KESIHATAN adalah anugerah paling berharga bagi dan tanpanya, lambakan wang ringgit tidak membawa sebarang makna.
Berikutan itu, saintis di seluruh dunia berlumba-lumba mengkaji, meneliti dan membuat uji kaji ubat terbaru untuk menjadi penawar pelbagai penyakit yang ada antaranya masih menjadi ancaman hingga kini.
Namun, jika namanya pun manusia, sehebat mana ciptaan dan rekaan dihasilkan, ia pasti tidak dapat mengatasi keagungan semula jadi diciptakan Allah SWT dengan 1,001 faedah. Tiada satu pun makhluk di muka bumi ini dijadikan tanpa ada kebaikan walaupun bahaya mana sekalipun.
Selain bahan kimia diproses sebagai ubat, saintis kini beralih mencari kehidupan semula jadi baik flora mahu pun fauna yang dipercayai lebih berkesan merawat dan mencegah penyakit seperti pernah dibuktikan turun-temurun .
Terbaru, penyelidik Kenya mengiktiraf sejenis ikan sebagai senjata terbaru dalam pertarungan mengekang penularan malaria - penyakit lama, tetapi kini muncul kembali sebagai ancaman utama.
Ikan Tilapia Nil atau nama sainsnya, Oreochromis Niloticus, kerap menjadi menghiasi meja makan malam masyarakat Kenya sebagai hidangan, tetapi kini fungsinya berubah dan mula diternak di beberapa kolam ikan terbiar di barat negara itu.
Tilapia Nil itu kini menjadi aset berharga saintis kerana kegemarannya memakan jentik-jentik berupaya mengurangkan bilangan dua daripada nyamuk pembawa malaria utama sehingga lebih 94 peratus.
Kajian mendapati ikan itu terbukti penting sebagai senjata terbaru ketika nyamuk semakin kalis kepada sebarang racun serangga.
Kegemaran Tilapia Nil memakan nyamuk sudah diketahui sejak tahun 1917, tetapi ini kali pertama data diterbitkan yang memperincikan keberkesanan haiwan itu dalam mengawal nyamuk, kata penyelidik dari Pusat Psikologi dan Ekologi Serangga Antarabangsa.
Malaria, yang disebarkan parasit satu sel Plasmodium, menjadi wabak di beberapa bahagian Asia, Afrika serta Amerika Tengah dan Selatan.
Organisme itu dipindahkan kepada manusia menerusi gigitan nyamuk. Setiap tahun ia menyebabkan 300 juta penduduk dunia jatuh sakit dan menyebabkan sejuta kematian di seluruh dunia.
Kira-kira 90 peratus kes berlaku di benua kecil Sahara Afrika, yang menyaksikan seorang kanak-kanak maut akibat malaria setiap 30 saat.
Penulis kajian menyatakan, bagi penduduk Kenya, ikan itu terbukti pelaburan menguntungkan. Selain mengehadkan bilangan nyamuk, ia sedap dimakan dan dapat menyumbangkan pendapatan.
Penasihat malaria Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Kenya, Joanne Greenfield, lebih berwaspada walaupun pada masa sama menyifatkan penemuan itu sebagai positif.
“Kaedah ini mungkin berkesan di kawasan perairan tertentu, tetapi nyamuk ada di pelbagai jenis tempat, termasuk kolam kecil di dalam lumpur - tempat yang jelas tidak dapat membela ikan. Ia mungkin tidak berkesan di beberapa tempat.
“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan kaedah memerangi malaria dan ini pasti amat berguna,” katanya.
Selain itu, dua haiwan yang dipandang lebih menjijikkan dan menyebabkan sesetengah orang geli-geleman sudah pun diiktiraf sebagai alat perubatan oleh Pentadbiran Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA).
Ulat dan lintah adalah haiwan hidup pertama menerima pengiktirafan itu kerana terbukti berupaya merawat penyakit apabila ubat berteknologi tinggi tidak mampu berbuat apa-apa.
Memang tiada persoalan lagi, memikirkan untuk berada dekat dan bersentuhan dengan lintah atau ulat sudah cukup membuatkan kita geli, tetapi bagi pesakit yang dirawat dengan ‘peralatan’ ini serta doktor, memuji keberkesanan dalam mengembalikan tisu sihat.
Penggunaan lintah yang suka menghisap darah untuk merawat penyakit bukan perkara baru. Ia sudah wujud sejak zaman Hippocrates hingga pertengahan abad ke-19.
Pakar bedah telinga, hidung dan kerongkong Universiti Michigan, Dr Douglas Chepea, antara pakar perubatan yang bergantung kepada lintah untuk merawat dua atau tiga pesakit setahun selepas membina semula wajah atau mulut yang musnah disebabkan barah.
Secara tipikal, lintah digunakan cuma seekor pada satu masa dan digantikan apabila ia jatuh - selalunya setiap 20 minit - selama 24 hingga 48 jam, kemudian secara berselang-seli selama beberapa hari selepas itu.
“Tiada seorang pun pesakit saya menolak kaedah rawatan ini. Mereka datang dengan barah serius, sebahagian organ kritikal dibuang, mereka cuma mahu sembuh. Anda berkata kepada mereka: ‘Saya rasa ini boleh bantu.’ Mereka menanggung kesakitan tanpa mengeluh mengenainya,” kata Dr Chepea.
Berbanding lintah, ulat lebih kecil, tetapi keghairahan mereka dengan daging busuk menjadikan ia lebih menjijikkan hingga anda bercakap dengan seseorang yang dirawat dengan haiwan itu.
Tiga tahun lalu, luka kecil bawah kaki Pam Mitchell menjadi semakin serius akibat diabetes. Selepas pembedahan membuang tisu mati, Mitchell, yang bekerja sebagai pelayan selama 20 tahun, mempunyai lubang pada kaki dan jangkitan terus menyerang. Antibiotik langsung tidak berkesan menentangnya.
“Doktor menasihati saya supaya memotong kaki,” kata Mitchell.
Namun kemudian seorang rakan sekerja memberitahu Mitchell mengenai rancangan televisyen mengenai penggunaan ulat untuk menyembuhkan kecederaan. Terdesak untuk menyelamatkan kakinya, Mitchell menemui pakar dermatologi, Eliot Mostow, yang berasa terapi ulat berbaloi untuk dicuba.
Mostow meletakkan ulat yang tidak dijangkiti pada lukanya dan menutup ia dengan sangkar kecil. Ulat itu memakan tisu mati, membunuh bakteria bahaya dan merangsang penyembuhan. Selepas 48 jam, pakar ortopedik Mitchell membuang sangkar itu dan selepas 10 rawatan, kakinya semakin pulih.
“Ia mengagumkan. Malah parut pun tidak ada,” katanya.
Jika ikan dan ulat serta lintah terbukti dapat mencegah dan merawat penyakit, pengaruh kuda lebih hebat kerana dengan menyentuh haiwan lasak itu, kesakitan sistem saraf dapat disembuhkan.
Terapi hypo memang diketahui sebagai kaedah penyembuhan yang mempunyai hasil positif terutama dalam merawat kesakitan saraf.
Ia dikatakan pemindahan tenaga kosmik dengan menyentuh aura. Kuda adalah sumber tenaga yang hebat berbanding sumber manusia. Oleh itu, peraturannya ialah potensi tenaga antara persamaan sumber - manusia menerima tenaga dari kuda, yang ditunjukkan dengan peningkatan elektrik pada selular membran.
Mungkin tepat masanya saintis kembali ke asal mengkaji kehebatan alam semula jadi yang menunggu masa diterokai dan dikaji demi mencari penawar penyakit yang berkesan tanpa sebarang kesan sampingan.
INFO: Rawatan berasaskan haiwan
# Ikan Tilapia Nil yang gemar makan jentik-jentik berupaya mengurangkan bilangan dua daripada nyamuk pembawa malaria utama sehingga lebih 94 peratus. Kajian mendapati ikan itu terbukti penting sebagai senjata terbaru ketika nyamuk semakin kebal kepada sebarang racun serangga.
# Sejenis ulat atau anak lalat digunakan bagi mengelak luka pesakit kencing manis.
# Lintah digunakan penyelidik Amerika Syarikat bagi membantu proses membina semula wajah atau mulut pesakit barah.
# Kuda didakwa mampu salur tenaga aura bagi atasi kesakitan pada sistem saraf.
Ahad, Ogos 12, 2007
|
0
komentar ::
Blog Gadgets

,

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang Haiwan sumber penawar penyakit silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "