2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Sesuci Hati Isteriku [Episod 14/20]

"Zuraimi di sini. Buat masa sekarang saya terlalu sibuk untuk menjawab panggilan anda. Sila tinggalkan pesanan, terima kasih."Remie ! Dia terasa bagai mahu menjerit sekuat hati. Sudah penat jari-jemari mendail nombor Remie, tetapi hanya ungkapan itu yang diperolehnya berulang-ulang kali. Sudah hangat telefon di dalam genggaman, masih tiada dering, tiada jawaban. Elly terbungkam diam di pojok ruang tamunya. Pandangan terarah tajam ke telefon di dalam genggaman. Terasa bagai mahu dicampak telefon itu dari tingkat lapan apartmen itu. Dia tidak ingin mendengar suara rakaman, dia mahu suara Remie yang hidup! Dua minggu tidak melihat bayang Remie cukup membuatkannya resah bagai ibu kehilangan anak. Semenjak mendapat tahu Remie bukan lagi miliknya seorang dia sering curiga dan merasa tertekan kalau Remie jauh darinya. Kalau boleh mahu setiap masa Remie di sisinya siang dan malam, dia mahu Remie tinggal terus bersamanya di rumah itu.

Namun Remie sering memberi alasan, dia punya isteri yang perlu dijaga hatinya. Ah ! Setiap kali Remie menyebut nama itu Elly terasa bagai terbakar. Panas sungguh. Kerana perempuan itulah perancangan hidupnya bersama Remie jadi tergendala. Sepatutnya dia yang menjadi isteri Remie, bukan Riana ! Dia juga marah kepada Remie yang curang, yang tidak mampu menahan godaan sepanjang ketiadaannya di sisi lelaki itu.

Sekarang Remie sudah termasuk jerat perempuan itu sehingga bernikah. Bukankah dulu Remie yang beriya-iya berjanji mahu menikahi dirinya sebaik saja dia tamat pengajian di London. Meski pun dia mahu bekerja di London sementara, tidak semestinya Remie menjadikan itu alasan untuk menikahi perempuan lain.

Remie ! Tanpa sedar dia telah melempar telefon yang sedari tadi di dalam genggaman ke atas sofa di hadapannya. Jiwa meracau-racau tidak keruan. Seksanya mengenali seorang lelaki bernama Remie. Namun dia tidak mampu meninggalkan lelaki itu.

Sudah penat menanggung rindu, perit pedih sepanjang bersama kalau mampu dilihat mungkin sudah berbirat, berjalur hitam coklat. Untuk melafazkan kata perpisahan tidak mungkin. Dia akan lebih terseksa selepas itu. Mengapa terlalu pedih perasaan ini. Airmatanya perlahan-lahan mengalir mencomotkan wajah yang masih bermekap. Dia belum berbuat apa-apa sejak pulang dari kerja petang tadi. Hanya menggenggam telefon, mendail, dan menaip SMS. Namun semuanya menghampakan.

"Mana kawan Elly tu ? Bawa dia datang jumpa papa."

"Elly dah besar, dah habis study…dah kerja pun. Kalau ada orang yang sesuai, why not Elly kahwin aje ? Mama tak suka Elly buat macam tu…kita ni kat Malaysia sayang, bukan kat London."

"Kau jangan nak malukan keluarga, Elly. Bukan abang tak tau kau selalu bawak lelaki tu masuk rumah kau. Jangan jadi bodoh. Kalau dia betul-betul ikhlas nakkan kau, suruh dia datang rumah ni, buat cara baik."

"Jangan sampai papa tarik balik keizinan untuk Elly tinggal sorang kat apartmen tu. Kalau ada apa-apa berlaku papa tak teragak-agak nak pindahkan Elly balik ke rumah kita ni tahu !"

Di keheningan malam Elly terisak sendiri. Tekanan daripada keluarga tak mungkin dapat diabaikan. Entah bagaimana mereka dapat tahu tentang hubungannya dengan Remie. Papa, mama dan abang Fazrul marah dia bergaul bebas dengan Remie. Tidak mengapa kalau dia memilih Remie, mereka cuma marah dia berhubungan secara senyap-senyap.

Bagaimana dia hendak menghebahkan hubungan itu sedangkan Remie bukan miliknya seorang. Remie suami orang ! Mama dan papa tentu pengsan kalau mengetahui hal itu.

*********************************


Pagi hari hujung minggu itu Riana bersiap-siap untuk ke rumah Mimi. Temannya itu mengajak makan tengahari di rumahnya. Sudah agak lama tidak bertemu, pasti banyak cerita Mimi yang mahu dikongsi. Lagi pun tiada apa yang boleh dibuat di rumah. Remie sejak semalam lagi pergi ke Johor Bahru untuk memantau lokasi penempatan kiosk maklumatnya di sana. Petang ini baru balik.

Keizinan Remie telah pun diperoleh. Asalnya dia mahu ke rumah Mimi bersama Remie tetapi sejak memulakan projek pemasangan kiosk maklumatnya itu, Remie menjadi begitu sibuk mengalahkan menteri besar. Jumpa orang itu, jumpa orang ini, terkejar ke sana terkejar ke sini bagaikan lipas kudung. Setiap malam pulang ke rumah selepas jam dua belas. Ingatkan selepas mendapat projek kurang sedikit sibuknya, rupa-ruoanya sebelum dan sesudah mendapat projek sama saja sibuknya. Nasib baiklah dia sudah biasa dengan keadaan itu. Alah bisa tegal biasa. Agaknya sampai ke tua pun Remie takkan mempunyai masa lapang selagi dia menguruskan syarikatnya itu.

Walau apa pun Riana bersyukur Remie kini semakin prihatin terhadapnya. Sekurang-kurangnya akan menjamah hidangan yang disediakan Riana kalau berkesempatan. Dan yang paling penting, Remie tidur di dalam pelukannya setiap malam. Meski pun menjelang ke tengah malam baru sampai ke rumah, setidak-tidaknya tiada wangian wanita melekat pada tubuhnya. Tiada juga kesan gincu Elly pada bajunya. Apa sudah jadi dengan wanita itu ?

Riana tersenyum senang. Biarlah apa pun yang terjadi, asalkan dia jangan mengganggu Remie cukuplah. Agaknya Remie pun sudah tiada hati untuk melakukan maksiat lagi. Kalau benar begitu, Rianalah manusia yang paling gembira. Terima kasih Tuhan !

Selepas mengunci pintu rumah, Riana berlenggang turun ke tingkat bawah untuk ke kereta. Pagi yang sungguh cerah secerah hatinya kini. Buat seketika Riana leka memerhatikan anak-anak kecil bermandi-manda di kolam yang terletak di tengah-tengah empat blok kondo bertentangan satu sama lain. Nampak sungguh riang anak-anak itu ditemani ibu bapa masing-masing. Hati Riana turut berdetik keriangan. Mungkinkah suatu hari nanti dia dan Remie juga berada di situ bersama anak mereka bermain air ?

Enggan membiarkan diri terus berangan, Riana lalu memboloskan diri ke dalam kereta. Sebaik menghampiri pondok pengawal, keretanya ditahan. Seorang pengawal keselamatan yang memang dikenalinya menghampiri.

"Kenapa ?"tanya Riana selepas menurunkan cermin.
"Cik Nurriana Aisya, blok A nombor 1-34 kan ?"
"Ya, saya." Wajah pengawal yang bernama Iman itu ditatap hairan. Selalunya kalau dia melintasi pondok pengawal untuk keluar Iman akan mengangkat tangan sambil tersenym. Pagi ini, lain pula.

"Itu tadi ada sorang perempuan nak masuk., katanya nak pergi rumah cik tapi saya tak benarkan. Saya dah suruh balik pun dia degil, tu ada lagi kat luar. Dia kata nak tunggu cik keluar."

Riana melihat ke luar pagar. Memang ada sebuah kereta mewah tersadai di luar pagar dekat pondok pengawal. Nampaknya seperti Vios. Tetapi siapa perempuan itu ?

"Kenapa tak interkom rumah saya ?" Riana kembali memandang ke wajah Iman. Anak muda itu tersengih.
"Suami cik dah pesan jangan bagi sesiapa yang tak dikenali atau yang tak biasa datang sini masuk. Dia kata tak payah tanya cik Riana sebab kalau orang tu kenal cik tentu dia telefon cik sendiri."

Riana tersenyum dengan jawapan jujur itu.
"Bila dia pesan macam tu ?"
"Ermmm…rasanya baru dua-tiga hari lepas."

Riana terangguk-angguk. Nampaknya ada perkembangan baru, Remie risaukan dirinya. Tetapi siapa yang hendak mengancam keselamatannya ? Selepas mengucapkan terima kasih kepada Iman Riana lalu memandu perlahan ke arah kereta Vios itu. Kelihatan seorang perempuan berbaju merah berpaling ke belakang dan mula keluar dari keretanya.

Jantung Riana berdegup kencang. Elly ?

Bersambung...................

try , Khamis, Februari 02, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog