~Sedutan Ep 8~
Syamsul terhenti, membiarkan pemuda itu tahu kedudukan yang sebenar.
"Aku sebatang kara, dia juga. Aku ambil dia jadi adik aku, bila tengok dia hidup bersendirian, aku cuba untuk mengisi hatinya. Tapi kini aku tahu siapa yang bertakhta di hatinya. Kembalilah ke pangkuan dia. Di saat ini dia memerlukan seseorang untuk dia teruskan hidup."
"Apa maksud kau?"
Kata-kata Syamsul membuatkannya tertanya-tanya. Bertambah penuh kemusykilan bertandang di kepala.
"Dia dah mengandung. Sebagai seorang abang, aku tak sanggup melihat adik aku dihina. Aku cuba untuk membantu. Tapi dengan sopan dia menolak, cintanya bergitu utuh."
"Aku tak terdaya nak berhadapan dengan dia. Aku dah buat kesalahan yang besar dalam hidupnya. Aku dah meragut masa depan dia. Tak mungkin aku dapat membayar semua itu." Air mata yang cuba diempang mengalir sedikit membasahi pipi.
"Aku yakin dia boleh maafkan kau. Percayalah."
--ooOoo--
Farisya turut menitiskan air mata. Seperti yang dijangka, suaminya turut menggenggam janji yang disemat. Azmi memandang air tasik yang tenang. Hanya riak kecil mengikut rentak angin.
"Mi sahabat yang tak guna. Dah la ragut nyawa sahabat sendiri, biarkan sahabat sendiri merana meneruskan hidup sendirian. Sedangkan Diya amanah yang Hir berikan pada Mi."
"Yang dah lepas tu biarlah. Orang dah pergi, untuk apa dikenang lagi."
Episod ~10~ (pre-final)
KEMUNCULAN Azmi secara tiba-tiba membuatkan kenangan lama turut wujud semula. Teringat kembali bagaimana mereka bertiga berjalan dari sekolah ke Darul Hanan. Bermain kejar-kejar di Tasik Bukit Dahlia. Bermain sembunyi ibu di balik pohon-pohon ru. Bermain ram rem pos di Bukit Layang Layang.
Kenangan bersama mereka bertiga. Tiada siapa yang tahu melainkan mereka bertiga. Jari Farisya pantas menaip login name untuk email. Sudah lama dia mininggalkan email itu terbiar. Jika dulu itulah media yang menghubungankannya dengan Ahmad Shahir. Sewaktu pemuda itu berada di perantauan manakala dia berada di tanah air.
Tiada apa yang tersimpan melainkan email yang bertajuk 'Maafkan Jemi...' beratur memanjangi barisan inbox. Terimbas kembali saat Azmi membawa beg besar meninggalkan dirinya. Di saat dia baru saja kehilangan orang yang paling disayangi. Sepatutnya pada masa itu, mereka bertiga bersama menuju Kota Paris.
Hatinya berat untuk meninggalkan tanah air, namun atas pujukan suami, dia dengan sepenuh hati menurut. Shahir bersama Azmi ditawarkan pekerjaan di Paris oleh syarikat yang menaja pengajian mereka. Kerana itu, Farisya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pembantu Perakaunan salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
'To : d-fisyahir@yahoo.com
From : azm078@d-arc.co.fr
Subject : Maafkan Jemi...
Message :
Walau berjuta ucapan maaf tidak akan dapat membawa Hir kembali ke pangkuan Diya. Tapi Jemi tetap mahu menuturkannya, Jemi yang membuatkan Diya menderita. Alangkah zalimnya seorang sahabat menarik nyawa sahabat sendiri pada waktu yang sepatutnya dia habiskan bersama isteri. Jemi seorang yang kejam, membawa maut kepada Hir sedangkan baru seminggu dia bersama dengan Diya sebagai pasangan suami isteri.
Maafkan Jemi. Tak sepatutnya Jemi meninggalkan Diya sebatang kara di Malaysia. Jemi menyangka dengan meninggalkan Malaysia akan memadamkan segala kisah hitam. Namun ia meleset, kisah itu tetap membontoti Jemi sehingga di Paris. Seringkali Jemi bermimpikan Hir yang sedang tergapai-gapai dan akhirnya tersenyum terus hilang ditelan air tasik.
Maafkan Jemi. Sepatutnya Jemi jaga Diya, bukannya meinggalkan Diya.
Maafkan Jemi, Diya, Maafkan Jemi.'
Farisya menyandarkan badannya. Mungkin email ini yang membawakan pertemuan di antara Syamsul dengan Azmi. Sehinggalah Azmi berjaya dipujuk untuk kembali ke tanahair. Seterusnya bertemu dengannya. Khayalan minda membawakan kembali fikirannya pada kali terakhir dia memujuk Azmi dari meninggalkan dirinya.
Waktu pejabat sudah hampir ke penghujungnya. Farisya mengemas meja juga penampilan diri.
Perut yang sudah kelihatan sedikit meninggi itu diusap perlahan. Kesian anak ibu, takpe, ibu janji ibu akan jaga baby dengan sempurna. Bibirnya menguntum senyum, tutur itu tidak terluah dengan bibir. Hanya hati yang menyampaikan kepada bayi di dalam rahim.
--ooOoo-
LAMBAIAN Fikri disambut dengan senyuman, sopan. Dia pegun berdiri di situ menanti Zureen menjemput. MyVi emas dibawa Zureen untuk membeli-belah bersama Mak Limah juga Sofea.
Farisya membiarkan Fikri menghampiri. Fikri meraih tangan kanan Farisya. Menarik lembut tangan itu agar menuruti.
"Saya hantar Isya pulang."
"Takpelah, nanti Zureen datang..." Fikri berpaling membuatkan tutur Farisya terhenti.
Wajah ayu bertudung itu direnung. Dia lebih jelita bertudung, kenapa tak bertudung dari dulu.
"Zureen suruh saya jemput Isya."
Pintu Rexton RX270Xdi dibuka, membiarkan Farisya duduk dengan selesa sebelum ditutup kembali. Fikri memulakan pemanduan dengan tenang. Tiada perasaan marah sepertimana biasa dia melalui jalan sesak. Hatinya cukup tenang, mungkin dengan melihat Farisya semakin ayu bertudung.
"Boleh saya tanya?"
Farisya menjeling ke arah Fikri. Tersenyum, bagaikan bersedia menerima soalan. Keadaan lalu-lintas yang terhenti agak lama membolehkan Fikri berehat seketika.
"Sejak bila Isya bertudung?"
"Kenapa? Saya tak cantik bertudung?"
Fikri tergelak kecil. "Bukan macam tu. Isya lebih elok bertudung. Lebih lawa. Cuma saya nak tau aje."
"Saya rasa saya perlu berubah, seperti pesan arwah suami saya. Saya rasa saya dah banyak buat dosa untuk dia."
"Saya terfikir Isya dah mengandung anak lu..." Fikri menekup mulut. Tak sepatutnya mulut selancang itu.
"Awak rasa saya mengandung anak luar nikah? Anak Syamsul?"
"Maaf. Saya tersasul tadi."
"Memang saya rapat dengan Syam, tapi saya anggap dia macam abang saya. Dia tidur rumah saya pun sebab saya takut duduk sorang, saya mana ada kawan. Kat KL, saya pergi rumah dia, memang saya tidur rumah dia, tapi dia tidur bilik lain. Kami tak pernah tidur sama."
"Maafkan saya. Sorry..."
"Saya tak sangka, awak memandang rendah pada saya."
"Tak... bukan macam tu. Saya mintak maaf. Saya..."
"Maaf, maaf! Ingat dengan maaf tu boleh kembalikan semula maruah saya?" Air mata Farisya menitik perlahan. Emosinya sedikit terganggu ketika itu. Dia gagal mengawal emosi, sehingga Fikri menjadi mangsa.
"Maafkan saya. Saya tak patut marah awak."
"Takpe. Saya tak sepatutnya cakap macam tu." Fikri mengambil tisu lalu menyeka aliran air yang menitis di pipi Farisya. Ibu muda itu membiarkan saja perbuatannya.
Bunyi hon dari belakang membantutkan drama mereka. Farisya tersentak, membawa kepalanya kembali ke posisi asal. Bila masa boleh landing kat bahu mamat ni pulak?
"Cepat la. Diorang dah hon tu."
Fikri masih lagi terkocoh-kocoh menukar gear.
"Apa hon hon, aku pun ada hon la." Pantas Fikri menekan hon kereta beberapa kali sebelum meneruskan perjalanan.
--ooOoo-
MAK LIMAH membawa diri ke arah pintu setelah terdengar deruman enjin kereta dimatikan. Pintu kayu dibuka, senyuman mekar di bibir melihat Farisya selamat pulang ke rumah. Sengaja dia tidak membenarkan Farisya memandu ke tempat kerja, bimbang berlaku yang negatif terhadap si ibu juga si manja di dalam kandungan.
Farisya berlalu masuk, masih lagi malu dengan apa yang berlaku di dalam kereta. Mungkin kerana kesunyian tanpa suami membuatkan dia seolah tenang membanjiri bahu Fikri. Atau mungkin dia sudah terpaut pada keluhuran duda anak satu tersebut.
Farisya meneruskan langkah mendaki anak tangga. Dia mahu bersendirian di bilik.
Langkah cermat Farisya disoroti Mak Limah. Bimbangnya tidak terkata, bayangan silam masih lagi menghantui. Kali ini biarlah Farisya terus hidup dan membelai anaknya sendiri. Tidak mahu apa yang berlaku pada Fathiah berulang kembali. Atas desakan hati tua yang tidak mahu Farisya menguruskan diri semasa pra kelahiran seorang diri, dia sanggup meninggalkan tanggungjawabnya. Mak Limah membiarkan Fikri tinggal bersendirian.
Pintu bilik dikatup rapat. Selendang yang menutup kepala dibuka. Dengan selendang yang masih di tangan, dia membuka pintu almari kayu. Menarik laci yang sekian lama tidak diendahkan. Hati bagaikan terpanggil untuk membukanya semula. Kotak kayu berukir cantik dikeluarkan dengan cermat.
Kotak kayu pemberian arwah suami ditenung sebelum penutupnya dibuka. Kenangan yang pahit membuatkan kotak itu ditinggalkan sepi di dalam laci almari. Bimbang naluri wanitanya tersentuh lalu menangis. Beberapa keping gambar kenangan dikeluarkan dengan cermat. Tersenyum melihat wajahnya yang girang di dalam gambar semasa majlis pernikahan.
Tangannya meraih gelang tangan yang terukir namanya, 'Daniya Farisya' serta satu lagi nama 'Ilyana Assila'. Dia sendiri tidak pasti nama siapa, dari logik fikiran kemungkinan besar itu nama ibu. Salah satu kancing pada gelang itu patah, kerana itulah Farisya membiarkan ia tersimpan.
Tangannya membimbit kotak kayu, membawa kembali ke tempat ia bersemayam. Farisya tidak boleh lama bersamanya, akan menitis air mata apabila teringatkan arwah suami, juga nasibnya yang tidak mengenali orang tua sendiri. Dia bagaikan sudah putus harap untuk bertemu dengan ibu bapa kandung, bukan tidak berusaha mencari, tiada jawapan setiapkali pencarian dilakukan.
Sehingga kini Farisya menganggap dirinya seorang anak yang tidak beribu dan berbapa.
--ooOoo-
PERTEMUAN dengan Azmi dilanjutkan sementara pemuda itu sedang bercuti. Banyak yang ingin dikongsi bersama dengan sahabat baik yang sudah lama tidak bertemu. Ingin mempelawa Syamsul untuk membeli-belah bersama, pemuda itu mempunyai urusan penting. Terpaksalah mereka berdua saja yang keluar bersama.
Air minuman ringan dikacau perlahan. Hairan melihat Farisya yang begitu berselera. Tidak mabuk sebagaimana ibu-ibu sepertinya.
"Diya tak ada rasa loya ke apa ke?"
Farisya mengangkat kepala lalu menggeleng. "Tak pulak. Kenapa?"
Azmi mengangkat bahu. Tersenyum memandang Farisya yang masih lagi kelihatan sopan bertudung. Baju yang dikenakan pun agak longgar. Mungkin untuk memudahkan pergerakan lantaran perut kian membesar.
"Takde la, pelik. Selalunya perempuan masa pregnant ni macam-macam hal."
Senyuman mekar menghiasi bibir Farisya yang bergincu merah jambu.
"Mungkin inilah hikmah bunting pelamin. Mungkin juga sebab Dia tak nak susahkan Diya yang menjalani kehidupan bersendirian setelah kematian suami."
Tersentuh hatinya apabila perkataan kematian meluncur di bibir Farisya. Ternyata wanita itu tabah menghadapi suratan hidupnya. Terasa dirinya adalah penyebab kedukaan merundung hidup Farisya. Terasa kesalahannya tidak tertebus dengan apa daya sekalipun.
"Mi... Kenapa ni? Diya ada salah cakap ke?"
Tutur lembut itu mengembalikan dirinya ke alam nyata. Lantas menggeleng lalu tersenyum.
"Takde. Diya masih setabah dulu."
"Jemi yang ajar Diya jadi insan yang tabah. Abang Hir pun tak suka Diya kerap menangis, putus asa."
Farisya tidak terasa canggung memanggil Shahir dengan gelaran abang walaupun mereka bertiga seusia. Baginya gelaran abang memang tepat untuk Shahir, seorang suami yang paling disayangi. Tapi kini... Semoga Allah tempatkan roh abang di kalangan orang-orang yang soleh.
"Diya..." Air mata yang menitis di pipi putih kemerahan diseka dengan tisu. Azmi berasa seba salah kerana telah membuat Farisya menangis. Mengembalikan kenangan sedih sehingga menyebabkan hati Farisya tersentuh, seterusnya aliran jernih membasahi pipi.
"Diya harus tabah. Mi akan jaga Diya."
Farisya menahan tangan yang sedang menyeka air mata di pipinya. Perlahan tangan itu dilepaskan.
Merenung bola mata Azmi. Kepala dianggukan perlahan. "Diya cuba. InsyaAllah."
"Masa mula-mula tengok Sofie duduk sebelah Diya, Mi ingatkan Sofie tu anak sulung Diya. Seiras."
Sinar girang kembali menghiasi wajah Farisya.
"Semua orang kata macam tu. Diya pun pelik masa first time jumpa. Macam kembar Diya pulak."
"Mana boleh kembar pulak, umur dah la jauh. Macam mak dengan anak."
"Entahlah. Salah satu dari tujuh orang dalam dunia ni yang seiras dengan Diya agaknya."
Azmi merapatkan bibir. Kepala dianggukkan sedikit. "Mungkin juga, tinggal cari lagi lima."
Serentak tawa mereka terhambur. Hilang segala rasa sedih yang memuramkan suasana. Terhibur Azmi melihat Farisya tersenyum dan mengekek manja.
--ooOoo-
" CANTIK gelang tangan ibu." Sofea membelek gelang yang melingkari pergelangan Farisya semasa mereka berpimpinan tangan.
"Ada nama ibu la, tapi siapa Ilyana Assila tu bu?"
Farisya tersenyum. Matanya memandang tepat bola mata anak kecil itu. Pertanyaan yang diajukan tidak dijawab. Sekadar mengangkat bahu menandakan dia sendiri pun kurang pasti.
"Mungkin nama emak ibu."
"Takkan la ibu tak tahu siapa mak ibu?" jelas raut kurang percaya pada wajah Sofea.
"Ibu pun sama aje macam Sofie. Dari kecik lagi ibu duduk kat rumah anak yatim. Ibu tak tau siapa mak juga ayah ibu. Ibu ada juga usaha untuk mencari, tapi tak berhasil."
Farisya mendapatkan kereta yang diletakkan berhampiran dengan kedai emas yang tidak sesak dengan orang. Mujur gelang tersebut masih lagi muat, ia dipakai sebaik saja siap diperbaiki.
Biarlah, sekurang-kurangnya terasa rapat dengan ibu walaupun tidak pernah terasa belaian kasih sayang semasa membesar.
Perut yang semakin membesar tidak mengenai stering kereta, kerana itulah Farisya masih lagi berani untuk memandu. Myvi emas itu dipandu menuju Taman Bukit Dahlia, Sofea yang beriya-iya mahu bertemu dengan papanya. Harap-haraplah Fikri ada di rumah, jika tidak hampalah anak kecil itu.
Matanya terpaku pada satu bangunan di mana kereta yang dipandu sedang melepasinya, Darul Hanan, bangunan itu masih lagi gah. Ingatan kenangan suka duka zaman silam juga masih gah di minda Farisya. Terasa sayu apabila layar minda menayangkan wajah rakan-rakan senasib, yang sekarang entah di mana.
Wajah bersih Ahmad Shahir turut serta di dalam tayangan memori. Semua itu takkan dilupakan, kerana itu Pasir Gudang menjadi pilihan untuk meneruskan hidup setelah kematian suami. Bukan sekadar itu, Farisya sudah biasa dengan kehidupan di situ, juga keadaan jalan serta selok-beloknya.
Kereta diberhentikan berhampiran dengan pintu pagar. Cermin tingkap diturunkan lalu menjengah, tiada bayang Rexton di porch. Besar kemungkin Fikri tiada di rumah. Sofea berkerut muka memandangnya. Kasihan anak itu, hajat membebaskan diri dari belengu rindu tidak kesampaian.
Farisya mengusap lembut kepala Sofea.
--ooOoo-
RIANG tawa anak kecil itu belum lagi mencapai tahap seratus peratus, Farisya mengetahuinya.
Walaupun dia bukan ibu kandung, dari perlakuan Farisya dapat merasainya. Dibiarkan anak kecil itu melemparkan pandangan, menghayati keindahan alam ciptaan Allah. Mungkin merenung jauh, menjangkaui usianya memikirkan nasib yang akan ditempuhi kelak.
Sofea memalingkan kepala, merenung wajah yang sedang menatapnya. Senyuman manis terukir di bibir. Cahaya yang agak terang seperti kilat secara tiba-tiba memancar ke arah mereka, terkejut kedua insan yang sedang berlabuh di atas bangku simen. Pemuda yang tidak dikenali menghampiri mereka.
"Maaf Puan, saya ambil gambar tanpa kebenaran. Saya memang suka ambil gambar candid. Ni pun sebab nak abiskan filem."
Senyuman pemuda itu menambat hati Sofea. Anak gadis kecil itu merapatkan mulutnya ke telinga Farisya terlindung sebalik tudung, berbisik.
"Uncle ni pun ada lesung pipit macam kita jugak."
Farisya tersenyum, tidak sangka begitu teliti Sofea menilik orang.
Pemuda itu berkerut, namun ditinggalkan rasa sangsi.
"Jika puan tak keberatan, boleh saya siarkan gambar ini di mana-mana atau menjadi iklan untuk mempromosikan produk saya?"
Farisya masih lagi tersenyum. Dianggukkan kepala bagi menandakan dia memberikan kebenaran,
"Suami puan? Saya perlu minta keizinannya."
Senyuman di bibir Farisya luntur sedikit. "Suami saya dah takde."
Jelas terpancar diwajah pemuda itu, dia berasa bersalah.
"Maaf. Terima kasih puan. Ini kad saya."
Kad pernigaan bertukar tangan. Hairan, pergi tanpa bertanya nama. Sedangkan lelaki pantang melihat janda yang cantik sepertinya. Farisya tersenyum kembali. Matanya menyorot langkah pemuda yang menjauhi mereka. Susuk tubuh Fikri yang baru keluar dari kereta pula menjadi tamu mata, menggantikan pemuda tersebut yang menghilang entah ke mana.
Sofea berlari mendapatkan papa yang sudah hampir dengan mereka. Memeluk erat kaki papa, melepaskan rindu yang terperap di dada, walaupun hanya seketika tidak bertemu. Kepala didongakkan, merenung dengan riang wajah ceria papa.
Fikri tersenyum melihat anaknya. Bertinggung dan merangkul erat anaknya. Membiarkan kepala Sofea terlentuk di bahu. Dengan cermat dia merapati Farisya yang turut tersenyum. Lesung pipit masih jelas kelihatan walaupun keadaannya yang sudah berisi. Seri membawa budak, kata Mak Limah.
"Tadi pergi rumah awak. Sofie beria ajak, rindu pada papa, katanya." Fikri mengangkat kening.
Menatap muka bersih Sofea. Farisya hanya memandang bersama senyuman yang masih menghiasi bibir.
"Bila tengok kereta awak takde muka yang indah terus mendung."
"Entah, papa memang tak rindu Sofie." Sofea menarik bibir.
Hidung yang sederhana mancung itu dicuit. Fikri tersengih.
"Bukan papa tak rindukan Sofie. Tapi papa ada kerja tadi. Maafkan papa..."
Sofea tersengih, geli bila jari papa mengenai hidungnya.
--ooOoo-
PASANGAN usia emas itu berpimpinan tangan menyeberangi jalan raya yang kurang sibuk. dari tingkah laku mereka sudah cukup untuk menggambarkan kemesraan dan kebahagiaan bersama. Si isteri memegang erat bantal peluk di sebelah kanan. Hadiah yang akan diberikan kepada cucu tersayang.
Perjalanan yang akan diharungi masih jauh. Pemandangan di bandar kecil itu masih sama.
Walaupun ada juga perubahan, deretan pasu, porselin, bunga dan pelbagai barangan hiasan tetap dijual. Dato' Kamal sengaja memandu Nisaan Serena ke situ untuk berehat, sedangkan sebelum itu sudahpun berhenti di Restoran Jelantas Ayer Keroh. Dia tahu Datin Salmah gemar membeli-belah di situ.
Bandar Air Hitam ditinggalkan. Pemanduan diteruskan menuju ke Simpang Renggam. Dato' Kamal tidak suka berpatah balik, persimpangan berlampu isyarat di situ terkenal dengan kesesakannya.
Dia tahu isterinya lebih gemar melalui jalan yang melalui kampung-kampung. Nissan Serena dipandu dengan tenang, tidak begitu laju. Penat rasanya memandu jauh sebegini. Sekali-sekala nak juga rasa memandu, bosan duduk di belakang sahaja.
"Abang, kita tinggal lama sikit kali ni yer. Mah nak lepaskan rindu mah pada Sofie."
Dato' Kamal menjeling wajah isteri seketika. Mulut masih lagi dihiasi dengan senyuman, menyerlahkan ketampanannya walaupun sudah berumur.
"Tak tertanggung rasanya."
"Abang pun sama Mah. Abang pun cadang macam tu."
Datin Salmah masih lagi memandang wajah suami yang sedang menumpukan perhatian pada jalan raya di hadapannya..
"Tapi kita mana bawa baju?"
"Takpelah, kita singgah la mana-mana pasaraya, beli sehelai dua."
Dato' Kamal menganggukkan kepala. Bersetuju dengan isteri. Lagipun sudah lama tidak membeli pakaian baru. Sekali-sekala ubah angin, beli pakaian di Johor Bahru. Kereta diberhentikan, menyuakan MyKad yang sudah siap sedia di tangan ke petak Touch n Go.
Plaza Tol Sedenak sayup menghilang dari pandangan.
--ooOoo-
TROLI kosong ditolak dengan cermat. Menghampiri bahagian pakaian. Dato' Kamal membiarkan isterinya memilih kelengkapan dalaman. Bibirnya masih lagi mengukir senyum, geli hati melihat telatah isteri yang sedikit cerewet dalam hal sebegitu.
Pandangannya dialihkan pada seluar di hadapan mata. Lembut kainnya. Agak selesa dipakai. Dato' Kamal mengambil beberapa helai seluar yang sama jenis, berlainan warna. Dia memang tidak begitu cerewet dalam soal pakaian. Baginya pakaian itu cukuplah sekadar yang sopan dan selesa dipakai.
Datin Salmah menghampiri. Beberapa pakaian yang tersangkut di lengan dimuatkan ke dalam troli. Mereka suami isteri memang sebegitu, tidak gemar dengan pakaian berjenama untuk kegunaan harian. Walaupun status dan kemampuan membuatkan mereka cukup layak untuk berjaya dengan pakaian mewah, Dato' Kamal juga isteri tidak suka bermegah-megah.
Setelah memuatkan segala isi troli ke dalam kereta, Dato' kamal meneruskan pemanduan. Jarum aras minyak memaklumkan tangki bahan api perlu diisi. Stering dipulas lembut untuk menyusur masuk ke stesen minyak. Maybankad dikeluarkan, lalu dimasukkan ke slot yang tersedia pada pam.
Dato' Kamal mengangkat nozel pam setelah permiantaan diluluskan.
Matanya memandang sekeliling. Menikmati keindahan bulan mengambang. Datin Salmah menyeru nama suaminya. Ada sesuatu yang mesti diberitahu, pandangannya taerpaku ke satu arah.
"Abang, tu hah. Nampak tak?"
"Apa dia?" Melilau Dato' Kamal mencari apa yang dimaksudkan isteri.
"Tu hah, perempuan tu. Fathiah!"
Fathiah? Dato' Kamal menjuruskan pandangan kea rah tudingan Datin Salmah. Wanita yang baru saja memuatkan diri ke dalam kereta dipandang dengan teliti.
"Mukanya mirip yer Mah.Pelanduk dua serupa tak"
"Kalau la dia yang jadi mak tiri Sofea, Mah tak menyesal bang. Muka dia aje dah cukup menampakkan dirinya yang penyayang."
Dato' Kamal hanya mengangguk, mengiakan kata isteri.
Kasihan melihat Sofea tidak dapat kasih sayang yang sebenar, kasih sayang seorang ibu. Matanya masih lagi memerhatikan kereta yang menelan wanita mirip Fathiah.
--ooOoo-
FARISYA meneruskan pemanduan. Membiarkan Zureen dan Hanarita tidur. Lena sungguh mereka tidur, hingga tak sedar Farisya berhenti mengisi minyak. Mungkin perjalanan jauh membuatkan mereka letih, sehingga tidak menyedari apa-apa.
Senyuman manis dilemparkan kepada pasangan suami isteri yang sedang mengisi minyak. Suami nampak gagah berdiri di samping Nissan Serena walaupun sudah berumur. Hairan juga mengapa mereka memandang, dari tadi hingga kini.
Rindu juga pada Sofea. Nak buat macamana, dia ada papa sendiri. Tak macam aku, numpang kasih anak orang. Hish... takkan la baru dua hari dah rindu. Takpe baby, ibu takkan persiakan baby. Ibu janji akan jaga baby dengan sebaiknya.
Senyuman masih lagi kekal mekar dibibirnya. Tak sangka sejauh itu mindanya menyulam angan. Perjalanan diteruskan walau hanya ditemani suara radio. Farisya mengeluh kecil, agak letih membawa badan sebegitu lewat.
Nasib baik Mak Limah tidur di rumah Fikri, kalau tak, pasti telinga kemerahan, menahan leteran. Tapi, Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga yang mengambil berat tentang dirinya.
Apa pun yang penting perjalanan ini selamat. Barulah berfikir pasal esok dan masa depan.
Mungkinkah selamat melahirkan anak? Mungkinkah bahagia menyapa? Mana tau, mungkin bahagia bersama Fikri dan Sofea. Fikri? Oh tidak... Farisya tersenyum sendiri. Dia masih lagi malu dengan insiden tempohari. Malunya.... ahh, biarlah, bukan sengaja, lagipun cuma terlentuk aje, bukannya buat apa-apa.
........ Bersambung lagi .........
~Sedutan Ep. 10 (final)~
Jarinya mengelus lembut rambut. Fikri terasa teruja dengan kemeriahan di ruang dapur. Sehinggakan dia berasa rugi jika tidak menyertai. Senyuman dilemparkan pada semua yang sedang menjamu sarapan di pagi Ahad.
"Pagi mak, ayah, mama. Apa aje yang dibualkan? Rancak berborak."
"Takde apa-apa. Borak kosong aje." Dato' Kamal menghirup teh o panas sesudah menamatkan kata.
"Ni... Mama nak cerita. Mama dah ada calon untuk ganti Tina."
Hampir tersembur Fikri mendengarnya. Cawan berisi teh o diletakkan kembali pada piring.
"Apa dia? Come on mama, Fikri tengah tunggu jawapan dari seseorang ni."
"No no no, kali ni biar mama dengan ayah aje yang uruskan." Datin Salmah begitu tegas, dia terlupa bahawa dia bukannya ibu kandung Fikri.
"Nonsense. Tak perlu la mama dengan ayah susah-payah nak tentukan jodoh saya." Fikri seolah hilang selera untuk menjamu cekodok pisang hasil tangan Datin Salmah.
"Saya dah punya calon yang lebih sesuai dengan saya."
.............tungguuuuuu...............

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
CHAIRMAN / FOUNDER :: Saya adalah pengasas dan pemilik Asal Blog Ini yang di mulakan pada tahun April 2004, dan menggunakan alamat blog http://ttuyup.blogspot.com. Pada awal tahun 2007 saya menjemput en. Adam Merah menyertai blog ini dan pada akhir tahun yang sama, saya meminta en. Adam menguruskan blog ini untuk saya.

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "