/

Pengganas Barat VS Mummar Gaddafi & Libya

KAPAL pemusnah AS, Arleigh Burke melancarkan peluru berpandu Tomahawk (gambar kecil) ke arah Libya di Laut Mediterrranean kelmarin.
 
Libya dihujani peluru berpandu.

TRIPOLI: Tentera Eropah dan Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu dari pesawat pejuang dan kapal selam terhadap tentera Libya, semalam, dalam campur tangan terbesar Barat di dunia Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.
 
Televisyen Libya berkata, 48 orang terbunuh dan 150 cedera akibat serangan itu. Stesen penyiaran CBS dalam laman sesawangnya melaporkan, tiga pesawat pengebom Stealth B-2 AS menggugurkan kira-kira 40 bom di sebuah lapangan terbang utama Libya. Bagaimanapun, lapangan terbang berkenaan tidak dinamakan dalam laporan itu.
 
Pesawat tentera Perancis melancarkan serangan pertama pada awal pagi dalam kempen memaksa tentera Gaddafi menghentikan serangan terhadap orang awam. Serangan itu memusnahkan kereta kebal dan kereta perisai berhampiran Benghazi, kubu kuat pemberontak.
 
Pegawai tentera AS berkata, AS dan Britain melancarkan lebih 110 peluru berpandu sepanjang malam dengan menjadikan sistem pertahanan udara di sekitar Tripoli dan Misrata di barat Libya sebagai sasaran.

Menurutnya, AS bekerjasama dengan Britain, Perancis, Kanada dan Itali dalam operasi Odyssey Dawn.
 
Denmark pula berkata, empat jet pengebomnya bersedia menyertai serangan dan menanti arahan daripada AS.

Sementara itu, Gaddafi menyifatkan serangan itu sebagai 'penjajahan dan Perang Salib.'
 
"Kini tiba masanya untuk membuka simpanan dan melengkapkan rakyat dengan semua jenis senjata bagi mempertahankan kemerdekaan, perpaduan dan kehormatan Libya," katanya dalam mesej disiarkan menerusi televisyen, beberapa jam selepas serangan bermula.
 
China dan Russia - yang berkecuali dalam pengundian Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan serangan berkenaan - menyuarakan rasa kesal terhadap operasi ketenteraan itu.

Kementerian Luar China berkata, Beijing berharap konflik itu tidak menyebabkan kematian lebih ramai orang awam.
 
Ketika letupan dan bunyi tembakan antipesawat menggegarkan Tripoli pada awal pagi semalam, ia disusuli laungan takbir yang bergema di sekitar pusat bandar raya itu.

Penduduk Tripoli berkata, mereka mendengar letupan kuat di daerah Tajoura sementara di Misrata, serangan itu mensasarkan sebuah pangkalan tentera udara digunakan tentera Gaddafi.
 
Seorang saksi di Benghazi melaporkan, empat letupan kuat kedengaran berserta dengan tembakan meriam antipesawat pada sebelah malam tetapi tidak pasti siapa melepaskannya.
 
Katanya, serangan itu disambut baik penduduk daerah itu.

"Ini akan menamatkan pemerintahan Gaddafi.
 
"Libya tidak akan melupakan bantuan Perancis. Jika tidak kerana serangan itu, Benghazi pasti ditawan oleh Gaddafi." katanya.

Khalid al-GGurfaly, 38, berkata mereka terhutang budi kepada Perancis, Britain dan AS serta negara Arab kerana menyokong rakyat Libya.
 
"Kami menjangka Gaddafi akan melepaskan kemarahannya terhadap orang awam. Justeru, Barat perlu menyerangnya habis-habisan," katanya.
 
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, berkata negara terbabit bersetuju menggunakan semua semua cara yang ada, khususnya tentera, untuk menguatkuasakan ketetapan Majlis Keselamatan PBB. - Reuters
 
 
 
+
 
Pemerhati Barat fokus senjata kimia Libya
 
WASHINGTON - Satelit pengintai Barat sedang memantau sebuah bangsal di sebuah kawasan terpencil Libya selepas pasukan Tentera Bersekutu melancarkan serangan ke atas rejim pemimpin Mummar Gaddafi, kelmarin.
 
Agensi akhbar antarabangsa, The Washington Post melaporkan, kerajaan Libya menyimpan sekitar 10 tan gas mustard dalam bangsal yang terletak di selatan bandar Sirte.
 
Negara Barat khuatir Gaddafi mungkin akan menggunakan bahan kimia untuk membunuh sejumlah besar rakyatnya.
 
"Pengeboman dan serangan peluru berpandu telah menyerang beberapa sasaran awam di Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi," kata jurucakap pasukan Tentera Bersekutu, Jana.
 
Pasukan Tentera Barat melancarkan serangan dari udara dan laut menentang pasukan tentera Gaddafi di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan gencatan senjata dalam pertempuran antara prokerajaan dan pemberontak, beberapa bulan lalu.
 
 
 
+
 
Kecam campur tangan
 
TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mengecam campur tangan negara asing dalam urusan dalaman negara Afrika Utara dan bersumpah melancarkan serangan balas terhadap pasukan Tentera Bersekutu semalam selepas membedil lebih 110 peluru berpandu ke atas negara itu, kelmarin.
 
"Kami akan berjuang untuk setiap persegi tanah air kami. Kami akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir kami," katanya dalam ucapan pendeknya semalam yang disiarkan stesen televisyen tempatan.
 
Selain itu, Gaddafi turut didakwa telah membuka depot senjata api dan mengagihkan senjata-senjata kepada penyokong setianya untuk mempertahankan Libya daripada kuasa Barat.
 
Agensi media tempatan melaporkan, Gaddafi menganggap serangan yang dilakukan oleh pasukan Tentera Bersekutu, yang merangkumi tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis, menyerupai melakukan perang dingin terhadap Islam dan beliau berjanji akan memberi hukuman setimpal kepada rakyat Libya yang berpihak kepada negara asing.
 
"Kami akan berjuang dan menghukum setiap pengkhianat Libya yang bekerjasama dengan negara asing," katanya lagi.
 
Gaddafi turut mengungkit campur tangan AS di Vietnam dan Iraq serta Somalia dan kempen yang masih berlangsung untuk menangkap atau membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, adalah contoh jenis kekalahan yang mereka akan hadapi lagi sekali di Libya.
 
 
 
+
 
Dunia kutuk serangan Amerika

BEIJING - China meluahkan kekesalan terhadap serangan yang dilakukan ke atas Libya oleh kuasa-kuasa besar dan menurut kenyataan kementerian luarnya, negara itu menentang penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.
 
"China telah mengetahui perkembangan terbaru di Libya dan merasakan amat kesal terhadap serangan tentera ke atas negara itu.
 
"Kami berharap Libya dapat memulihkan keamanan secepat mungkin dan dapat mengelak kematian ramai orang awam yang disebabkan oleh konflik senjata di sana," katanya.
 
Rusia turut mengeluarkan kenyataan yang serupa tetapi dalam masa yang sama mahukan gencatan senjata dilakukan secepat mungkin.
 
Sementara itu, India melalui kenyataan Kementerian Luarnya juga senada dengan negara China dan Rusia yang mahukan keamanan kembali dipulihkan di sana.
 
"India memandang serius terhadap perkara yang berlaku di Libya seperti persengketaan, keganasan dan situasi kemanusiaan yang semakin merosot.
 
"Amat mengecewakan apabila berlaku serangan udara, langkah yang diambil sepatutnya dapat mengurangkan dan bukannya memburukkan lagi situasi rakyat Libya," katanya
 
Serangan tentera ke atas Libya diketuai kuasa-kuasa barat oleh Perancis, Britain dan Amerika Syarikat. Ia dilakukan bagi menguatkuasakan resolusi zon larangan terbang yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melindungi puak penentang daripada kekejaman tentera Muammar Gaddafi.
 
Sementara itu, bantahan sama turut disuarakan oleh masyarakat dunia. Di Bangladesh, pertubuhan Islam Khelafat Andolon melaungkan slogan anti perang dan membantah serangan udara ke atas Libya dalam satu protes di Dhaka.
 
Ahli parti berhaluan kiri di Jerman, Die Linke Klaus Ernst juga mengadakan demonstrasi di Berlin yang mengutuk serangan kejam tersebut. Para aktivis Filipina pula bertindak membakar bendera AS dalam satu tunjuk perasaan di Quezon City, utara Manila.
 
Kemarahan sama turut dirasai di Los Angeles apabila aktivis antiperang mengadakan satu demonstrasi yang menyambut ulang tahun kelapan pencerobohan tentera AS dan sekutunya ke atas Iraq.
 
White House tidak terkecuali daripada menjadi lokasi demonstrasi mengutuk serangan ke atas Libya. Akibatnya, berpuluh-puluh aktivis antiperang telah ditahan polis.
 
 
 
+
 
Libya sedia tumpas 'pakatan salib'

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata semalam, rakyatnya sudah bersiap untuk menghadapi perang yang berpanjangan dan akan menumpaskan negara Barat yang mula melancarkan serangan terhadap tenteranya, semalam.
 
Gaddafi yang berkuasa sejak empat dekad lalu, juga mengulangi, beliau tidak akan dapat ditumbangkan oleh 'pakatan salib' yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.
 
"Ini ialah perang salib terhadap orang Islam, khususnya rakyat Libya. Mereka percaya kononnya rakyat Libya akan takut. Ini hanya satu keganasan dan tentera kita akan berjaya menghadapinya.
 
"Mereka sudah pasti akan ditumpaskan. Mereka tidak akan dapat memaksa rakyat Libya menyerah kalah. Semua rakyat negara ini kini dilengkapi senjata. Kami akan menentang anda jika keganasan terhadap kami berterusan," kata Gaddafi dalam ucapan audio yang disiarkan menerusi televisyen negara itu.
 
"Anda adalah pengganas. Anda memerangi orang yang tidak menjemput anda. Libya akan menjadi neraka bagi musuhnya. Ini adalah keganasan yang tidak wajar. Kami tidak akan meninggalkan bumi kami dan akan membebaskannya. Kami tidak akan membenarkan Amerika, Perancis dan Britain menikmati minyak kami.

"Seluruh bandar raya Libya akan memberontak dan kami akan memusnahkan semua pembelot yang bekerjasama dengan Amerika," katanya.
 
 
 
+
 
Serangan terhad: Obama

WASHINGTON: Walaupun Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas sistem pertahanan Libya, Washington tetap menolak kemungkinan menggunakan tentera darat dalam operasi 'ketenteraan terhad' itu.
Presiden AS, Barack Obama, berkata campur tangan i itu dibuat kerana Muammar Gaddafi mengancam nyawa orang awam.
 
Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan sokongan negara Arab juga memberi mandat kepada tentera Barat menguatkuasakan zon larangan terbang.
 
"Kita perlu jelas - setiap tindakan membawa kesan dan kehendak masyarakat antarabangsa mesti dilaksanakan," katanya kepada media ketika melawat Brazil, semalam.

Kata Obama, semua pihak perlu membantu orang awam yang terancam.

"Kita bertindak atas kepentingan AS dan dunia," katanya.
 
Ketika hampir 100,000 tentera AS bertugas di Afghanistan, Obama menegaskan, operasi Fajar Odyssey itu tidak membabitkan penghantaran pasukan keselamatan ke Libya.
 
"AS tidak akan menghantar tentera bertugas di Libya," katanya. - AFP
 
 
 
+
 
Liga Arab bantah serangan

KAHERAH: Pemimpin Liga Arab semalam berkata, pihaknya membantah serangan tentera Barat ke atas orang awam Libya walaupun pertubuhan itu menyokong pelaksanaan zon larangan terbang di negara itu.
 
Dalam kenyataan disiarkan agensi berita rasmi Mesir, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa, berkata dia memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan situasi terkini di rantau berkenaan.
 
"Apa yang berlaku di Libya berbeza daripada matlamat pelaksanaan zon larangan terbang.

"Kami mahukan perlindungan terhadap orang awam dan bukan pengeboman lebih ramai rakyat tidak berdosa," katanya.

Amr berkata, dia menuntut laporan rasmi mengenai apa yang berlaku di Libya sehingga ramai orang awam negara itu terbunuh.

"Saya mahukan data sepenuhnya untuk mengetahui apa berlaku," katanya.
 
Sementara itu, di Limassol, Cyprus, kerajaan negara itu menentang sebarang penggunaan pangkalan tentera Britain di situ untuk melaksanakan larangan terbang di Libya.
 
Bagaimanapun, kerajaan berkata, mereka tidak berkuasa menghalang pembabitan Britain.

Ketika ini Britain memiliki dua pangkalan tentera di Cyprus.
 
Sebuah pusat kawalan bagi menyelaras operasi Britain di Libya dibuka di Akrotiri, selatan Cyprus. - Reuters
 
 
 
+
 
Kelengkapan perang Gaddafi musnah dibom

BENGHAZI: Deretan kereta kebal dan kenderaan lain tentera Libya yang musnah dibom kelihatan tersadai di sebatang jalan strategik di timur negara itu, semalam, selepas Barat melancarkan serangan udara ke negara itu.
 
Kelengkapan yang musnah itu dipercayai digerakkan kerajaan Libya bagi menggempur pemberontak yang kini berkubu di Benghazi.

Pada masa sama, tentera pemberontak yang terpaksa berundur akibat menghadapi serangan udara, laut dan darat sejak dua minggu lalu, kembali mara menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju bandar Ajdabiyah yang cuba ditawan sebelum ini.

Bandar itu dianggap kubu penting untuk pemberontak mengukuhkan kedudukannya menghadapi rejim Muammar Gaddafi.

Menurut saksi, sekurang-kurangnya 14 mayat terbiar di jalan dilalui pemberontak itu walaupun serangan udara dilancarkan AS dan sekutunya sepatutnya menyebabkan mayat sukar dikenal pasti.

Seorang pejuang pemberontak mengalu-alukan keadaan itu dan menganggap laluan mereka menggulingkan rejim Gaddafi semakin mudah.
 
Rakannya pula berkata, serangan dilakukan mereka sebelum ini turut membantu tentera Barat memerangi angkatan tentera Libya.

Kira-kira 14 kereta kebal, 20 kenderaan pengangkut tentera, dua lori bersama pelancar roket serta berpuluh-puluh pikap musnah dan dapat dilihat di sepanjang laluan berkenaan.

 Kelengkapan itu juga membayangkan kesungguhan Gaddafi mahu merampas semula Benghazi daripada pemberontak. - Reuters
 
 
 

+
 
Operasi awal berjaya

WASHINGTON: Peringkat permulaan operasi antarabangsa untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya dikatakan berjaya.
 
Serentak dengan itu serangan tentera kerajaan terhadap Benghazi yang dikuasai pemberontak sudah terhenti.
 
Pemerintah kanan tentera Amerika Syarikat, Michael Mullen memberitahu program 'This Week' terbitan ABC, tentera Libya yang setia kepada Gaddafi tidak lagi mara ke Benghazi.
 
Kenyataan itu dibuat selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap pertahanan udara kerajaan Muammar Gaddafi dalam apa yang disifatkan oleh Presiden Barack Obama sebagai 'tindakan ketenteraan yang terhad.'
 
Kapal perang Amerika Syarikat dan sebuah kapal selam Britain melancarkan sekurang-kurangnya 110 peluru berpandu Tomahawk terhadap Libya dengan mensasarkan peluru peluru berpandu anti pesawat dan radarnya.
 
Laksamana William Gorney memberitahu wartawan di Pentagon, peluru berpandu itu mengena lebih 20 sistem pertahanan bersepadu udara dan kemudahan pertahanan lain." Sebelum itu, tiga pesawat pengebom stealth B-2 Amerika menggugurkan 40 bom terhadap sebuah lapangan terbang utama Libya dalam usaha memusnahkan pasukan tentera udara negara itu."
 
Secara keseluruhan, 19 pesawat Amerika Syarikat, termasuk kapal terbang pengebom stealth itu mengambil bahagian dalam serangan berkenaan, menurut Markas Afrika Amerika Syarikat yang berpangkalan di Jerman. - AFP
 
 
 
+
 
Pengajaran untuk pemimpin Libya: Ki-Moon
     
PARIS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata Muammar Gaddafi kini dapat merasakan kesungguhan masyarakat antarabangsa selepas kempen ketenteraan dilancarkan ke atas Libya.
 
"Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri. Dia mengisytiharkan untuk mencari pemberontak dari satu rumah ke satu rumah dan membunuh mereka.
 
"Perbuatan itu tidak boleh diterima," katanya kepada media, semalam, sejurus sebelum memulakan lawatan rasmi ke Mesir dan Tunisia.
 
Kata Ban, dia berharap pihak berkuasa Libya mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengambil segala langkah perlu melindungi rakyatnya.

Ban turut menyatakan hilang keyakinan terhadap kemampuan Gaddafi 'bercakap benar.'
 
Awal pagi semalam, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis melancarkan serangan udara ke atas Libya selepas Majlis Keselamatan PBB memberi kebenaran untuk 'menggunakan segala cara yang perlu' melindungi penduduk awam Libya.

PBB juga memberi mandat kepada negara kuasa besar itu memaksa Libya mematuhi gencatan senjata dan zon larangan terbang ke atas tentera rejim Gaddafi. - AFP
 
 
 
+
 
Orang kanan Muammar Gaddafi

SAIF al-Islam Gaddafi: Dilahirkan pada 1972, paling terkenal di antara anak Muammar Gaddafi sebaia pemimpin sayap permodenan dalam keluarganya. Pada asalnya mengikuti kursus kejuruteraan tetapi menulis tesis untuk ijazah falsafahnya di London School of Economics mengenai Peranan Masyarakat Dalam Pendemokrasian.
 
SAADI Gaddafi: Dilahirkan pada 1973, Pernah terkenal sebagai pemain bola sepak profesional di Malta dan Itali tetapi muncul semula sebagai ketua sebuah pasukan khas tentera Libya. Juga memainkan peranan utama dalam mematahkan kebangkitan rakyat negara itu.
 
MUTTASIM Gaddafi: Dilahirkan pada 1977, Mutassim ialah anak keempat Gaddafi tetapi mungkin yang paling berpengaruh. Bekas pegawai tentera, dia kini menjadi Penasihat Keselamatan Kebangsaan bapanya.

KHAMIS Gaddafi: Umur tidak diketahui. Menjalani latihan di Russia, Khamis dipercayai oleh bapanya untuk mengetuai pasukan elit tentera Libya, Briged Khamis yang menjadi barisan depan dalam serangan terhadap kebanyakan kawasan yang dikuasai pemberontak.
 
MOUSA Kusa, 62: Dia adalah penasihat utama Gaddafi mengenai hubungan luar. Bekas duta ke London dan ketua perisikan asing, Moussa kini ialah Menteri Luar, yang dilihat sebagai penurunan pangkat.

ABDULLAH al-Senussi, 61: Ketua Keselamatan Dalam Negeri yang sering dianggap sebagai sekutu paling rapat Gaddafi serta adik iparnya. Kedudukan dan peranannya ketika ini tidak ketahui. Ada laporan yang mendakwa dia dipecat dan ditembak mati.
 
 
 

+
 
Sanggup mati demi Gaddafi

TRIPOLI: Beratus-ratus rakyat Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi berkumpul di depan ibu pejabatnya di Bab al-Aziziyah dan lapangan terbang antarabangsa ketika Perancis melancarkan serangan udara terhadap negara itu.

Sementara itu, 50 wartawan asing dibawa melawat Bab al-Aziziyah, di selatan Tripoli.

"Rakyat di sekitar kawasan itu menjadi sasaran Perancis," lapor televisyen Libya, sambil menunjukkan gambar orang ramai mengibarkan bendera di depan pejabat Gaddafi dan lapangan terbang berkenaan.
 
Kira-kira 1,000 orang mengibar bendera hijau, simbol revolusi yang membawa Gaddafi ke puncak kuasa lebih empat dekad lalu juga memenuhi kawasan sekitar ibu pejabat pemimpin Libya itu.

Turut bersama mereka ialah anak perempuannya, Aisha yang menyertai orang ramai melaungkan slogan memuji bapanya.

Perhimpunan itu yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak mengekori kata-kata yang memuji Gaddafi.
 
Pekarangan ibu pejabat itu dikelilingi trak yang lengkap dengan meriam antipesawat.

Seorang anak angkat Gaddafi terbunuh pada 1986 apabila Amerika Syarikat mengebom Libya. Turut menjadi sasaran ketika itu ialah Bab al-Aziziyah.

Ketika penyokong Gaddafi itu berkumpul, Perancis melancarkan serangan udara, memulakan kempen antarabangsa untuk menghalang pemimpin Libya itu daripada menumpaskan kebangkitan yang bermula sebulan lalu.
 
"Ada 5,000 suku kaum yang bersedia untuk datang ke sini dan berjuang untuk Gaddafi. Lebih baik bagi Barat supaya tidak cuba menyerang negara kami," kata Mahmoud el-Mansouri yang turut serta dalam perhimpunan itu. - Reuters
 
 
 
+
 
Qatar pertahan tindakan sertai serangan
 
DOHA: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem al-Thani semalam mempertahankan penyertaan negaranya dalam operasi ketenteraan di Libya dengan berkata, ia bertujuan menghentikan pertumpahan darah di negara itu.
 
Satu pakatan antarabangsa melancarkan serangan terhadap Libya dengan menggunakan jet pengebom dan peluru berpandu semalam, untuk menghentikan tindakan Gaddafi menyekat revolusi menentang pemerintahannya sejak 15 Februari lalu.

"Qatar menyertai tindakan ketenteraan itu kerana ia satu keperluan bagi negara Arab mengambil bahagian," kata Sheikh Hamad yang juga Menteri Luar, kepada stesen televisyen Al-Jazeera.

"Keadaan di Libya sudah tidak terkawal. Sengketa yang berlaku di negara itu bukan membabitkan tunjuk perasaan dan polis. Ia perang terbuka yang disertai oleh tentera upahan dan ia mesti dihentikan secepat mungkin," kata Sheikh Hamad.

Bagaimanapun, menurutnya, operasi ketenteraan itu tidak disasarkan terhadap rakyat Libya, mahupun terhadap Gaddafi dan anaknya. "Apa yang penting ialah menghentikan pertumpahan darah."
 
Qatar ialah satu-satunya negara Arab yang berjanji untuk menyertai serangan di Libya pada mesyuarat tergempar di Paris. - AFP
 
 
 
+
 
Pesawat Barat sasar orang awam

TRIPOLI: Televisyen Libya melaporkan, pesawat tentera Barat mensasarkan orang awam di bandar raya ini semalam, menyebabkan kematian, selepas kempen pelbagai negara menentang Muammar Gaddafi.
 
"Orang awam di Tripoli menjadi sasaran serangan tentera Pakatan Salib," lapor stesen televisyen itu.

Agensi berita Libya, Jana juga melaporkan beberapa orang awam mati akibat serangan berkenaan.

Terdahulu, saksi berkata, beberapa letupan kuat kedengaran di timur Tripoli dan kepulan asap dapat di lihat di ufuk.

"Kami tidak tahu di mana letupan itu berlaku," kata seorang penduduk.

Seorang lagi saksi berkata, pengeboman itu mensasarkan satu batalion tentera yang ditempatkan kira-kira 20 kilometer ke timur ibu negara Libya itu. - AFP
 
 
 
+
 
Barat mahu bolot minyak

TEHERAN: Iran semalam memberi amaran kepada warga Libya supaya tidak tertipu dengan tujuan sebenar Barat melancarkan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi.
 
Kata Teheran, tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya hanya mahu melaksanakan dasar penjajahan baru ke atas negara kaya dengan minyak itu.

Walaupun turut menyatakan sokongan terhadap kebangkitan rakyat Libya, dasar Iran yang berseteru dengan AS mendorong Teheran bersikap amat curiga dengan perkembangan terbaru itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata, sejarah membuktikan tindakan kuasa besar di negara yang terdesak selalu mencurigakan.

"Walaupun Iran sentiasa menyokong rakyat yang bangkit menuntut hak, penduduk Libya perlu berhati-hati dengan niat Barat yang kononnya mahu melindungi mereka," katanya.

Menurutnya, negara kuasa besar biasanya menggunakan slogan menggoda bagi mendapatkan sokongan rakyat sebelum melaksanakan penjajahan baru. - Reuters
 
 
 
+
 
Russia desak serangan tentera ke atas Libya dihentikan

MOSCOW: Russia menggesa serangan membuta-tuli ke atas Libya dihentikan.
 
Kenyataan Kementerian Luar semalam berkata, serangan Barat itu turut memusnahkan jalan raya, jambatan dan sebuah pusat kardiologi.
 
"Russia tidak dapat menerima penggunaan Resolusi 1973 kerana ia melebihi apa yang sepatutnya," kata kenyataan itu. - AFP
 
+
 
AS guna Tomahawk terbaru di Libya
 
TRIPOLI – Tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) menjadikan sasaran ketenteraan Libya untuk menguji kekuatan dan kecanggihan peluru berpandu Tomahawk edisi terbaru.
 
Peluru itu bukan sahaja meninggalkan kesan kemusnahan malah mampu memastikan tentera perikatan berada pada tahap risiko yang kecil kerana ia boleh dilancarkan dengan tepat, jauh dari kawasan konflik iaitu dari kapal perang atau kapal selam.
 
Senjata itu digunakan oleh pihak Britain dan AS kerana ia sukar untuk dikesan dan mampu terbang pada ketinggian yang rendah dan laluan sukar.
 
Selain itu, ia mampu terbang pada kelajuan supersonik dan telah digunakan secara meluas ketika konflik Perang Teluk dan operasi susulan pada Jun 1993.
 
Kemunculan Tomahawk menuju ke Iraq pada waktu siang menjadi satu daripada imej yang mengagumkan ketika konflik tercetus pada 1991.
 
Tomahawk turut digunakan ketika perang Bosnia pada 1995 dan di Iraq sekali lagi pada 1996. Peluru berpandu itu boleh juga dilengkapi dengan senjata konvensional atau bom nuklear.
 
Tomahawk mula diperkenalkan oleh syarikat General Dynamics pada tahun 1970-an dan digunakan secara rasmi oleh Tentera AS pada 1983 sehingga ke hari ini.
 
Ia mengalami pelbagai pembaharuan beberapa kali bagi meningkatkan keupayaannya.
Unknown , Selasa, Mac 22, 2011 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog