2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Tiara - Part 1

Oh Tiara..Pedihnya dapatkah kau merasakan..

Hari itu genaplah hari ketujuh kes Halim dibentangkan kepada umum. Tiara keluar dari gerbang mahkamah membawa perasaan bangga. Bangga kerana berjaya menguasai perbicaraan. Bangga kerana berjaya menumbangkan hujah-hujah peguambela yang tidak berasas. Lebih bangga lagi hatinya kerana berjaya menyakitkan hati Halim.
Semasa dia berpijak turun dari anak-anak tangga, dia telah dipertemukan dengan Halim. Halim melihatnya tanpa sedikit pun terdetik rasa takut mahupun marah. Halim terus sahaja berjalan ke arah 'Black Maria' diiringi oleh dua orang pegawai polis berseragam biru.

Tiara tersenyum sinis sambil menggelengkan kepala. Rasa jijik ada, rasa malu pun ada bila melihat Halim dalam keadaan sedemikian. Dia menyesal kerana pernah mengenali insan buangan seperti Halim. Dia menyesal kerana pernah menggauli insan kotor seperti Halim. Dan yang paling dia kesalkan ialah kejahilan dirinya kerana pernah jatuh cinta terhadap insan binatang seperti Halim. Dia kesal! Teramat kesal! Kesal yang tiada kalimah seumpamanya dapat menggambarkan apa yang telah dia rasakan!
Kalaulah dia ketahui Halim begitu rupa orangnya, awal-awal lagi, tentu dia akan menghindarkan dirinya dari terjebak ke dalam permainan tipu daya Halim. Awal-awal lagi tentu dia akan melindungi dirinya dari cuba bersimpati terhadap Halim. Atau dengan tegasnya dia akan berusaha mempertahankan emosinya dari terlangsung rebah dibuai oleh lakonan yang menipu daya dan mempersendakan!
Mentari semakin tinggi. Cahayanya yang terang itu menjatuhkan bayang-bayang bangunan di persekitaran ketara ke permukaan jalan. Di sana sini bunyi enjin kereta kedengaran. Dan Tiara terus melangkah kemas mendapatkan Proton Wira hijau mudanya yang diletakkan betul-betul di pinggir jalan. Ketika dia sedang sibuk memadankan anak kunci kepada acuan keretanya, tiba-tiba panggilan suara seseorang meraih perhatiannya. Serta merta dia memalingkan mukanya ke belakang.
Dilihatnya, ada sekujur tubuh wanita tua, berbaju kurung lusuh dan berselendang hitam panjang sedang berlari-lari anak mendapatkan dirinya. Dan di belakang wanita itu, ada seorang gadis lain yang jauh lebih muda, yang segera pula dikenalinya sebagai adik perempuan Halim.
"Cik Tiara!" laung makcik itu dalam suara mengahnya. Tiara menarik muka. Menyampah.
"Tolonglah hentikan dakwaan ini cik Tiara." rayu makcik itu, semakin hiba dan semakin meminta simpati. "Anak makcik tak bersalah.. cik Tiara dah tersilap.." lanjutnya lagi.
Tiara memekakkan telinga. Ucapan-ucapan dari makcik itu ternyata menambahkan rasa jelaknya kepada Halim. Dia bukan enggan bertolak ansur atau tidak pula mempunyai belas kasihan, tetapi rayuan-rayuan sedemikian, rayuan yang seringnya datang dari ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka telah terlibat dalam kegiatan jenayah, sememangnya wajar dibiarkan. Mereka adalah satu golongan penjahil yang mana cinta mereka kepada anak mereka telah mengaburi mata mereka dari melihat kebenaran.
"Cik Tiara, tolonglah..kasihani anak makcik.." rayu makcik itu lagi.
"Tak usah mak.. peguam tu tak akan dengar cakap kita.." celah gadis yang lebih muda. Berkali-kali gadis itu cuba memujuk emaknya tetapi berkali-kali pula emaknya meronta-ronta, mahu melepaskan diri. Dia tidak mahu emaknya merendahkan maruah diri, berlutut di kaki seorang peguam yang mana mungkin akan menunaikan segala apa yang mereka harap-harapkan.
Seperti sebuah lakonan drama pentas yang tidak mampu meragut kesedihan, Tiara menganggap peristiwa yang sedang disaksikannya itu tidak lebih dari cabaran-cabaran klise yang biasa berlaku dan sebagai seorang peguam berpengaruh, dia tidak akan membiarkan perkara remeh-temeh sedemikian menjejaskan kredibiliti dan percaturannya dalam membuat pertimbangan.
Tiara menggeleng kepala. Kesal kerana kebodohan seorang perempuan tua dan anak gadis muda yang keras hati. Mengapa mereka terlalu mempercayai Halim? Mengapa mereka tidak sedikit pun mahu mempertimbangkan bukti-bukti yang ditunjukkan oleh pihak mahkamah? Tidakkah mereka tahu Halim yang mereka puja-puja selama ini sebenarnya adalah makhluk paling terkutuk pernah wujud di muka bumi ini? Butakah hati mereka sehingga kenyataan yang paling terang sekalipun tak dapat membuatkan mereka bangkit dari tidur yang panjang?
Akhirnya dia masuk ke dalam kereta. Dihidupkan terus enjin kereta. Dan kemudian dipecutnya kereta itu sejauh mungkin meninggalkan kawasan mahkamah. Lebih jauh adalah lebih baik kerana dia enggan berhadapan dengan mahkluk-makhluk aneh seperti seperti ibu dan adik Halim. Dia tidak mahu emosinya tergugat hanya kerana terpandangkan dua wajah yang sangat meloyakan itu.Esok, perbicaraan akan diteruskan lagi. Dan dia perlu punyai persediaan yang cukup untuk turun sekali lagi ke gelanggang hujah. Dia tidak mahu kredibiliti dan kepetahan berbicaranya dipengaruhi oleh sebarang rasa kasihan. Prinsip keadilan adalah tegas. Seorang yang telah dibuktikan bersalah wajib menerima hukuman biarpun setinggi mana kedudukannya di dalam masyarakat. Dan seorang yang tidak bersalah pula wajib dibebaskan biarpun kedudukannya cuma seorang pengemis di pinggir jalan.
Sambil dia memandu itu, sambil dia menarik nafasnya berkali-kali. Diputarkan stereng keretanya itu penuh hati-hati, menyusuri permukaan jalanraya yang kian sesak dijaringi oleh pelbagai jenis kenderaan. Entah kenapa, sedang dia merenung kepada lampu isyarat, tiba-tiba sahaja dia berasa sangsi dengan dirinya sendiri. Tiba-tiba sahaja dia menjadi ragu-ragu dengan apa yang telah dia lakukan. Tiba-tiba timbul pertanyaan di dalam hatinya; apakah cemuhan-cemuhannya terhadap Halim selama ini adalah satu langkah yang wajar? Apakah dakwaan-dakwaannya kepada Halim selama ini benar-benar berpijak kepada asas yang nyata? Adakah Halim benar-benar bersalah?
Serta-merta tubuhnya menggigil. Serta-merta keluar peluh-peluh dingin di permukaan dahinya. Bagaimanakah kiranya Halim sememangnya berada di pihak yang benar dan dia pula telah mendakwa lelaki itu bersama satu dakwaan yang dusta?
Tiara kancing giginya kuat-kuat.
Ah, mustahil Halim tidak bersalah. Halim sudah biasa melakukan kejahatan. Halim sudah banyak terjebak dalam kegiatan tidak bermaruah. Seorang yang telah biasa berbuat perkara kotor, tentu akan menjadi sebati dengan cara kehidupan yang kotor. Maka tidak mustahil bagi orang sedemikian untuk melakukan satu lagi bentuk kejahatan dari kejahatan-kejahatan yang pernah dilakukan.
Akan tetapi atas dasar apakah tuduhannya itu? Bolehkah hipotesis yang sedemikian dibawanya ke dalam mahkamah?
Lama Tiara berfikir. Lama juga dia cuba mencari jawapannya.
Ah, Halim pernah mencurangi diri ini. Jika Halim sanggup melakukan perkara sedemikian kepada seorang insan yang tersangat mempercayainya , sudah tentu Halim tidak keberatan untuk mengulangi perkara yang serupa kepada orang lain. Iya, atas dasar itulah, maka dia sangat berkeyakinan untuk meletakkan Halim di dalam kandang bersalah.
Tiara tidak sedar bila pula matanya berair. Berair bukan kerana habuk-habuk kenderaan dari luar tetapi kerana memori silam yang datang bertandang ke dalam kotak ingatannya. Tiara sedar, dia tidak dapat menipu dirinya bahawa dia masih lagi menyayangi Halim seperti dahulu-dahulu. Tersangat menyayanginya lebih daripada segala-galanya. Tidak pernah sedikit pun tergugat rasa sayang itu walaupun sekelumit. Ia tetap segar, sama seperti waktu remaja mereka. Ketika mereka masih lagi mentah di dalam mengerti erti cinta yang sebenarnya di alam persekolahan.
Bukan mudah untuk dia meluputkan nama Halim daripada hati ini. Halimlah lelaki pertama di dalam hidupnya. Halimlah yang telah mengajarnya akan erti cinta. Halimlah yang telah memberinya rasa bahagia kerana mencintai dan dicintai. Masakan senang untuk dia melupakan nama Halim yang pernah berlaku begitu baik kepadanya. Lelaki yang telah sama-sama berkongsi suka-duka dengannya ketika dia di dalam susah dan senang.
Itulah dia Halim. Seorang lelaki yang pernah dianggapnya sebagai seorang kekasih. Kekasih yang diharapnya akan sama-sama menemaninya mengharungi alam rumahtangga sehingga ke akhir hayat. Namun, apakan daya. Halim telah menghancurkan segala-galanya.
Wahai kekasih, dikau yang telah membina kepercayaan di dalam hati ini, dan dikau sendiri yang telah menghancurkan segala kepercayaan itu. Mengapa kau belai hati ini dengan kasih sayangmu jika hanya untuk dilukai.
Hati Tiara menjadi sebak. Dia kancing giginya kuat-kuat.
Sejurus, ingatannya melayah jauh kepada kenangan-kenangan yang pernah terukir di antara dia dengan Halim. Betapa tersentuhnya hati Tiara bila membayangkan wajah Halim yang sayu dengan seragam sekolah yang sering dipakai dengan tidak terurus.
Halim, seorang pelajar bermasalah di sekolah. Tiara pula pelajar terbaik kebanggaan guru. Percintaan di antara kedua mereka ternyata menjadi perbualan hangat seisi sekolah, termasuklah guru-guru dan rakan-rakan. Kata mereka, Tiara dan Halim tidak ubah seperti langit dan bumi. Bagai cincin bermata kaca. Namun, dia tidak pernah peduli dengan semua itu. Dia percaya dengan Halim. Dia tahu Halim bukan sengaja berlaku nakal di sekolah. Halim buat begitu kerana Halim punya alasan tersendiri. Alasan yang mana hanya Tiara sendiri yang dapat memahaminya.
Setiap kali Halim dirotan oleh guru disiplin di hadapan perhimpunan kerana datang lewat atau ponteng sekolah, hati Tiara terasa seperti dihiris-hiris. Setiap kali Halim dimaki oleh guru kelas kerana rekod pelajaran yang teruk, dia akan menangis. Tidak sanggup dia melihat Halim dimalukan sedemikian rupa. Tidak sanggup dia melihat Halim dicemuh dan dihina oleh guru-guru dan rakan-rakan.
Puas dia menasihati Halim supaya berubah. Puas dia mengadakan kelas tambahan dengan Halim agar Halim boleh belajar, namun Halim masih dengan perangai lama. Halim masih mengulangi kesilapan-kesilapan yang menimbulkan kemarahan pihak atasan sekolah. Halim terus-menerus bergaul dengan samseng-samseng sekolah. Halim langsung tidak mempedulikan hatinya yang terluka kerana menyaksikan lelaki itu membinasakan diri sendiri. Apakah Halim tidak tahu betapa sayangnya diri ini kepadanya?
Akhirnya dia tidak dapat bertahan. Lantas dia mengugut Halim supaya mereka berpisah. Katanya, dia tidak mahu lagi bercinta dengan Halim jika Halim enggan mengubah sikap. Jika Halim benar-benar menyanyanginya, Halim perlu berkorban. Halim perlu meninggalkan perangai lamanya untuk kebaikan diri sendiri. Ugutannya yang kali itu akhirnya berjaya membuahkan hasil. Halim ternyata takut andai Tiara merajuk. Halim takut jika Tiara meninggalkannya. Halim tidak mahu kehilangan diri Tiara. Halim tersangat mencintai Tiara. Tiaralah satu-satunya wanita yang menyokongnya selama ini. Andai Tiara pergi, bagaimana dapat dia menghadapi perit jerih kehidupannya seorang diri.
Lalu Halim pun berubah. Halim menjadi lelaki yang Tiara inginkan. Halim berubah menjadi seorang lelaki kemas, rajin belajar dan mula bersopan santun. Pendek kata, Tiara boleh berbangga melihat perubahan Halim yang mendadak itu. Halim sanggup berpisah dengan kawan-kawan samsengnya yang selama ini begitu sebati di dalam jiwanya. Semua itu dia lakukan kerana Tiara! Alangkah bahagianya Tiara pada ketika itu…
Akan tetapi, keadaan tidak semudah yang disangka. Tiara tidak menduga bahawa perubahan Halim telah mengundang petaka yang amat besar. Halim telah bertengkar dengan kawan-kawan samsengnya kerana Tiara. Halim dipukul dengan teruk kerana tidak lagi menyertai mereka. Berhari-hari Halim terdampar di hospital menanggung kesakitan. Mereka tuduh Halim pembelot. Mereka kata Halim berjiwa kecil. Rebah pendirian kerana seorang wanita.
Tidak cukup dengan itu, emosi Halim diuji pula oleh guru-guru disiplin di sekolah. Mereka menyindir-nyindir Halim kerana tiba-tiba berubah laku. Kata guru-guru, Halim musang berbulu ayam. Kalau dah najis, najis juga, diletak di mana-mana pun berbau busuk juga akhirnya.
Tiara tahan sahaja telinga dengan perli guru-guru. Tiara terus menyokong Halim dari belakang tanpa sedikit pun terdetik rasa jemu. Dia tahu, kenyataan itu perit bagi Halim, tapi Halim teruskan juga demi cinta mereka. Halim terus berusaha sehingga prestasi pelajaran Halim meningkat. Terbeliak mata guru-guru apabila melihat keputusan cemerlang Halim di dalam kelas. Terkunci mulut mereka daripada mengeji Halim. Tiara kini mampu tersenyum puas. Puas kerana berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa Halim tidak seteruk yang mereka sangkakan.
Namun, itu semua hanyalah mimpi-mimpi indah yang sementara. Mimpi-mimpi yang akhirnya terbang hilang apabila tiba peristiwa sial itu. Peristiwa yang mana tidak pernah dia duga Halim akan melakukannya. Peristiwa yang telah memusnahkan segala kepercayaannya kepada Halim. Peristiwa yang telah mendatangkan rasa kecewa yang bukan sedikit di hati ini. Sebuah kesalahan Halim yang mana mungkin dapat dia maafkan.
Itulah dia peristiwa di bilik rehat, pada suatu pagi yang cerah di dalam sekolah. Entah kenapa hari itu, kepalanya lain macam sahaja selepas pergi bersarapan dengan cikgu Kahar, di kantin sekolah. Pening kepalanya itu terbawa-bawa sehinggalah waktu pendidikan jasmani Cikgu Kahar. Ketika pelajar-pelajar lain sedang mengadakan latihan olahraga, dia pengsan di tengah padang lalu dikejarkan ke bilik rehat untuk menerima rawatan. Selepas itu, fikirannya menjadi kabur. Dia tidak ingat apa yang telah berlaku. Yang ada cumalah paparan skrin gelap hitam bermain-main di ruang mata.
Tidak berapa lama kemudian, Tiara terjaga dari pengsannya. Dia terkejut apabila melihat seluar sukannya telah dilucutkan orang . Tubuhnya pula berada di dalam keadaan yang sungguh mengaibkan. Dia hilang pertimbangan. Pelbagai perasaan berkecamuk; satu-persatu datang mencambuk fikirannya. Malu ada, marah pun ada, bingung pun ada . Dan apa yang paling mengecewakan, insan yang pertama-tama sekali terpampang di ruang mata Tiara ialah Halim. Wajah Halim cemas dan pucat. Tangan Halim tergigil-gigil memegang erat seluar sukan Tiara. Tiara menjerit ketakutan.
"Ti..Tiara…ianya tak seperti yang Tiara sangkakan…"ucap Halim tergagap-gagap. Lelaki itu ternyata cemas bukan kepalang.
Tiara tidak dapat berfikir dengan waras lagi. Rasa marah, malu dan kecewanya telah mendahului segala-galanya. Lantas dia tendang perut Halim sehingga Halim jatuh terlentang.
Serentak dengan itu, keriuhan bergema di pintu luar. Cikgu Kahar, Pengetua dan beberapa orang guru muncul. Tiara cepat-cepat berpaling, menyembunyikan malu, sambil air matanya tidak habis-habis tumpah membasahi birai mata.
"Ha, itulah dia budaknya yang cuba memperkosa Tiara…"sembur Cikgu Kahar.
Halim tersentak. Tergamam dan kelam kelibut. Halim ingin lari tetapi tidak tahu ke mana. Yang dapat lelaki itu lakukan hanyalah memandang Tiara bersama secebis rasa simpati.
"Tolong Tiara..percayalah dengan Alim…Alim tak buat benda ni…percayalah…"rayu Halim.
"Sudah, pergi binatang!"jerit Tiara geram. Dia meronta-ronta bila Halim melutut di sisinya. Dia benci, benci dengan Halim. Dia sudah tidak mahu mempercayai Halim lagi.
"Tiara..tolong Tiara…bukankah selama ini Tiara seorang sahaja yang mempercayai Alim?"
"Pergi! Aku tak mahu tengok muka kau lagi..anak sampah!"
Sejak daripada peristiwa itu, dia telah pun menyimpan semacam dendam kepada Halim. Tidak akan dia lupakan kebinatangan Halim di dalam melayani diri ini. Tidak dia sangka, Halim akan mencemarnya sebegini teruk setelah banyak pengorbanan dia lakukan untuk lelaki itu. Benarlah seperti kata guru-guru, memang dasar najis. Di mana dicampakkan pun, tetap berbau busuk!
Lantaran , dia tidak sedikit pun berasa sedih ataupun terkilan bila Halim dibuang sekolah di saat-saat peperiksaan SPM hampir menjelang. Malah dia berasa puas kerana tidak perlu lagi bertemu dengan lelaki itu setiap kali dia berada di sekolah. Orang seperti Halim itu sepatutnya mati sahaja. Diluputkan daripada muka bumi ini!
Tiara tidak sedar bila pula dia membelokkan keretanya ke dalam perkarangan penjara. Lantas, ketibaannya itu mengakhiri segala kisah silamnya yang sedih dan pedih.
"Boleh saya berjumpa dengan tertuduh, Ahmad Halim bin Omar?"ucapnya kepada pegawai bertugas sambil menunjukkan kad kuasanya.
Pegawai itu mengangguk-angguk lalu mengiringinya ke bilik pelawat. Sejurus kemudian, pegawai itu kembali bersama Halim yang digari rapi.
Tiara dan Halim ditinggalkan berdua di dalam bilik sambil diperhatikan pengawas dari luar. Tiara letakkan fail-failnya yang besar di atas meja. Halim, duduk tanpa memandang wajahnya. Wajah Halim pucat dan cengkung tetapi mengandungi ego yang tidak terserlah.
Tiara tersenyum sinis. Rasa seperti ingin meludah sahaja kepada lelaki itu.
"Heh, lelaki sampah…tak habis-habis membuat jenayah…"cemuhnya keras.
Halim tidak sedikit pun mengendahkan kata-katanya. Sebaliknya Halim leka melayan ayunan kaki di bawah meja.
Hati Tiara menjadi panas dan terbakar.
"Tak cukup dengan aku, ramai lagi anak-anak gadis yang ingin kau jadikan mangsa…aku akan pastikan kes cabul kali ni, kau akan diheret ke tali gantung!"
Tiara menghentak meja.
Halim menguap malas. Menguap yang sengaja dibuat-buat.
"Hei, jantan sial…kau jangan ingat kau boleh menang kes ni lah! Ini Tiaralah…peguam yang tak pernah kalah dalam perbicaraan!"
Wajah Halim tiba-tiba berubah menjadi sugul.
Tiara tersenyum puas. Menduga marahnya kini membuahkan hasil.
"Selepas ini, kau tak boleh bersenang lenang lagi..kau akan merengkok di dalam penjara…baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah!"
"Tiara…"panggil Halim mendadak. Terdengar lembut dan sedih suara itu.
Lalu marah Tiara melebur, Dia tatap wajah suram Halim. Wajah yang seperti telah begitu lama menanggung semacam jenis penderitaan.
"Kenapa Tiara tidak pernah mahu mempercayai Alim?"
Tiara tergamam. Tersentuh jadinya hati wanitanya.
"Alim tidak pernah cuba menodai Tiara…malah Alim sangat menghormati Tiara…"
"Mengapa harus aku mempercayai penjenayah seperti kau, ha?"tingkahnya segera.
"Kerana Alim sangat mencintai Tiara..sampai sekarang pun, cinta Alim tidak pernah berkurang…"
Dia diam. Sedikit terharu dengan pengakuan Halim yang jujur bunyinya.
"Pada waktu itu, ketika Alim memegang seluar Tiara di bilik rehat…Alim ingin selimuti tubuh Tiara…Alim tak mahu orang tahu bahawa cikgu Kahar cuba menodai Tiara…Alim tak mahu Tiara malu…"
"Bohong!"dia jadi kalut.
"Cikgu Kahar malu bila Alim dapat tahu niat buruknya…Alim risau bila Tiara pengsan, lalu Alim pergi tengok Tiara…Tapi bila Alim masuk, Alim tengok cikgu Kahar sedang memeluk tubuh Tiara…"
"Bohong!"suaranya makin meninggi. Tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
"Cikgu Kahar terkejut tengok Alim ada kat situ…Alim tumbuk cikgu Kahar dekat muka, cikgu Kahar jatuh tetapi dia dapat lari…"
"Bohong!"
"Alim pun capai seluar Tiara…Alim ingin lindungi maruah Tiara…tiba-tiba Tiara terjaga…dan cikgu Kahar pun datang dengan pengetua…"
Tiara menjadi seram sejuk. Air matanya tumpah membasahi pipinya. Tergigil-gigil dia mendengar cerita Halim. Takut ada, kalut pun ada.
"Alim boleh terima kalau semua orang tuduh Alim jahat…Alim boleh tahan kalau cikgu Kahar fitnah Alim…tapi bila Tiara pun menuduh Alim sedemikian rupa…Alim menjadi sangat terluka…"
Dia jatuh terjelepuk ke atas lantai. Tidak menduga sama sekali bahawa kenyataan akan menjadi begitu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia perlu mempercayai Halim pada kali itu. Namun, hatinya berkali-kali mengiyakan bahawa Halim tidak berbohong. Lebih-lebih lagi setelah melihat air mata seorang lelaki.
Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Aku telah memusnahkan hidup seorang insan yang tidak berdosa? Keangkuhan Tiara jatuh bertaburan ke atas lantai. Sekarang, dia ternyata kalah. Kalah kepada dirinya sendiri.
Wahai Halim, maafkan diri ini…
Malam itu, Tiara berkunjung ke rumah Halim di kawasan hujung setinggan. Buruk dan usang nampaknya rumah itu. Dinding pun bertampal-tampal dengan bermacam jenis papan. Atapnya, bocor-bocor.
Sungguhpun demikian, ketibaannya disambut dengan baik oleh ibu dan adik Halim. Mereka hidangkan Tiara dengan teh tawar. Kehabisan gula, kata mereka.
Tiara mengangguk-angguk. Dia minum perlahan-lahan walaupun tekaknya berasa kelat.
"Saya datang nak tanya, betul ke Halim tidak memperkosa lalu membunuh perempuan Indonesia tu?"begitu dia bertanya sebagai pembuka bicara.
Ibu Halim termenung bimbang bila dia menuntut jawapan. Perempuan tua itu mengeluh panjang, kemudian memandang Ida di sisi.
"Alim tak akan buat macam tu, nak…"ucap si ibu lemah.
Dia mendengar dengan teliti.
"Makcik tahu, Halim tu memang liar perangainya…suka buat kacau sana-sini…tapi sejahat-jahat Halim…dia tidak pernah menyusahkan orang lain…makcik sendiri, tidak pernah dia meninggikan suara…apatah lagi berkasar…"
Hati Tiara menjadi sayu .
"Selama ini dialah yang menanggung makcik…bekerja buruh mencari rezeki…"
Mata Tiara sudah mula berkaca-kaca.
"Ada sekali itu, dia gaduh dengan rakan kerja indonesianya masa di tapak binaan..dia tumbuk budak tu…lepas tu mungkin budak tu marah, lalu budak tu fitnah dia…budak tu perangkap dia pergi ke tempat wanita Indonesia itu dibunuh…"
Ternyata si ibu tidak betah untuk bercerita lagi kerana sebak di hati telah mendahului segala-galanya. Tiara mengebam-ngebam bibir menahan rasa bersalah yang amat sangat. Tidak tertanggung rasanya melihat penderitaan si ibu.
"Abang memang suka tolong orang…terlalu suka menolong orang…sebab nak tolong orang sangatlah abang kena tipu sampai macam tu…"sampuk Ida, meneruskan penerangan si ibu.
Tiara keharuan.
"Dulu, masa sekolah pun, abang ada nak tolong sorang perempuan..tapi akhirnya…"
"Cukup.."Tiara mengarahkan. Dia tidak mampu terus ditindih oleh rasa bersalah yang banyak. Kata-kata Ida telah menambah lagi rusuh di hati. Seperti segala dosa ini adalah terpikul di bahunya. Seperti dia yang telah menyebabkan segala-galanya berlaku.
Dia yang patut dipenjarakan. Dia yang patut dihukum bunuh.
Ya, dialah penjenayah yang sebenar-benarnya!
Tiara pulang daripada rumah Halim dengan hati yang bengkak. Dia berjaga sepanjang-panjang malam kerana memikirkan hari esok. Esok adalah hari penggulungan hujah. Esok juga keputusan akan dibentangkan. Untuk dia berpatah balik, segala-galanya sudah terlambat. Pasangan peguam pendakwarayanya sudah tentu tidak akan bersetuju jika dia mengundur diri di saat-saat akhir. Mentelah pula dia tidak punyai apa-apa bukti untuk dikemukakan sebagai sandaran. Bukankah sebelum ini mereka begitu galak memutar belitkan fakta daripada saksi untuk memerangkap yang tertuduh, mengapa pula pada hari penggulungan yang penting ini, tiba-tiba dia ingin berpaling tadah?
Apa yang dapat dia lakukan sekarang ialah cuma berharap dan berdoa…Berharap dan berdoa agar kesnya kali ini kecundang di tangan peguambela..biarlah dia kalah, tidak mengapa. Biarlah dia malu-semalunya, dia rela terima segala-galanya. Itu adalah lebih baik daripada menanggung dosa seumur hidup kerana menghukum seorang insan yang tidak bersalah. Menghukum seorang kekasih hati yang begitu mulia dan setia.
Apakah kejahatan yang paling kelampauan melainkan menzalimi seseorang yang telah berlaku baik kepada kita?
Alangkah bodohnya dirinya. Keangkuhannya telah mengaburi matanya daripada melihat kebenaran.
Oh Tuhan, ampunkanlah diri ini. Janganlah kerana dosaku ini, maka Halim dijatuhi hukuman maut.
Esok tiba jua mengikut hukumnya. Dia dapat lihat wajah-wajah sugul terbit di sebalik sinar mata Halim, Ida dan si ibu. Suasana mahkamah menjadi suram sesuramnya.
Semasa dia menggulung hujahnya, dia lihat erat-erat pada kelompok juri yang sedang mendengar dengan penuh berhati-hati. Kalaulah dia mampu, ingin sekali dia khabarkan kepada mereka, janganlah percaya dengan kata-katanya ini, semuanya dusta belaka. Kebenaran ada pada lidah Halim. Juga pada lidah si ibu. Juga pada lidah Ida. Kebenaran tidak ada pada lidahnya ini. Lidahnya ini lidah penipu. Lidah pendosa!
Tiara tersentak tatkala Ketua Hakim mengetuk-ngetuk meja besar mahkamah dengan tukul besar, menandakan saat-saat pembacaan keputusan dan hukuman akan dijalankan.
Serentak dengan itu dapat dia rasakan segenap mahkamah menjadi sepi. Begitu sepi sehinggakan terdengar dalam dirinya sendiri, jantungnya bergelojak kencang diusik gelora debaran yang datangnya bukan sedikit.
Halim nampak tenang di dalam kandang tertuduh. Ida dan si ibu di kerusi hadirin juga nampak tenang. Yang tidak tenang cumalah dirinya sendiri. Dia berdoa-doa agar kes kali ini berpihak kepada Halim. O, Tuhan..tolonglah…
Ketua juri menyerahkan skrol keputusan kepada ketua hakim. Ketua hakim capai skrol itu lalu dibelek-belek buat seberapa lama.
Dahi Tiara berpeluh-peluh. Semakin lama semakin cemas jadinya. Skrol keputusan, bagai muntahan peluru menghambat mangsa.
"Setelah perbicaraan dijalankan selama seminggu, dengan meneliti hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak..pihak pendakwaraya dan peguambela…"Ketua hakim memulakan bicara.
Tiara menarik nafas dalam-dalam. Tidak henti lagi hatinya berdoa ke hadrat Illahi. Janganlah Halim dihukum..Halim tidak bersalah.
"Maka mahkamah menyabitkan bahawa tertuduh, Ahmad Halim bin Omar…"
Dia memejamkan mata. Darahnya terasa naik hingga ke kepala.
"Didapati…"
Tiara kancing gigi kuat-kuat.
"Bersalah…"
Seluruh mahkamah bertukar menjadi riuh rendah dengan keputusan itu. Ada yang merungut-rungut. Ramai juga yang nampak berpuas hati. Ketua hakim sendiri terpaksa mengetuk tukul beberapa kali pada meja mahkamah, meminta seisi mahkamah supaya bertenang.
"Beliau akan dipenjara dua tahun sebelum dihukum gantung sampai mati…"tambah ketua hakim lagi.
Hati Tiara menjadi pilu. Tersangat pilu. Bila dia berpaling, dia mendapati Halim sedang memerhatikan dirinya. Terdengar juga suara Ida dan si Ibu meratap hiba.
Borhan, pendakwaraya pertama tersenyum kepadanya. Borhan hulurkan tangan untuk berjabat.
"Tahniah…kita menang…"kata Borhan puas sambil mengemaskan dokumen-dokumen di atas meja.
Dia mengangguk-angguk lemah. Memaksa diri untuk mengorak senyum. Beberapa orang rakan sejawatan turut mengucapkan tahniah kepadanya. Tetapi dia sedikit pun tidak berasa bangga. Malah ucapan-ucapan sedemikian menambahkan lagi pahit di kerongkongnya.
Halim dibawa pergi dari kandang saksi oleh dua orang anggota polis. Semasa melintasi diri ini, langkah Halim berhenti seketika. Halim membisikkan sesuatu ke telinganya.
"Tahniah, bukankah ini hajat Tiara..untuk melihat Alim dihukum mati? Terima kasih…"
Air mata Tiara menitik-nitik. Tetapi semuanya sudah terlambat. Kepetahannya telah memakan diri sendiri. Tidak dia sangka, ini rupanya hadiah yang dia berikan kepada seorang kekasih yang sangat menyayanginya. Ini rupanya lagu yang dia nyanyikan buat seorang lelaki yang telah begitu banyak menderita lantaran keangkuhan seorang wanita.
Semasa Tiara melangkah pergi meninggalkan mahkamah, seolah-olah masih terdengar lagi di telinganya suara Halim berbisik-bisik;
Tiara;
Alim boleh terima kalau semua orang tuduh Alim jahat…Alim boleh tahan kalau cikgu Kahar fitnah Alim…tapi bila Tiara pun menuduh Alim sedemikian rupa…Alim menjadi sangat terluka…


try , Khamis, Disember 28, 2006 | 1 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

1 ulasan :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog