2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Tiara - Part 2 (End)

Hinakah aku kerana mencintaimu sehingga kau melukai hatiku ini..

Semua orang mengatakan dirinya gila. Borhan pun begitu juga. Kawan-kawan sekerjanya juga mengatakan dia memang gila. Gila-segila-gilanya. Kata mereka, tindakan yang dibuatnya tidak waras. Kata mereka, tindakan yang dibuatnya tidak lain tidak bukan hanya sia-sia belaka. Kata mereka lagi, dia tidak langsung berpeluang mencapai hajatnya dengan bertindak sebodoh itu. Malah, menurut mereka tindakan bodohnya itu hanya akan mencemar maruahnya sebagai seorang peguam yang sangat disegani.

Sejak seberapa lama dia telah terpaksa menahan telinganya untuk berhadapan segala kritikan dan cemuhan kawan-kawannya. Mereka-mereka itu selama ini begitu banyak menyokong dan memujinya tiba-tiba sahaja menjadi pencerca-pencerca dominan apabila dia melafazkan pendiriannya untuk membuka semula kes perbicaraan Halim di mahkamah. Sebuah kes yang pernah dimenanginya kerana menyebelahi pihak yang bersalah dan mendustai pihak yang benar. Dan kerana kes itu jugalah, dia telah begitu lama ditindih oleh rasa bersalah yang bukan sedikit kerana menafikan hakikat, malah menunjangkan pula kebatilan.
Tiara merasakan dirinya begitu kecil pada ketika itu. Lebih-lebih lagi ketika ingin berhadapan dengan teman-teman sepejabatnya di dalam keadaannya yang terasing sedemikian rupa. Luntur segala kemegahannya sebagai peguam petah bicara. Lebur segala ego wanitanya. Kini dia menyedari bahawa memperjuangkan kebenaran itu bukan satu perkara yang mudah. Iya, sebuah perjuangan itu bukanlah perjuangan namanya jika ia tidak diakari oleh pengorbanan dan penderitaan.
Dengan hati yang sebal, dia melangkah masuk ke dalam pejabat. Melintasi wajah-wajah teman sekerja yang dengkel. Dia diperhatikan seperti seorang pendosa. Seperti seorang penzina yang sedang menanti hukuman rejam. Dia tidak tertahan untuk menentang mata mereka. Setiap kelibat bisikan-bisikan kecil mereka ternyata begitu pedih untuk dia hadapi. Dia tidak tahan untuk berhadapan dengan mereka semua.
Cepat-cepat dia melangkah pantas menuju ke dalam bilik kerja. Di situ, dia hempaskan segala resah di atas kerusi putar yang empuk dan mewah.
Baru dia ingin menarik nafas, tiba-tiba seseorang telah mengetuk pintu dari luar lalu terus meluru masuk tanpa menunggu kebenarannya.
Tiara tersentak melihat Borhan masuk. Borhan nampak gagah dengan persalinan sut kelabu mewah dari jenama Valentino Rudy. Namun wajah bingung Borhan ternyata mendahului segala-galanya.
"I tak percaya..sungguh-sungguh tak percaya…"kata Borhan keras selepas bersandar pada kerusi tetamu bertentangan dengan Tiara.
Dia diam. Dia sudah menduga keadaan akan menjadi begini.
"I tak percaya you nak buka semula kes Halim di mahkamah…"bentak Borhan lagi.
"Halim tak bersalah…"ucapnya ringkas, lebih kepada membela diri sendiri.
Borhan terganggu.
"Mahkamah dah pun membuktikan bahawa Halim benar-benar bersalah…kenapa pula you nak memandai-mandai tunjuk bagus?"
"Mahkamah bukannya Tuhan…"
"Itu I tahu…tapi you ada bukti yang cukup ke untuk membela Halim?"
"Belum lagi…"
"Habis tu?"
"I cukup berkeyakinan bahawa Halim tidak bersalah…"
"Apa relevannya?"
"I percaya dengan Halim..Halim tak akan berbohong…"
Borhan tersenyum sinis. Memandang Tiara dengan semacam penghinaan.
"Percaya sahaja tak cukup untuk dibawa ke mahkamah…Mahkamah tak akan terima you punya percaya tanpa bukti-bukti yang kukuh…"
Pedih hatinya mendengar kata-kata Borhan itu. Namun dia kuatkan juga hati ini.
"Itu I tahu…tapi I akan berusaha.."balas Tiara dengan sepenuh keyakinan.
Borhan diam. Malas Borhan ingin melayan kedegilan Tiara yang dirasakan kurang nilai kewarasan.
"Hmm..kalau itu dah keputusan you..I tak boleh nak buat apa..Cuma kes kali ini I tak dapat nak tolong you…"ujar Borhan sejurus kemudian.
"I boleh berdikari…I tak perlukan you punya simpati…"kata Tiara penuh berkeyakinan.
"Oh..begitu..kalau macam tu, kita jumpalah nanti di mahkamah…"
Tiara tersentak.
"Apa maksud you dengan jumpa di mahkamah?"
Borhan mengulum senyum.
"I akan jadi you punya lawan…"
Seriau seluruh tubuh Tiara mendengarnya. Muka Tiara pucat. Tangan Tiara tergigil-gigil. Sungguh tidak dia sangka Borhan akan bertindak begitu. Sungguh tidak dia sangka peguam hebat seperti Borhan tergamak mahu menentangnya di mahkamah. Jika demikian keadaannya, kesukaran yang bakal Tiara lalui tentunya akan semakin mendesak. Satu-persatu penyokongnya yang sangat-sangat diharapkannya tiba-tiba sahaja berpaling pergi, semata-mata kerana pertelingkahan mereka dalam membela Halim di mahkamah.
Sebaik sahaja Borhan pergi, Tiara menjadi seperti orang gila. Entah kenapa dia berasa sunyi. Tersangat sunyi. Sunyi kerana melalui saat getir yang sebegini. Saat di mana dia terpaksa berdiri sendiri. Tanpa sokongan daripada seorang pun.
Fikirannya kusut. Otaknya berserabut. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Di mana harus dia bermula dan bagaimanakah caranya.
Antara sedar dan tidak, waktu telah pun merangkak-rangkak menuju ke pukul satu tengah hari. Lenguh tengkok Tiara kerana begitu lama membelek fail perbicaraan kes Halim yang lepas. Jam di tangan Tiara berdetik-detik, sealunan dengan rentak perutnya yang lapar.
Lantas Tiara menangguhkan segala kerja. Fail di sisi dikatup keras. Dia lepaskan lelahnya dengan bersandar pada bahu kerusi. Dia renung pada siling pejabat yang kosong, siling yang cuma ditemani oleh lampu kristal bersinar jingga.
Sudah beberapa malam tidurnya terganggu. Sudah beberapa hari hidupnya tidak teratur. Sibuk benar dia ke sana ke mari. Semuanya semata-mata kerana ingin menebus dosa diri ke atas Halim yang sangat dia kasihi.
Dia yang telah menghumbankan Halim ke dalam mahkamah. Dia juga yang telah memusnahkan hidup Halim dengan sifat prejudisnya dan tohmahnya yang bukan-bukan. Jadi, biarlah dia sendiri menanggung segala kepayahan ini sendiri semata-mata kerana ingin membersihkan nama Halim. Semata-mata kerana ingin memulihkan hidup Halim yang malang. Biarlah semua orang mencemuhnya kerana tindakannya itu. Biarlah semua orang menghinanya kerana cuba membela seseorang yang ternyata bersalah di mata mahkamah. Biarkan…kerana mereka tidak mengenali betapa mulianya Halim sebenarnya…Kalaulah mereka tahu….
Tiara bingkas daripada kerusi. Sudah tiba masa untuk dia makan tengah hari. Sesibuk mana pun dia, dia perlu makan. Dia perlu tenaga untuk meneruskan kerja. Selepas makan nanti dapatlah dia berusaha dengan lebih gigih lagi.
Semasa Tiara keluar daripada bilik, sekali lagi dia terpaksa berhadapan dengan muka-muka yang dengkel. Muka-muka yang memandangnya dengan penuh penghinaan. Tiara tahan sahaja hatinya yang sebal. Cepat-cepat dia menaiki lif, lalu turun ke tingkat bawah.
Dia perlu cepat. Ada banyak urusan yang perlu diselenggarakan. Pertama sekali, makan tengah hari. Keduanya, melawat ibu Halim di hospital. Ketiga, dia ada temujanji dengan seorang pemberi maklumat pada jam tiga.
Entahlah, banyak benar kerjanya. Kalau ingin diikutkan rasa penat, tak terdaya rasanya tubuh ini. Namun, lantaran oleh rasa tanggungjawab yang begitu menebal di dalam diri, dia gagahkan juga untuk melangkah.
Itu semua pun dia pelajari daripada kecekalan ibu tua Halim. Bila melihat wajah ibu tua yang penuh pengasih itu, luruh rasanya segala kepenatan. Lenyap pergi segala rasa resah di hati.
Namun, apakan daya, ibu tua itu sekarang sedang sakit. Semenjak Halim masuk penjara, sakit si ibu tua terus memberat. Batuk-batuk darah. Semuanya kerana kesilapan diri ini. Dialah yang telah menyebabkan ibu tua itu susah hati kerana memenjarakan Halim. Dialah juga yang menyebabkan sakit si ibu tua melarat. Jadi, atas rasa kemanusiaan, dia harus memikul segala bebanan dosa-dosa silamnya itu. Dia harus menjaga si ibu dan Ida sebagaimana Halim telah menjaga mereka sebelum ini.
Tiara terus melangkah keluar daripada pintu lif sebaik sahaja dia tiba ke destinasinya. Dengan pantas, dia mengorak langkah menuju ke pintu keluar Menara Sufian. Melintasi kelompok-kelompok manusia yang sedang berkejar dengan urusan masing-masing. Proton Wira hijau mudanya adalah sasarannya.
Ketika dia keluar, dia lihat Ida sedang menantinya di perkarangan bangunan dengan baju kurung longgar warna pudar. Wajah Ida nampak teduh. Mata Ida redup. Seperti sedang menyembunyikan sebuah kesedihan yang amat sangat.
Kenapa Ida datang pada waktu-waktu begini? Ada apa pula hajatnya?
Tiara segera mendapatkan Ida. Baru sahaja dia ingin mengusap ubun-ubun Ida, tetapi Ida telah menerpanya terlebih dahulu. Ida dakap dirinya. Ida menangis teresak-esak.
"Kak Tiara…"ucap Ida tertahan-tahan.
Tiara terpempan.
"Kenapa Ida?"tanyanya lembut. Dia sapu-sapu rambut Ida yang lurus panjang. Harapnya, dengan usapan itu, akan luruhlah segala kesedihan Ida.
"Mak Ida dah tiada kak…"tersesak-sesak nafas Ida mengucapkannya.
Tiara kaget. Ya Allah…takdir apakah ini? Apakah ujian yang sedang kau uji kepada kami?
Tiba-tiba Tiara menjadi tersangat sedih. Tiba-tiba Tiara berasa kehilangan. Dan tiba-tiba sahaja wajah Halim terbit di ruang angkasa yang membahang dengan panahan mentari pukul satu setengah tengah hari.
Bagaimanakah andai Halim mengetahui berita ini?
Dapatkah Halim menghadapinya?
Aduh, pedihnya hati ini…kasihan Halim…
Mati segala rasa lapar di perut Tiara. Lebih-lebih lagi setelah melihat wajah Ida yang sedih. Bermacam-macam kemungkinan bermain-main di benaknya. Semua itu sudah cukup untuk membuatkan dia menukar hajatnya, daripada mengisi perut yang kosong kepada berkejar mendapatkan jenazah si ibu tua di hospital bersama-sama dengan Ida.
Baru sahaja dia ingin melangkah, tanpa diduganya telefon bimbitnya berdering. Langkah Tiara terhenti. Ida di sisi hanya memerhati.
"Beginilah.."kata Tiara kepada Ida.
Ida mendengar sambil menyeka air mata.
"Ida pegi ke kereta dulu…kakak nak jawab telefon..kejap lagi kakak datang…kereta kakak, kakak parking kat seberang jalan sana…"begitu perintahnya sambil menunjukkan tempat di mana keretanya diletakkan.
Proton Wira Tiara, Tiara letakkan betul-betul di seberang sana. Di depan jalan besar yang penuh dengan kenderaan yang lalu-lalang. Juga penuh dengan orang-orang yang berduyun-duyun ingin ke tempat makan.
Ida cuma mengangguk-angguk. Tampak pasti dengan arah yang dia maksudkan.
Gadis remaja itu pun mencapai anak kunci kereta daripada tangan Tiara lalu melangkah longlai untuk menyeberangi jalan.
Tiara berpaling ke sisi. Dicapainya telefon bimbit dari dalam tas tangan. Siapa pula yang menelefon pada tengah hari begini. Mengganggu betul.
"Hallo?"ucap Tiara lembut.
"Hallo.."kedengaran suara seorang lelaki, parau dan kasar keluar dari gelombang telefon.
"Iya..Tiara bercakap ni…"
"Sara ke tu?"kata suara itu lagi.
Tiara mendengus. Sedikit marah.
"Maaf, encik salah nombor ni…takda orang bernama Sara kat sini…"
"Oo..mintak maaf…"
Tiara mengeluh hampa. Kecewa dengan panggilan yang tidak bermakna itu.
Belum sempat Ida mahu menyimpan kembali telefonnya pada tempatnya, tiba-tiba telinganya didorong pula ke arah sebuah bunyi dentuman yang memekakkan telinga.
Terkejut seluruh tubuh Tiara dibuatnya. Habis gugur telefon dari genggaman tangan. Namun Tiara biarkan sahaja kerana bunyi dentuman tadi lebih menarik perhatiannya. Lantas dia berpaling ke belakang, ingin meninjau dari mana datangnya bunyi tadi.
Namun, alangkah terkejutnya Tiara bila mendapati tubuh Ida bergelimpangan di atas jalanraya dengan darah yang terhambur, membuak-buak.
Ya Allah, Ida!
Senak seluruh perut Tiara menyaksikannya. Longlai kedua-dua lutut Tiara. Tiara terjelepuk ke atas tanah.
Tubuh Ida riuh-rendah dikerumuni oleh orang ramai. Pemandu kereta yang menjadi punca perlanggaran tadi tampak cemas dan terkial-kial ingin memindahkan Ida ke dalam kereta. Darah menitik-nitik ke atas jalan. Ida terkapar longlai.
Dalam celah-celah manusia yang hiruk-pikuk, Tiara kuatkan dirinya. Dia menyusup-sasap perlahan di kalangan mereka, mendapatkan kelibat Ida yang sangat dia sayangi. Dia tekup mulut dengan tangan kanannya menahan sedih.
Semasa dia tiba, dia lihat Ida sudah begitu lemah. Ida pasrah merelakan diri dipapah oleh si pemandu lelaki tadi , namun Ida masih mampu tersenyum. Sebelum sempat pintu kereta ditutup, dapat dia mendengar suara Ida berbisik.
"K..kakk..sampaikan s..salam Ida..p..pada abang…b..bagi tahu d..dia..Ida s..sangat s..sa..sayang d..dia…"
Tiara pejam mata erat-erat. Terasa hati ini dihiris-hiris. Ngilu dan pedih tusukannya. Ada air mata terhurai hangat mengalir pada permukaan pipinya.
Sekali lagi wajah Halim bermain-main di ruang matanya. Wajah seorang lelaki yang telah begitu banyak menanggung derita. Apakah semua ini begitu sukar bagi Halim? Mengapa nasib Halim semalang ini?
O Halim sayang…
"Tiara;
Alim boleh terima kalau semua orang tuduh Alim jahat…Alim boleh tahan kalau cikgu Kahar fitnah Alim…tapi bila Tiara pun menuduh Alim sedemikian rupa…Alim menjadi sangat terluka…"

"Tiara budak-budak…"
"Eii…Alimlah budak-budak…"
"Tiara busuk…"
"Alim lagi busuk!"
"……………………………."

Tiba-tiba sahaja langit bertukar warna. Mendung dan teduh bersilih ganti, membawa angin petang yang dingin.
Setiap kali angin berhembus lembut, daun-daun kering gugur dari pohonan bersama-sama kemboja putih yang merunduk layu menyembah bumi.
Tiara kancing gigi kuat-kuat. Dia tidak dapat lagi menahan sedihnya.
Pusara-pusara merah di depan matanya adalah dosa kesilapan keangkuhan dirinya. Tanah-tanah yang halus, mengambusi jenazah Ida dan si ibu adalah sebuah perlambangan kedegilan hati keras seorang wanita. Hati yang lebih keras daripada batu pejal..
Dia tidak mampu memaafkan dirinya. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukannya membuatkan dia menjadi sangat kecil diri. Sangat kecil hati. Dia rasa ingin merajuk. Tapi kepada siapa? Merajuk kepada takdir?
Dia rasa ingin lari. Lari jauh-jauh. Tapi ke mana?
Di mana-mana pun sudah tidak ada kesenangan-kesenangan lagi.
Dialah seorang gadis yang malang kerana dirajai oleh kejahilan dan kebutaan mata akalnya. Dia tidak perlu salahkan sesiapa kerana kemalangan ini. Dia sendiri yang telah menciptakan kemalangan untuk dirinya. Dia sendiri yang telah menzalimi dirinya.
Tiara bingkas perlahan-lahan. Berat rasanya untuk dia melangkah pergi, meninggalkan pusara Ida dan si ibu. Namun sudah lama dia di situ. Selama itu jugalah dia menghabiskan masa dengan menangis dan mengenang dosa-dosa semalam.
Tiara betulkan selendang jarang di atas ubun-ubun kepala. Dia berpaling kali terakhir ke arah pusara berdua, Kemudian berlalu pergi membawa hati yang sebal dan sesal.
Semoga damailah kalian di alam sana….
Semoga Tuhan mencucuri kalian dengan rahmatNya.
Halim di kurungan tidak akan diri ini abaikan…
Akan diri ini menebus dosa-dosa sendiri dengan memperjuangkan nasib Halim…

Sudah seminggu jenazah si ibu tua dan dan Ida disemadikan di alam baka. Selama seminggu itu jugalah kes Halim tertangguh daripada diuruskan. Tiara sendiri tidak berupaya melakukan apa-apa dalam tempoh itu. Dia perlukan masa untuk membina semula kekuatan diri. Hatinya telah patah selama ini kerana diterajang oleh kenyataan.
Namun pada hari itu, Tiara kuatkan juga hatinya. Tiara gagahkan juga untuk melangkah. Halim perlu dikhabarkan perkara sebenarnya. Halim berhak untuk mengetahui apa yang telah terjadi. Kes Halim juga harus diselenggarakan. Ini kerana hari perbicaraan semakin menjelang, dan bukti-bukti kukuh perlu digali sebanyak mungkin. Hanya inilah sahaja daya upaya yang dapat dia berikan untuk menebus kesilapan diri.
Dia pun melangkah dengan pasti sebaik sahaja tiba di pintu penjara. Ketibaannya pagi itu disambut oleh pegawai bertugas dengan senyuman tawar.
Dia dibawa dengan perlahan menuju ke bilik pelawat. Di situ, dia telah bertemu dengan Halim. Mereka duduk bertentangan pada sebuah meja kosong di tengah-tengah bilik. Mereka cuma dipisahkan oleh sebuah dinding jaring kotak-kotak yang besar. Bagi memudahkan perbualan, mereka telah disediakan sebuah telefon pada bahagian masing-masing.
Tiara menarik nafas dalam-dalam. Memerhatikan wajah Halim yang cengkung dan tubuh Halim yang susut. Namun begitu, Halim masih mampu tersenyum girang bila melihat dia datang. Dia tahu, Halim memang menanti kedatangannya. Halim memang benar-benar sedang merinduinya.
Tiara capai telefon di sisi. Halim pun begitu juga.
Mereka saling berpandangan. Tautan mata Halim terasa begitu menusuk sehingga tidak berupaya untuk dia menentangnya. Tiara rasa seperti ingin menangis. Tidak sanggup rasanya untuk dia menambah lagi sengsara pada wajah yang penuh derita itu dengan berterus-terang tentang kepergian si ibu tua dan adik tercinta.
"Tiara…"kedengaran suara Halim lemah, memulakan bicara.
Dia menelan liur. Menahan bimbang dan resah di sanubari.
"Mak Alim macam mana? Dah sihatkah dia?"
Tiara menggigit bibirnya. Seriau seluruh tubuh ini mendengar pertanyaan Halim yang satu itu. Inilah dia pertanyaan yang sangat-sangat ingin dia mengelakkannya.
"Sebenarnya Tiara datang ni bincang pasal kes hari tu…"ucapnya selamba, cuba mengawal perasaan.
Mata Halim mencerun, memandang tajam pada dirinya.
"Tiara dah jumpa beberapa orang pekerja Indonesia di tapak binaan dulu…"
"Tiara..Alim nak tahu keadaan mak Alim…"suara Halim sedikit meninggi. Agak keras bunyinya.
"Pekerja-pekerja tu cakap, mereka ada menyaksikan-"
"Tiara!"Halim mengherdik.
Tiara tersentak. Kecut seluruh tubuhnya. Wajahnya lantas berkedut seribu. Menyerlahkan segala sedih yang diselindungkannya selama ini.
"Tiara..cakap Tiara…apa yang dah berlaku? Kenapa Tiara taknak jawab bila Alim tanya pasal mak Alim?"suara Halim menjerkah. Terdengar seperti rayuan yang penuh pengharapan.
Rayuan seperti inilah yang meleburkan segala pendiriannya. Dia tidak sanggup mendengar Halim merayu lagi. Selama ini, Halim telah banyak merayu kepadanya tetapi tidak langsung dia endahkan. Lantaran itu, rayuan Halim pada kali ini tidak upaya untuk dia mengenepikannya.
"Tiara, apa yang dah terjadi?"suara Halim semakin lembut.
Dia serba salah. Dia pejam mata. Dia tahan hatinya yang sebak.
"Tiara minta maaf…"ucap Tiara akhirnya, tersesak-sesak seluruh nafasnya.
Halim mendengar dengan bimbang.
"Mak Alim dah tiada…"
Halim tergamam. Termenung seketika nampaknya lelaki itu.
"Ida juga dah tiada…"
Gagang telefon luruh daripada tangan Halim. Muka Halim pucat, tersembam ke atas meja.
Tiara terkedu. Dia memerhatikan Halim dengan simpati yang bukan sedikit. Sempit dadanya ini hanya Tuhan yang tahu.
Betapa tidak tergamak untuk dia melihat kesedihan Halim. Betapa tidak tergamak untuk dia melihat Halim menelan segala kepahitan ini seorang diri.
"Tiara…"panggil Halim tiba-tiba.
Tiara tersentak. Memandang Halim yang sudah pun mengangkat kepala. Mata Halim merah, wajah Halim suram.
Hati Tiara tersentuh.
"Tolong balik…"ucap Halim kemudiannya.
"Hah,"
"Tolong biarkan Alim sendiri…"
Dia menelan liur. Pahit dan kelat rasanya. Sepahit naluri ini yang dihiris-hiris.
Berat untuk dia menunaikan permintaan Halim itu. Ada banyak lagi perkara yang ingin dia bincangkan dengan Halim. Lebih-lebih lagi berkenaan hari perbicaraan yang semakin menjelang.
Namun dia menghormati permintaan Halim. Dia tahu Halim perlukan masa untuk menenangkan diri. Dia tahu, segala yang berlaku ini terlalu sukar bagi Halim. Dia tahu kehilangan ibu dan adik tersayang adalah sebuah pukulan yang maha hebat untuk seorang lelaki malang seperti Halim.
Lantas dia bingkas tanpa banyak bicara.
Bilik pelawat yang hening dan kosong ditinggalkannya sepi dengan Halim yang sedang melayan perasaan. Sambil dia berjalan pergi itu, sambil dia menyeka air matanya. Semakin dia mengenangkan nasib Halim semakin kesal rasanya diri ini. Dialah punca segala-gala kesusahan hidup Halim. Dialah penzalim yang tidak terperi zalimnya dalam sejarah manusia.
Emosi Tiara menjadi tidak keruan. Penat rasanya untuk terus dia melayan perasaan. Letih rasanya untuk terus dia berjuang mengharungi kehidupan. Setiap lakunya salah-salah belaka. Setiap tindakannya seringkali membawa petaka. Apakah ini takdir Illahi kepada keangkuhannya selama ini?
Hari sudah merangkak menjengah malam. Jarum jam makin pantas meniti senggat-senggat waktu. Dia masih lagi meneleku sendirian, di atas tangga batu dataran merdeka yang tampak klasik dengan sinaran warna-warna suram waktu malam kotaraya.
Pasangan-pasangan yang berpeleseran sudah tidak segalak tadi lagi. Ramai yang telah beransur pulang. Membawa kenangan dan kemanisan masing-masing. Tinggallah dia di situ. Berfikir seorang diri. Masih cuba berfikir bagaimana caranya dapat dia mengatasi segala kebuntuan yang menghantuinya.
Esok, dia akan ke sini lagi. Di depan bangunan Sultan Abdul Samad yang berkedip-kedip dengan deretan lampu neon. Esok, dia akan membentangkan kes Halim yang telah cuba dipertahankannya dengan bermacam-macam susah-payah. Esok, bermulalah perjuangan Tiara yang paling utama. Membela diri Halim yang tidak bersalah.

"Tiara…Alim sangat sayangkan Tiara…"
"Tiara pun…"
"Tiara bohong…"
"Tak, Tiara tak bohong…"
"Kalau Tiara tak bohong, kenapa Tiara buat Alim macam ni?"
"………………….."

Tiara mendengus. Dingin pula rasanya sekujur tubuhnya bila berembun sebegitu dalam lewat malam di kota Kuala Lumpur. Lantas dia bingkas. Menjeling seketika pada jam tangan yang sudah lewat ke pukul dua belas.
Ah, dia perlu pulang. Walaupun hati susah, kehidupan kena juga diteruskan.
Begitulah hari-hari yang Tiara lalui. Penuh dengan kesuraman dan kemurungan. Kes perbicaraan Halim turun naik tidak menentu. Kadang-kadang nampak macam kemenangan akan menjadi miliknya. Kadang-kadang perbicaraan seperti berpihak pula kepada Borhan.
Hari itu, genaplah hari kelima perbicaraan Halim di mahkamah.
Dia melangkah longlai masuk ke dalam dewan perbicaraan. Semasa mengambil tempat di ruang peguambela, sempat dia melirik kepada Borhan di meja sana. Borhan memandangnya dengan sinis. Kemudian dia perhatikan pula Halim di dalam kandang tertuduh. Halim tidak banyak berubah seperti hari-hari yang sebelumnya. Tetap sugul dan banyak memandang ke bawah. Seperti sengaja ingin melindungkan kesedihan hati yang terpendam.
"Mahkamah bersidang sekarang…"begitu ucap ketua Hakim sambil mengetuk-ngetuk meja dengan tukul besar di dalam genggaman.
Borhan bingkas, mengambil giliran untuk membentangkan hujah. Lelaki itu nampak begitu berkeyakinan dan teguh dengan kepercayaan matlamat sendiri.
"Yang Arif, izinkan saya memanggil saksi yang ketujuh…"begitu ucap Borhan sebaik sahaja ketua Hakim memberikan keizinan.
Seorang lelaki bingkas dari ruang belakang mahkamah mengikut isyarat tangan Borhan. Lelaki pertengahan umur itu melangkah kemas masuk ke dalam kandang saksi.
Cikgu Kahar?
Tiara berkerut kening. Hatinya lantas menjadi gusar. Apa pula yang dibuat oleh cikgu tua celaka ini di sini? Tidak cukupkah dia memfitnah Halim suatu masa dahulu? Fitnah apa lagi yang ingin si tua kutuk ini semburkan?
Jijik Tiara melihat Cikgu Kahar mengangkat sumpah. Entah boleh dipakai atau tidak sumpah si pendusta itu.
"Hmm…encik Kahar, sila jelaskan hubungan awak dengan tertuduh kepada mahkamah…"ucap Borhan memulakan bicara.
"Saya adalah cikgu pendidikan jasmani tertuduh semasa tertuduh dalam tingkatan lima…"
"Dalam tempoh itu, apakah tinjauan awak dengan perkembangan sahsiah si tertuduh, amnya kepada sekolah dan khususnya dengan diri awak sendiri…"
"Pada saya, si tertuduh adalah seorang pelajar yang teruk…Dia tidak pernah menghormati guru-gurunya malah bersikap liar kepada kawan-kawannya…"
"Boleh terangkan kepada saya apa maksud bersikap liar kepada kawan-kawannya?"
Pada ketika itu, kata-kata Cikgu Kahar terhenti sejenak. Sengaja cikgu Kahar memandang Tiara di ruang peguambela. Kemudian, lelaki itu pandang pula Halim di dalam kandang tertuduh .
Tiara pula tidak dapat lari daripada berasa cemas tatkala menanti jawapan cikgu Kahar. Bimbang rasa hatinya ini sekiranya cikgu Kahar menceritakan peristiwa hitamnya di bilik rehat, ketika dia hampir-hampir dinodai orang. Tentu malu yang bertandang tidak akan dapat dibendung lagi kalau segalanya terbongkar kelak.
"Encik Kahar, saya bertanya ni…apa maksud dengan bersikap liar kepada kawan-kawannya?"Borhan menekan suara apabila pertanyaan sebentar tadi tidak berjawab.
Cikgu Kahar tersentak.
"Err..maksud saya…"tergagap-gagap cikgu Kahar disergah pendakwaraya.
Tiara sendiri cuba pejamkan matanya erat-erat. Kecut seluruh anggota ini untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan yang sangat-sangat menakutkan hati wanitanya.
"Maksud saya, tertuduh pernah cuba memperkosa seorang pelajar wanita…"cikgu Kahar menyambung.
Nah, segala apa yang ditakutinya terserlah sudah. Tiara tekup mulutnya menahan gementar yang bukan kepalang.
"Boleh saya tahu siapa nama pelajar yang menjadi mangsa itu?"Tanya Borhan sinis, sengaja ingin memerangkap Tiara.
Tiara kancing gigi kuat-kuat. Akan tetapi, tiba-tiba dia mendapat satu akal. Lalu dia bingkas.
"Bantahan yang Arif!"ucapnya mendadak menyentak segenap pelusuk sidang mahkamah.
Ketua Hakim mendongak memandang Tiara.
"Nama si mangsa tidak ada kena-mengena dengan kes ini…adalah wajar jika kita memelihara maruah si mangsa…"
Mahkamah menjadi sepi, Menanti keputusan ketua Hakim.
Sejurus kemudian Ketua Hakim pun bersuara;
"Bantahan diterima…"
Lega hati Tiara mendengarnya. Sejuk seluruh perasaan ini dengan keputusan ketua Hakim.Kini dia dapat duduk kembali dengan hati yang tenang.
Borhan mengetap bibir, tanda tidak puas hati dengan keputusan ketua Hakim. Namun, perbicaraan terpaksa diteruskan juga oleh Borhan dengan rentak yang berlainan. Cikgu Kahar pun menjawab setiap soalan Borhan dengan pelbagai pembohongan yang menyakitkan telinga Tiara. Setiap hujah, Borhan putar-putarkan melalui bicara yang pedas dan licik. Tidak sanggup Tiara menghadapi permainan ini. Manusia sesama manusia mempergunakan undang-undang demi kepentingan sendiri.
"Yang Arif, saya tiada apa-apa soalan lagi…"Borhan mengakhiri sesi soal jawabnya dengan cikgu Kahar.
Tiara mengurut dada bila melihat cikgu Kahar turun daripada kandang saksi. Lelaki itu berlalu sambil mencuri-curi pandang kepada diri ini. Apakah lagi yang dimahukan oleh si tua gatal itu? Apakah dia masih menyimpan nafsu serakah yang buas kepada diri ini?
"Borhan!"begitu panggilnya kepada teman seperjuangannya sebaik sahaja mahkamah menangguhkan perbicaraan.
Borhan yang baru sahaja ingin masuk ke dalam kereta, berpaling mendadak, menyahut panggilan Tiara tadi.
"Hmm..Tiara, ada apa? Sudah mahu mengaku kalah ke?"ucap Borhan sinis.
Sakit hati Tiara mendengarnya.
"You memang gila…you memang ada hati nak memalukan I masa di court tadi.."Tiara menepuk keras dada Borhan yang bidang.
Borhan tersenyum mengejek.
"Heh, that's my style….I akan lakukan apa sahaja untuk menang…"
"You memang binatang…."Tiara menahan geram.
"I tahu…you ada hati dengan penjenayah tu, kan?"
Tiara gugup. Terkelu seluruh lidahnya kerana dugaan Borhan yang secara serkap jarang.
"Ha…memang betul I cintakan dia, so what?"balas Tiara dengan nada terkilan.
"Otak you ni memang dah tak betul…dah sewel..tak pernah ada orang dalam dunia ni yang nak mencintai orang jahat, cuma you aja yang mengubah sejarah…"
Tiara terpempan. Sedih hatinya mendengar Borhan mencemuh Halim.
Borhan menggeleng-geleng kepala. Tanda tidak mengerti dengan keanehan perilaku Tiara. Malas Borhan ingin melayan karenah Tiara. Cepat sahaja lelaki itu menguak pintu Toyota Camrynya lalu menghilang pantas, meninggalkan Tiara terkedu sendirian di muka jalanraya yang panas dan membahang.
Tiara kebam bibir kuat-kuat. Tiara lihat bayang-bayangnya jatuh menimpa permukaan bumi yang keras dan berbatu. Pada ketika itu, Tiara benar-benar cukup terhina. Terasa seperti dia adalah seorang gadis yang terlalu suka bermimpi. Mengharapkan keajaiban berlaku setiap masa. Sedangkan hakikatnya, semua manusia sudah bersepakat menudingkan jari bahawa Halim adalah bersalah. Hanya dia yang terkial-kial membela seseorang yang sudah pasti akan kalah.
Tiba-tiba dia ingin menangis.
Wahai hati kuatlah!
Wahai diri, cekalkanlah!
Tiara meneleku lagi, seperti kebiasaan yang selalu dilakukan semenjak kebelakangan ini. Ruang bilik guamannya yang dingin dengan hembusan air-condition, sedikit pun tidak mampu menyurutkan kekalutan yang sedang bersarang di dalam kepala.
Hari sudah semakin meninggi. Matahari semakin menggalah. Setinggi dan segalah harapan dan impiannya untuk melihat Halim dibebaskan. Teman-teman sepejabat sudah ramai yang keluar mengambil makan tengah hari. Cuma dia sahaja yang tidak begitu terdorong untuk makan seperti yang lain.
Dia sebenarnya runsing. Kes perbicaraan Halim sudah hampir ke kemuncaknya tetapi dia masih belum lagi dapat mencari bukti yang benar-benar kukuh bagi mempengaruhi mahkamah. Hujah-hujahnya tidak sekental hujah-hujah Borhan. Kata-katanya tidak selicik Borhan. Malah dia hampir-hampir pasrah kepada kehandalan Borhan menguasai mahkamah. Dia hampir-hampir mengalah kepada kebijaksanaan Borhan.
Tiba-tiba pintu bilik Tiara diketuk. Tiara tersentak.
"Masuk…"perintahnya.
Norita, setausaha kanannya masuk dengan kemas.
"Cik Tiara…"ucap setiausaha itu.
"Iya?"dia mengangkat kening.
"Ada orang nak jumpa cik.."
"Siapa?"tanyanya hairan.
"Saya tak tahu cik..katanya ada hal penting…"
"Hmm..kalau gitu, panggil dia masuk…"
Norita mengangguk-angguk.
Sejurus kemudian, seorang wanita awal tiga puluhan terjengul di dalam bilik Tiara yang sarat dengan pelbagai fail-fail besar.
Tiara mengamat-amati wanita itu dari atas hingga ke bawah. Seorang wanita Indonesia yang berkulit gelap. Pakaian bunga-bunga besar yang wanita itu kenakan nampak ringkas tetapi menarik. Rambut wanita itu lurus tetapi dijerut rapi dengan gelang getah.
"Ada apa yang boleh saya tolong?"ucap Tiara mendadak, memecah hening yang sedang bermaharajalela.
"Saya..saya Sunarti.."balas wanita itu perlahan dan gugup.
Tiara mengangguk, tanda mengerti.
"Saya pernah menyaksikan kes pembunuhan kawan saya dahulu, di tempat kejadian…Halim tidak bersalah…orang lain yang bunuh kawan saya…"begitu tambah wanita itu.
Hati Tiara berbunga. Ini peluang baik nampaknya….Dia telah menemui saksi yang dicari-cari selama ini. Lantas dia menjemput Sunarti duduk. Mereka perlu ada perbincangan yang panjang untuk perkara ini.
Syukur kepada Tuhan yang telah mendatangkan seseorang seperti Sunarti pada waktu-waktu begini.
Tiara tersenyum puas sebaik sahaja Sunarti pulang. Hatinya gembira kini. Peluangnya untuk menang besar di mahkamah telah menjelma. Peluangnya untuk melihat Halim dibebaskan semakin tampak pasti.
Heh, Borhan..siaplah kau nanti…lihatlah siapa Tiara yang sebenarnya…
Tiara bingkas. Perkara sebaik ini perlu dikhabarkan kepada Halim secepat mungkin. Dia mahu Halim gembira. Gembira seperti dirinya. Dia mahu Halim sedar bahawa mereka akan menang dengan pertolongan Sunarti. Menang dan seterusnya dibebaskan daripada segala kesedihan dan kepedihan ini.
Tiara tidak sedar betapa pantasnya dia tiba di penjara. Jam di tangannya baru lewat pukul tiga petang. Cepat sahaja dia melangkah menuju ke arah sasarannya. Tidak sabar-sabar dia mahu mengkhabarkan berita baik ini kepada Halim. Tentu wajah Halim yang teduh itu, kali ini akan disinari dengan sinar harapan dan kebahagiaan sebaik sahaja dia bercakap nanti.
Mereka bertemu lagi di dalam bilik pelawat. Entah pertemuan kali ke berapa dalam tahun itu. Malas Tiara ingin menghitungnya.
Tiara pandang wajah Halim. Dia tidak peduli wajah Halim yang murung. Dia tahu, sebentar lagi wajah murung itu akan ceria.
Tiara menarik nafas dalam-dalam. Membina kekuatan dan keyakinan diri.
"Alim…kita dah jumpa seorang saksi sewaktu pembunuhan tu…"ucap Tiara girang.
Namun, Halim masih seperti tadi. Sugul dan kelam.
"Nama dia Sunarti…dia kata Alim tak bersalah…dia nampak peristiwa tu dan dia bersedia menjadi saksi…"
Masih sugul dan kelam lagi.
Kenapa pula dengan Halim ini? Apakah berita ini tidak cukup untuk menggembirakannya?
"Tiara…"panggil Halim tiba-tiba. Berat dan menghambat bunyinya suara itu.
Tiara tersentak. Lain macam rasanya reaksi Halim pada kali ini.
"Tadi, Borhan ada datang sini…"sambung Halim perlahan.
Berderau hati Tiara mendengar nama Borhan disebut.
"D..dia nak apa?"tanya Tiara tidak senang.
"Dia dah bagi tahu Alim segala-galanya…"
Dahi Tiara berkerut seribu. Kehairanan.
"Pasal perkahwinan Tiara dengan Borhan tak lama lagi…"
Tiara kaget. Sejuk seluruh tubuh kecilnya. Berpeluh-peluh dahi Tiara dengan ucapan Halim Tidak dia sangka bahawa berita ini boleh sampai kepada pengetahuan Halim.
Apakah tujuan Borhan menceritakan perkara ini kepada Halim? Apakah niat jahatnya?
"Tiara…"panggil Halim lagi.
Tiara mendongak. Matanya sudah pun berkaca-kaca.
"Kenapa Tiara tipu Alim?"tambah Halim lembut.
Tiara menggigit bibir. Dia benar-benar ditindih oleh rasa bersalah. Dia tidak tahu apa yang harus dia jawab.
"Kenapa Tiara sembunyikan semua ini daripada Alim?"
Tiara bingung. Basah pipinya dengan air mata yang hangat.
"Apakah Tiara mahu bebaskan Alim hanya untuk membuat Alim supaya dapat menyaksikan majlis perkahwinan kalian?"
Hati Tiara tersesak.
"Mengapa Tiara tidak pernah jemu-jemu mahu melukai hati Alim?"
Tiara tidak tertahan lagi. Lantas dia dongak. Dia biarkan sahaja matanya sembab. Dia tidak kisah Halim menyaksikan semua itu. Biar Halim tahu betapa dia mencintai Halim dengan sepenuh jiwa. Namun, apakan daya….
"Alim.."kini gilirannya pula bersuara.
Halim diam.
"Tiara minta maaf…"ucapnya berat.
Halim melihat dengan sayu.
"Tiara minta maaf kerana merahsiakan semua ini…"
Tiara menelan liur. Terasa pahit di kerongkong ini.
"Tiara tak mahu Alim putus harapan…Tiara terpaksa mengikut pilihan keluarga..mereka mahu Tiara berkahwin dengan orang-orang yang baik…"
Halim mengebam bibir. Menahan pedih dengan kata-kata Tiara.
"Tapi janganlah Alim sangka bahawa Tiara sudah tidak mencintai Alim lagi…"
"Alim masih lagi di hati Tiara, masih di takhta yang teratas…"
"Walaupun Tiara berkahwin dengan Borhan nanti..pada masa itu kelak, Tiara tetap juga akan mencintai Alim sampai bila-bila…"
Tiara menangis teresak-esak. Tidak sanggup untuk dia membendung rasa bersalah yang begini besar.
Halim tiba-tiba tersenyum sinis. Halim dongak dari murungan yang lama.
Tiara menjadi hairan.
"Kalau macam tu cakap Tiara…"ucap Halim sambil menarik nafas.
"Tak payahlah Tiara bebaskan Alim…"sambung Halim perlahan.
Tiara terkedu.
"Alim…"suara Tiara tenggelam di dalam tenggorok.
"Tiara…Alim telah banyak kehilangan dalam hidup ini…"
Tiara menahan sebak.
"Alim telah kehilangan pelajaran..Alim telah kehilangan kejayaan hidup..Alim telah kehilangan ibu dan adik yang sangat Alim sayangi…"
Telinga Tiara terasa bingit. Hati Tiara dikelar-kelar.
"Namun semua itu dapat Alim hadapi walaupun pedih…"
"Tapi…"Halim menangguhkan kata-kata. Mata Halim mencerun ke dalam mata Tiara yang basah.
"Tapi Alim tak kuat untuk mengalami kehilangan lagi..Alim tak mampu untuk menghadapi kehilangan Tiara…"
Naluri Tiara tersentuh. Tiara tunduk memandang lantai. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Bagaimana caranya baru dapat dia menyurutkan segala rasa bersalah ini?

Hari penggulungan hujah…
Tiara melangkah longlai masuk ke dalam mahkamah sebaik sahaja waktu rehat berakhir. Jam di tangan baru merangkak kepada sebelas pagi. Namun, resah di hati ini masih belum lagi berkurang. Sejak seminggu yang mendatang ini, hati Tiara seperti air batu. Sejuk dan membeku kerana melihat wajah Halim yang bungkam.
Tiara tidak mampu berasa senang walaupun perbicaraan kes tampak semakin pasti. Pasti dengan memungkinkan kemenangan Halim. Borhan sendiri seperti mahu mengalah. Memberi ruang kepada dirinya untuk berdiri. Semuanya tampak semakin meyakinkan.
Tiara duduk pada kerusi peguambela. Juri-juri beransur masuk mengambil tempat di ruang juri. Tiara paling ke sisi. Borhan tersenyum padanya. Memberi sokongan padanya bahawa Tiara mungkin menang. Kemudian Tiara paling pula kepada Halim di dalam kandang tertuduh. Halim tunduk memandang lantai.
Tersedik pilu di hati ini dengan penderitaan Halim.
Tidak mengapa Halim…selepas ini kita mungkin menang..kita akan membina kehidupan baru selepas itu…
Tiara tersentak apabila ketua Hakim masuk ke dalam mahkamah. Semua sidang bingkas memberi hormat. Sebaik sahaja ketua Hakim duduk, sidang mahkamah pun duduk juga.
Tiara lihat lagi wajah Halim. Alangkah suramnya wajah itu!
Ketua juri bingkas dari posisi. Lelaki berkot kelabu itu melangkah kemas menyerahkan skrol keputusan kepada ketua Hakim.
Ketua Hakim menyambut skrol itu lalu membelek-beleknya buat seketika.
Hati Tiara berdebar-debar. Antara impian dan pengharapan.
Segenap mahkamah menjadi sepi. Sepi sesepinya.
Deheman Ketua Hakim membangkitkan lagi rasa gementar di dalam hati setiap sidang mahkamah.
Ketua Hakim buka skrol di tangan lalu bersedia untuk memulakan sesi pembacaan keputusan. Tiara menarik nafas dalam-dalam, menahan rasa gemuruh yang berdendang-dendang di dalam hati ini. Buat keskeian kalinya, dia berdoa ke hadrat Illahi agar mendatangkan kemenangan buat dirinya.
"Setelah meneliti hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak…"ketua Hakim memulakan.
Tiara diam. Halim tunduk. Borhan bertenang.
"Mahkamah mendapati…"
Sunarti dari belakang memandang sepi. Tiara mengangguk bila lihat Sunarti mengangguk.
"Bahawa yang tertuduh, Ahmad Halim bin Omar…"
Segenap mahkamah menanti.
"Didapati…"
Dahi Ketua Hakim berkerut seribu.
"Tidak bersalah…"
Mahkamah menjadi riuh rendah. Tiara mengulum senyum kerana gembira. Lapang hatinya dengan keputusan Ketua Hakim. Lega rasanya mendengar segala-galanya. Borhan di samping hanya tersenyum tawar, mengakui kehebatan Tiara di gelanggang mahkamah.
"Yang Arif, nanti dulu!"
Tiara tersentak. Borhan juga tersentak.
Halim di kandang tertuduh tiba-tiba berdiri teguh memandang ketua Hakim. Ketua Hakim menanti kata-kata Halim yang secara mendadak itu.
Segenap mahkamah sepi kembali. Menunggu kata-kata selanjutnya dari Halim.
Hati Tiara bukan main runsing lagi bila melihat Halim sebegitu. Sangkaan buruk yang bukan-bukan bermain-main di dalam akal fikirannya.
"Saya ingin mengubah kembali pengakuan saya…."ucap Halim dengan ketegasan yang sengaja dibuat-buat.
Tiara terkebil-kebil.
"Saya mengaku bahawa saya bersalah..Saya mengaku bahawa sayalah yang telah memperkosa si mangsa lalu membunuhnya!"
Segenap mahkamah menjadi gamat semula. Segamat hati Tiara yang berkecai-kecai, ibarat kaca terhempas ke batu. Ketua Hakim terpaksa mengetuk tukulnya berkali-kali bagi menenangkan keadaan.
Tiara terduduk kembali ke atas kerusi. Dia pandang wajah Halim yang basah dengan air mata. Dari sinar mata Halim, dia dapat lihat bahawa lelaki itu begitu kecewa. Sebuah kekecewaan yang maha dalam.
Wahai Halim…kenapa Halim buat begini?
Sampai hati Halim….
Mengapa Halim begitu bodoh?
Tiara meramas-ramas rambutnya yang lurus. Mata Tiara berkaca-kaca. Tiara benar-benar kesal kerana melakukan sebegini kepada Halim. Dia telah mencurangi Halim sehingga Halim menjadi tersangat kecewa.
Halim, maafkan Tiara…
Tiara, Halim telah lama memaafkan Tiara….
Tiara, terima kasih kerana mengajar Halim akan erti cinta…
Terima kasih juga kerana mengajar Halim akan erti derita…
Selamat pengantin baru Tiara…bersama dengan orang yang baik-baik…

Terima kaih, Tuhanku…..
try , Khamis, Disember 28, 2006 | 3 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

3 ulasan :

  1. cternyer okay.. tapi teh ending u cud do better la!!

    BalasPadam
  2. first2 bace dh skit ati, dh abis bace lgggggggggg r.......
    skit ati!!!!!!!!!!!!!!end y x best.

    BalasPadam
  3. ala ok ape sik nak ending yang best je...

    BalasPadam

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog