
"Yang kurik kundi,
yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
yang indah itu bahasa."
KEINDAHAN pepatah Melayu lama ini jelas memberi gambaran bahawa salah satu aspek penting dalam komunikasi ialah penggunaan bahasa yang baik, halus, dan bersopan-santun. Komunikasi dalam budaya Melayu terkenal dengan cara pertuturan yang lemah lembut, beradab sopan dan halus budi bicaranya. Seperti kata Usman Awang dalam sajaknya yang bertajuk Melayu:
Melayu itu orangnya bijaksana,
Nakalnya bersulam jenaka,
Budi bahasanya tidak terkira,
Kurang ajarnya tetap santun,
Jika menipu pun masih bersopan,
Bila mengampu bijak beralas tangan,
Namun sejak akhir-akhir ini akibat ledakan teknologi dalam era globalisasi yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan, ia telah mengubah cara berkomunikasi dalam masyarakat kita. Semakin ramai sudah tidak mempedulikan aspek sopan santun dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi.
Sejajar dengan perkembangan teknologi moden dan media baru, kehidupan masyarakat menjadi semakin pantas dan ringkas, seringkas ayat dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan secepat kiriman mesej melalui telefon bimbit. Nilai-nilai murni juga sekali gus ditolak begitu saja dengan alasan takut ketinggalan zaman.
Tidak dinafikan perkembangan pesat teknologi dan pembangunan negara menyebabkan masyarakat sudah tidak ada masa untuk berkomunikasi dengan berhemah kerana masa mengubah senario kehidupan. Jika diperhatikan masyarakat tidak kira golongan tua atau muda menghadapi masalah yang sama dalam mempraktikkan konsep berbudi bahasa ketika berkomunikasi.
Adakalanya kita mendengar dan melihat perlakuan remaja yang sungguh biadab dan kurang sopan.
Namun, golongan dewasa juga tidak terkecuali. Ada kalanya mereka lebih teruk dengan mengeluarkan kata-kata kurang enak didengar dan ada kalanya cacian dan perkataan lucah yang dihamburkan begitu saja di kawasan umum. Adakah ini harga yang perlu dibayar untuk sebuah pembangunan?
Bertepatan dengan ungkapan 'first class infrastructure and third class mentality' jelas menggambarkan senario masyarakat kita masa kini. Kemajuan negara yang sedang pesat membangun sudah tidak selari dengan peradaban dan pemikiran rakyat yang masih di takuk lama. Semakin maju negara, semakin terhakis nilai murni dalam jiwa masyarakat. Jika ditanya mengapa ini berlaku, masyarakat mempersalahkan perkembangan pesat teknologi dan pembangunan negara yang tidak selari dengan peradaban manusia.
Memang tidak dapat dinafikan perlumbaan hidup masyarakat dalam era baru banyak mengubah sikap manusia. Namun, hakikatnya apa pun alasan yang diberikan untuk kurang berbahasa, sebenarnya aspek budi bahasa adalah sangat penting dalam komunikasi seharian kerana ia adalah gambaran tentang peribadi kita apabila berinteraksi dan bersosial. Tidak kira di mana kita berada, aspek budi bahasa dalam komunikasi tidak boleh ditolak secara mentah dan dipandang remeh.
Ironinya dalam masyarakat hari ini, kita sering berhadapan dengan individu yang suka meninggikan suara apabila bercakap, tidak memikirkan perasaan orang lain dan bercakap mengikut sedap mulut. Lebih buruk lagi jika mereka yang kurang berbahasa ini berurusan dengan orang ramai yang bukan saja akan menimbulkan sikap tidak puas hati, tetapi juga hilang rasa yakin terhadap organisasi mahupun jabatan yang memberikan perkhidmatan.
Menurut pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Dr Mariah Muda, budi bahasa dan cara berkomunikasi yang baik adalah amalan turun temurun yang diamalkan masyarakat Melayu. Ia dilihat sebagai cara menghormati orang lain dalam setiap urusan hidup.
Beliau memberitahu kehalusan budi bahasa dalam komunikasi sangat penting untuk memastikan pihak kedua yang terbabit dalam proses komunikasi akan berada dalam keadaan selesa.
Menggunakan budi bahasa dalam berkomunikasi dapat memastikan tujuan komunikasi sampai ke matlamatnya. Jika kita bercakap dengan baik dan berhemah, mesej akan diterima dengan baik, sekali gus menjadikan proses komunikasi lebih berkesan. Apabila ia berkesan kita mendapat maklum balas seperti yang diharapkan.
Umpamanya kata Mariah, jika seorang pensyarah bercakap dengan berhemah kepada pelajarnya, mesej yang akan disampaikan dapat diterima dengan jelas dan berkesan. Kedua-dua pihak akan berpuas hati.
"Sebaliknya jika proses komunikasi berlaku dalam keadaan kasar, menggunakan bahasa kesat yang tidak enak didengar, pihak kedua yang terbabit dalam proses komunikasi itu akan kurang selesa. Dalam kes pelajar dan pensyarah, kemungkinan pelajar tidak memahami maksud sebenar dan menyebabkan maklumat tidak sampai dan akhirnya interpretasi tentang sesuatu maksud akan terpesong dan tidak tepat.
Keadaan ini juga akan memungkinkan pihak kedua menarik diri daripada proses tersebut atau mesej ditolak mentah-mentah. Ini memberi kesan buruk kepada orang yang memulakan proses komunikasi tadi. Akibatnya proses komunikasi menjadi tidak berkesan dan menimbulkan konflik dalam diri si penerima mesej," katanya.
Mariah juga menyentuh mengenai budi bahasa dalam masyarakat kita dengan mengatakan senario zaman sekarang memperlihatkan pelbagai golongan masyarakat tidak kira tua atau muda mempunyai masalah berkomunikasi secara berhemah.
Meskipun ramai menuding jari kepada segelintir generasi sekarang yang kurang berbahasa dan bersikap kurang ajar, beliau menjelaskan orang dewasa juga tidak terkecuali kerana ada golongan ini kurang bersopan apabila bercakap dan berkomunikasi kerana mereka merasakan diri lebih tua dan perlu dihormati generasi muda.
Bagaimanapun, menyentuh aspek budi bahasa supaya tidak terabai dalam diri remaja ketika berkomunikasi, beliau berkata semua pihak harus prihatin dalam hal ini. Menurutnya, ibu bapa harus memainkan peranan penting sebagai role model kepada anak mereka. Seperti kata pepatah, 'bapa borek anak rintik' atau 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'.
Justeru, ejen sosialisasi yang amat penting datangnya dari rumah kerana komunikasi yang baik bermula dari rumah. Bagaimana anak-anak mahu bercakap dengan lembut dan bersopan jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan contoh baik dengan sentiasa meninggikan suara di rumah, bercakap dengan perkataan kurang enak, memaki-hamun dan berhadapan dengan konflik rumah tangga yang tidak berkesudahan.
Ibu bapa, kata Mariah, tidak harus melepaskan beban belajar agama kepada guru agama. Sebaliknya mereka sendiri harus menjadi guru agama dan guru dalam segala hal untuk anak mereka. Pelajaran pertama anak bermula di rumah. Ajarlah anak mempraktikkan konsep budi bahasa dari rumah. 'Melentur buluh biar daripada rebungnya'.
Jika mereka sudah biasa mengamalkan nilai murni di rumah kemungkinan besar sifat dan nilai murni ini akan dibawa apabila mereka ke sekolah atau berinteraksi dengan umum.
Mariah berkata, dalam hal berkaitan agama, budaya, dan cara hidup pelbagai kaum di negara ini sangat mementingkan aspek budi bahasa. Masyarakat Melayu terkenal dengan budaya luhur ini tidak seharusnya menggadaikan nilai murni ini atas nama pembangunan. Justeru, katanya jika semua pihak kembali kepada agama dan budaya masing-masing, aspek budi bahasa dalam komunikasi bukan satu masalah lagi.
Sehubungan itu, kempen budi bahasa yang dijalankan kerajaan lima tahun lalu adalah bukti kesungguhan untuk menghidupkan kembali suasana harmoni dalam berkomunikasi untuk masyarakat Malaysia. Agenda lima tahun kerajaan bermula pada 2005 untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa memang bertepatan dengan senario masa kini apabila nilai murni di kalangan masyarakat semakin luntur.
Namun, sejak kebelakangan ini kempen itu bagai dilupakan. Ia seolah-olah semakin dingin dan masyarakat mula lupa mengamalkannya. Seharusnya kempen ini dijalankan secara lebih proaktif dan tidak hanya berhenti sekerat jalan.
Penulis ialah pensyarah UiTM Shah Alam
Cik NiNe Che Kadir
,
Sabtu, Ogos 14, 2010
|
0
komentar ::
Blog Gadgets
...lagi Artikel yang Berkaitan :
Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah
JOIN TO MEMBER BLOG
atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
Author / Penulis
PENULIS
Cik NiNe Che Kadir
Nama Penuh saya ialah Cik NiNe Binti Che Kadir, saya menggunakan nama pena C9 dan Cik 9P. Mulus
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang
Budi bahasa cermin peribadi silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "