2+4 hrs...Twogether Fourever

Isnin : 14 April 2025   
@ 16 Syawal 1446H / 8:17 AM

2Khamis,Februari

Sesuci Hati Isteriku [ Episod 11/20]

~Di kanan madu di kiri gula Kumbang tersesat di tengah laman~


Remie tersentak keras. Perlahan-lahan dibuka matanya. Mengamati jarum jam di dinding, dia terbingkas bangun. Sudah jam sepuluh tiga puluh pagi. Nasiblah kerana mimpi dia terjaga. Jika tidak entah berapa lama lagi akan tidur di situ.

Di sisi, Elly masih tidur dengan wajah yang begitu tenang sekali. Direnung sekujur wajah putih bersih itu. Wajah itu memang cantik. Remie merasa bertuah gadis secantik itu sudi menagih kasih darinya biar pun hubungan mereka kini terpaksa bersorok-sorok. Andai diketahui mama dan papa hubungan terlarang ini, Remie tidak pasti apa yang akan terjadi seterusnya.
Dia secara rasminya dimiliki Riana berteraskan akad, tetapi hati ini lebih dulu dicuri Elly secara mutlak. Riana dan Elly, dua wanita yang berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku tetapi mempunyai satu persamaan. Mereka masing-masing punyai hati yang terlalu menyintai dirinya.

Riana ! Sudah dua hari dia tidak melihat wajah comel itu. Pagi Jumaat yang lalu dia keluar dari rumah tergesa-gesa tanpa menjeling pun hidangan sarapan yang disediakan Riana. Usai waktu kerja dia langsung menuju ke apartmen Elly. Begitu juga semalam dan seterusnya pagi ini dia masih lagi berada di rumah Elly.

Pasti Riana tertunggu-tunggu, pasti Riana tertanya-tanya ke mana dia menghilang. Namun Riana tidak pernah menunjuk perasaan dengan keadaan itu. Cuma bertanya dengan wajah yang teragak-agak, dan kalau Remie cuma mendiamkan diri, dia akan turut diam.

Remie pasti Riana sedang makan hati. Tetapi apalah dayanya. Dia tidak mampu menyenangkan dua hati serentak. Meninggalkan Elly ? Tidak mungkin. Hubungan mereka terjalin sudah lama. Lagi pun semalam Elly baru membawanya berjumpa Roslan, bapa saudaranya yang merupakan orang penting dalam pengurusan sebuah syarikat pengendali taman hiburan terkemuka di negara ini.

Lelaki botak itu nyata begitu seronok bertemu Remie dan menjanjikan peluang perniagaan yang sering dinantikannya. Andai syarikatnya gagal mendapatkan kontrak bersama jabatan kerajaan yang sedang diusahakan ini, Roslan berjanji akan menyediakan laluan mudah untuknya mendapatkan kontrak perniagaan bersama syarikatnya pula.

Remie begitu teruja. Masakan peluang perniagaan bernilai jutaan ringgit itu mahu dilepaskan. Tetapi, bila saja orang tua itu mula menyentuh tentang hubungannya dengan Elly, Remie kecut perut. Terasakan bagai peluang itu ditarik semula.

"Uncle tengok Mie dah lama kawan dengan Elly. Bila nak ditetapkan hubungan tu... tak elok hubungan tanpa komitmen."
Remie diam tidak terkutik. Gugup dan gementar. Kalaulah orang ini tahu yang dia sudah menikahi perempuan lain, bagaimanalah agaknya. Mujur saja ruang makan restoran itu agak samar.

"Alah uncle, apa yang nak dirisaukan. Kita dah kawan lama, dan selama ni ... Remie tak pernah pun curang pada Elly. Betul tak honey ?" Elly mengenyit mata. Ah, gurauan dalam sindiran atau sindiran dalam gurauan?

Apa pun, dia harus berterima kasih kepada gadis ini. Elly telah melakukan pengorbanan. Biar pun terpaksa makan hati, tetapi Elly tetap ingin meneruskan hubungan ini. Dan, rahsia pernikahan Remie dan Riana langsung tidak dikhabarkan kepada keluarganya. Remie sedar akan natijah yang menanti kalau keluarga Elly mendapat tahu tentang kecurangannya terhadap anak perempuan mereka.

Bapa Elly, pemimpin kawasan berpangkat datuk. Abang sulungnya pula pemilik rangkaian pusat bina badan. Dan orang tua yang berkepala botak ini, pasti mengambil tindakan drastik jika rahsia itu terbongkar.

Remie melepaskan keluhan kecil. Kekusutan yang wujud ini adalah berpunca darinya. Dia yang dulunya tidak memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku sewaktu mula-mula mendampingi Riana, hampir tiga tahun lalu.

Segera Remie mengenakan pakaiannya dan senyap-senyap menyelinap keluar dari apartmen Elly. Dia tidak boleh menunggu sehingga Elly terjaga kelak perempuan itu akan merayunya untuk terus tinggal di situ. Dia tidak suka dirayu dan tidak suka membiarkan dirinya terasa seperti dikongkong. Andai dirayu sekali dia masih boleh menepis, tetapi andai Elly berulang-ulang kali merayu, dia akan terasa rimas dan tidak dapat mengelak untuk tidak bercakap kasar kemudiannya. Biarlah dia mengelak daripada keadaan itu dan biarlah dia terus menjaga hati Elly selagi terdaya.

****************************************


Lagu cinta Good Bye dari Air Supply berkumandang menyambut ketibaan Remie di kondo. Setiap ruang di rumah itu terletak kemas dan berbau harum bunga-bungaan. Pasti isterinya sudah bangun dari awal pagi mengemas rumah dan menyembur pewangi ke seluruh rumah. Itu sifat azali Riana yang dia paling suka.

Wanita itu sungguh jitu kalau soal kebersihan dan kekemasan.
Tetapi ke mana dia ? Remie tercari-cari. Matanya tertancap ke jambangan ros segar di tepi almari solek. Berjiwa romantik memang menghabiskan duit ! Setiap tiga hari Riana akan menukar jambangan bunga hidup itu, kalau dikirakan duit yang terbuang, huh !

Dia menjengah ke beranda. Ah, itu dia. Lama dia memerhatikan Riana yang sedang leka bermain dengan dua ekor hamsternya. Saat itu Riana kelihatan bagaikan seorang anak kecil. Dengan hanya berseluar pendek sendat dan camisole putih bertali halus, rambutnya yang panjang berjuraian bebas di atas bahu, comel sekali Riana. Bercakap-cakap pula dengan hamsternya. Remie tersenyum lucu. Saat itu Riana berpaling ke belakang. Terkejut dia melihat Remie tiba-tiba berdiri di situ entah sudah berapa lama.

"Awak."
Riana merapat lalu meraih tangan kanan Remie dan mengucupnya. Tanpa menunggu sebarang reaksi dia terus berlalu masuk. Remie mengekori. Meski pun Riana tersenyum tetapi dia dapat melihat mendung di wajah itu. Sejak akhir-akhir ini Riana semakin kurang mesra. Marahkah dia ?

"Hari ni rancang nak buat apa ?" Remie melabuh punggung di atas sofa. Ketika Riana menjauh sedikit barulah dia teringat yang dia masih belum mandi.

"Mama called. Ajak makan kat rumah." Jawab Riana perlahan.
"Ya ? Bila mama call ?"
"Pagi tadi."

Benarlah Riana sedang memendam sesuatu. Ketika berbicara dia tidak bertentang mata dan hanya menjawab sepatah dua. Buat-buat sibuk pula, membelek majalah, menukar siaran TV sesuka hati. Biasa Riana tidak begini.

"Awak siaplah, kita pergi rumah mama. Saya mandi dulu."

Remie bangun menuju ke kamar mandi. Entah mengapa kali ini dia tidak upaya mengembalikan keceriaan Riana. Selalunya Riana yang terpaksa mengikut moodnya. Kalau dia marah, Riana tidak berani menegur atau bertanya apa-apa melainkan dia yang memulakan dulu. Kalau dia murung, Riana akan menunggu sehingga murungnya berkurangan barulah mengajak berbual hal yang menyenangkan. Kalau dia gembira, Riana terlebih-lebih lagi gembira. Ketika itulah baru Riana berani bertanya itu ini, bergurau dan bermanja.

Sebaliknya pula di pihak Remie. Tanpa mengira mood Riana, dia akan bergurau apa saja kalau dia mahu. Dia akan meminta dilayani bila-bila masa dia suka. Dan Riana sememangnya telah berjaya melatih diri sendiri menjadi isteri yang baik. Sentiasa cuba menurut fiil suami.
Kali ini, Riana bermain perasaan. Dan Remie turut terpalit. Memang salahnya yang membuat Riana jadi begitu.

**************************************


"Kak long!"
Nana dan Nini menerpa sebaik terdengar bunyi kereta berhenti di luar rumah. Kedua-dua gadis comel itu segera memeluk dan mencium pipi kakak ipar mereka sebaik saja Riana melangkah ke dalam rumah.

"Aii ? Sambut kak long aje, abang long ni siapa nak sambut pulak ?" Ujar Remie yang menyusul di belakang.

"Uwek!"
Nana dan Nini serentak menjelirkan lidah kepada abang mereka. Riana hanya ketawa melihat gelagat dara kembar itu. Nakalnya bukan main mengusik si abang tetapi sangat manja dengan kakak ipar.

"Kak long, apasal lama tak datang ? Kitaorang rindu tau dengan kak long. Along tu tak datang pun tak apa, tapi kak long kenalah datang sini tiap-tiap minggu. Tu, kat dapur mama dah masak macam-macam untuk kak long."rengek Nini sambil memeluk lengan kiri Riana. Nana pula di sebelah kanan menyiakan kata-kata si kakak. Riana geli hati melihat mereka. Kedua-duanya agak berisi dan berkulit putih gebu, sangat comel melihat mereka bermanja-manja begitu.

"Along sibuk, selalu ada kerja hujung minggu jadi macam mana nak datang."

"Ala, kak long datang sorang la... tak payah tunggu along tu. Bukannya tak ada kereta."balas Nana dengan wajah berkerut. Tertawa Riana dibuatnya.

"Mana boleh macam tu."

"Apa khabar papa ?" Riana tunduk mencium tangan Ahmad Zaki yang sedang tekun membaca surat khabar. Orang tua itu tersenyum mesra dan mengangguk. Dia boleh dikatakan pendiam kalau dibandingkan dengan isterinya Zaharah yang sangat peramah dan kuat bercerita.

Riana menjengah ke dapur diiringi Nana dan Nini di kiri dan kanannya.
"Mama masak apa ?"

Zaharah yang sedang sibuk mengacau periuk berpaling dan tersenyum manis.
"Yana. Dah sampai pun. Mama masak banyak hari ni, semua favorite Yana dan along."

Riana mencium bau sup tulang yang sedang menggelegak. Wah, tiba-tiba terasa lapar. Mama memang pandai memasak. Walaupun sibuk dengan urusan butiknya, tapi soal keluarga tetap nombor satu.

Riana kagum dengan emak mentuanya ini. Kelihatan ranggi dan moden, tetapi jiwanya kaya dengan nilai-nilai kekeluargaan. Setiap hari selepas memastikan rumahtangga terurus barulah keluar ke butik. Walaupun mempunyai pembantu rumah, mama akan memasak sendiri untuk suami dan anak-anak. Riana sendiri tidak pasti adakah dia boleh melakukan sebaik itu kalau mempunyai perniagaan sendiri seperti mama.

"Nana dan Nini pergi siapkan meja kat depan, mama dan kak long nak hidangkan lauk-lauk ni."arah mama pada dua orang anak dara suntinya. Mereka patuh sambil mulut tidak senyap bergurau sesama sendiri. Mama mencuit Riana supaya rapat kepadanya selepas Nana dan Nini berlalu.

"Along kat rumah macam mana Yana ?"
Terkerut kening Riana. Apa maksud mama ?

"Macam mana apa pulak ma ?"tanyanya.
Zaharah sibuk mengelap pinggan.

"Mama bukan apa, mama kenal anak mama tu. Along tu kalau dah kerja tak ingat dunia. Mama risau kalau dia terlalu sibuk dengan projek-projeknya sampai lupakan rumahtangga."

"Oh,"
Lega Riana. Dia sangkakan mama akan bertanya hal lain yang memang paling ditakutinya kalau diketahui mama.

Dia paling risau kalau Zaharah dapat menangkap aroma ketidakharmonian dalam rumahtangganya. Memang sukar menghadapi kenyataan itu tetapi biarlah dia mengharunginya seorang diri. Mama, papa, atau ibu dan ayahnya sendiri pun tidak perlu tahu.

Sudah cukuplah menanggung derita sebelum berkahwin, Riana tidak mahu kelak dia dituduh isteri yang tidak betah menjaga suami sendiri.
Tetapi tinggal dalam kawasan yang sama memungkinkan mama menghidu ketidakserasian itu. Mama orang berniaga, ramai kawan dari golongan korporat dan pengusaha salon dan butik sepertinya.

Mungkinkah mama pernah melihat dia selalu berjalan berseorangan tanpa ditemani Remie ? Kalau berteman pun cumalah teman baiknya Mimi. Kalau bukan mama sendiri pun, mungkin kawan-kawan mama yang ramai itu, yang berada di mana-mana. Paling dia risau kalau perangai Remie yang suka berkepit dengan kekasih itu yang menjadi tontonan orang, lambat laun akan sampai ke telinga mama. Rimasnya.

Cukuplah matanya sendiri yang sakit melihat Remie makan berdua dengan seorang perempuan seksi di Bangi minggu lepas. Patutlah jarang mahu makan di rumah, rupanya makan bertemankan bidadari. Selepas makan, mungkin terus ke rumah perempuan itu dan bermalam di sana.

Sakitnya hati ! Boleh meraung sakit jiwa dibuatnya kalau mengenangkan Remie. Kerana itu dia diamkan saja. Kalau kecoh-kecoh pun tak guna, Remie akan buat tidak tahu macam lembu bodoh. Akhirnya hanya Riana yang sakit hati sendiri.

Sejak hari itu dia tidak mampu memandang ke mata Remie. Sakit hati dan sakit mata. Terbayang-bayang gandingan mereka yang kelihatan cukup serasi. Biar pun Remie tidak menyorongkan kerusi untuk perempuan itu, atau berbual sambil memandang tepat ke anak mata masing-masing, tetapi dia dapat merasakan antara dua makhluk itu memang telah 'ada apa-apa'.

Selesai menyantap hidangan tengahari mama membangkitkan soal anak. Riana tidak tahu sama ada ini bala atau kemujuran buatnya. Dia sendiri memang tidak pernah berpeluang untuk mengunjurkan hal itu kepada Remie. Remie pula bagai tidak pernah menyedari yang kini mereka berkebolehan untuk mengadakan zuriat.

"Kerja, kerja jugak along... tapi keluarga kena jaga. Kenapa tak fikir pasal anak, dah setahun kahwin. Kumpul harta banyak-banyak nanti nak campak ke mana kalau bukan ke anak."

Tersedak Remie dengan kopinya. Sekujur wajah manis mamanya direnung.

"Kenapa ma? Tiba-tiba je cakap pasal anak ?"
Riana hanya menjadi pemerhati. Dia faham maksud mama. Bukan mama ragu dengan keupayaannya untuk melahirkan zuriat, sekadar memperingatkan Remie yang alpa. Mama pernah menasihatkan Riana berkali-kali, bersabar apa saja karenah Remie kerana sememangnya Remie lelaki yang pelik. Nampaknya mama cukup memahami anak lelakinya yang seorang itu.

"Betul juga kata mama. Dah setahun kita kahwin, patutnya kita fikirkan pasal anak sekarang."

Namun begitulah Remie. Kalau sesuatu yang tidak menjadi minatnya dia akan buat tidak reti dan tidak faham sehingga Riana malas melanjutkannya lagi. Manusia bagaimanakah Remie ini ? Sampai bila-bila pun dia tidak akan dapat memahami lelaki yang satu ini.

Yang ada di kotak fikirannya hanyalah kerja, kerja, kerja. Untuk siapa dia bekerja sekeras itu, tiada siapa yang tahu. Riana sungguh-sunguh terasa hati. Tidak pernahkah Remie terfikir untuk berbuat sesuatu terhadap rumahtangganya ? Atau setidak-tidaknya membeli sejambak bunga untuk isteri sebagai tanda maaf tidak mampu pulang awal saban hari.

Igauan kosong ! Remie tidak akan pernah melakukan itu.

Bersambung.........................

try , Khamis, Februari 02, 2006 | 1 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

1 ulasan :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog