/

Nik Abdul Aziz Nik Mat: Tiada Islam tanpa tasawwuf

Thursday, 01 June 2006

Mengatur wawancara dengan Tok Guru tidaklah sesukar seperti yang disangka, apatah lagi dengan bantuan baik Annual Bakri Haron, setiausaha politiknya. Temujanji yang ditentukan pada 5 Mei 2005 telah berjalan seperti yang dirancang. Memang, PAS sememangnya beruntung kerana memiliki Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sosok yang dapat mengimbangi keghairahan budaya politik kepartaian. Ini ekoran, PAS akhir-akhir ini kelihatan yang begitu ketara sekali menekankan soal menegakkan shariat, hingga mengabaikan soal tasawwuf dll. Justeru, wawancara Ummahonline Team ini adalah merupakan reaksi langsung kepada perkembangan mutakhir dalam PAS:-

Sebelum ini, Tok Guru pernah menyebut bahawa aktivis PAS sewajarnya lebih banyak bercakap pasal Islam dari pasal PAS. Mengapa Tok Guru berkata demikian?

Pertama sekalinya, Islam yang secara komprehensif (syumul) ini baru saja dalam masyarakat Malaysia. Ia baru bermula sejak tubuhnya PAS. Sebelum ada PAS pada tahun 1951, orang anggap Islam itu tidak lebih dari sembahyang dan puasa sahaja. Sejak mari PAS, PAS tolong syarah ayat "...sesungguhnya shalatku, hidupku, matiku adalah kerana Allah SWT". Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa Islam itu bukannya sembahyang dan puasa sahaja, tetapi mencakupi segala aspek kehidupan. Maka oleh yang demikian, masih ramai generasi-generasi hari ini yang masih berbau dengan fikiran lama, serta baru beralih kepada fikiran baru. Maka kita sikit-sikit sebut PAS, sikit-sikit sebut PAS. Ini kerana orang Melayu baru kenal sistem parti, maka sudah tentunlah mereka lebih suka bercakap mengenai parti. Saya bimbang, takut lama-lama cakap pasal parti ini sehingga kita lupakan Islam. Maka saya kata, tolonglah berhati-hati sikit, kerana PAS ini parti yang baru tubuh tahun 1951. Islam ini dah mari jauh lebih lama semenjak dulu lagi; sejak dari zaman nabi-nabi sampailah ke zaman Nabi Muhammad hinggalah kepada kita. Maka perlulah kita insaf dan sedar, janganlah banyak cakap pasal PAS tetapi sebutlah ekonomi Islam, sosial Islam, budaya Islam, aqidah Islam, pemerintahan Islam, politik Islam, mudah-mudahan dengan kaedah macam ini kita menepati perjuangan kita dan dikurniakan pahala oleh Allah SWT.

Sebelum ini juga Tok Guru kerapkali mengesa supaya aktivis PAS rajin membaca buku. Adakah Tok Guru bersetuju, sekiranya aktivis-aktivis PAS mestilah juga serius dalam menelaah buku-buku pemikiran barat sebagai usaha untuk memperkuatkan agama kita?

Saya sendiri telah terdedah dengan pembacaan buku ini semenjak saya di India. Tahun 1952 semasa saya bertolak ke sana, budaya membaca di kalangan kita ketika itu langsung tidak ada, hanya membaca kitab-kitab tertentu. Tetapi bila saya pergi India, maka saya tengok ada dua perkara baru bagi saya. Pertama, selepas sembahyang asar, para pelajar di tempat saya menuntut keluar beramai-ramai, saya pun hairan dan bertanya, apa keluar beramai-ramai ini? Rupanya mereka pergi membaca yang mana budaya itu masih tidak ada lagi di tempat-tempat pengajian agama di Kelantan khasnya atau di Malaysia. Kalau kita pergi ke perpustakaan di tempat saya belajar itu, semua sudut penuh dengan manusia yang sedang membaca. Dalam perpustakaan dihidangkan dengan bermacam-macam buku dalam segala displin ilmu. Mula dari situlah saya mula tertarik sama untuk terus membaca buku. Dan bila saya sampai di Azbakiyyah di Mesir, AlhamdulilLah, di sana ada jual buku second-hand dengan harga yang sangat-sangat murah. Maka saya rebut peluang ini. Hasil dari pengalaman budaya membaca di India, akhirnya terbawa-bawa ke Mesir. Maka di sana saya baca apa sahaja buku. AlhamdulilLah, bahasa Arab adalah bahasa yang penuh tepu dengan bermacam-macam ilmu akademik termasuklah buku-buku mengenai sains atom. Saya boleh bercakap mengenai atom dengan menggunakan pembacaan luar dari pengajian formal saya. Jadi oleh yang demikan, saya sangat-sangat kecil hati dengan masyarakat Malaysia yang tidak suka membaca, sedangkan ayat pertama yang turun dari langit bukannya ayat mengenai sembahyang, bukannya mengenai puasa, tetapi mengenai iqra' (bacalah olehmu). Baca merupakan perkataan pertama yang turun dari langit mencecah bumi. Maka kerana apa masyarakat jadi begini? Bagi saya, inilah punca kerana masyarakat di ajar Islam lain politik lain, yang dibawa oleh penjajah Inggeris bagi memperbodohkan orang Islam. Sekarang ini kita hidupkan semula di mana agama dan politik mesti disatu dan diselaraskan. Maka membaca adalah mustahak! Bacalah apa saja buku, tetapi dukacitanya pula, kita kini dihidangkan pula dengan banyak buku-buku yang tak berguna yang dijual di jalanan. Manakala kalau ada majalah-malajah ilmiah, ia tidak laris. Jadi, inilah tanda pemikiran orang kita masih jauh tertinggal ke belakang.

Kita perluaskan sedikit kepada isu global. Konflik Iraq khasnya, apa pandangan Tok Guru mengenai pendekatan Ayatollah Sistani yang di lihat mengambil pendekatan ‘berkerjasama' dengan Amerika? Maksudnya, Sistani sebagai pemimpin masyarakat Iraq tidak menyeru kepada serangan bersenjata ke atas tentera penceroboh.

Berita yang sampai kepada kita adalah melalui dua saluran utama; iaitu melalui CNN dan melalui Al-Jazeera. Di antara berita yang disampaikan oleh Al-Jazeera dengan CNN tentulah ada kelainan. Betul ke tidak Sistani ini memberi kerjasama pada penjajah. Itu saya tidak yakin, sebab Sistani ini orang shiah. Dan, orang shiah ini boleh dikatakan berbeza dengan ahl sunnah dari segi pendekatan ekstrim dan tidak ekstrimnya. Saya guna ekstrim ini tak betul sebenarnya, mungkin lebih tepat lagi merujuk kepada sudut penggunaan senjata. Orang shiah ini memang tidak keberatan menggunakan senjata, Sistani ini orang shiah, jadi bagaimana orang shiah boleh sokong Amerika? Sedangkan shiah yang bertapak di Iran, sampai sekarang pun Iran tidak ada hubungan diplomatik dengan Amerika semenjak rakyat mereka menawan kedutaan Amerika selama 444 hari. Jadi bila shiah yang bertapak di Iran melawan Amerika, bagaimana kita nak fikir yang Sistani ini menyokong Amerika? Saya berasa ragu kerana berita yang sampai pada kita barangkali ada penyelewengannya. Usahkan di Iraq, di Malaysia sendiri kalau berita mengenai PAS ini diputar-belitkan. Jadi, saya tidak percaya dengan CNN!

Sebentar tadi Tok Guru ada menyentuh mengenai perbezaan pendekatan antara ahl sunnah dan shiah. Pada hemat Tok Guru, bolehkah suatu hari nanti semua aliran ummat Islam kembali bersatu seumpama ketika zaman Rasulullah SAW?

Cerita pendekatan antara ahl sunnah dan shiah ini telahpun diusahakan oleh Imam Muhammad Abduh pada awal kurun yang lalu. Dan ada majalah yang tertentu seperti majalah at-Taqrib. Dan mengikut sumber yang saya percayai, sewaktu zaman Khomeini, telah banyak perkara-perkara yang menjadi perbalahan telah diketepikannya. Misalnya, sebelum Khomeini muncul, orang Iran yang pergi ke Makkah mereka tidak bersembahyang dibelakang Imam orang sunni, tetapi bila mari datang Khomeini, dia minta orang shiah sembahyang di belakang Imam Masjidil Haram. Ini satu pendekatan yang penting. Begitu juga masalah sujud sembahyang. Zaman dulu, orang shiah sembahyang atas sekeping tanah yang katanya di ambil dari Karbala, Iraq. Tetapi sekarang, ini ia semakin kurang dan semakin kurang. Ini perubahan yang tetap berlaku. Jadi, Insha'Allah, suatu masa nanti akan berlaku perdekatan bersama. Lebih lagi Amerika kini menjadi musuh bersama, maka mulailah kini wujud kerjasama seperti hubungan di antara Iran dan Arab Saudi yang suatu ketika dahulu begitu sekali genting. Kita berdoa kepada Allah SWT, mohon segala kumpulan Islam bersatu kerana kita berdepan dengan musuh bersama iaitu zionis, Israel dan Amerika.

Sebentar tadi juga Tok Guru ada bercakap mengenai Ruhollah Khomeini. Jadi, kalau tidak keberatan, bolehkah Tok Guru berkongsi sedikit pandangan peribadi Tok Guru terhadap keperibadian, kepimpinan dan perjuangan beliau?

Saya kenal Khomeini hanya melalui pembacaan. Tetapi yang saya tertarik dengan beliau ialah meskipun dalam keadaan beliau berjubah, berserban dan berjanggut, beliau masih dapat masuk ke dalam medan politik dengan meninggalkan begitu banyak sekali kesannya; sampai ke peringkat bila dia balik dari buangan - ranap kerajaan yang dibentuk sebelum itu. Ranap semuanya itu kerana pengaruh yang ada padanya. Inilah yang saya tertarik dengan Khomeini. Lagi satu, bila beliau menang dan membentuk kerajaan, beliau tidak masuk campur pun dalam kuasa eksekutif, tetapi tugas itu beliau serahkan kepada budak-budak beliau. Inilah satu sejarah yang akan dikenang.

Baiklah, boleh Tok Guru berikan gambaran bagaimana kehidupan wanita yang ideal dalam Islam?

Yang saya naknya, kalau boleh seorang wanita menjaga anak-anak, kerana inilah perkara pertama yang Allah SWT ciptakan wanita. Ini kerana, bila seorang suami seawal pagi telah pergi berkerja, maka anak-anak akan berada di atas riba ibu. Maka ibulah yang membentuk sahsiah anak kita. Dan, Nabi Muhammad SAW bersabda, tiap-tiap seorang bayi sewaktu dilahirkan adalah dalam keadaan bersih. Jadi, ibubapalah yang menjaga peribadi dan jasmani anaknya. Bapa terpaksalah keluar rumah mencari harta, dan kita dipesan oleh Islam bahawa harta yang kamu cari mestilah halal kerana barang halal ada khasiatnya. Begitu juga barang haram, ada khaisatnya juga. Contohnya seperti garam dan gula, masing-masing ada khasiatnya secara material. Dalam Islam, selain dari masalah material, ada lagi perkara yang disebut moral. Harta haram walau bagaimana enak sekalipun, ada khasiatnya iaitu mengeraskan qalbu (hati) manusia, menjauhkan manusia dari iman dan mendekatkan manusia kepada kufr. Jadi oleh yang demikan, ibu yang ada di rumah hendaklah jaga anak-anaknya, sebab anak akan kenal ibu lebih dari dia kenal bapa. Ini kerana percakapan ibulah yang banyak didengari oleh anak-anak. Anak melayu dia boleh bercakap melayu kerana ibu. Tetapi kalau anak melayu duduk di atas pangkuan ibu yang cina, maka di akan tahu bahasa cina lebih dari bahasa melayu. Ini kerana bahasa adalah suatu perkara yang tidak boleh dipusakai. Jadi oleh yang demikian, seorang ibu yang mustahak ialah jaga anak dan kalau boleh sebagaimana cerita-cerita orang sufi, waktu seorang ibu nak beri susu dada pada anak, kalau boleh dia hendaklah ambil wudhu' duhulu kemudian di susuli pula dengan lafaz bismillah. Insha'Allah, anak ini akan menunaikan kehendak ibunya, kerana kerberkatan perbuatan ibunya tersebut.Akhirnya dengan ini, maka jadilah dia benar-benar ibu yang sejati.

Menariknya, Tok Guru sebelum ini ada mencadangkan muslimat sebagai Naib Presiden PAS. Menurut pandangan Islam Tok Guru, bolehkah seorang wanita turut menjadi pemimpin tertinggi sehingga ke tahap Perdana Menteri ataupun presiden parti?

Mula-mula sekali, masyarakat PAS baru mengenali muslimat dalam memimpin parti dan negeri. Ini kita baru lagi terdedah walaupun dalam satu kisah mashyur Islam, Siti Aisyah r.a memimpin negara sebagaimana juga orang laki-laki. Yang keduanya, boleh ke tidak wanita memimpin perkara-perkara eksekutif ini. Perkara ini ulama khilaf. Saya sampai sekarang masih lagi berpihak pada pandangan yang mengatakan tidak perlu bagi wanita menduduki jawatan eksekutif tertinggi. Bahkan, barat sendiri yang begitu sekali lantang bercakap soal kesamarataan lelaki dan wanita, pun beberapa orang sahaja yang memegang jawatan eksekutif tertinggi. Ada Margaret Thatcher di Britian, Meir di Israel, manakala kalau di India pula Indra Ghandi. Jumlah ini boleh dibilang dengan jari berbanding dengan jumlah lelaki untuk jawatan yang sama. Jadi nampak sangat, perempuan kalau boleh tak usah fikirlah masalah merebut eksekutif tertinggi. Sebab Islam sendiripun yang menjadi Imam adalah lelaki, dia tidak beri Imam pada wanita. Satu perkara lagi, keadaan fizikal wanita sudah sengaja Allah SWT lengkapkapnya dengan rahim dan labu susu. Dan tabiat perempuan yang saya baca dari nasihat-nasihat polis, kerana kalau pemandu motokar itu wanita maka apabila dia berhadapan dengan masalah ketika memandu, maka dia akan lepaskan stereng motokar dan lantas dia akan memeluk dadanya sendiri. Ini perkara biasa bagi wanita kerana tabiat wanita ini dia ada dukung anak, dakap anak, dan kesayanganya pada anak terbawa-bawa meskipun dia pegang motokar. Jadi, emosi dan fizikal wanita lain benar dengan lelaki. Kalau ada juga, wanita itu menjadi juruterbang dll, itu kerana di latih bukannya kerana semulajadi.

Pada Tok Guru, sejauh mana kepentingan tasawwuf dalam perjuangan Islam?

Tidak ada tasawuf, maka tidak ada Islam. Islam adalah menjaga tubuh. Oleh kerana tubuh manusia ini ada ruh; maka Islam yang menjaga tubuh, manakala iman pula menjaga ruh. Iman yang kita sebut ini juga di istilahkan juga sebagai tasawuf. Tasawuf menguasai rohani, manakala fiqh menguasai fizikal. Pelakuan fizikal dalam sembahyang kita adalah urusan fiqh, jadi samada ia khusyuk atau tidak itu ia adalah urusan tasawuf. Maka tidak boleh sekali-kali Islam berpisah daripada tasawuf. Oleh yang demikian, tasawuf adalah amat penting serta menjadi komponen bagi Islam itu sendiri. Kerana aspek keikhlasan adalah kerja tasawuf, bukannya kerja fiqh.

Bagaimana pula Tok Guru melihat hubungan antara agama dan akal? Adakah agama kita boleh bercanggah dengan akal?

Agama tidak boleh bercanggah dengan akal! Sebab itulah agama menunggu seseorang budak aqil baligh. Kalau belum aqil baligh, Islam tidak akan peduli terhadap sebarang perbuatannya. Budak itu tidak berdosa, cuma yang berdosa adalah ibubapanya. Ibubapalah yang bertanggungjawab sebab tidak didik anaknya dengan sempurna. Jadi oleh yang demikian, akal sangat mustahak! Sebab itulah selepas manusia aqil baligh, dia sudah mempunyai tanggungjawab terhadap setiap perbuatannya. Sebab itu juga Islam haramkan judi. Salah satu sebab Islam mengharamkan judi ialah kerana judi tidak masuk akal. Orang cerdik boleh jadi kalah judi, manakala orang buta huruf boleh jadi menang judi. Ini kerana judi adalah satu cara cari duit yang luar daripada sistem persekolahan di mana ia hanya bergantung pada nasib semata-mata. Sebaliknya dalam sistem persekolahan, kita diajar bagaimana nak mengunakan akal seperti bagaimana mengurus perniagaan dll. Inilah sebenarnya cara manusiawi - yang mengunakan akal kurniaan Allah SWT. Begitu juga Islam haramkan arak kerana ia boleh mematikan akal dan memperbodohkan manusia. Sebab itulah akal sangat mustahak dalam kerja-kerja agama ini.

Soalan terakhir, boleh Tok Guru tinggalkan sedikit pesanan untuk anak-anak muda kita?

Anak-anak muda adalah pelapis bagi ibubapa yang sudah menjengah usia tua. Dan anak muda sendiri pun sedang menuju ke zaman tua. Oleh yang demikian, selain kita berfikir tentang masalah akhirat, kita juga mesti berfikir masalah tua. Kalau setiap manusia berfikir tentang masalah tua, maka masalah akhirat selamatlah dia. Jadi muslim khasnya, perlulah berfikir mengenai masalah masadepan; maksud masadepan ini bukannya masalah tua sahaja, tetapi ia turut merujuk kepada padang mashyar. Apa sahaja yang berlaku di atas dunia ini - mahu tidak mahu - kesannya di akhirat nanti. Dunia ini merupakan Photostat saja bagi akhirat. Kita kena tahu, hidup kita atas dunia ini ada malaikat. Kerja malaikat ini ialah ambil gambar kita, catat kehidupan kita dll untuk ditayang semula di padang mashyar sebagai saksi. Ini perkara yang tidak dapat manusia nak ubah. PBB sendiri pun tidak boleh membuat keputusan untuk mengubah akhirat. Jadi oleh yang demikian, setiap anak-anak perlu disemai dengan akhirat. Dan Islam mengajar kita setiap kali kita sembahyang, maka wajib kita baca fatehah, kerana dalam fatehah kita menyebut, "...engkaulah yang menguasai hari pembalasan". Ini menunjukkan, di hari akhirat kelak hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa. Kerajaan Kelantan tidak ada pada masa akhirat kelak, kerajaan Malaysia juga tidak ada di akhirat kelak, begitu juga dengan kerajaan Amerika. Ketika itu yang ada hanyalah kerajaan Tuhan. Jadi apabila di akhirat kelak hanya ada satu kerajaan sahaja, maka segala-gala apa yang ada di dunia ini mestilah dijuruskan kepada akhirat. Maka dengan sendirinya kita tidak akan melakukan kezaliman, kejahatan dan penindasan sebab setiap perbuatan kita akan menjadi saksi di akhirat kelak. Inilah benda yang mesti kita semat dalam kehidupan kita. Dan saya juga rasa sangat dukacitalah pada orang yang mengatakan agama lain politik lain. Ini benar-benar perkara yang meracun. Keluarnya berita Datuk Seri Lim Keng Yeik yang mahu pisahkan agama dari sekolah adalah berpunca dari fikiran orang yang mengatakan agama lain politik lain. Buat apa mengajar agama di sekolah? Kita ajar anak-anak mengenai matematik, sains dll di sekolah kerana ia perkara yang terlibat dengan hidup. Tetapi bila kita kata agama lain dengan politik, jadi buat apa lagi kita mahu mengajar agama di sekolah? Betul apa yang dikatakan oleh Lim Keng Yeik! Logik apa yang disebut oleh Lim Keng Yeik kerana Umno yang membuka jalan sehingga Keng Yeik boleh bercakap begitu. Lim Keng Yeik selama ini dengar Umno bercakap agama lain politik lain, jadi kalau begitu maka sudah tentu dia fikir buat apa mengajar agama di sekolah? Buat menyusah sahaja! Jadi betullah cakap Lim Keng Yeik, dan salah bagi Umno.
try , Jumaat, Jun 02, 2006 | 1 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

1 ulasan :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog