada Sofea. Melihat raut ceria di wajah anak kecil itu membuatkannya tenang. Menghilangkan sebahagian tekanan kerja seperti pada awal pertemuan dahulu.

Mak Limah memerhati kehadiran ombak yang tiada putusnya. Tiupan bayu mengerbangkan sedikit selendang yang dipakai. Pandangan dialihkan, wajah Farisya memenuhi ruangan mata. Melihat senyuman dari wanita muda itu mengingatkannya pada seseorang. Seseorang yang telah meninggalkannya selama-lamanya. Pada masa Sofea belum mampu mentafsir apa-apa.

"Mak." Farisya mengayangkan tangan di hadapan mata Mak Limah. "Kenapa ni, sugul aje?"

Bibirnya mengukir senyum. Menafikan perasaan sedihnya ketika itu. "Takde apa-apa. Mak teringatkan arwah ibu Sofea."

"Yang dah pergi tu biarlah. Kita yang hidup ni sepatutnya mendoakan agar dia tergolong di antara orang yang disayangi Allah." Farisya mengusap lutut Mak Limah, penuh kasih.

Tangan yang mengusap lututnya disentuh. Pandangan mereka bertentang. Mak Limah masih lagi terbayang wajah Fathiah yang bersungguh memohon agar anak yang akan lahir dijaga rapi. Saat arwah menyatakannya seolah-olah sudah mengetahui ajal akan tiba.

"Muka Isya mirip dengan dia. Bila terpandang wajah Isya, mak teringatkan dia."

"Alah. Pelanduk dua serupa. Kat dunia ni ada tujuh orang yang sama dengan kita."

Anggukan kepala menyatakan dia bersetuju dengan apa yang dikatakan. Mungkin juga. Tak mustahil akan bertemu orang yang hampir sama. Melihat Sofea yang cukup ceria setelah bersama Fariysa, dia tenang. Setidak-tidaknya dia sudah melunaskan sebahagian dari tanggungjawab, memberikan kebahagiaan pada Sofea.

"Mak tak makan?" Farisya mula menyuap nasi lemak ke mulut. Sedap air tangan Mak Limah.

Mak Limah mengangkat tangan. "Takpelah, makan la dulu. Ni Isya cuti tak pe ke?"

"Alah, semua kerja dah siap. Tak pe la agaknya. Lagipun badan letih la, penat pergi KL belum habis lagi." Farisya membuang pandangan kea rah Laut China Selatan. Angin yang menyerbu Pantai Penyabong dengan sederhana kuat menyapa pipi. Hadirnya dia di situ bukan untuk bermandi-manda, sekadar menghilangkan rasa rindu terhadap pantai, laut dan ombak. Tiga sekawan setia bersama sehingga tiupan sangkakala.

 

--ooOoo-

LAMPU dari kereta membolehkan dia membuka pintu pagar dengan teratur. Dibiarkan kereta itu masuk dan diberhentikan. Ditutup kembali pintu pagar dan terkocoh-kocoh mendapatkan pintu utama. Tina membuka pintu luas-luas. Menanti Shahrul untuk masuk bersama.

Shahrul mendapatkan Tina. Memaut lembut pinggang Tina. Langsung dia tidak menyedari wanita itu isteri orang. Apa yang pasti Tina masih lagi menyayanginya. Kerana itulah dirasakan Tina masih lagi setia. Masih lagi mengekang mana-mana lelaki untuk bertakhta di hati.

Mereka berjalan bertaut antara satu sama lain dengan mesra. Tiada terdetik rasa bersalah secubit pun di hati Tina. Bukan saja membohongi Shahrul dengan menyembunyikan status sebenarnya. Bukan saja menghalau Sofea dan Mak Limah tanpa sebab yang munasabah. Dia telah mencurangi ikatan pernikahan.

Punggungnya dilabuhkan atas sofa. Menanti Tina yang menghilangkan diri ke dapur. Shahrul mengerling jam tangan. Sudah hampir lewat malam dan seharusnya pulang. Sedang leka termenung, Tina muncul bersama dua biji mug yang masih berwap di tangan. Bersama senyuman yang mekar di bibir.

"Minumla dulu, biar segar sikit." Tina duduk bersebelahan. Turut menyuakan mug ke mulut. Menghirup perlahan agar bibir tidak melecur.

"Boleh ke Tina hantar Shah balik?"

Tina menjongket kening. Merenung mata Shahrul. "Apa pulak tak bolehnya."

"Takut Tina tak larat aje." Shahrul tersengih, seketika. Mug dirapatkan semula ke mulut. Menghirup Nescafé O panas. Lazat, menyegarkan segenap saraf.

"Ler, bukan ke pergi Shah bawak, balik Tina bawak. Tak ler penat sangat."

Nescafé O panas semakin surut. Menunjukkan waktu untuk pulang sudahpun tiba. Shahrul meletakkan mug yang tidak bersisa di atas meja cermin. Letih memandu ke Tanjung Balau hilang sedikit setelah menghirup Nescafé O.

Keindahan Pantai Batu Layar di Tanjung Balau terpahat diingatan. Akan kekal tersimpan di situ menjadi memori yang indah. Lebih-lebih lagi jika berjalan di tepian pantai bersama orang yang paling disayangi. Bertautan tangan mengorak langkah meniti pasir putih yang setia menanti kunjungan ombak.

 

--ooOoo-

BADANNYA terasa lemah. Entah apa yang ditelan semalam sehingga tekak terasa loya langsung memuntahkan segala isi perut. Farisya duduk melepek di sofa. Memicit kepala yang terasa berdenyut-denyut. Tak pernah dia merasa teruk sebegini. Jika demam pun dia bisa berjalan-jalan agar berpeluh dan demam akan kebah.

Tubuh lemah dirapati. Kepalanya digelengkan. Belakang tangan diletakkan di dahi Farisya. Mak Limah mengerut kening, suhu normal. "Biasa aje. Bukan demam ni."

"Entahlah mak, salah makan agaknya."

Naluri tuanya mengagak sesuatu. Berdasarkan pengalaman dia cuba menyentuh perut Farisya. Diurut ringan dan melakukan beberapa siri usapan. Mak Limah mengangguk kecil.

"Mak rasa mak dah tahu."

"Apa dia mak?" Farisya mula menyoal walaupun dari seawal tangan tua menyentuh perutnya dia mula musykil.

"Mak tak berani nak cakap. Isya pergi klinik, biar doktor pastikan."

"Cakap ajelah mak. Isya tak kesah pun. Betul ke tidak telahan mak tu, nanti kita pastikan." Tangan tua digoncangkan. Dia merayu pada Mak Limah, dia mahu tahu apa yang orang tua itu rasakan.

"Isya, mak tak suka campur hal orang." Berat rasa hatinya untuk memberitakan. Mak Limah menarik nafas dalam-dalam, agar wujud kekuatan pada dirinya.

"Tapi, mak dah anggap Isya macam anak mak. Elok Isya hubungi Syamsul segera. Beritahu dia sebelum anak ni lahir."

What? Anak? Farisya terlongo. Tak mungkin! Karut. Farisya mengetap bibir. Manik-manik jernih mula menuruni dan membasahi pipi.

"Isya, bertaubatlah. Pintu taubat masih lagi terbuka."

Air matanya diseka. Farisya memandang wajah Mak Limah lama-lama. "Mak temankan Isya pergi klinik."

Mak Limah mengangguk. Setiap manusia tak lepas dari melakukan dosa. Setiap kali kata-kata itu memujuk hatinya, agar dia tenang bersama Farisya. Dia tidak tahu mengapa Farisya boleh melakukannya. Dia tahu gadis itu bukanlah cetek agamanya. Dia pasti gadis itu bukan mudah diperdaya.

Farisya melangkah lemah menuju kereta. Tak mungkin aku mengandung. Sakit perut mungkin kerana alahan. Tapi... entahlah, sukar untuk memastikan telahan Mak Limah. Untuk menyangkal, dia terlalu muda. Untuk menafikan, dia bukan doktor.

 

--ooOoo-

" TAHNIAH puan, melalui siri ujian, saya dapat pastikan puan sudah mengandung." Senyuman manis yang mengakhiri kata-kata doktor perempuan seumpama sembilu yang menusuk hati.

"Kandungan puan kini berusia kira-kira lapan minggu."

"Terima kasih." Farisya menjawab acuh tak acuh. Bibirnya dihiasi senyuman tawar.

"Hubungilah suami puan, dia pasti girang dengan berita gembira ini."

Farisya masih lagi tersenyum, tawar. Gembira? Mungkin... Mungkin juga tidak. Ya Allah, tabahkanlah hambamu ini di dalam menempuh ujianmu. Langkah longlai keluar mendapatkan Mak Limah yang sedang menanti bersama Sofea.

Sepanjang perjalanan Farisya membisu. Lapan minggu... maksudnya dua bulan. Lagi tujuh bulan anak ini akan lahir. Dan waktu di antaranya, pasti semakin hari perut ini akan membesar. Bila perut mula membuncit timbullah fitnah dan umpatan dari mulut-mulut celupar. Bagaimana mahu menghadapai semua ini.

Allah... Nafas panjang dihela.

"Ibu... ibu sakit apa?" Sofea mula bosan dengan suasana sunyi menyelubungi.

"Sakit perut aje sayang, ibu salah makan agaknya." Matanya mengerling ke arah Sofea yang menempatkan kepalanya di antara dua kerusi.

"Tu la... Lain kali suruh nenek aje yang masak. Tak payah makan kat luar." Petah anak kecil itu berkata-kata. Farisya hanya tersenyum.

"Nenek pun ada kata, tak elok makan asam, jeruk. Nanti sakit perut. Ibu makan asam ye?"

"Ala... Ibu makan sikit aje."

"Sikit pun tak elok untuk kesihatan. Kalau dah sakit macam ni, dah tak boleh pergi kerja."

"Baik Cik Doktor, saya menurut perintah." Farisya memicit hidung Sofea yang berjaya dicapainya.

Setelah beberapa ketika dilepaskan.

"Sofie nak jadi doktor ke dah besar nanti?"

"Tak lah. Sofie nak jadi macam Linda Onn."

"Kenapa pulak sayang?"

"Jadi doktor orang tak kenal. Tengok macam Kak Linda, sebut aje semua orang kenal."

Terhibur hatinya dengan telatah selamba Sofea. "Jadi doktor tugas mulia, dapat membantu orang dalam penderitaan dan kesusahan."

"Sofie tau la, saje je cakap nak jadi macam Kak Linda tadi. Sofie memang nak jadi doktorlah."

Farisya menggengkan kepala. Kepetahan Sofea berkata-kata membenarkan mindanya melepaskan masalah yang dihadapi.

Gugurkan... tergamakkah membunuh zuriat yang tidak berdosa. Zuriat yang belum lagi mengenal dunia. Astaghfirullahal'azim. Sampai ke situ syaitan memujuk.

 

--ooOoo-

TIUPAN angin mengerbangkan rambut halus lurus. Disisipan rambut yang terurai di sebalik telinga. Sofea menuruti. Entah apa yang dimenungkan ibu. Dia hanya menurut wanita itu menopang dagu di atas bangku simen. Kemurungan ibu membuatkan dia semakin tak faham. Ke mana pergi ibu yang ceria dulu.

Keluhan dilepaskan. Mindanya masih lagi dirundung masalah yang sama. Anak yang bakal dilahirkan, tiada bapa yang akan mengazankan. Siapa yang akan mentahnikkan. Siapa yang akan mencukurkan rambut. Nama apa yang harus diberi. Semakin difikirkan semain bingung.

Mata yang tadi mengamati permukaan tasik berombak mengikut rentak angin dipejamkan. Sofea di sebelah turut terpejam. Sekarang ni memanglah orang tak perasan. Bila dah enam bulan, tujuh bulan, lapan bulan. Mulalah mempersoalkan kewujudan bapa anak yang dikandung. Bertaburanlah fitnah, lantaran tiada kad jemputan yang terlekat di papan notis.

Gugurkan, suara halus membuatkannya bagaikan tersedar dari igauan. Mana mungkin. Berdosa, sama seperti membunuh. Dia tidak mahu anak itu menghantui hidupnya kelak. Seperti yang pernah dibaca di dalam majalah sebelum ini. Igauan ngeri sering menghantui setelah anak itu digugurkan.

Tabahlah hati. Masih ada masa lagi. Nokia 3230 di sebalik peha diambil. Menekan beberapa butang lalu diletakkan ke telinga. Sofea memandang dengan penuh tanda tanya. Diusap kepala anak kecil itu, lembut. Menanti panggilan dijawab dengan sabar.

"Hello." Farisya bersuara setelah panggilannya berjawab.

"Hello, Sinaran Megah sendirian berhad. Telefonis Nurul bersama anda. Apa yang boleh saya bantu?"

"Ya, boleh sambungkan saya dengan Encik Syamsul Hadi Ariffin?" Tutur dengan suara yang dikawal ketenangannya.

"Encik Syamsul Hadi Ariffin, Pengarah Urusan Sinaran Megah ya cik?" Suara telefonis mengulangi, inginkan kepastian.

"Ya." Ringkas jawapannya. Dia mahu segera disambungkan dengan pemuda itu.

"Saya akan sambungkan ke meja setausahanya dulu. Harap bersabar ye cik."

Suara lembut telefonis itu digantikan dengan muzik latar My Heart Will Go On. Lagu nyanyian Celine Dion begitu mendamaikan, namun belum dapat memujuk gelora hatinya. Penantian itu dirasakan begitu lama walaupun baru beberapa minit masa berlalu.

"Hello. Boleh saya tahu siapa?"

"Saya Daniya Farisya Kamaluddin."

"Cik 'd Fisya yer. Saya minta maaf. Encik Syamsul tiada di pejabat, dia pergi tergesa-gesa pagi tadi."

"Ke mana?"

"Dia suruh saya tempahkan flight ticket ke Paris."

"Bila dia balik?"

"Maaf cik dia minta tempahkan tiket sehala saja, dia tiada maklumkan bila dia akan balik." Jawapan itu bagaikan meluruhkan jantungnya. Mana lagi nak disandarkan harapan. Siapa lagi yang boleh mendengar luahan hatinya. Dia merasakan Syam melarikan diri. Pergi tanpa makluman tujuan dan kepulangan.

 

--ooOoo-

SEPI, kosong, sunyi. Itulah yang boleh mengungkap kehidupan Tina kini. Perbuatan menghalau penghuni tetap rumah itu mula menghantui. Mula timbul sesal di hati, menghalau tanpa sebab-sebab yang kukuh.

Tina bangkit dari perbaringan. Menuju dapur mencari sesuatu untuk membasahkan tekak. Agar hatinya tenang. Membuang semua rasa bersalah. Menghilangkan rasa sesal. Botol air Vanila Coke dikeluarkan. Dituangkan beberapa mililiter ke dalam mug.

Langkahnya disusun berhati-hati ke arah pangkin di luar rumah bersama tangan yang memegang mug. Kicauan burung memeriahkan suasana pagi itu. Angin bertiup sekali segala, nyaman sungguh.

Kenyamanan itu tidak meredakan hatinya. Masih lagi gusar mengenangkan perbuatan yang tanpa berfikir panjang.

Telefon rumah yang tiba-tiba berdering membuatkan dia terjaga dari layaran minda. Pantas dia bangkit berlari mendapatkan telefon agar pemanggil tidak menanti lama.

"Hello." Tutur dimulakan setelah gagang melekap di pipi.

"Hello sayang." Suara yang cukup dikenali sayup di hujung talian.

"Assalammualaikum."

"Waalaikumussalam. Abang, kat mane ni?"

"Abang kat Jepun lagi ni, dah sebulan kat sini. Baru habis basic knowledge course. Lagi sebulan abis semua course."

"Takpelah, dah tugas abang. Nak buat macamana."

"Sofie mana? Senyap aje."

Berderau darah Tina. Ish lelaki ni, takde soalan lain nak ditanya agaknya. "Tidur lagi. Kepenatan, pergi Tanjung Balau semalam."

Selamba Tina menjawab. Agar lelaki itu tidak menyedari apa-apa kelainan.

"Oh... Best ke picnic?"

"Best la jugak." Apa tak bestnya pergi berjalan dengan orang tersayang.

"Ok la. G T G, muaaahss... sayang ayang."

"Sayang abang juga... muaaahsss..." Gagang diletakkan. Dia tidak pasti apa yang dituturkan itu ikhlas atau sedakar mainan. Mempermainkan hati suami sendiri.

Suami? Ah... tidak.

 

--ooOoo-

FARISYA berlalu masuk terus menuju bilik tidur. Bersama esak tangis memasuki bilik mandi. Beg tangan dan segala kunci dilemparkan. Entah ke mana pergi dia tak peduli. Apa yang pasti sendu di hati tidak tertahan lagi. Hati sendu perlu diredakan.

Paip air pancuran dibuka. Air yang mencurah bagaikan hujan dibiarkan membasahi badannya bersama baju yang masih terlekat. Dia menangis semahunya. Salah satu cara meluahkan emosi.

Kerana itulah jangka hayat perempuan kebanyakkannya lebih lama berbanding lelaki. Tekanan emosi diluahkan melalui proses mengeluarkan air mata, tanpa segan.

Basah kuyup baju kurung pucuk pisang yang dikenakan bersama kain hijau gelap. Biarkan, biarkan semuanya basah. Rambut dibiarkan basah mengurai menutupi muka. Lututnya dibengkokkan, lengan memaut kepala lutut ke dada, kepala ditundukan. Membiarkan lutut menampung kepalanya.

Perlahan langkah mendaki anak tangga. Mak Limah meneruskan langkah menerusi pintu yang sedia terbuka. Deruan air yang laju meyakinkan hatinya, empunya diri di dalam bukan sedang mandi.

Pintu plastik berwarna coklat cair diketuk, perlahan. "Isya... Isya..."

Tiada jawapan kedengaran. Hatinya bimbang, pada keadaan emosi tidak stabil, bakal ibu itu boleh melakukan apa saja, termasuk mencederakan diri sendiri. "Isya... buka pintu ni nak."

Jika diikutkan hati mahu saja memekakkan telinga. Membiarkan si tua berlalu dengan hati yang hampa. Namun akalnya memujuk. Pada ketika ini dia perlukan dorongan dan bantuan dari seseorang yang lebih arif. Selak pintu dibuka, pili ditutup semula. Farisya duduk sambil meletakkan dagu di atas lutut.

Mak Limah menghampiri tubuh lencun bersama tuala di tangan. Dia sendiri tidak tahu mengapa Farisya berkelakuan sedemikian. Apa yang dirisaukan cuma keselamatan Farisya dan kandungannya. Berkali dia memujuk Farisya, kandungan itu tiada dosanya.

"Apa yang tak kena ni Isya?"

"Mak, Isya tak terdaya nak tanggung semua ni sendirian." Mak Limah faham. Bukannya Farisya tidak boleh menyara anak itu sendirian. Lemah bahu wanita itu untuk menggalas segala beban tomahan yang akan dilemparkan jika anak itu lahir tanpa ayah.

"Sabar Isya... Allah selalu bersama orang yang bersabar."

"Isya tak dapat bayangkan bila perut ni membesar pastu orang sibuk tanya siapa bapaknya."

"Syam..." kata-kata Mak Limah tidak dapat diteruskan. Lidah Farisya lebih pantas memotong.

"Syam dah takde kat sini. Dia dah ke luar negara. Pelik juga, selalu dia buat roaming. Isya dah cuba dail nombor handset, di luar kawasan."

"Takpe. Isya tak perlu risau. Mak akan sentiasa di sisi Sya." Tutur lembut penuh dengan kasih sayang menyamankan hati Farisya. Sekurang-kurang ada tempat untuk meluahkan perasaan.

 

--ooOoo-

TERLOPONG semua melihatnya. Baju kurung songket biru lembut bersama kain yang agak gelap membaluti tubuhnya. Selendang biru yang dililitkan pada kepala menyerlahkan lagi keayuan wajahnya. Farisya hairan melihat semua mata tertumpu padanya.

Perlahan dia melangkah menyertai mereka di meja makan. Zureen tidak berkedip memandang.

Sofea tersenyum melihat ibu. "Cantik ibu bertudung. Manis."

"Manis? Bila masa Sofie rasa?" Farisya berseloroh.

"Ala, ibu ni bergurau pulak. Maksudnya lawa la." Sofea mencebik.

"Mana ada lawa. Biasa aje."

"Ala. Kak Isya ni merendah diri pulak. Betul la. Lawa."

"Jangan puji lebih-lebih. Nanti hilang seri." Mak Limah menyambung.

Usikan demi usikan membuatkan wajah Farisya merona merah. Cepat-cepat dia berlalu setelah menjamah teh o dan sekeping roti bakar. Cukuplah, nanti makan lagi kat pantri. Ok ke aku bertudung ni? Ok la agaknya, diorang semua cakap ok.

Alah, niat utama bertudung ni bukannya sebab nak melawa. Menutup aurat yang dituntut oleh Islam. Dah lama dia meninggalkannya. InsyaAllah, tudung ini akan menjadi pakaian rasmi. Tiada rasa kekok sedikitpun. Rasa lebih selesa bertudung, rambut tidak terurai. Tampak kemas dan tidak perlu menyisir rambut sentiasa.

Dengan senyuman dia melangkah masuk ke dalam kereta. Enjin dihidupkan dan dibiarkan beberapa ketika sebelum meneruskan perjalanan. Entah kenapa hatinya berbunga ceria pagi itu. Mungkin kerana pujian yang diterima. Senyuman girang kian mekar di bibir.

Mungkinkah senyuman akan kekal selamanya di bibir ini? Persoalan yang sukar dipastikan olehnya. Farisya meletakkan semua itu ke tangan Allah. Biarlah keputusan hidupnya diaturkan, dia redha menerima segala ketentuannya. Biarpun pahit dia akan terima.

.............bersambung ...........

Muhammad Ttuyup , Selasa, November 02, 2010 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

PENULIS Muhammad Ttuyup

CHAIRMAN / FOUNDER :: Saya adalah pengasas dan pemilik Asal Blog Ini yang di mulakan pada tahun April 2004, dan menggunakan alamat blog http://ttuyup.blogspot.com. Pada awal tahun 2007 saya menjemput en. Adam Merah menyertai blog ini dan pada akhir tahun yang sama, saya meminta en. Adam menguruskan blog ini untuk saya.

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog