KANAK-kanak sihat adalah aset negara. Bagaimanapun, mereka kini dikatakan terdedah kepada risiko menghidap pelbagai penyakit ekoran mengamalkan budaya pemakanan tidak sihat. Rencana pertama daripada dua bahagian ini cuba menerokai kebenarannya.
KUALA LUMPUR, 12 Jun 2014 - Kesibukan bekerja, menyebabkan ada segelintir ibu bapa memandang remeh mengenai amalan makanan seimbang dan pengambilan nutrisi sebetulnya mengikut keperluan umur anak.
Ditambah pula, kebanyakan isteri atau ibu pada masa kini tidak lagi menjadi surirumah sepenuh masa tetapi turut bekerja bagi membantu meringankan perbelanjaan isi rumah.
Tidak dinafikan, mungkin ada antaranya ingin memasak tetapi disebabkan rasa letih sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah mendorong mereka mengambil jalan mudah dalam aspek penyediaan makanan anak.
Walhal mendidik anak dengan makanan sihat penting dalam proses tumbesaran mereka. Namun, aspek ini jarang sekali disentuh tetapi menuntut perhatian jitu pihak berkaitan khususnya ibu bapa.
Ini kerana, status kesihatan kanak-kanak hari ini berada pada tahap semakin membimbangkan.
Peningkatan obes
Hasil beberapa kajian sebelum ini mendapati statistik kesihatan awam berada pada tahap membimbangkan apabila mencatat peningkatan kes berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak.
Kaji selidik oleh Kajian Nutrisi Asia Tenggara (Seanuts) mendapati satu daripada 20 kanak-kanak mengalami kurang berat badan manakala satu daripada lima kanak-kanak mengalami lebihan berat badan atau obes.
"Secara keseluruhannya, kanak-kanak negara ini menghadapi dua kes iaitu kekurangan nutrisi dan pemakanan berlebihan.
"Tetapi pemakanan berlebihan adalah lebih lazim, yang memerlukan semua pihak khususnya ibu bapa memandang serius mengenai aspek ini," kata Ketua Program Sains Nutrisi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Poh Bee Koon.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian itu pada majlis 'Bringing Health and Nutrition Back to Malaysian Children' anjuran Dutch Lady Malaysia.
Kajian ini hasil kerjasama antara FrieslandCampina dan empat universiti antarabangsa melibatkan Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Seramai 16,744 kanak-kanak terlibat dalam kajian nutrisi ini yang mana 3,542 adalah dari Malaysia meliputi bandar dan luar bandar.
Masalah global
Dapatan kajian Seanuts ini pada masa sama selari atau menyokong hasil kaji selidik yang pernah dilakukan sebelum ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) misalnya pernah menjangkakan masalah obes kanak-kanak akan menjadi kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan negara maju malahan membangun pada abad ke-21.
Negara-negara Asia tidak terkecuali, apabila perangkaan WHO mendapati kanak-kanak prasekolah yang mengalami lebihan berat badan di negara berkenaan dijangka meningkat 4.9 peratus menjelang tahun 2020 berbanding hanya 3.2 peratus pada 1990.
Trend ini dilihat sebagai 'masalah global' yang turut merunsingkan Malaysia sehingga menarik perhatian pemimpin negara termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Beliau yang dipetik berkata kadar obesiti di negara ini semakin serius dan perlu diatasi segera. Ini memandangkan, rekod kesihatan menunjukkan peningkatan kadar daripada 44.4 peratus pada 1996 melonjak kepada 59.1 peratus pada 2011 iaitu peningkatan sebanyak 15.1 peratus.
Segala perangkaan mahupun statistik ini memberi erti jelas bahawa sudah tiba masanya ibu bapa menilai kembali peranan mereka dalam penyediaan pemakanan sihat kepada anak.
Tambahan pula, masalah obesiti berisiko mengundang pelbagai penyakit kronik seperti buah pinggang, hipertensi, serangan jantung dan strok selain masalah psikologi berkaitan kurang keyakinan diri.
Obesiti terjadi apabila wujud lebihan lemak yang menyebabkan pertambahan berat badan susulan pengambilan makanan tinggi kandungan gula, garam, minyak dan lemak.
Keadaan menjadi lebih buruk lagi, apabila pengambilan makanan mengikut nafsu itu tidak disusuli dengan senaman.
Mengapa ibu bapa?
Mungkin ada yang mempersoal mengapa ibu bapa? Walhal, kanak-kanak hari ini terdedah kepada kepelbagaian faktor persekitaran luar yang boleh menarik perhatian mereka kepada pengambilan makanan tinggi lemak dan gula.
Sememangnya peranan itu tidak dinafikan, tetapi ibu bapa menjadi tunggak penting membentuk anak dengan kehidupan sihat melalui amalan pemakanan keluarga dan pemakanan harian mereka di rumah.
Bagaimanapun, sikap segelintir ibu bapa, yang tidak prihatin mengenai keperluan nutrisi sebetulnya mengikut carta piramid makanan yang disyorkan, mendedahkan kanak-kanak kepada tabiat pemakanan tidak sihat.
Memburukkan lagi keadaan dengan kewujudan restoran dan gerai makanan yang beroperasi 24 jam sehari seperti menggalakkan lagi tabiat buruk pemakanan, dan faktor ini juga diakui Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail.
Beliau dipetik sebagai berkata masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin serius apabila dianggarkan 40 peratus berlaku berikutan gaya hidup ibu bapa yang gemar membawa keluarga makan di luar terutama pada waktu malam.
Perkara itu dipersetujui oleh Dr Poh dengan berkata, "apabila ekonomi negara semakin baik dan rakyat pun sudah berkemampuan, membolehkan mereka membeli dan makan dengan banyak. Kita harapkan mereka membeli makanan sihat tetapi selalunya adalah sebaliknya".
Tempoh kritikal
Keadaan semakin meruncing apabila kanak-kanak sudah didedahkan sejak kecil dengan makanan tidak seimbang yang akhirnya menjadi rutin kehidupan.
Menjadi masalah, ibu bapa pula tidak bertegas dan lebih cenderung untuk ikut kata hati anak dengan memenuhi selera dan kegemaran anak semata-mata.
Ibu bapa harus sedar, alam kanak-kanak adalah tempoh kritikal kerana pada masa inilah mereka memupuk tabiat suka kepada sesuatu makanan.
Kecenderungan menikmati makanan segera dengan kerap akan membahayakan kesihatan kerana mengandungi kalori, lemak, garam dan gula yang tinggi.
Satu kajian oleh University of Minnesota School of Public Health dan National University of Singapore mendapati mereka yang makan empat kali seminggu makanan segera berisiko 80 peratus mati akibat penyakit jantung koronari.
"(Semua ini termasuklah) hasil kajian Seanuts menunjukkan perhatian segera perlu diambil oleh ibu bapa dan pihak bertanggungjawab untuk mempertingkatkan status kesihatan kanak-kanak lebih baik," kata Dr Poh.
Pengawalan harus dilakukan bukan hanya mengelakkan obes tetapi pemakanan baik mengikut piramid makanan disyorkan bagi membantu anak membesar dengan sihat, sempurna dan cergas. - Bernama
Jumaat, Jun 13, 2014
|
0
komentar ::
Blog Gadgets

,

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang Kesihatan kanak-kanak semakin membimbangkan silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "