Oleh: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
DALAM perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri Isnin lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengingatkan pegawai kerajaan supaya tidak lagi mengamalkan sikap ‘ya tuan’ terhadap semua perkara. Sebaliknya mereka digesa supaya lebih berani menegur pihak atasan termasuk menteri terutamanya mengenai sebarang dasar yang ingin dilaksanakan.
Sememangnya budaya menegur pihak atasan belum begitu sebati dalam kerangka masyarakat kita khususnya dalam struktur pentadbiran negara. Malah penyimpangan perspektif terhadap kritikan membina juga sering kali menuntun kepada pembudayaan sistem feudal yang mengutamakan kepatuhan mutlak hingga menafikan hak kelompok bawahan menyuarakan pandangan.
Bagi penulis, sistem pemerintahan feudal yang mengiktiraf raja atau pemerintah sebagai kuasa mutlak yang berdaulat hingga tidak bisa disanggah sudah tidak lagi relevan dengan zaman kini. Perasaan takut akan ‘tulah’ raja yang berdaulat hingga tidak memungkinkan wujudnya pandangan berbeza juga pasti tidak lagi secocok dengan realiti cabaran semasa hari ini.
Sebaliknya kongkongan intelektual yang menafikan idea-idea berbeza hanya akan merencatkan usaha untuk mencipta kemajuan dan membina tamadun bangsa yang gemilang. Hakikat inilah yang pernah melandai masyarakat Eropah hingga terpaksa menempuh zaman gelap yang dikenali juga sebagai ‘The Dark Ages’ beratus-ratus tahun lantaran dibelenggui fenomena kongkongan pemikiran oleh pihak gereja berkuasa.
Namun siri-siri kebangkitan rakyat seperti gerakan reformasi agama Katolik dan proses pensinaran ilmu atau ‘The Enlightenment’ yang berlangsung pada kurun ke-16 hingga 18 telah berjaya memecah kebekuan intelektual masyarakat Eropah sekali gus membebaskan mereka daripada belenggu kongkongan pemikiran hingga akhirnya Eropah tampil sebagai kuasa besar dunia hingga ke hari ini.
Kebebasan pemikiran yang dijelmakan melalui keberanian mengkritik dan menegur juga menempati posisi yang cukup tinggi dalam Islam. Islam secara jelas mengisyaratkan keperluan untuk membudayakan tegur-menegur atau diistilahkan dalam hadis nabi sebagai budaya ‘An-Nasihah’. Budaya nasihat-menasihati ini sememangnya cukup subur dalam kerangka masyarakat Islam sejak zaman Rasulullah lagi.
Dalam konteks ini Rasulullah pernah berpesan: “Mana-mana hamba yang telah didatangi nasihat dari Allah tentang agamanya, maka itu adalah nikmat Allah yang datang kepadanya. Jika dia menerimanya dengan syukur, bahagialah dia. Kalau tidak, ia menjadi hujah Allah ke atasnya untuk menambahkan dosa dan kemurkaan Allah kepadanya.”
Rasulullah sebagai pemimpin agung yang wajib ditaati juga amat terbuka kepada teguran, kritikan dan pandangan berbeza. Setiap teguran dan pandangan akan diperhalusi secara objektif dan diraikan dengan penuh hikmah walaupun tidak semestinya kesemua pandangan tersebut dituruti.
Umpamanya, dalam peperangan Ahzab, seorang sahabat berbangsa Parsi, Salman Al-Farisi pernah mencadangkan strategi peperangan yang agak berbeza dengan pandangan awal Nabi. Rasulullah yang memperakui bahawa pandangannya itu hanya merupakan pandangan peribadi dan bukannya wahyu Allah telah menerima cadangan Salman dengan hati terbuka agar dibina parit (khandaq) yang membentengi kedudukan tentera Islam Madinah.
Sikap keterbukaan Rasulullah terhadap kritikan dan pandangan berbeza turut terserlah ketika menandatangani perjanjian dengan kaum Quraisy Makkah.
Ramai sahabat tidak bersetuju dengan isi kandungan perjanjian yang ditanggapi berat sebelah kerana memberi banyak kelebihan kepada kaum Quraisy. Namun sebagai pemimpin yang berfikiran jauh, Nabi tidak sekali-kali melatah dengan teguran bahkan melayani bantahan sahabat-sahabat dengan penuh hikmah walaupun tetap berpegang kepada pendiriannya.
Begitulah sikap dan perwatakan seorang pemimpin agung Islam yang wajar dicontohi. Sikap menyantuni kepelbagaian pemikiran dan terbuka kepada kritikan cukup mendasari perwatakan dan peribadi Nabi. Bahkan amalan tegur-menegur amat menyatu dalam tradisi kepimpinan dan pentadbiran Islam sejak zaman-berzaman.
Sahabat-sahabat Nabi turut meneruskan budaya tersebut hinggakan ada di kalangan mereka yang menangis kerunsingan sekiranya kuasa yang dimiliki menjadi halangan untuk rakyat menegur mereka. Mereka cukup memahami natijah amaran Rasulullah yang memperingatkan: Barang siapa yang diberikan Allah kuasa untuk memimpin rakyat lalu dia tidak melengkapi mereka dengan nasihat kecuali diharamkan syurga kepadanya. (Riwayat Al-Bukhari)
Justeru umat harus mulai dididik untuk berfikiran kritis dan berani menyatakan pandangan secara berhemah berasaskan idealisme luhur serta bersandarkan ilmu dan fakta. Umat juga harus diasuh agar lebih bersikap terbuka kepada kritikan dan tidak berasa gelisah apabila ditegur kerana itu adalah sebahagian rahmat Allah kepadanya.
Hanya dengan membudayakan amalan tegur-menegur secara beradab dan berhikmah negara mampu menjelmakan suatu generasi baru yang berfikiran kritis dan inovatif hingga terciptanya sebuah tamadun bangsa yang gemilang dan terbilang.

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "