Lebih empat puluh tahun dulu, ketika mula-mula datang ke Kuala Lumpur dari sebuah desa terpencil di hulu Muar, saya adalah budak kampung yang betul-betul totok, tetapi masih suci sebab belum tercemar oleh daki-daki kota.
Setahu saya, seperti yang selalu ditegaskan oleh ustaz di kelas agama Islam Johor, arak adalah haram, sama seperti berjudi, berzina dan lain-lain dosa besar. Maka, tentu saya menolak keras – sambil beristighfar berkali-kali – apabila seorang teman mengajak saya minum ‘beer’.
Dia meyakinkan saya bahawa ‘roots beer’ yang dijual di restoran makanan segera paling popular di KL ketika itu adalah halal. Saya berkeras bahawa ‘beer’ adalah arak, dan arak tetap haram. Lebih mengejutkan saya apabila dia hendak makan anjing di restoran tersebut. Tiba-tiba tekak saya berasa loya. Sekali lagi dia meyakinkan saya bahawa ‘hot dog’ adalah halal.
Walaupun dia beria-ia hendak belanja, saya tidak mahu. Malah kentang goreng yang dipesan untuk saya pun tidak saya sentuh, sebab takut kentang itu digoreng dalam kuali yang sama tempat menggoreng ‘anjing panas’. Dia dan beberapa lagi teman semaja ketawakan saya. Tetapi saya megah sebab tidak tergoda, dan berjaya mempertahankan kesucian diri.
Lama setelah menetap di KL, dan menjadi orang surat khabar, juga setelah bertanya beberapa ustaz, termasuk Imam Masjid Kampung Baharu ketika itu, barulah saya yakin ‘roots beer’ dan ‘hot dog’ itu boleh dimakan. Kesucian saya pun tercemar oleh ‘beer’ dan ‘anjing panas’ itu. Kesian saya!
Sengaja ditimbulkan cerita ini untuk menjelaskan betapa kekeliruan boleh sahaja terjadi sekiranya sesuatu istilah itu tidak difahami. Dalam kes ‘roots beer’ (kini disebut bir dalam bahasa baku) dan ‘hotdog’, tentu bukan budak kampung seperti saya sahaja yang keliru.
Malah, kekeliruan itu boleh memudaratkan sekiranya ia diwujudkan memang untuk tujuan-tujuan tertentu. Nanti ada yang beranggapan sekiranya rutbir boleh diminum, tentu bir lain pun boleh diminum. Sekiranya ‘anjing’ boleh dimakan, apa salahnya makan babi, kura-kura atau badak sumbu? Kalau tidak hati-hati, kekeliruan memang boleh membuat kita terseleweng.
Maka bersetuju benarlah saya apabila Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tidak akan mengeluarkan sijil halal untuk ‘bak kut teh’ yang akan dibuat menggunakan bahan-bahan halal.
Menurut Jakim ‘bak kut teh’ tidak boleh dianggap halal kerana ia masih mengekalkan penggunaan nama yang haram mengikut hukum Islam. Jakim bimbang masyarakat Islam akan salah faham dengan membuat tanggapan bahawa makanan Cina itu sudah halal dimakan jika Jakim memberi pengiktirafan halal.
Penggunaan istilah ‘bak kut teh halal’ boleh mengelirukan umat Islam di samping bertentangan hukum syarak kerana bercanggah dengan kaedah fiqah yang ditetapkan oleh Islam. Isu ini timbul apabila ‘bak kut teh halal’ diperkenalkan kepada pengunjung ‘Karnival Makanan Malaysia 1Malaysia’ yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
Saya pun hairan mengapa ada pihak yang bersusah-payah untuk menyediakan ‘bak kut teh’ menggunakan kambing, ayam, lembu dan sebagainya, pada hal memang sejak dulu-dulu lagi telah diketahui umum bahawa makanan kegemaran orang Cina itu dibuat menggunakan babi.
Apakah nama makanan tersebut dianggap begitu popular dan ada nilai komersial yang tinggi sehinggakan ia perlu dihalalkan untuk menarik pembeli Islam? Lupakan sahaja! Kalau hendak buat makanan halal cari nama yang lain dari ‘bak kut teh’. Kalau hendak guna juga istilah ‘teh’ mungkin boleh namakan ‘Apam Cik Teh’ atau ‘Pulut Pangang Mak Teh’ atau ‘Ayam Golek Kak Teh’.
Sebelum ini ada kontroversi apabila ‘Pameran Halal Antarabangsa 2009’ (Mihas 2009) Mei lalu memperkenalkan ‘bir halal’ minuman malt tanpa alkohol yang dikenali sebagai ‘Istak’. Cukuplah dengan rutbir yang mengelirukan saya empat puluh tahun dulu, jangan kelirukan generasi sekarang dengan benda-benda pelik. Benda yang asalnya haram, tidak perlu susah-susah untuk dihalalkan.
Malangnya, tanpa kita sedari banyak istilah orang putih yang telah dibiasakan untuk pengguna-pengguna Islam, dan diterima bulat-bulat macam tidak ada apa-apa. Contoh: ‘bacon’ dalam kamus ‘Oxford English’ diertikan sebagai ‘salted or smoked meat from pig’ (daging babi bergaram atau panggang). Kini di hotel dan restoran-restoran ternama ‘bacon’ dihidangkan secara terbuka untuk pengguna Islam. ‘Bacon’ sekarang bukan babi, tetapi ada ‘bacon’ lembu (beef bacon), ada ‘bacon’ ayam (chicken bacon).
Kenapa mesti guna istilah ‘bacon’ pada hal telah dikenali dan diiktiraf di seluruh dunia bahawa ‘bacon’ asalnya adalah babi? Apa salahnya pihak hotel atau restoran menyebut ‘daging lembu salai’ atau ‘daging ayam salai’. Semua ini boleh mengelirukan, terutama bagi mereka yang kurang hati-hati.
Apabila istilah ‘bacon’ telah terbiasa dalam kehidupan semua, orang Islam nanti pun akan makan ‘bacon’ tanpa mengira itu dari babi atau dari lembu. Apa yang kita makan penting untuk tubuh dan minda kita sebagai orang Islam. Pihak berkuasa Islam di negara ini patut memerhatikan perkara ini. Jangan biarkan anak kita makan babi.
Gunakan kuasa yang ada supaya orang Islam tidak terus dikelirukan. Sekiranya ‘bak kut teh’ tidak boleh dihalalkan, kenapa kita tidak boleh bertindak supaya ‘bacon’ jangan dihalakan? Kedua nama itu sama-sama boleh mengelirukan. Bezanya ialah yang satu asal Cina, satu lagi asal orang putih. Apa salahnya guna ‘Apam Cik Teh’ dan ‘daging lembu salai’?
Apakah masih ada yang beranggapan istilah kita tidak ada nilai komersial?
- Sinar Harian (Tulisan ABD JALIL ALI)

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

saya pernah makan di satu restoran western baru2 ini..
BalasPadamdi salah satu menu dia ada tertulis "BACON" & saya terus bertanya pada waiter..
dia mention yg bacon ni daging yg dihiris & katanya halal..
saya dah kembang tekak juga pada waktu itu sebab setahu saya bacon adalah hirisan daging pork.. tapi di restoran tersebut dari manager sampai ke waiter adalah melayu.. saya terasa seperti ingin mengadu di JAIJ & mendapatkan sijil HALAL di sana.. terasa seperti bersekongkol / syubahat pulak.