/

Wanita Jadi Mangsa Kerana Pilihan Sendiri

KISAH-KISAH yang dipaparkan dalam DCCK banyak membuat saya tertawa, kerana apa yang saya lihat kebanyakan kaum lelaki cuba menegakkan benang basah, sementara wanita pula meratapi diri sendiri konon dah banyak berjasa dan berkorban kepada suami tetapi akhirnya dia menjadi mangsa suami.

Wanita yang keciwa mendakwa jadi mangsa apabila suami sudah kaya dia ditinggalkan, ada juga yang mendakwa suami berkahwin lagi sedangkan dia sudah banyak berkorban harta benda, wang ringgit kepada suami, tetapi semuanya dilupakan setelah suami jadi kaya atau terjumpa wanita yang lebih baik daripadanya.

Demikian cerita Norwati dalam e-mel yang dihantarkan kepada penulis dan ketika saya menghubunginya sambil berbual panjang pada satu petang, sambil tertawa terkekek-kekek beliau menambah kebanyakan masalah yang berlaku adalah berpunca daripada diri wanita itu sendiri begitu juga suami. Kerana masing-masing tidak tahu tugas atau fungsi baik sebagai isteri mahupun suami, bila dah keciwa mereka menyalahkan satu sama lain.

Namun saya bersimpati juga dengan nasib yang menimpa mereka, malah ada kawan-kawan wanita yang datang bertanyakan pendapat dan pandangan saya bagaimana mengatasi masalah yang dihadapi atau sedang menimpa diri mereka. Saya juga kesian dengan nasib wanita yang teraniaya dan boleh saya katakan secara singkat di sini, bahawa mereka tidak tahu tugas atau fungsi mereka sebagai isteri, sebab itulah dianiaya.

Sebenarnya saya bersimpati dengan kaum wanita, sebab itu bila baca kisah yang dipaparkan dalam DCCK termasuk kisah minggu lalu tentang kisah hidup Nooreen yang berjudul ``Lagak orang senang rupanya kaya hutang, di mana Nooreen tidak mengaku dirinya ego sebaliknya menyalahkan suami menyebabkan hidupnya menderita.

Pada pandangan saya secara ikhlas kaum wanita yang menganggap diri mereka sebagai 'mangsa' lelaki atau suami boleh saya golongkan mereka ini sebagai "orang yang suka diri menjadi mangsa - Playaing the role of victims". Mana tidaknya, mereka yang sanggup berkorban atas dasar cinta atau bertolak-ansur dengan suami demi kebahagian keluarga.

Sedangkan, sikap bodoh dan ego mereka itulah sebenarnya menjadi punca masalah dalam hidup mereka. Puan, saya ni sebenarnya tak ada sebarang ruangan khas untuk digunakan bagi memberi nasihat kepada mereka yang bermasalah seperti ini.

Namun, selalu juga kawan-kawan datang, meminta nasihat saya. Biasanya, terdiri daripada mereka yang mahu berkahwin dengan lelaki yang berpendapatan kecil, berpendidikan rendah dan umur teman lelakinya jauh lebih rendah daripada mereka (tidak sekupulah dari sudut agama). Mereka bertanya kepada saya, "Boleh kah, saya kahwin dengannya lelaki itu?".

Selalunya, kawan-kawan yang meminta nasihat ini terdiri daripada kaum wanita yang sudah berumur. Ada yang dah nak masuk 40 tahun pun. Bergaji 4 atau5 bahkan ada yang lebih 6 ribu ringgit sebulan. Mereka sudah ada rumah dan kereta. Sudah mengerjakan Haji dan pergi Umrah berkali-kali. Jadi mereka tanya bolehkah dia berkahwin dengan lelaki seperti itu (bergaji kecil, berpendidikan rendah dan umurnya lebih muda)?



Soalan mereka ini sebenarnya sulit untuk saya jawab, tetapi saya berikan jawapan yang lebih mudah, saya katakan sudah tentu tidak ada masalah kalau hendak kahwin tentu sahaja boleh!

Pada pandangan saya kawan-kawan saya ini hidup mereka sudah jauh lebih senang berbanding dengan calon lelaki yang mereka pilih itu. Mereka sudah mempunyai pendapatan tinggi dan kukuh dan mereka sudah masak dalam mengurus hidup sendiri. Malah boleh dikatakan wanita golongan ini hidup mereka sudah lebih daripada bahagia dan amat selesa tanpa suami.

Tetapi masalah mereka yang cukup besar adalah kaum keluarga, saudara mara yang kaki penyebuk. Terutamanya ibu bapa sendiri yang kononnya kalau mereka mati nanti tak boleh tutup mata rapat, kalau anaknya yang dah berumur ini 'tak diselamatkan' (tidak dikahwinkan) .

Memang pada mulanya kawan-kawan saya tu tak kisah sangat tentang pasangan hidup mereka, sebab kehidupan mereka sudah jauh daripada selesa. Tapi, kalau setiap masa dan ketika kalau mereka balik ke kampung kaum keluarga mulalah mendongengkan kisah anak dara tak kahwin ini, lama-lama mereka pun sudah tak larat nak dengar lagi.

Akibatnya mereka terpaksa menyerah kalah. Mengikut! Jadi, sebagai kawan yang lebih berumur dan dewasa daripada mereka, bila mereka bertanyakan pendapat saya, tentulah saya jawab, kenapa tidak? Kahwinlah sahaja supaya ibu bapa mereka boleh menutup mata betul-betul rapat bila mati nanti, tapi ingatlah kepada beberapa nasihat saya.

Saya memberi mereka 7 petua, kalau nak kahwin juga dengan lelaki yang jauh lebih rendah pendapatan dan pendidikan dan berumur jauh lebih muda daripada diri mereka sendiri. Kata saya kalau ikut tujuh petua atau panduan ini kalau terjatuh pun taklah parah sangat, sebab anda sudah bersedia. Berikut adalah beberapa panduan ataupun nasihat saya.

Pertama saya katakan kepada mereka dia hendaklah membeli rumah sendiri, yang sudah pasti dibeli atas nama anda sendiri sebelum kahwin. Namun anda mesti ingat petua paling penting jangan sekali-kali cuba merampas tanggungjawab suami. Apa itu tanggungjawab seorang suami? Saya percaya pembaca sendiri pun tahu.

Tanggungjawab suami adalah mengurus perbelanjaan rumah tangga seperti membayar semua bil, membeli makan dan pakai, menjaga sakit pening isteri dan anak-anaknya dan lain-lain. Sedikit atau sekecil mana pun gaji suami, adalah menjadi tanggungjawab hakiki suami tadi menyediakan semuanya terhadap isteri dan anak-anaknya.

Atas dasar apa sekali pun (contohnya: bertolak ansur, kasihan atau cinta) jangan sekali-kali kaum wanita mahu merampas tanggungjawab lelaki yang asas ini (khususnya bantu membayar segala hutang piutangnya). Kalau anda ambil-alih tanggungjawabnya ini, suami akan cepat naik sedap (naik mua) lantas dia akan mula bersikap lepas tangan, hingga menyerahkan semua tanggung jawab seperti membayar bil atau apa sahaja untuk anda pikul.

Kalau anda sudah bersedia lepas 10 tahun, berkelakuan seperti itu anda jangan membebel kemudian hari dengan bercerita ke sana ke sini (termasuk dalam DCCK), kononnya segala pengorbanan anda kepada suami selama itu tidak dihargai lagi. Anda dah terlalu sayang kepada suami sanggup berkorban konon, jadi jangan bising pikul saja, sebab anda yang nak berkorban atas dasar sayang konon, cintalah dan entah apa-apa lagi



Kedua, anda mesti bersedia menerima segala-galanya ikut kemampuan suami. Contohnya, kalau suami cuma mampu beli beras tempatan berlaukkan ikan selar kuning setiap hari, sedangkan anda biasa makan beras Siam harum wangi jenama termahal dan lauk ikan jenahak, maka anda jangan membantah, anda telan semua yang suami anda beli walaupun tercekik sebab tak berselera. Namun kalau sesekali teringin nak makan sedap-sedap, makan di tempat kerja.

Begitu juga halnya kalau dia beli baju kain murahan, hargailah, pakailah. Sekurang-kurangnya, anda pakai sewaktu nak melawat ibu bapa mertua anda biar suami puas hati dan mertua anda lihat apa yang anda pakai. Jangan nak tunjuk kemewahan anda.

Ketiga, jangan sekali-kali menghalang suami anda menanggung ahli keluarganya. Itu adalah menjadi tanggungjawabnya. Biarkan dia berhabis untuk keluarganya, dan anda tidak perlu menghulurkan wang untuk membantunya. Biar dia uruskan sendiri. Kalau dia tak ada duit untuk anak-anaknya biarkan dia mencari jalan keluar sendiri.

Bagaimana pun sebaik-baiknya anda nasihatkan dia supaya dia dapat memastikan dalam rumah tangga telah disempurnakan terlebih dahulu terutama tanggungjawabnya kepada anak-anak.

Keempat kalau anda hendak mencari pembantu rumah, anda uruskan sendiri, anda bayarlah gajinya. Kerana pembantu rumah itulah yang banyak mengambil tanggung jawab dan tugas yang sepatutnya anda lakukan di rumah. Kerana anda bekerja demi masa depan anda.

Kelimanya jangan sekali-kali anda cuba merampas tanggungjawab suami ketika dia mahu meneruskan pelajarannya. Kerana anda harus ingat anda bukannya bank atau PTPTN. Kalau dia hendak menyambung pelajarannya, dia boleh belajar, tapi ingat, tanggungjawabnya terhadap keluarga mesti didahulukan.

Jangan pulak kerana kesian, cinta dan sayang konon anda biarkan dia sambung belajar, dan anda ambil alih tugas mengurus keluarga. Kalau anda masih hendak menunjukkan simpati anda terhadap suami tercinta, lima atau sepuluh tahun kemudian anda jangan sekali-kali pergi ke rumah emak mengadu anda sudah jadi mangsa, suami tinggalkan anda atau bertemu kekasih baru di kampus dan nak minta izin kepada anda untuk kahwin lagi.

Kerana pada pandangan saya semuanya adalah salah anda, anda tidak berterus-terang dari awal dan jika ditakdirkan anda dimadukan terima saja jangan menangis jangan meratap atau membebel kepada Puan Maimunah untuk ditulis cerita anda dalam DCCK nanti.

Keenam, jangan sekali lagi cuba hendak memperbaiki diri suami anda. Contohnya kerana anda malu pangkat atau gaji suami rendah maka anda berusaha malah menggalakkan dia jadi usahawan. Sebab masalahnya nanti anda juga yang akan keciwa.

Sebab pertama kerana anda yang terpaksa bergadai bergolok, malah mengeluarkan wang simpanan anda untuk diberikan kepada suami supaya dijadikan modal dia berniaga. Masalah besar yang bakal anda tempuh nanti jika dia gagal dalam perniagaan kerana tidak cukup pengalaman dan kurang berminat berniaga maka hidup anda akan dibebani hutang bukan puluhan ribu malah ratusan ribu ringgit dan anda akan menyesal sepanjang hayat.

Terimalah kenyataan, bukan semua orang boleh menjadi usahawan berjaya seperti Tan Sri Nazamuddin atau Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Anda sepatutnya terima keadaan suami anda seperti seadanya, seperti mula-mula anda bersedia berkahwin dengannya dahulu.

Tetapi kalau suami anda berjaya dalam perniagaan dan menjadi usahawan berjaya walaupun tak setaraf Tan Sri Tajudin Ramli mahupun Datuk Halim Saad, maka dia akan jadi orang yang terkejut beruk, sebab jadi kaya tak semena-mena, maka corak hidupnya akan bertukar, dan anda jangan bersedih, meratap dan menangis apa lagi kalau dia tak balik ke rumah, sebab dah ada orang kedua dan dia akan minta izin anda untuk kahwin seorang lagi.

Nasihat saya yang ketujuh dan terakhir, jangan sekali-kali buat joint akaun. Anda hendaklah sentiasa ingat hari tua anda. Sebab banyak terjadi seorang asyik menyimpan sementara seorang lagi asyik berbelanja, ataupun menabung untuk kekayaan dirinya sendiri. Siapa tau! Bila terjadi satu-satu hal duit dalam bank anda tinggal kosong, anda sendiri gigit jari. Dah banyak terjadi ini bukan benda baru, jadi sayangi diri sendiri supaya tidak kesal kemudian hari.

Inilah tujuh nasihat saya kepada semua rakan-rakan yang ingin mendapatkan nasihat saya, dan insyaAllah mereka berjaya dalam hidup hingga beranak pinak, ini bukan soal ego, tetapi sensibility. Setiap insan ada tanggungjawab masing-masing yang telah ditetapkan oleh Allah. Kalau salah seorang daripada kita melanggarnya, samalah macam kita merosakkan alam sekitar. Musibah akan menimpa. Jadi, jangan menyesal di belakang hari dan menganggpa diri sebagai mangsa, sebab yang salah adalah diri anda sendiri.Demikian nasihat Norwati.

Norwati seorang pesara kerajaan berjawatan tinggi juga, kini bekerja secara kontrak dengan kerajaan. Tidak berumah tangga, mungkin kerana tidak ada jodoh dan lebih selesa bekerja. Ketika ditanya apakah beliau merasa sunyi setelah bersara kerana tidak mempunyai keluarga, katanya hidupnya terlalu sibuk, selain membaca, melayari internet, menulis, mendengar ceramah agama beliau juga suka melancong. Jadi hidupnya tidak pernah sunyi.

Betul juga, sunyi sebenarnya terletak kepada diri sendiri, kalau tidak tahu menggunakan masa memanglah sunyi. Ada juga mereka yang mempunyai keluarga terasa hidup mereka sunyi apabila anak-anak dah besar, bekerja dan meninggalkan mereka. Ada juga yang terlalu sibuk, sudahlah semasa mudanya sibuk mengurus anak-anak, dah tua pula terpaksa menjaga cucu, itu terpulang kepada diri sendiri menguruskan hidup masing-masing.

Kata Norwati walaupun tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak dia selesa dengan hidupnya sekarang, yang penting mesti membuat persediaan dari awal, ada simpanan wang, ada rumah dan kereta, jadi kita tidak perlu bergantung kepada orang lain, kita boleh urus diri sendiri.

Demikian pandangan seorang wanita yang tidak mempunyai keluarga, bagaimana pun terpulang kepada anda memikirkannya mengikut pilihan anda sendiri sama ada mahu berkahwin ataupun tidak. Tapi yang penting katanya jangan menyesal kalau menjadi mangsa suami, kerana ia adalah pilihan anda sendiri. Sebaik-baiknya kaum wanita hendaklah mempunyai perancangan masa depan untuk diri sendiri.



- Maimunah
Adam MeRAH , Selasa, September 13, 2011 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog