~Datangku tidak berjemput Pergiku tidak berhalang~
Sekujur wajah di hadapannya direnung dengan seribu macam perasaan. Rambut berombak keperangan separas bahu, bentuk muka sempurna yang terhasil dari campuran dua bangsa dua benua, sepasang mata besar yang galak dan dua ulas bibir yang begitu menawan kala tersenyum atau tidak.
Segalanya begitu sempurna. Rupa-rupanya wajah secantik ini yang ditatap Remie saban malam sehingga tidak lalu memandang isteri isteri sendiri. Siapalah dia untuk dibandingkan dengan gadis ini. Terlalu ketara perbezaan mereka. Dia hanyalah seorang wanita Melayu biasa yang hanya berani mengenakan seluar pendek di rumah sendiri sedangkan gadis ini kelihatan begitu yakin dengan penampilan seksinya tanpa menghiraukan pandangan orang di sekeliling.
"So what's up ? Hemm...?"
Ada satu kekurangan pada gadis ini. Sinar matanya membayangkan dia seorang yang angkuh. Atau memang begini caranya menghadapi seseorang yang dianggap musuh.
"Pasal Remie. Dia suami saya."
Tiada apa-apa riak perubahan di wajah Elly. Malah dengan wajah angkuh membelek kuku panjangnya yang diwarna keemasan. Ah ! Apa sudah jadi dengan Remie. Bukankah dia geli dengan benda-benda kotor. Bukankah berkuku panjang itu menjijikkan baginya.
"I know."jawabnya pendek.
Riana menahan nafas. Dirinya dicabar terang-terangan sehingga dia sendiri takut kalau-kalau diri terhilang sabar menghadapi karenah Elly. Dia yang menginginkan pertemuan ini, biarlah dia pulang dengan kemenangan, bukan dengan sesuatu yang memalukan.
"Dah lama I tunggu you datang cari I tapi baru sekarang you muncul. Kenapa you ambil masa begitu lama Riana ? You takut nak jumpa I ?"
"You..." Riana terhenti. Dia ingin mengucapkan 'you're such a *****' tetapi akalnya melarang. Dadanya berombak kencang. Perempuan ini !
"You rampas suami I dan you tunggu I datang cari you ? Game apa ini ?"
Bibir Elly yang nipis itu mengorak senyum sinis.
"Siapa yang rampas hak siapa Riana. You janganlah sebut pasal rampas sebab you akan kalah. Remie hak I, dah sepuluh tahun."
"Sepuluh tahun. Habis tu kenapa Remie tak kahwin dengan you, kenapa dia kahwin dengan I ?" Riana senyum sinis. Remie miliknya sepuluh tahun ? Perempuan gila !
"Heh!" Gadis itu mencemik dengan jengkel sekali. Kemudian tertawa kecil.
"Look at you pity dog! You're so naïve…" Jari runcingnya menuding ke muka Riana dengan mata yang sengaja dikecilkan. Perkataannya ditekan jelas. Riana pula yang terbeliak biji mata mendengar kata-kata dari mulut Elly. Dia terpana tanpa kata-kata. Seluruh tubuh mula menggeletar.
"Kalau you nak tahu, I….dengan Remie dah bersama sejak sepuluh tahun lalu. Sebelum you mula pegang tangan dia, I dah tidur dengan dia lama. You tahu kenapa Remie bersama you Riana ?" tanya Elly lunak sambil jemarinya menggentel tisu sehingga hancur lumat. Diulang-ulangnya perbuatan itu sehingga bersepah cebisan tisu di hadapannya.
"Macam tisu ni, diguna dan dibuang. You tak ubah macam tisu ni Riana ! I tak hairan kalau Remie cari you, sebab I was abroad empat tahun. Dia lelaki, tentu cari tempat persinggahan."
Tisu ? Tempat persinggahan ? Riana terhenyak. Bolehkah dia percaya kata-kata perempuan ini. Kolam mata terasa panas. Sabarlah hati, jangan menangis di depan dia!
"You jangan nak reka cerita. Kalau Remie anggap I macam tisu, kenapa dia nak kahwin dengan I, bukan you?" Riana cuba bertenang tetapi gagal. Suara kedengaran bergetar. Kata-kata beracun Elly lebih dulu menikam tajam ke dasar hati menandingi akal waras yang telah sekian lama diajar agar tidak mudah terpedaya kata-kata lawannya ini.
Elly ketawa lagi. Wajahnya memaparkan kemenangan dan keegoan tidak terbanding. Apatah lagi bila melihat wajah Riana memerah dan ada air bergenang di takung mata itu.
"Ok, I mengaku that was my biggest mistake. I yang buatkan Remie marah. Sepatutnya I terus balik bila habis study, sebab kami janji nak kahwin. Tapi tiba-tiba I terfikir nak kerja kat London. Remie tak benarkan, tapi I degil. Dia jadi marah. You pun tahu kan, kadang-kadang dia buat keputusan tergesa-gesa ikut kepala anginnya, sebab itu dia terus kahwin you."
"Tapi itu tak bermakna dia lupakan I. I pun tak boleh hidup tanpa dia. So I fikir buat apa tinggal sana kalau hidup tak bahagia. I balik cari Remie and now, here we are…still together. You mean nothing to him!"
Tenang seklai Elly menuturkan kata-kata yang bagi Riana bagaikan peluru menikam tajam ke seluruh panca inderanya. Dia tidak mampu bersuara walau sepatah kata. Bagaikan terpukau, Riana hanya mampu menatap sepasang mata Elly yang bersinar tanda kemenangan.
Sehingga gadis itu berlalu meninggalkannya berseorangan di sudut restoran ternama itu, Riana masih kaku tertunduk merenung meja. Ucapan terakhir yang dibisikkan Elly terngiang-ngiang, berulang-ulang di ruang memori. Hangat dan merengsakan.
"I harap you dah sedar. Buka mata you luas-luas, fikirkan di mana sepatutnya tempat you. Sekali dalam hidup you, buatlah keputusan paling bijak. This is for your own sake."
Hatinya remuk redam. Dia sangka dia akan menang di pertemuan ni rupanya tidak. Btapa sekian lama dia buta mata dan buta hati oleh cinta palsu Remie. Bagai kucing kurap yang tersesat di tengah laman cuba diusir keluar kerana kehadirannya menjelekkan. Sudah nyata Elly mahu dia mengundurkan diri dari hubungan tiga penjuru itu.
Pulang ke kondo, hatinya lebih hancur. Perasaan merusuh tanpa dapat ditahan-tahan tatkala terpandang katil beradu. Di situ menjadi medan pergaulan haram antara dia dan Remie selama dua tahun. Dia telah menyerahkan segala rasa kasih dan cinta tanpa menyedari diri hanyalah alat pemuas nafsu lelaki itu.
Kemudian, setelah hampir setahun perhubungan dihalalkan, di saat Riana dengan rendah hati meletakkan diri di hujung ranjang seorang suami, tubuh yang dulunya dipandang ghairah kini sering terlantar sepi menanti kehangatan belaian cinta Remie. Remie telah kembali kepada cintanya sehingga rela mengabaikan Riana yang telah diangkat martabatnya sebagai isteri entah di atas dasar apa selain daripada jodoh!
Betapa kejam seorang manusia bernama Zuraimi. Bertindak sesuka hati bagai orang lain tidak punya hati dan perasaan. Sedarkah dia telah menghancurkan sebuah kehidupan ? Benar seperti kata Elly, Riana patut memikirkan letak duduk dirinya di sisi Remie. Mungkin sudah sampai masanya burung meninggalkan belakang kerbau. Sudah masanya Riana meninggalkan Remie !
Sebulat kata hati, Riana pantas meragut baju-baju yang bergantungan di dalam almari dan di ampaian lalu disumbat ke dalam beg yang ternganga luas.
****************************************
Beberapa kali stereng dihentak keras. Sumpah seranah tidak terkirakan lagi butir bicaranya. Segala macam perkataan tidak elok terkeluar entah ditujukan kepada siapa. Hon pula bertalu-talu ditekan namun kenderaan yang bertali arus tidak juga kurang. Berasak-asak, bersesak-sesak. Pergerakan kura-kura lebih laju dari ini !
Remie meneliti tapak tangannya sendiri. Tapak tangan ini yang telah menampar wajah cantik Elly sebentar tadi. Dia sendiri terkejut. Memang sifatnya kasar dan ego tetapi tidak pernah terlintas menggunakan tangan ini untuk menyakiti seorang wanita. Diserbu marah dan kesal dia hanya mampu memandang Elly tersedu dan menyumpah seranah dirinya. Tiada satu perkataan maaf pun terkeluar dari bibir Remie.
Dengan perasaan bercelaru dia melangkah keluar dari apartmen Elly. Dia perlu menemui Riana secepat mungkin sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi.Menjelang jam lapan empat puluh minit baru dia sampai di perkarangan kondominium Sri Bayu. Kecelaruannya sedikit tenang melihat kereta Riana terletak elok di tempat biasa.
Pantas kaki diayun ke tingkat satu. Sebaik pintu dibuka, dia mendapati rumah itu sunyi dan suram. Lagu-lagu cinta kegemaran Riana tidak kedengaran. TV besar diam kaku tidak berfungsi. Remie menerpa ke bilik tidur utama.
Di situ dia terperangah melihat dua buah beg besar siap berkemas di hadapan almari. Riana yang sedang berteleku di pinggir katil tersentak dan berpaling. Wajahnya sembab, matanya merah berair. Tanpa membuang masa dia bingkas mencapai tas tangan dan beg pakaian lalu bersedia untuk keluar dari bilik itu, Remie menghadang di muka pintu. Pergelangan tangan Riana dicapai dan dileraikan beg yang sedang dipegang Riana.
"Awak nak ke mana ?"
Riana diam tertunduk. Sedu-sedan yang tadinya reda kini kembali.
"Yana saya tanya ni. Awak nak ke mana dengan beg-beg ni ?" Suara Remie keras. Bahu Riana dicengkam kemas.
"Saya nak keluar. Jangan halang saya…"
"Nak keluar nak ke mana ? Awak nak tinggalkan rumah ni?"potong Remie tidak sabar. Wajah Riana didongakkan menentang pandangannya. Riana pantas menepis dan berundur beberapa langkah. Dia tidak mahu menatap mata Remie. Dia tidak ingin termakan pujuk rayu Remie kali ini.Sudah cukuplah penipuan Remie.
"Yana…"seru Remie dengan suara kendur. Wajahnya sudah tidak setegang tadi. Riana dirapati tetapi isterinya itu cepat-cepat beralih ke beranda.
"Biarkan saya keluar. Saya tak boleh hidup di rumah ni lagi. Cukuplah tiga tahun saya menumpang…" Riana bersuara lirih. Dia benar-benar ingin pergi biar pun tidak pasti ke mana hendak dituju.
Remie mendengus kuat. Menumpang! Apa yang direpekkan Riana ?
"Apa yang Elly cakap pada awak ? Yana….?" tanya Remie dengan suara yang cukup lembut. Riana yang berdiri di hujung beranda dihampiri.
Angin malam bertiup dingin menerbangkan tirai putih panjang yang menabiri pintu gelungsur pemisah bilik tidur dan beranda. Begitu juga baju longgar dan selendang panjang yang dipakai Riana terbuai-buai ditiup angin. Kedinginan malam memberi petanda akan hujan, tetapi hujan di hati Riana dirasakan lebih dingin.
Perasaan Remie tiba-tiba terusik. Sudah lama Riana tidak merajuk. Riana tiada sebab dan tiada peluang untuk merajuk. Siapa yang mahu memujuk ! Keegoannya pantang memberi ruang untuk perempuan mengada-ngada. Riana mahu pun Elly masing-masing cukup faham sifatnya yang satu itu. Tetapi kerana cinta kedua-dua wanita itu rela memendam perasaan biar pun ada yang tidak puas di hati.
Malam ini, tanpa berselindung lagi Riana menunjuk perasaan. Pasti ini sesuatu yang serius.
"Itulah, pergi jumpa Elly buat apa ? Kan dah sakit hati. Kenapa tak tanya saya dulu ?"
Dia cuba memeluk pinggang Riana tetapi tangannya ditepis kuat. Serentak itu Riana berpaling dan menghadap pandangan Remie dengan wajah berang.
"Tanya awak dulu huh ? Oh my God…. dalam seminggu berapa jam awak ada di rumah ni dan berapa minit awak bagi saya masa untuk bercakap dengan awak ?"
Remie terperanjat. Semenjak mengenali Riana belum pernah dia melihat wajah Riana seumpama itu. Wajah yang biasanya comel, putih kemerahan itu kini begitu tegang dan membiaskan nafsu amarah tidak terbendung.
"Setiap kali saya cuba berbincang awak mengantuk, letih, nak tidur… setiap kali saya nak tanya sesuatu awak marah, malas layan saya. Tak pernah ambil tahu apa yang saya nak cakap, tak pernah peduli apa saya fikir. Malam ni awak tanya saya kenapa tak tanya awak dulu ? My God !" Riana menekapkan kedua-dua tangan di kepalanya seperti kesal yang teramat.
Seketika kemudian sepasang mata miliknya kembali menentang pandangan Remie dengan sinar bagai menyala. Remie terus terpempan. Ini bukan kekasih dan isterinya yang biasa. Dia tidak pernah menyangka Riana akan segarang dan seberani ini. Dalam pada itu telinganya terus menangkap butir bicara Riana yang sedang merepek-repek memarahi dirinya.
Agaknya sudah tertulis sejak azali hari ini hari Zuraimi Ahmad Zaki dimarah dan dimaki. Tadi Elly juga buat pertama kali memakinya dengan kata-kata kesat selepas penampar sulung Remie hinggap di pipinya. Sesungguhnya perbuatan itu di luar kawalan Remie. Gadis itu dengan bangga mengaku telah mendedahkan rahsia perhubungan mereka kepada Riana serta mencerca isterinya itu. Dan dalam perjalanan ke sini tadi, sewaktu dia menekan-nekan hon bagai orang gila kerana terperangkap dalam kesesakan, dia perasan pemandu-pemandu lain menjeling dengan pandangan jelek sambil mulut terkumat-kamit marahkan dirinya.
"Zuraimi ! Tiga tahun saya membodohkan diri kerana cintakan awak. Apa yang awak suka saya dahulukan, apa yang awak tak suka saya jauhkan. Segala kata awak saya ikut…ikut segala fiil awak, tapi awak! Apa yang awak tahu tentang saya ? Apa yang saya suka, tak suka pernah awak ambil peduli ? Awak anggap saya apa Remie ? Orang gaji ? Atau perempuan simpanan ?"
Suara Riana melantun-lantun sambil airmata merembes laju bagai seorang anak kecil yang marah kerana keinginannya tidak dipenuhi. Melihat keadaan Riana begitu Remie diserbu simpati tiba-tiba. Pasti setiap patah kata yang terkeluar dari bibir Riana telah dipendamkannya sekian lama. Rupanya Riana begitu menderita.
Kerana diakah Riana jadi begitu. Kalau orang lain pasti sudah ditumbuk mukanya kerana membuatkan isterinya bersedih begitu. Riana tidak patut disakiti sebegitu rupa. Kekesalan menggigit tangkai hati. Dialah orang itu. Dialah yang patut ditumbuk mukanya dan dialah yang seharusnya menumbuk muka sendiri.
Tubuh Riana segera dirangkul. Awalnya Riana meronta tetapi akhirnya terkulai layu di pelukan Remie. Cuma esak tangisnya yang kedengaran memecah kesunyian kondo itu. Remie terus terdiam tanpa kata. Di sudut hati terasa pedih. Mengapa mesti wujud hari ini dalam hidupnya.
********************************
Keheningan terus merajai suasana. Kebekuan itu merimaskan Remie. Riana di kepala katil masih tersedu dan dia sendiri di hujung katil memandang sepi.
"Cukuplah setakat ini. Izinkan saya pergi…."
"Tak boleh ! Saya tak benarkan awak melangkah setapak pun dari rumah ni Yana."
Riana melepaskan keluhan. Kedengaran seperti cukup bosan.
"Untuk apa saya terus hidup dalam rumah ni kalau awak takde sedikit hati pun untuk bersama saya ?" Suara itu kedengaran lirih dalam esakan yang tak kunjung henti.
Remie menangkap pergelangan tangan Riana dan dipegangnya kejap. Riana kelihatan benar-benar berjauh hati. Remie buntu. Kata-kata apa yang boleh melenturkan rajuk isterinya ini. Dia tidak ingin Riana pergi. Dia tidak mahu kehilangan Riana.
"Fikir dulu Yana. Jangan terburu-buru. Kita sekarang ni dah kahwin, bukan macam dulu lagi…"
"Maksud awak kalau dulu saya boleh pergi bila-bila masa dan awak boleh tinggalkan saya bila-bila masa ? Kalau macam tu saya menyesal kahwin dengan awak Remie !"
"Yana!"
Pegangan di tangan terlepas. Remie terduduk di birai katil sambil mendengus kasar. Sanggup Riana berkata begitu ?
"Awak sedar tak apa yang awak cakap ni ? Betul awak menyesal kahwin dengan saya Yana ?"
Riana diam tidak terkutik mendengar suara Remie yang melantun tiba-tiba. Nafsu marahnya memang menyatakan menyesal mengenali lelaki itu, tetapi jauh di sudut hati yang bercinta…menagih merayu dirinya agar segera memeluk dan membelai Remie yang sedang marah. Memandang Remie yang sedang menekup muka dengan kedua-dua tangannya itu, hati Riana digayut cinta yang kian menebal. Mana mungkin dia melangkah jauh dari sisi Remie.
"Saya menyesal lambat bertemu awak. Sebelum saya, awak dah ada seseorang yang sangat sayangkan awak. Tapi kenapa awak bersama saya ? Kenapa…kenapa rosakkan hidup saya dan buangkan masa saya Mie ? Awak permainkan saya sehingga tahap ini, sampai kita kahwin…tapi masih saya tak tahu di mana letak duduk diri saya di hati awak. Kenapa Mie ?"
Rintihan Riana menyerap satu-satu ke kotak fikiran Remie. Dia akui diri bersalah. Dia yang telah bertindak tanpa memikirkan kesan dan akibat. Dulu memang dia mendatangi Riana kerana nafsu semata-mata. Setelah dua tahun dia mula menyedari ketulusan Riana yang tak pernah curiga terhadapnya. Riana menyintai dirinya dengan sekeping hati tulus ikhlas, rela menyerahkan seluruh kehidupannya di tangan Remie. Lalu Remie semakin terikat. Bukan sekali dua dia cuba untuk meninggalkan Riana, tetapi hati lelakinya tidak mampu melakukan itu. Hidupnya takkan berseri tanpa Riana. Ketika itu Remie menyedari bahawa dia memang telah menyayangi Riana sepenuh hati.
Sementelah pula Elly tidak jadi pulang ke Kuala Lumpur mengikut masa perjanjian, lalu dia membuat keputusan untuk menikahi Riana. Pernikahan itu berlangsung atas dua sebab. Yang pertama dia mahu Elly tahu apa akibat mempermainkan janji, yang kedua kerana dia simpatikan Riana yang kerap menangis di tengah malam kerana terlalu menginginkan dirinya.
"Saya minta maaf sebab ganggu hubungan awak dan Elly. Mulai sekarang pergilah kepada dia, saya takkan mengganggu lagi. Belajarlah untuk setia kerana di pengakhirannya awak akan mendapat balasan yang sangat manis."
Bersama esakan yang masih bersisa Riana bangun perlahan-lahan mencapai mencapai beg pakaian lalu melangkah keluar dari bilik itu. Remie memandang terkebil-kebil. Riana benar-benar mahu pergi ?
Riana sudah menjadi isterinya, tanggungjawabnya. Hampir tiga tahun mereka bersama tanpa sekali pun berpisah jauh. Katil ini, kondo ini…sudah begitu sebati dengan Riana. Seandainya Riana pergi masih bisakah dia tinggal di rumah ini bertemankan bayang Riana cuma ? Sekali pun dia membawa Elly tinggal di sini menggantikan Riana, dapatkah Elly membawa seri di rumah ini sebagaimana yang telah dikecapinya bersama Riana. Tidak !
Remie menerpa sebaik mendengar bunyi pintu dibuka Riana. Beg besar di tangan Riana diragut lalu dihumbannya ke tepi. Tubh kecil Riana dipeluk erat.
"Yana…sayang…please ! Jangan pergi. Jangan keluar dari rumah ni. Jangan tinggalkan Mie. Boleh tak sayang ? Jangan tinggalkan Mie."
Mendengarkan itu hati Riana hancur berkeping-keping. Remie membahasakan dirinya 'Mie'. Jarang sangat Remie begitu. Kalau dia sedang rendah hati barulah membahasakan dirinya 'Mie'. Kalau tidak dia lebih senang ber'saya-awak' sahaja. Riana tahu kini dia tidak mampu melangkah setapak pun lagi. Kejap pelukan Remie, kejap lagi ikatan hatinya di hati Remie. Lemahkah dia, hanya dengan beberapa patah perkataan mampu merubah keputusan yang tadinya begitu nekad. Remie…lelaki ini terlalu istimewa di hatinya.
Riana mencintai setiap inci tubuh di dalam pelukannya itu. Kulit, rambut, bulu-bulu halus di tubuhnya, tangan, bibir, apatah lagi hatinya ! Semua itu membuatkan naluri kewanitaan Riana bergetaran setiap kali memandang. Begitu juga tingkah laku, pemikiran, sikap, malah kata-katanya yang kadang-kala pedas itu …membuatkan kerinduan memutik setiap kali Remie tidak berada di pelukan.
Wajahnya diangkat perlahan memandang ke wajah Remie. Ah ! Ada air jernih bertakung di mata itu. Riana kaget. Seketika kemudian dia tidak dapat menahan bibirnya daripada tersenyum. Lucu ! Sepanjang mengenali Remie belum pernah dia melihat Remie ralatkan sesuatu sehingga membuat matanya berair. Remie turut tersenyum lalu menyeka airmata yang hampir menitis itu. Airmata di pipi Riana juga disapu sambil matanya tunak merenung ke mata isteri tersayang.
Syukurlah dia masih berkesempatan memandang mata itu. Jauh di sudut hati Remie mengikat satu janji.
Tiada sesiapa pun yang dapat memaksa Riana meninggalkannya, atau meminta dia meninggalkan isterinya itu !
Bersambung...............

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "