~Kerana cinta membutakan hati Kaca diberi kusangka berlian~
"Awak betul-betul sayang dia ?"
Di situ, di atas benteng konkrit di belakang hotel Paradise Riana dan Irfan masih duduk menghadap ke laut lepas. Bicara tentang diri sendiri memang memalukan ! Walaupun Irfan tidaklah memandang wajahnya tapi Riana terasa malu.
Irfan sudah setahun lebih berumahtangga. Fira bila-bila masa saja mungkin menghantar kad jemputan kahwin sesudah enam bulan dia bertunang. Mimi teman berguraunya, hampir setahun sudah berkahwin dengan Fendi, teman seuniversiti yang dulu dikutuk kawan-kawan kononnya Fendi sangat pemalu dan tidak kacak. Teman-teman seangkatan yang lain, kebanyakannya sudah terikat dengan ikatan perkahwinan. Cuma segelintir saja yang belum, itu pun masing-masing sudah ada calon muktamad. Baru-baru ini Riana dengar Shidi pun sudah berkahwin dengan bekas kekasihnya yang terdahulu. Khabarnya teruk juga Shidi kecewa sebab Riana. Tapi Riana ? Masih terumbang-ambing mencari kebahagiaan. Masih teraba-raba dalam kegelapan, entah Remie sudi entahkan tidak !
Dia rasa rendah diri. Terlalu sukar mencari kebahagiaan. Butir-butir air mata mula jatuh satu-satu menuruni pipi.
"Awak salahkan saya ?" Irfan menjeling Riana di sebelah.
Dia nampak Riana menangis tapi apalah dayanya untuk menghalang air mata itu dari terus jatuh. Mengelap air mata di wajah itu tidak mungkin, Irfan sedar ada batas besar yang wujud antara dia dan Riana.
Hatinya semakin tersayat melihat butiran air mata yang bagaikan mutiara itu. Kalau dulu Riana tidak membohonginya tidaklah keadaan menjadi begitu. Mungkin mereka sudah pun berkahwin, mungkin mereka sudah pun bertiga atau berempat seperti yang diimpikan Riana dan dirinya sendiri. Irfan pernah meletakkan Riana di tempat yang paling istimewa sudut hatinya, kini memegang hujung jari Riana pun dia tidak mampu lakukan. Irfan benar-benar terseksa dengan keadaan ini. Dia ingin memaut bahu Riana, dia ingin menyapu air mata di wajah Riana, dia ingin membuang duka yang dirasai Riana tetapi dia tidak mampu. Maafkan aku Yana!
"Saya tak salahkan awak Boy… saya yang pilih jalan ini. Saya dah buat banyak salah." Tutur Riana perlahan.
Walaupun ditahan sesekali air matanya melimpah keluar. Asalnya dia tidak bercadang untuk menangis di hadapan Irfan tetapi tiba-tiba saja hatinya jadi sebak teringatkan Remie. Langsung Remie tidak cuba menelefon walaupun Riana tidak pernah menutup telefonnya sejak meninggalkan rumah pagi tadi. Sukakah Remie kalau dia pergi terus ?
"Dulu…awak harap sangat saya kembali kepada awak kan ? Saya minta maaf buat awak tertunggu-tunggu…"
Riana membiarkan saja Irfan berkata-kata. Selama ini pun dia berharap dapat berbicara dengan Irfan dari hati ke hati biar pun dalam mod hubungan yang berbeza, seperti malam ini. Sejak mereka berpisah Irfan menyepikan diri terus tanpa sebarang kata.
"Saya bukannya benci awak macam yang awak sangkakan. Saya tak pernah benci awak. Awak pun tahu macam mana saya sayang awak dulu kan…Tuhan saja yang tahu terseksanya saya terpaksa lepaskan awak…"
"Kalau ikutkan hati memang rasanya nak sambung semula hubungan kita yang terputus, tapi bila saya teringat hal itu, saya jadi marah. Saya rasa bodoh. Kenapa awak buat macam tu Yana ?" Luahan Irfan yang berupa rintihan itu semakin menyebakkan mereka. Hal itu ! Hal itulah yang menyebabkan mereka terpisah, yang menyebabkan Irfan membawa diri ke Kuantan, yang menyebabkan Riana terus terseksa sehingga sekarang.
Riana ingat lagi kata Irfan;
"Demi menjaga hubungan kita, berterus-teranglah dalam segala hal. Lebih baik saya tahu dari mulut awak sendiri sebelum saya dapat tahu dari orang lain."
Riana faham sangat apa yang dikatakan Irfan tapi Riana pandang sepi sahaja. Bagi Riana belum masanya lagi dia berterus-terang dengan Irfan tentang hal itu, tanpa dia terfikir ada natijah besar yang menanti.
"Apa penerimaan awak kalau dapat tahu girlfriend awak sudah tidak suci ?" Riana melontar soalan umum kepada Irfan pada suatu hari.
"Saya ni bukanlah memilih sangat. Saya boleh terima dia dengan syarat dia berterus-terang dengan saya, beritahu siang-siang jangan sampai saya tahu sendiri. Kalau tidak nasiblah nanti." Jawab Irfan juga secara umum.
"Eh kenapa tanya macam ni ? Awak…?" Irfan sedikit curiga pada asalnya tetapi jawaban Riana melegakan hatinya.
"Saja tanya. Bukankah ada lelaki yang tak boleh terima perempuan begini walaupun diterangkan secara baik. Ada yang sudah berkahwin pun boleh bercerai semula tahu."
Irfan lega. Dia percaya kekasihnya tidak begitu. Tapi suka dia mengingatkan Riana akan prinsip dirinya.
"Apa hal sekali pun awak mesti berterus-terang dengan saya. Ingat, jangan dah terbongkar baru nak merayu minta maaf. Tolong jaga hubungan kita baik-baik." Berulang-kali Irfan menyatakan begitu kerana dia mengharapkan agar perhubungan itu berkekalan. Dia telah berlaku jujur sejujurnya dan berharap Riana pun begitu.
Tapi siapa sangka Riana yang dianggapnya jujur itu menipunya hidup-hidup ? Irfan marah teramat marah bila mendapat tahu Riana sebenarnya sudah tidak suci.
Riana bukan dara ! Kenapa Riana menipu ? Kenapa Riana tidak berterus-terang ? Kenapa Riana sengaja mencabarnya ? Baiklah. Riana boleh pergi mati. Bermula saat dilafazkan kata perpisahan Irfan langsung melangkah tanpa menoleh lagi. Sengaja dia mencari kerja di Kuantan biar jauh dari segala penipuan, biar jauh dari Riana. Pujuk rayu dan penyesalan Riana dilontar jauh-jauh. Biar seribu kali sayang, untuk kembali kepada Riana adalah tidak mungkin. Riana kejam menipunya ! Riana bodoh menghancurkan cintanya !
"Entahlah Boy. Tak payahlah kita cakap lagi perkara yang lepas. Kalau dah tiada jodoh antara kita ada sajalah penyebabnya berpisah." Kata Riana pasrah.
Irfan senyum. Riana nampak ada air bergenang di takung mata Irfan. Jiwanya yang pelembut memang mudah membuatnya menitis air mata. Dulu, Riana pernah ke Seremban untuk memujuk Irfan sehari selepas membaca emel terakhirnya. Puas dirayu tetapi Irfan tetap dengan keputusannya untuk berpisah. Begitu pun, Irfan turut sama menangis apabila Riana menangis. Habis daya Irfan menahan air matanya namun ia tetap turun dengan laju. Sekali itulah Irfan tega menepis rayuan air mata seorang perempuan. Agaknya marah sangat dia sehingga tidak mungkin mahu kembali kepada Riana.
"Yalah. Memang tak ada jodoh kita ya. Tapi sekarang masalah awak macam mana ? Apa cadangan awak ?" Tanya Irfan. Riana melepaskan keluhan kecil.
"Saya tak tahu. Saya betul-betul bingung sebab itulah saya datang sini."
"Awak tak rasa Remie tu ada orang lain ?"
Riana tersentak. Dia sendiri pun tidak pernah terfikir untuk menanyakan soalan itu kepada dirinya sendiri. Pertanyaan Irfan telah membawanya kepada satu cabang kemungkinan baru. Mungkinkah Remie ada orang lain ? Sebab itukah Remie keberatan menikahinya ?
Selama ini Remie mencurah kasih buatnya seorang sehingga menutup pemikiran Riana untuk terfikirkan hal itu. Lagi pun lama dulu dia pernah menyuarakan hal itu kepada Remie tetapi jawab Remie;
"Awak pernah nampak saya jumpa orang lain ? Pernah nampak perempuan lain telefon saya, SMS saya ? Sudahlah jangan fikir mengarutlah !"
Sejak itu Riana yakin hanya dirinya seorang yang bergelar kekasih Remie. Segala prasangka dibuang jauh-jauh. Kalau Remie jarang berkunjung ke kondo, Riana mengandaikan Remie sibuk dengan kerja. Kalau Remie marah-marah, Riana menganggap Remie tertekan dengan bebanan kerja.
"Orang lain ? Tak tahulah saya. Rasanya tak ada, selama ni tak ada pun perempuan lain call dia."
"Orang lelaki ni lain Yana…mungkin dia pandai simpan rahsia sebab tu awak tak rasa curiga. Kalau tidak kenapa dia bertangguh-tangguh kahwin awak. Tak elok Yana duduk macam tu…seolah-olah dia mempergunakan awak untuk puaskan nafsu saja."
Riana diam. Dia tahu cakap Irfan itu ada benarnya tapi dia juga berasa marah Irfan bercakap begitu tentang Remie.
"Maaflah kalau awak terasa. Tapi bagi saya sebagai seorang lelaki saya faham sangat, kalau seseorang lelaki selalu beri banyak alasan untuk kahwin tentu ada sesuatu yang tak kena."
"Berapa umur Remie ?" Tanya Irfan pula.
"Dua puluh tujuh."
"Nah. Dua puluh tujuh tahun. Dah elok pun kahwin. Dia bekerja, awak pun bekerja rasanya masalah sara keluarga takkan timbul. Dia nak tunggu apa lagi ?" Kata Irfan bagaikan seorang menteri pembangunan keluarga.
"Saya memang nak kahwin. Tapi dia yang tak nak." Keluh Riana.
"Macam ni Yana. Awak balik rumah, bincang elok-elok dengan dia. Pujuklah dia, bawa jumpa keluarga awak." Cadang Irfan selepas terdiam seketika.
"Kemudian kalau dia tak nak jugak, terpaksalah awak buat keputusan. Lupakanlah dia demi kebaikan awak."
Riana diam lagi.
"Saya tahu awak sayang Remie. Bukan senang nak lupakan seseorang kan. Tapi kalau dia tak ikhlas, berkahwin pun tak guna…nanti akan timbul pula masalah lain."
Riana menelan kata-kata itu dengan pahitnya. Kolam airmatanya terasa panas. Benarkah begitu Remie ? Tidak ikhlas kepadaku ? Kenapa tak cakap saja, kenapa berpura-pura ? Sukakah lihat aku menderita ?
"Sabarlah Yana. Saya yakin suatu hari nanti awak akan jumpa kebahagiaan yang awak cari. " Pujuk Irfan bila melihat Riana kembali menitiskan air mata.
"Ehm…nak main teka-teki tak ? Saya ada banyak nak bagi awak ni." Kata Irfan dengan suara yang ceria.
Riana tersenyum sambil mengesat titisan airmata.
"Awak tanya saya dulu."
"OK. Banyak-banyak jenis ayam, ayam apa pandai main bola sepak ?"
Malam itu mereka berpisah setelah beberapa kali isteri Irfan menelefon. Riana mengiringi Irfan sehingga ke keretanya di perkarangan depan hotel. Di saat kereta Irfan mula bergerak keluar ke jalan besar Riana melambai-lambai dengan perasaan yang sayu. Mungkin ini pertemuan terakhir. Pertemuan itu telah menyuntik perasaan baru bagi Riana. Irfan tidak pernah membuang dirinya. Biar pun tiada jodoh sebagai suami isteri tetapi mereka masih boleh berhubungan sebagai kawan rapat.
"Ingat, lain kali ada masalah jangan lupa call saya. Sekurang-kurangnya awak boleh luahkan perasaan." Pesan Irfan. Ya. Irfan pun berupaya menceriakan perasaannya. Seperti tadi, mereka berlawan teka-teki bagaikan murid sekolah menengah. Habis teka-teki, Riana bercerita tentang kisah-kisah lucunya sewaktu bersama kawan-kawan. Mereka bergelak ketawa bagai waktu dulu-dulu. Sedikit sebanyak perasaan Riana jadi lega.
Pukul lima petang hari Sabtu itu Riana berdebar-debar sebaik saja tiba di tempat letak kereta di kawasan kondonya. Kereta Remie ada di situ. Perlahan-lahan Riana masuk ke dalam rumah. Dia bimbang apa reaksi Remie tentang pemergiannya ke Port Dickson.
Tadi sepanjang perjalanan dia telah menimbang semasaknya tentang perhubungan dengan Remie. Betul kata Irfan, kalau Remie tidak ikhlas, berkahwin pun tak guna. Nanti akan ada pula masalah lain. Dia telah bersedia kini. Kalau Remie masih berdolak-dalik, Riana tidak akan tunggu lagi. Apa yang dikejarkan pada Remie.
Meninggalkannya memang satu keputusan yang pahit ditelan, tetapi demi masa depan dia harus berkorban. Sampai bila mahu ditunggu lelaki itu yang entahkan sudi entahkan tidak. Dua tahun dia mengenali Remie, tidak pernah sekali pun Remie sudi memperkenalkan dia kepada keluarganya. Padahal rumah keluarga Remie bukanlah jauh sangat dari situ. Kalau berkereta lima belas minit pun boleh sampai.
Jangankan hendak dibawa berjumpa keluarga, wajah di dalam gambar pun Riana tidak pernah lihat. Entah bagaimanalah rupa ibu bapanya. Remie cuma memberitahu Riana yang ayahnya pensyarah di universiti swasta dan emaknya membuka butik. Itu saja. Apabila Riana bertanya lebih lanjut, Remie malas melayannya.
Sebaik ditolak daun pintu bilik kelihatan Remie sedang tidur nyenyak. Senyap-senyap Riana menukar baju sebelum ke dapur. Pembungkus mi segera terdampar di dalam bakul sampah.
Mungkinkah Remie berada di rumah ini sejak semalam ? Begitu pun, keadaan rumah dan dapur tetap juga kemas seperti yang ditinggalkannya semalam. Inilah yang Riana suka dengan Remie, dia sangat kemas dan bersih tidak seperti kebanyakan lelaki.
Ketika dia menyiapkan minuman, Remie masuk ke dapur. Mukanya kelihatan sembab mungkin kerana telah tidur dalam waktu yang lama. Rindu sekali Riana terhadap lelaki itu. Sejak malam itu lagi Riana ingin bermanja, tetapi Remie pergi meninggalkan rumah selepas dia menyentuh hal kahwin. Riana berharap malam itu Remie akan menemaninya.
"Nak minum ?"
Remie menyambut gelas berisi susu coklat yang dihulurkan Riana. Diteguknya sedikit sebelum diletak kembali ke meja. Riana tertunggu-tunggu adakah Remie akan bertanya ke mana dia pergi dua hari ini, tetapi Remie diam saja. Remie hanya merenungnya dengan pandangan yang tidak difahami Riana.
Tingkah-laku Remie malam itu sungguh pelik. Apabila Riana mahu memasak, dia mengajaknya makan di restoren tom yam di Bandar Baru Bangi. Dari rumah sehingga selesai makan dia diam sahaja. Wajahnya muram sehingga Riana tidak berani bertanya apa-apa. Sangka Riana dia akan mengamuk sakan kerana meninggalkan rumah tanpa memberitahu. Jangankan marah, tanya pun tidak.
Lelaki itu tidak menunjukkan tanda ingin pulang ke rumah sewa selepas menghantar Riana ke kondonya. Selepas menukar pakaian dia termenung di balkoni sambil menghisap rokok. Riana sedikit resah. Dia ingin berbual dengan Remie, dia ingin memeluk Remie kerana tersangat rindu tetapi sikap Remie yang tiada mood itu tidak membolehkan Riana berbuat begitu. Lagi pun dia tidak tahu apa yang ada di fikiran Remie. Entah-entah Remie marah dia pergi, entah-entah Remie pening kepala disebabkan perniagaannya. Biarlah. Riana menunggu kalau-kalau Remie memulainya dulu. Sambil itu Riana membaca novel yang baru dibeli di dalam bilik.
Dia mengangkat wajah apabila Remie melangkah masuk ke bilik. Lelaki itu langsung berbaring di ribaan Riana sambil menyilang tangan di dahi. Besar sangatkah masalahnya ? Riana diserbu tanda tanya.
Dipegangnya kepala Remie.
"Minggu depan kita balik kampung awak. Saya nak jumpa mak dan ayah awak." Kata Remie dengan suara perlahan. Riana ternganga.
"Awak nak jumpa mak dan ayah saya ?" Buang tabiat agaknya Remie. Selama ini tidak pernah pun dia bertanya tentang emak dan ayah Riana, alih-alih malam ini mengajak balik kampung.
"Ya. Saya nak beritahu mak dan ayah awak yang bulan depan saya nak bawa mama dan papa jumpa diorang. Kita nikahlah."
Riana terlopong tanpa kata. Bermimpikah dia ? Benarkah Remie berkata begitu ? Sungguhkah Remie ? Apa pula yang membuat Remie berubah fikiran. Ah, kalau tahu begini dari dulu Riana pergi meninggalkan rumah dua-tiga hari, kalau itu boleh menyedarkan Remie yang dia merajuk.
"Betul ke Mie ?"
Remie mengangguk. Riana lantas memeluk Remie erat-erat. Wajahnya dibenamkan ke dada Remie. Buat seketika Riana tidak tahu berkata apa. Dia sungguh takjub dengan perubahan angin Remie malam itu. Syukurlah.
"Terima kasih sayang.... saya terlalu sayangkan awak." Riana mencium pipi Remie bertalu-talu. Remie membalas dengan satu kucupan di dahi Riana. Tubuh Riana dirangkulnya erat. Sambil itu tangannya mengurut lembut rambut Riana.
"Awak ke mana semalam, hari ni baru balik ?" Tanyanya dengan suara yang perlahan. Riana memandang tepat ke matanya.
"Awak marah?" Remie menggeleng.
"Saya pergi mencari hati. Saya mencari cinta awak."
"Dah jumpa ?"
"Dah" Riana senyum bahagia.
Sangat bertuah rasanya berada dalam pelukan Remie. Apatah lagi Remie berhasrat melamarnya. Ternyata Remie bukan seperti yang dikatakan orang, Remie tidak mempermainkannya dan Remie tidak ada orang lain. Kalau ada orang lain masakan Remie mahu menikahinya ?
Bersambung lagi.............

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "