2+4 hrs...Twogether Fourever

Jumaat : 11 April 2025   
@ 13 Syawal 1446H / 4:36 AM

2Khamis,Februari

Sesuci Hati Isteriku [ Episod 5/20]

~Barang yang lepas jangan dikenang Kelak dikenang merana badan~


10.40 malam. Riana masih duduk-duduk di atas benteng konkrit di pinggir Selat Melaka itu. Di bahagian bawah benteng itu air laut menendang-nendang, menghempas-hempas benteng dengan aksi yang agak keras sesekali.

Di hadapannya laut luas yang hanya kelihatan hitam kelam. Ada juga beberapa tompok cahaya kecil di kejauhan. Mungkin cahaya dari kapal-kapal yang sedang bergerak di lautan luas itu. Sesekali Riana berpaling ke belakang. Yang terpandang adalah bangunan hotel tersergam indah dengan bilik-biliknya ada yang bergelap dan ada yang masih cerah. Riana meneka-neka mana satu bilik yang disewanya. Tingkat tiga. Ada banyak bilik di tingkat tiga. Entahlah yang mana satu, malas Riana hendak ambil pusing lagi. Ada beberapa pasang muda-mudi dan juga yang tidak berapa muda berjalan-jalan di sekitar pantai dekat hotel. Ada yang berkumpulan atau berkeluarga. Nampaknya Riana sahaja yang keseorangan bermenung di situ.

Di mindanya masih terfikirkan pertemuan dengan Irfan. Sudah lebih tiga tahun mereka tidak bertemu namun Irfan kelihatan begitu juga. Kurus, rambut paras bahu, kulit sawo matang, percakapannya lembut dan perlahan dengan wajah yang bersahaja, wajah tanpa dosa walau pun hakikatnya pasti banyak dosa. Manusia manakah di zaman ini yang dapat lari daripada melakukan dosa ?

Irfan, sudah beranakkah dia ? Tiba-tiba soalan itu terpacul dalam minda Riana. Lupa dia menanya itu tadi. Sebenarnya banyak yang ingin ditanya tapi kerana gelabah tidak menentu semuanya jadi terlupa. Tiba-tiba pula Riana rasa rindu untuk berbual-bual dengan Irfan. Bercerita dari hati ke hati, bergurau, bermain teka-teki, saling usik-mengusik dan membincangkan masa depan seperti yang mereka lakukan dahulu. Dahulu, cerita cinta yang sangat indah.
Seperti kata Irfan;

"Kentut masih wangi."

Maksudnya di awal percintaan memang indah, segala apa berkenaan kekasih hati semuanya betul dan cantik dipandang. Sememangnya Riana dan Irfan pernah melalui zaman 'kentut wangi' itu bagai berfantasi berjalan di atas pelangi. Namun pelangi hanya datang seketika, tiba waktu ia akan pergi meninggalkan memori. Begitulah kisah cinta Riana dan Irfan yang kini hanya tinggal sejarah, tidak mungkin ada yang kedua kali. Bibir Riana menguntum senyum halus. Biarkan kenangan itu berlalu. Yang ada hari ini adalah untuk dihadap pada hari ini.

Tetapi salahkah kalau dia sekadar berbual-bual dengan Irfan di tepi pantai itu sebagai kawan lama ? Sesungguhnya Riana memerlukan teman bercerita di saat ini, teman yang seperti Irfan. Lalu Riana menggagau telefon di dalam beg tangannya.

"Your call has been forwarded …."

Ahh ! Suara ini. Suara ini yang Riana pasti bukan dirinya saja memusuhi suara ini malah hampir semua orang yang pernah memanggil talian itu. Riana merasai suatu kehampaan dan kehilangan. Di saat dia memerlukan sesuatu maka sesuatu itulah yang tidak ada.

Selang sepuluh minit dia mencuba lagi untuk kali yang kedua. Syukur kepada Tuhan panggilan dijawab selepas tiga kali dering.

"Ha-low." Suara penyayang itu menjawab dengan lembut dan bersahaja. Sungguh. Mendengar suaranya berkata 'hello' pun sudah dapat membayangkan dia seorang penyayang.

"Boy."
"Yana ?"
"Macam mana awak tahu saya Yana ?"
"Telefon ni beritahu."

Riana ketawa kecil. Kalau berbual dengan Irfan mesti ketawa, tidak ketawa sikit dia akan ketawa banyak. Sifatnya yang satu ini juga masih seperti dulu, suka membuat kelakar walau pun kadang-kalanya merapu.

"Belum tidur lagi ?" Tanya Irfan.
"Dah tentulah belum. Kalau dah tidur takkan saya telefon awak ?"
"Emm betul tu. Kenapa tak tidur lagi ?" Suara Irfan kedengaran biasa dan mesra, tidaklah menggelabah seperti ketika berjumpa tadi. Agaknya sudah pulih dari terkejut. Lagi pun perbualan tanpa wajah sememangnya lebih mesra.

"Hei….datang tempat macam ni sekali-sekala, bayar hotel mahal-mahal takkan nak tidur cepat, rugilah."

"Bukankah awak bayar bilik hotel tu sebenarnya untuk tidur ? Tilam tebal, empuk, bilik sejuk…kalau awak tak tidur rugilah."

Riana pula terdiam. Nampaknya perangai usik-mengusik antara mereka masih ada. Dahulu mereka berlumba-lumba mematahkan pendapat lawan yang kadang-kalanya menyakitkan hati walau pun niat asal adalah untuk bergurau. Biasanya Riana yang akan merajuk kalau Irfan bersungguh-sungguh menentang apa yang dikatakannya. Merajuk atau saja buat merajuk, kedua-duanya sekali.

"Awak kat mana ni Boy ? Dah balik Seremban ?"
"Belum. Saya ada kat sini lagi. Kejap lagi baliklah."
"Oh…"
"Kenapa ? Awak kat mana ni ?" Tanya Irfan pula.
"Saya kat tepi pantai, belum naik ke bilik lagi. Kalau boleh, saya…."
"Awak sorang-sorang kat situ ?"
"Ha ah."
"Kenapa ni ? Ada problem ? Kalau tak takkan menung sorang-sorang kat pantai ?"

Riana sayu tiba-tiba dengan soalan itu. Suara lembutnya mengusik perasaan Riana. Kalau diagah sedikit lagi pasti luruh air matanya di situ juga.

"Kalau sudi ceritalah dengan saya. Kitakan masih kawan." Tokok Irfan lagi seterusnya membuatkan Riana semakin sebak. Irfan, kalaulah kau milikku…

"Memang saya nak cerita dengan awak. Saya nak sangat berbual dengan awak." Suara Riana begitu perlahan dan bergetar. Sayu.
"Ceritalah."
Riana diam seketika. Menarik dan kemudian menghembus nafasnya.
"Saya nak jumpa awak malam ni boleh ?" Akhirnya Riana lega dapat menyuarakan hasrat.

Irfan pula diam seketika, mungkin berfikir tentang isterinya di rumah.
"Awak tunggu kejap, saya telefon awak balik okey ? Just a minute."
"Boy please….kalau awak minta kebenaran wife awak adakah dia akan bagi ? Logik sikitlah. Saya cuma nak berbual dengan awak malam ni saja, itu pun tadi tak sengaja terjumpa awak. Lain kali peluang begini takkan datang lagi kan ?"

Irfan menyatakan kesanggupan selepas diam sejenak. Itu memang Riana tahu, yakni kelemahan Irfan terhadap pujuk rayu orang. Sebab itulah Irfan berat hati menjawab panggilan Riana ketika baru-baru mereka berpisah dahulu. Kalau dirayu air mata, pasti Irfan lemah selemahnya dan sudah pasti dia akan kembali ke pangkuan Riana dalam keadaan terpaksa kerana lemah selepas dirayu. Itu yang dia cuba elakkan.

"Hai."
Riana menoleh sebaik terdengar suara itu. Di belakangnya Irfan sedang tersenyum. Riana membalas senyuman itu dengan seribu kelegaan.

"Duduklah. "
Irfan mengambil tempat di sebelah Riana.
Buat seketika mereka terdiam tanpa kata. Masing-masing mencari kunci memulakan perbualan.

"Kata tadi ada benda nak ceritakan dengan saya. Ceritalah." Wajah Riana dipandang tepat dengan pandanganya yang kuyu dan sayu itu. Sekali lagi hati Riana tercuit melihat sinar mata itu yang mengingatkannya kepada Irfannya yang dulu, Irfan miliknya suatu ketika dulu. Kini dan di sini, walau pun Irfan ada di sebelahnya tetapi Irfan ini adalah milik orang lain, tidak sama lagi dengan Irfannya yang dulu.

"Kawan awak mana ?" Tanya Riana sekadar berbasa-basi.
"Faizal ? Ada kat kedai Mael. Diorang tengah main gitar."
"Kawan-kawan awak pun pandai main gitar ya."
"Bolehlah setakat menghiburkan diri sendiri." Jawab Irfan bersahaja sambil tersenyum.

Irfan ini bukanlah dari golongan orang kacak, jauh sekali membuat perempuan terpikat dengan sekali pandang. Bagi perempuan yang tahu, yang rapat dan yang menyelami hatinya saja yang akan merasa bertuah memiliki hati lelaki itu.

"Tak sangka ya kita boleh jumpa malam ni. Saya betul-betul tak sangka." Kata Irfan lagi dengan suara yang perlahan. Riana tersenyum tipis. Saya pun tak sangka, tapi saya ada terfikir…

"Macam mana awak sekarang ? Seronokkah hidup berdua ?" Ujar Riana dengan senyuman. Dia ingin tahu keadaan hidup Irfan selepas beberapa lama mereka berpisah.

"Biasa saja. Cuma bila berkahwin, kita akan rasa hidup lebih bermakna, lebih bertanggungjawab sebab ada orang lain yang kongsi hidup bersama kita dan orang tu kita mesti jaga."

Jadi benarlah sedikit sebanyak perkahwinan mengubah hidup dan pemikiran seseorang. Dari apa yang diucapkan Riana tahu kini Irfan telah dewasa sedikit berbanding dahulu. Serta-merta Riana rasa dirinya telah ketinggalan di samping Irfan.

"Dah ada baby ?"
"Setakat ni belum lagi. Dia pun baru je habis belajar, belum ada masa. Mungkin lepas ni adalah."
"Awak ? Bila lagi ?" Sambung Irfan dengan pertanyaan.
"Bila lagi apa ?"
"Bila lagi nak kahwin ? Tunggu kucing bertanduk ke ?" Gurau Irfan.
"Ada ke kucing bertanduk ? Saya cuma tunggu awak pinang, jadi isteri kedua."

Irfan tersenyum lebar. Entah apalah di fikirannya ketika itu tiada siapa tahu.
"Tak mampulah saya." Balasnya selamba.
"Batin ke zahir ?"
"Batin dan zahir."
Mereka ketawa kecil.
"Yang sebenarnya…"
Irfan tampak memberi perhatian penuh apa yang ingin dikatakan Riana.
"Yang sebenarnya saya dah kahwin."
Irfan tersentak. Setahunya Riana belum berkahwin.
"Bila awak kahwin ?"
"Dah lama, cuma nikah saja belum."
"Huh !" Irfan membuang pandang ke tengah laut semula.

Gurauan Riana itu sesungguhnya mengejutkan dirinya. Benar. Dia tidak pernah menhubungi Riana tetapi jauh di sudut hati Irfan menganggap Riana adalah kawan baik dan kalaulah dia tidak tahu langsung peristiwa penting dalam hidup kawan baiknya, alangkah ketinggalannya dia.

"Kenapa awak tak datang semasa saya kahwin ?" Tanya Irfan mengalih topik. Memang juga dia ingin tahu kenapa Riana tidak sudi hadir ke majlis perkahwinannya setahun yang lalu sedangkan dia tidak lupa menjemput Riana.
Riana membalas dengan senyum mengejek.
Riana ingat lagi suatu hari Fira menelefonnya memberitahu sesuatu.

"Boy hantar kad ke rumah aku."
Bagi Riana itu bukan satu kejutan kerana memang kadang-kadang Irfan ada menelefon Fira, bertanya khabar dirinya dan juga Riana. Kata orang sekadar mengekalkan hubungan agar tidak terputus langsung.

"Kad ucapan hari jadi kau ke ?" Tanya Riana selamba.
"Bukan. Kad jemputan kahwin. "
"Oh…" Hanya itu yang terluah oleh Riana. Dia jadi kecil hati. Sering saja Irfan begini. Pandai menelefon Fira tapi tidak pernah terniat menelefon Riana. Bukankah sejak mereka terputus hubungan cinta Riana dan Fira telah menjadi sama taraf, masing-masing sebagai kawan Irfan. Itu juga yang Irfan lafazkan dulu. Kenapa Irfan selalu ingat Fira tetapi tidak ingat Riana ?

"Dia tak hantar kat aku pun." Riana memberitahu separuh mengadu. Fira kawan baik Riana sejak mula-mula masuk universiti lagi. Fira yang kenal Irfan dulu, kemudian memperkenalkan Riana kepada Irfan sehinggalah mereka bercinta dan setelah hubungan cinta itu putus, Irfan hanya merisik khabar dari Fira, tidak sesekali menelefon Riana sendiri.

"Aku tahu." Balas Fira.
"Sebab itu aku call engkau, nak ajak engkau sekali pergi. Irfan ada call aku minggu lepas, dia suruh aku bawa engkau." Sambung gadis itu lagi. Seorang sahabat yang amat memahami dan mengambil berat terhadap Riana dalam apa jua hal.

"Kenapa dia tak hantar kad sendiri kat aku ? Atau sekurang-kurangnya call aku ?"
"Bukan dia tak nak hantar pada kau tapi dia takut kau fikir lain. Dia takut kau tuduh dia sengaja nak menunjuk yang dia tu nak kahwin dengan orang lain."
"Dia bagitau kau macam tu ?"
"Ya. Sebab tu dia bersungguh suruh aku bawa kau pergi Seremban. Dia memang nak kau datang majlis kahwin dia cuma tak tergamak nak jemput kau secara terus."
Riana mengeluh kecil.

"Kenapa dia mesti fikir macam tu ? Cerita aku dengan dia kan dah lama habis, sekarang dah jadi kawan. Kenapa harus ada perbezaan antara kau dengan aku ?" Rungut Riana tidak puas hati.
"Entahlah. Yang tu kau kena tanya dia sendiri. Nak pergi tak ?"
"Tengoklah dulu Fira, aku tak berani cakap lagi."

Dan sehingga ke sudah Riana tidak berani cakap apa-apa sehinggalah Fira membuat kesimpulan sendiri bahawa Riana tidak mahu pergi. Termasuk Fira pun tidak jadi pergi ke majlis Irfan.

"Kalau kau tak pergi aku pun tak nak pergilah. Seganlah aku nak pergi sorang." Kata Fira sewaktu menelefon Riana untuk bertanyakan hal itu buat yang terakhir kalinya.

"Awak tak ajak saya macamana saya nak pergi majlis awak."
Sekali lagi Irfan berpaling merenung wajah Riana.
"Fira tak bagitau awak ?"
"Awak hantar kad untuk dia seorang. Awak call dia. Saya ? Apa pun tak ada." Kata Riana seperti merajuk sedangkan yang sebenarnya dia pun telah melupakan hal itu. Remie yang sebenarnya menjadi punca kenapa dia tidak menghadiri majlis perkahwinan Irfan.

"Nak sangat tengok orang kahwin, kenapa ? Ke awak masih minat dengan dia, nak kahwin dengan dia ?" Remie meradang bila Riana meminta kebenaran. Remie tahu siapa Irfan, malah setiap lelaki yang pernah menjalin hubungan dengan Riana. Remie yang meminta Riana menceritakan semuanya. Tunjukkan kejujuran, katanya. Dan sememangnya Riana tidak kisah berterus-terang dengan Remie kerana baginya Remielah lelaki terakhir dalam sejarah percintaannya. Riana sendiri mengharapkan kejujuran hatinya dalam perhubungan yang terakhir itu, mudah-mudahan dia tidak mengulangi kesilapan silam.

"La…takkanlah sebab itu. Kan saya wakilkan Fira untuk jemput awak ?"
"Pakai wakil saja ? Yalah saya tahu siapa saya. Awak bimbang kalau saya merayu awak kan ? Nanti tak jadi pulak awak nak kahwin." Sela Riana dalam nada lebih merajuk.
"Bukan macam tu. Aduhhh….macam manalah saya nak cakap."
Irfan melurut rambutnya. Dia benar-benar tersinggung Riana menyangka dirinya yang bukan-bukan. Riana lantas ketawa melihat aksi Irfan begitu.

"Okey. Okey. Kita bukan nak cakap pasal hal ni kan ? Lagi pun dah ia lama berlalu, buat apa nak ungkit lagi." Riana memujuk. Irfan diam tanpa sebarang aksi. Riana pula jadi resah. Kenapa mesti jadi begini di ketika yang tidak sepatutnya.

"Boy…saya minta maaflah. Saya tahu awak jemput saya, cuma saya yang tak boleh pergi. Saya teringin sangat nak tengok awak waktu kahwin. Saya…"

"Ada seseorang tak benarkan awak kan ?" Pintas Irfan. Giliran Riana pula tersentak. Direnung wajah itu dengan seribu kehairanan. Irfan tersenyum sinis.

"Sekarang awak masih bersama diakah ? Dia yang menyebabkan awak lari ke sini, sorang-sorang ?"
"Awak tahu pasal dia ?"
"Tahu. Sikit-sikit…"
"Fira ?" Irfan mengangguk. Rupa-rupanya Fira memberitahu Irfan hal berkenaan Remie.

Riana tidak pernah menyangka Irfan tahu kisahnya sehingga kepada hal sebegini. Sangka Riana Irfan hanya tahu tentang hal yang biasa, di mana dia bekerja, sihat atau tidak, berteman atau tidak, itu saja !

"Siapa namanya ?"
"Remie." Riana menjawab lemah. Malam ini tidak perlu berselindung lagi, biar dia menceritakan semuanya kepada Irfan. Sangkanya tadi dia terpaksa menebalkan muka untuk bercerita kepada Irfan hal-hal peribadinya yang tidak berapa gembira, rupanya Irfan lebih dulu tahu.

"Sejak akhir-akhir ni saya dan Fira selalu berhubung. Dia selalu call saya. Saya pun ada juga call dia." Terang Irfan.
"Kenapa Fira selalu call awak ?"
"Sebab awak. Dia minta saya tolong awak." Jawaban yang ringkas itu menghairankan Riana.

"Tolong saya. Nak tolong apa ? Kenapa mesti awak ?"

"Saya rasa awak sendiri pun tahu jawabannya. Sebab saya berkaitan dengan masalah awak dari mula hubungan kita putus sehinggalah hari ini." Suara Irfan perlahan tapi jelas.

Bersambung..............

try , Khamis, Februari 02, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog