2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Sastera Kanak-kanak: Pendekatan Islam

 




Collector
Originally uploaded by steph.A.


OLEH FAISAL TEHRANI
(Esei ini telah tersiar di Dewan Sastera November 2005)

ESEI ringkas ini akan cuba mengenengahkan dan merangka pendekatan Islam yang boleh ditampilkan oleh pengarang-pengarang kelak dalam usaha menyuburkan sastera kanak-kanak. Pendekatan Islam untuk sastera kanak-kanak ini akan menerapkan gagasan-gagasan pemikiran ulama terkenal Dr Abdullah Nasih Ulwan menerusi kitab beliau Tarbiyatul Aulad fil Islam[1]. Esei ini justeru hanya akan membicarakan pokok-pokok persoalan yang harus ada dan wajar diperkenalkan menerusi sastera kanak-kanak[2] berdasarkan pandangan-pandangan ulama tersohor tersebut. Untuk tujuan memudahkan perbincangan esei akan dibahagikan kepada empat bahagian.

PENEKANAN BARU SASTERA KANAK-KANAK
Ibnu Khaldun meriwayatkan dalam Muqaddimah apabila Khalifah Harun ar-Rasyid menyerahkan puteranya al-Amin kepada seorang pendidik, baginda berpesan:

Bacakanlah al-Quran kepadanya, beritahukan kisah-kisah kepadanya, sampaikan puisi-puisi kepadanya, ajarkan sunnah-sunnah kepadanya, jelaskan tujuan perbicaraan dan latar-belakangnya, laranglah anak ini bergurauan selain pada waktunya, dan janganlah membiarkan waktu berlalu sehingga mematikan fikirannya, janganlah pula dibiarkan terlalu banyak waktu berhibur untuk anak ini hingga dia terlalu bersenang-lenang oleh masa senggang tersebut, luruskanlah anak ini dengan penuh pendekatan lemah lembut dan jika dia tidak mahu menerima pendekatan lemah lembut tersebut maka wajarlah engkau menggunakan kekerasan.

Pengajaran yang diberikan menerusi habar ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan anak-anak didasari dengan sastera dan ajaran Islam. Cerita dan puisi yang baik bertunjangkan Islam dapat menumbuhkan kebaikan kepada anak-anak. Pendekatan pendidikan itu pula tidak semestinya berlemah-lembut sahaja tetapi juga perlu disesuaikan dengan keadaan yakni bersikap keras demi mengajar jika ada keperluan.

Sesungguhnya sastera kanak-kanak dalam medium buku memerlukan nafas baru untuk bersaing dengan pelbagai disiplin lain. Sastera kanak-kanak juga harus bersaing dengan pelbagai produk kepesatan sains teknologi. Sastera kanak-kanak misalnya harus bersaing dengan program televisyen, permainan elektronik dan internet.

Tanggapan lapuk bahawa sastera kanak-kanak haruslah terhad dalam lingkungan pembinaan peribadi semata-mata, atau menjenis-jeniskan isu dan subjek tertentu sahaja untuk dibentangkan dalam sastera kanak-kanak haruslah dirombak semula. Pengamal sastera harus merubah pendekatan lalu. Sasaran pembaca iaitu kanak-kanak harus diadili dengan perspektif baru dan lebih terkini. Dakwaan bahawa inti cerita atau falsafah tertentu belum sesuai dan 'terlalu tinggi' untuk anak-anak atau remaja tidak dapat diterimapakai lagi. Kanak-kanak perlu disediakan dengan pelbagai persoalan yang dihadapi oleh orang dewasa juga, demi menyediakan mereka bekalan teladan yang mencukupi saat mereka menempuhi frasa tersebut kelak.

Formula sebenar bukanlah mengelakkan 'isu orang dewasa' untuk ditampilkan dalam sastera kanak-kanak tetapi menggubah dan membolehkan 'isu orang dewasa' itu untuk dicerna sesuai buat anak-anak. Ini kerana perubahan zaman dan keadaan telah menyebabkan anak-anak dan remaja begitu terdedah oleh pelbagai persoalan termasuk politik antarabangsa. Kanak-kanak misalnya sudah boleh diketengahkan mengenai isu terorisme sesuai dengan penerimaan mereka. Aspek-aspek asas mengenai sesuatu perkara sudah boleh ditawarkan tanpa ragu-ragu lagi. Pendedahan aspek negatif yang terpapar pada media massa dan internet menyebabkan anak-anak lebih mudah terpengaruh. Sastera kanak-kanak harus menjadi benteng yang sempurna.

Untuk menjadi benteng tersebut sastera kanak-kanak harus amat rapat sekali dengan aspek pendidikan. Sastera kanak-kanak menurut pendekatan Islam dengan itu memiliki tanggungjawab dan berperanan untuk menunaikan tujuh aspek pendidikan iaitu:

i. Pendidikan iman
ii. Pendidikan akhlak
iii. Pendidikan fizikal
iv. Pendidikan intelektual
v. Pendidikan psikologi
vi. Pendidikan sosial
vii. Pendidikan seksual

PENDIDIKAN ISLAM DALAM SASTERA KANAK-KANAK

Asas paling penting dalam pendidikan anak-anak ialah untuk menanamkan pada diri mereka falsafah tauhid yang terkandung dalam dua kalimah syahadah. Anjuran supaya mengazan dan mengiqamahkan bayi yang baru lahir menampung pengajaran yang besar iaitu supaya anak-anak didedahkan dengan kalimah tauhid dan syiar Islam di peringkat tunas lagi. Allah berfirman dengan tegas dalam surah Luqman:
Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya, "Wahai anak kesayanganku. Janganlah engkau menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar!"

Ayat ini memberi mesej yang jelas supaya anak-anak diberikan pengukuhan pada aspek doktrin tauhid. Anak-anak dapat dimaklumkan dengan mudah dan ringkas tetapi berkesan menerusi persuratan mengenai persoalan kejadian manusia sebagai hamba dan Allah adalah sebesar-besaran sehebat-hebat Pencipta. Kepercayaan kepada Allah mestilah disuguhkan dalam sastera kanak-kanak secara bijaksana. Persoalan ini misalnya boleh ditampilkan menerusi kesedaran kewujudan alam yang indah ini kerana ada dan wujudnya Tuhan yang satu. Karya cerpen, novel atau puisi yang mengesakan Allah mestilah dibanyakkan. Persoalan pembanterasan kesyirikan atau menduakan Allah wajib ditekankan. Semangat hakikat kejadian manusia ini sebagai khalifah Allah sudah boleh dihantarkan dalam karya dengan cara yang kreatif dan halus. Semangat ini disuarakan oleh Allah pada firman-Nya, surah al-A'raf, ayat 172:
Dan ingatlah wahai Muhammad ketika Tuhan-mu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam turun-temurun 'daripada tulang belakang mereka, dan Ia menjadikan mereka itu saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu (yang mengasuh serta menjaga kamu)?" mereka semua menjawab: Benar (Tuan hamba adalah Tuhan kami) kami menjadi saksi (yang demikian ini) supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

Dalam hal ini juga anak-anak harus diperkenalkan dengan hukum-hukum halal haram yang asas. Ini ialah supaya anak-anak ini disediakan lebih awal dengan persoalan batas-batas syariat sebelum memasuki frasa remaja. Karya anak-anak misalnya boleh menerangkan peri haramnya bercakap bohong, minum arak dan melakukan kemaksiatan. Terdapat hadis oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas menyentuh hal ini:

Taatlah kepada Allah dan takutlah berbuat maksiat kepada Allah serta suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan. Kerana hal itu akan memelihara mereka dan kamu dari api neraka.

Tidak dapat tidak juga anak-anak harus dididik supaya mencintai Rasulullah S.A.W dan sunnahnya, selain ahli keluarga Rasulullah dan para sahabat. Anjuran ini juga bersesuaian supaya anak-anak dipupuk dengan minat membaca al-Quran. At Tabrani meriwayatkan dari Imam Ali bahawa Rasulullah bersabda:

Didiklah anak-anak kamu pada tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, mencintai ahlu-baitnya dan membaca al-Quran.

Persoalan akhlak pula adalah persoalan yang kedua penting setelah penekanan mengenai aspek tauhid. Untuk tujuan itu model paling sempurna dalam pembinaan akhlak dan peribadi tentu sahajalah baginda teragung Nabi Muhammad S.A.W. Anak-anak ini juga harus disediakan dengan falsafah hidup bahawa peniruan sesuatu yang bukan sunnah Rasulullah adalah terkutuk dan menyimpang dari ajaran dan perintah Allah. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Daud ada disebut:

Barang siapa yang meniru-niru satu kaum, maka ia termasuk golongan mereka.

Ini juga bermakna anak-anak harus disediakan dengan aspek pengawasan, prinsip muraqabah bahawa Allah Maha Besar dan sedang memerhatikan segala amal baik atau buruk yang mereka lakukan. Firman Allah:

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata), "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) seberat biji sawi sekalipun, serta ia tersembunyi di dalam batu besar ataupun di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dibicarakan dan dibalas-Nya) kerana sesungguhya Allah amat luas pengetahuan-Nya, lagi amat meliputi segala yang tersembunyi." (surah Luqman ayat 16)

Setiap amalan hatta sehalus mana sekalipun sedang dan pasti dinilai oleh Allah. Konsep muraqabah ini yang akan ditekankan dalam karya mengajarkan bahawa manusia tidak terlepas dari pandangan Allah. Justeru anak-anak yang berbuat kejahatan akan dihukum di hari akhirat.
Aspek ini mesti disegarkan semula dalam sastera kanak-kanak kerana penjajahan telah membawa fahaman sekularisme yang memisahkan kepercayaan agama dari kehdiupan harian. Sastera kanak-kanak dengan pendekatan Islam mesti menggemburkan hakikat ini.

Dalam memberi pendidikan fizikal pula anak-anak selain diasuh supaya mencintai kesihatan dan aktiviti yang menyihatkan, anak-anak juga harus pula dibiasakan dengan kesederhanaan. Pendidikan ini jika disalurkan dalam karya akan membolehkan dan memudahkan ibu-bapa mengawal keinginan anak-anak terhadap pelbagai barangan baru seperti permainan dan lain-lain. Imam Ahmad dan Abu Na'im meriwayatkan dari Muaz bin Jabal secara marfu':

Janganlah kalian bersenang-senang dalam kemewahan. Kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukanlah orang-orang yang bersenang-senang dalam kemewahan.

Seandainya anak-anak telah terbiasa dengan konsep zuhud dalam kehidupan dunia ini tidak akan timbul sebarang masalah lagi untuk menyiapkan anak-anak ini sebagai peribadi yang mencintai jihad kelak.

Di bawah aspek ini juga anak-anak harus disedarkan bahawa mereka tidak boleh memberi mudarat kepada diri, tidak boleh memudaratkan. Kejadian pergaduhan, buli di kalangan remaja misalnya ialah kerana tiadanya penekanan dalam aspek pendidikan mengenai hal ini. Imam Malik, Ibnu Majah dan Ad Daruqutni meriwayatkan dari Abu Said al Khudri bahawa Rasululalh bersabda:

Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh membahayakan orang lain.

Pemahaman terhadap dasar ini jika diterapkan dengan baik dalam karya akan menjadikan anak-anak misalnya benci kepada amalan merokok, menagih dadah dan melakukan apa sahaja kenakalan yang tidak berfaedah dan hanya memusnahkan diri sendiri.

Aspek pendidikan yang paling rapat dengan sastera kanak-kanak ialah tanggungjawab pendidikan intelektual. Ayat pertama yang mengetuk kalbu Rasulullah ialah ayat yang langsung berbicara mengenai ilmu:

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar manuysia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Ibnu Majah meriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda:

Menuntut ilmu itu wajib hukumnya bagi setiap muslim.

Di bawah aspek pendidikan intelektual ini juga menjadi satu kewajipan untuk pengarang sastera kanak-kanak menyuarakan dalam karya mereka mengenai keabadian Islam dan menyedarkan pelan kemusnahan yang disediakan oleh musuh Islam untuk generasi muslim yang akan datang. Persoalan ini amat berhak diketahui dan dikongsi anak-anak tetapi terpulanglah kepada kebijaksanaan dan kebolehan pengarang dalam menggubal karya yang bersesuaian.

Seperti yang dimaklumi sastera kanak-kanak juga amat hampir dengan peranan pendidikan psikologi. Karya kanak-kanak haruslah menjadi medium anti sifat penakut, sifat merendah diri tidak bersebab, sifat hasad dan sifat pemarah. Kanak-kanak juga tidak boleh direndah-rendahkan kemampuannya, pengarang harus mengingat bahawa salah seorang sahabat Rasulullah ialah Abu Abbas yang sentiasa dibawa berunding malah Amirul Mukminin Umar al-Khattab membawa masuk Abu Abbas ke dalam majlis musyawarah dan sering merujuk pandangan-pandangan beliau. Karya sastera kanak-kanak yang ada hari ini bolehlah disifatkan sebagai sastera kanak-kanak dengan pendidikan psikologi. Pengarang boleh memantapkannya lagi dengan menerapkan aspek Islam. Pendidikan psikologi ini harus berusaha mengangkat pendidikan supaya anak-anak menjadi berani, berterus-terang, tidak berasa kerdil tanpa sebab, menyukai kebaikan dan dapat menahan diri dari kemarahan. Semua ini berkait rapat dengan faktor pemanjaan berlebihan. sastera kanak-kanak yang digarap dengan baik dapat mengimbangi aspek-aspek ini dengan lebih berkesan.

Pendidikan sosial dalam sastera kanak-kanak juga mendapat tempat yang penting. Perkara pertama yang paling kukuh untuk disematkan dihati pembaca anak-anak menerusi sastera ialah perkara takwa. Takwa ialah satu usaha untuk menghindari azab Allah dengan cara melakukan amalan saleh, takut kepada Allah sepanjang masa dan tempat. Seterusnya pendidikan anak-anak dalam karya sastera juga harus menekankan aspek persaudaraan seperti yang disebutkan dalam firman Allah: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara". Nilai baik seperti memaafkan, mengutamakan orang lain adalah aspek lazim sastera kanak-kanak yang harus terus dituang dalam karya. Sastera kanak-kanak juga harus mengajarkan aspek kemanusiaan yang paling tunjang iaitu kasih sayang, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W:

Tidaklah kalian akan beriman sebelum kalian mengasihi. Mereka berkata, "Wahai Rasulullah, masing-masing kami adalah orang yang mengasihi". Beliau bersabda, "Kasih sayang itu bukanlah kasih sayang seseorang di antara kamu kepada sahabatnya yang mukmin sahaja, tetapi kasih sayang yang menyeluruh kepada seluruh umat manusia".

Sastera kanak-kanak tidak dapat terlepas dari menampilkan kebajikan seperti menunaikan hak-hak orang yang sepatutnya. Hak-hak itu meliputi hak-hak kepada ibu-bapa, saudara-mara, guru, teman dan orang yang lebih tua. Hak-hak kepada ibu-bapa misalnya ditekankan berkali-kali dalam al-Quran dan juga hadis. Antara hadis yang memaparkan persoalan ini ialah hadis riwayat Abdullah bin Amr al Ash bahawa Rasululalh bersabda:

Redha Allah itu berada dalam redha kedua orang tua, dan murka Allah itu berada dalam murka kedua orang tua.

Sastera kanak-kanak dalam pada itu dapat menampilkan kritikan sosial. Salah satu tunjang ajaran Islam yang tidak boleh sama sekali diabaikan ialah amar makruf nahi mungkar. Konsep ini adalah satu tugas sosial yang tidak terlepas dari siapa pun termasuk kanak-kanak. Justeru pemahaman dan penampilan amar makruf nahi mungkar amat cocok dimulai di peringkat tunas dengan sastera kanak-kanak menjadi ejennya. As Syaikani meriwayatkan dari Ubadah bin Shamit:

Rasulullah S.A.W telah membai'at kami untuk patuh dan taat di dalam kesusahan dan kemudahan, kesenangan dan kebencian, untuk mengutamakan orang lain, untuk tidak melepaskan perkara dari ahlinya, kecuali bila kalian melihat kekufuran dengan nyata di hadapan kalian yang mempunyai keterangan dari Allah, dan untuk mengatakan kebenaran di mana saja kami berada, tanpa merasa takut kepada celaan seseorang di jalan Allah.

Sastera kanak-kanak selain itu dituntut untuk memberi pendidikan seksual. Pengabaian pendidikan mengenai aspek ini menyebabkan berlaku pelbagai kerosakan di alam remaja atau dewasa.

Islam sangat menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita. Kanak-kanak harus didedahkan lebih awal mengenai hal ini sejak di peringkat tamyiz (peringkat sebelum baligh) lagi. Antara aspek yang sering ditekankan dalam ajaran Islam ialah adab memandang muhrim dan bukan muhrim. Aspek kedua yang harus disuarakan dalan sastera kanak-kanak ialah aspek penjagaan aurat. Batas-batas aurat lelaki dan perempuan mestilah diajari sejak awal lagi supaya apabila tiba usia baligh mudah untuk melenturkan anak-anak ini. Aspek seterusnya dalam pendidikan seksual ialah percampuran lelaki dan perempuan. Persoalan seksual boleh ditampilkan dengan bijaksana di dalam karya sastera kanak-kanak dengan ingatan al-Quran sendiri menghalusi persoalan seks. Al-Quran sebagai firman Allah yang bijaksana diturunkan bukan sahaja untuk orang dewasa tetapi juga untuk remaja dan kanak-kanak. Justeru hukum dan pemahaman terhadapnya tertakluk kepada semua. Pun begitu seseorang pengarang haruslah munasabah dalam menyekitkan persoalan ini dalam karya. Pengajaran dasar-dasar hubungan seks misalnya tentulah tidak masuk akal untuk dibentangkan kepada anak-anak yang belum baligh.

TIDAK MEMPERKECILKAN KANAK-KANAK
Pengarang yang terlibat dengan sastera Islam untuk kanak-kanak melakukan satu jihad tabligh yang luhur. Jihad ini adalah jihad menyampaikan Islam dengan perkataan, penulisan dan berhujah untuk mendakwahkan pembaca. Allah berfirman:

"iaitu orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang pun selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan" (surah al-Ahzab:39)

Seseorang pengarang sastera kanak-kanak dengan pendekatan Islam harus menyedari bahawa sasaran pembaca mereka adalah khalayak tunas yang boleh menyerap pengajaran atau taujih dengan begitu mudah. Untuk menunaikan tujuh jenis tanggungjawab pendidikan dalam sastera kanak-kanak seperti di atas, pengarang bakal menghadapi cabaran yang besar. Tuntutan kreativiti sangat diperlukan supaya pengarang dapat menyampaikan tujuh jenis pendidikan tersebut dengan halus dan bijaksana.

Kanak-kanak tidak lagi boleh diabaikan dan diperkecil-kecilkan kemampuan mereka dalam mencerna pelbagai subjek dan tema. Harus diingatkan kanak-kanak memainkan peranan penting dalam sirah nabawiyyah. Sahabat Rasulullah S.A.W, Samurah bin Jundab misalnya masih anak-anak kala ikut berperang di dalam pertempuran uhud. Juga sirah tidak dapat memadamkan peranan Asma' Binti Abu Bakar yang menempuh bahaya membekali makanan Rasulullah dan bapanya saat mereka berdua berlindung di dalam gua Tsur selama tiga hari dalam usaha untuk berhijrah ke Madinah. Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi penyampai risikan mengenai perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku di Mekah. Abdullah masih belum mencapai usia baligh atau masih kanak-kanak ketika itu. Imam Ali bin Abi Thalib juga masih remaja saat menjadi pilihan ganti Rasulullah untuk tidur di perbaringan baginda
[3]. Memadailah untuk menjadikan rujukan sirah ini sebagai satu panduan bahawa kanak-kanak berupaya untuk mengangkat perjuangan Islam dan berhak diasuh dan dididik dengan apa sahaja isu menerusi pendekatan Islam.

Hal yang harus menjadi perhatian bukanlah tema atau persoalan yang akan ditampilkan tetapi mempermudahkan teknik penyampaian dan gaya bahasa supaya mudah dan lekas dicerna oleh kanak-kanak. svuhv

KESIMPULAN
Esei ini hanyalah satu pendedahan awal dengan memberikan beberapa pedoman aspek atau tanggungjawab-tanggungjawab pendidikan Islam yang dapat, boleh dan mesti ditawarkan dalam sastera kanak-kanak. Panduan untuk sastera kanak-kanak ini telah diterapkan menerusi gagasan pendidikan anak-anak yang telah diusahakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan, seorang ulama terkemuka dari Timur Tengah.


Kepustakaan

[1] Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiyatul Aulad fi l-Islam, Darus Salam Li'th-Thiba'ah wa'n-Nasyr wa't-Tauzi, Kaherah, 1981.
[2] Kanak-kanak yang dimaksudkan dalam esei ini ialah kanak-kanak dari usia lima hingga sepuluh tahun. Terdapat berbagai-bagai takrifan kanak. World Health Organization memberikan anggaran usia antara 10 hingga 20 tahun sebagai remaja. Justeru dapat dikatakan usia antara 5 hingga 10 tahun sebagai kanak-kanak. Islam meletakkan seseorang dianggap sudah mencapai kedewasaan apabila mencapai akil baligh. Masyarakat Yahudi pula misalnya meletakkan usia 13 tahun sebagai dewasa. Lihat The American Heritage @ Stedman's Medical Dictionary, 2002, Houghton Mifflin Company.
[3] Mustafa as Sibaei, As Sirah an-Nabawiyyah.

try , Jumaat, Jun 16, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog