S |
ewaktu bercuti ke luar negara pada Mei lepas, saya sempat membaca buku bertajuk 'Kenapa negara-bangsa gagal: Punca kuasa, kemakmuran dan kemiskinan' (“Why nations fail: The origins of power, prosperity and poverty”) tulisan Daron Acemoglu, profesor Universiti Harvard dan James A Robinson, profesor dari MIT, Amerika Syarikat.
Pada saya, buku ini menarik perhatian dan relevan bagi menjawab persoalan mencabar: Kenapa bangsa Melayu sama seperti majoriti umat Islam lain, lemah ekonomi, ketinggalan dan terpinggir, justeru mudah diperlekeh, ditindas dan diperkosa hak mereka?
Dalam kata lain, persoalannya: Kenapa kuasa politik di tangan Melayu tidak digunakan atau gagal dimanfaatkan untuk memperkasa kedudukan ekonomi bangsa?
Buku 'Kenapa negara-bangsa gagal' berpendirian salah guna kuasa politik punca utama kegagalan sesuatu bangsa.
Banyak hujah dan peristiwa sejarah dipapar membuktikan salah guna kuasa golongan menerajui kuasa, termasuk oleh pemimpin, sebab utama rakyat jelata miskin, dirampas hak, dianiaya dan dizalimi. Kelemahan pimpinan dalaman pula kerap membuka ruang kuasa diambil alih atau dirampas orang luar.
Salah guna kuasa politik punca kegagalan
P |
enjajahan, iaitu penggunaan kekerasan kuasa asing mendominasi merampas hak, menindas dan menzalimi bangsa lemah banyak dikupas dalam buku terbabit sebagai salah satu punca besar kegagalan.
Kekerasan penjajah Barat berabad memisahkan peribumi Nusantara daripada aktiviti bisnes dan perdagangan faktor besar melemahkan ekonomi dunia Melayu sampai kini.
Matlamat DEIC memonopoli pasaran buah pala bahan rempah-ratus keluaran Pulau Banda. Setelah merampas tanah, benih dan tanaman buah pala milik rakyat Pulau Banda, Belanda membentuk 'masyarakat baru' memberi pekerja DEIC keturunan Belanda hak pembahagian tanah.
Peladang Belanda digalakkan membeli orang tempatan menjadikan mereka hamba-abdi pekerja ladang, dengan syarat hasil buah pala dan rempah-ratus dijual kepada DEIC.
Dilaporkan pada akhir abad ke-17, DEIC berjaya 'kurangkan 60 peratus bekalan rempah ratus, meningkatkan harga buah pala dua kali ganda' menguntungkan dan memperkaya Belanda.
Kaedah ganas, rakus dan zalim Belanda mematahkan semangat berniaga rakyat Nusantara. Penjajahan “mencorak semula ekonomi dan politik Asia Tenggara, mengakibatkan penduduk Nusantara berhenti berniaga, hilang minat berdagang dan terputus hubungan dengan orang luar… Penjauhan diri daripada berdagang tidak dapat menyelamatkan mereka daripada bangsa Eropah! Pada penghujung abad ke-18 hampir semuanya ditakluki Empayar Penjajahan Eropah.”
Sesungguhnya kesan salah guna kuasa politik penjajahan sangat mendalam. Namun persoalan lebih besar kepada Melayu hari ini: Kenapa setelah lebih setengah abad merdeka menerajui sendiri kuasa pemerintahan, bangsa Melayu dan umat Islam masih lemah, gagal memperkasa ekonomi membebaskan diri daripada pergantungan hidup kepada orang lain?
Pemimpin ikhlas manfaatkan kuasa
S |
etelah merdeka kepemimpinan Malaysia, terutama di bawah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, berjaya mengguna kuasa politik memajukan ekonomi negara. Bangsa Melayu warga majoriti Malaysia mendapat manfaat besar daripada ketokohan pimpinan, kegigihan dan keikhlasan Tun Abdul Razak setelah kedudukan ekonomi rakyat jelata terbela hasil dasar pembangunan luar bandar dan penubuhan institusi seperti Felda dan Lembaga Tabung Haji.
Kejayaan ini diikuti impak besar pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancar setelah berlakunya konflik berdarah 13 Mei, 1969. DEB berjaya meningkatkan hak milik ekuiti daripada 2.4 peratus pada 1970 kepada lebih 20 peratus pada 1997, satu kejayaan besar, sekali gus mengintegrasikan Melayu dan Bumiputera ke dalam aktiviti arus utama ekonomi negara.
Malangnya, Malaysia gagal melangsungkan kejayaan DEB, menyebabkan Melayu dan warga majoriti berpendapatan rendah Malaysia ketinggalan jauh berbanding golongan minoriti bisnes swasta dan korporat berpendapatan tinggi. Jurang kaya-miskin melebar luas menyebabkan polarisasi ekonomi ketara, menjadikannya potensi punca konflik serius politik masa depan.
Hari ini, setelah DEB tamat, kebimbangan Melayu dan warga bawahan majoriti ialah terhadap masa depan tanpa pembelaan. Lebih-lebih lagi dalam konteks sistem ekonomi liberal rakus dan nafsu-nafsi menyaksikan perebutan harta kekayaan tanpa sempadan.
Paling membimbangkan ialah sekongkolan swasta kaya-raya bersama pemimpin politik berkuasa membentuk pakatan kroni eksklusif meminggir yang lain. Sekongkolan merosakkan dilihat mencetus pemberontakan di dunia Arab setelah rakyat bangkit menentang kerakusan dan keangkuhan pemimpin.
Buku 'Kenapa negara-bangsa gagal' menegaskan bukan semua penyelewengan dan salah-guna kuasa politik berlaku akibat kesilapan pemimpin. Lebih berbahaya, terdapat pemimpin politik 'secara sedar dan sengaja' membuat pilihan dasar 'mencipta' kemiskinan. (“Poor countries are poor because those who have power make choices that create poverty. They get it wrong not by mistake or ignorance but on purpose.”)
Politik Melayu gagalkan DEB?
C |
ontoh pimpinan politik bertindak 'mencipta' kemiskinan pernah terjadi di Malaysia, misalnya apabila DEB dieksploitasi untuk kepentingan peribadi pemimpin. Ini boleh berlaku apabila pemimpin korup, rasuah, mementingkan peribadi atau melampau berkompromi politik untuk memikat hati rakan parti sebarisan.
Matlamat besar DEB dikompromi setelah pemimpin politik Melayu gagal 'mendewasakan' DEB sejajar dengan perubahan trend politik. Dalam kata lain, DEB yang dalam bentuk asalnya membabitkan intervensi kerajaan tidak dimatangkan menerusi kaedah kreatif institusi pro-bisnes, menyebabkannya mudah dipandang negatif dan dituduh perosak serta anti pasaran.
Banyak contoh pemimpin politik Melayu berebut-rebut sekongkol dengan kroni memfaraidkan GLC dan aset milik awam ciptaan DEB. Akibatnya berleluasalah rasuah, korupsi dan kronisme yang digunakan sepenuhnya oleh musuh sebagai hujah menentang DEB! Paling parah, apabila pimpinan politik Melayu pula turut ghairah dan agresif mengkroni Dasar Penswastaan.
Sepanjang 28 tahun selaku CEO JCorp saya melalui banyak insiden membabitkan salah guna kuasa politik melaksana Dasar Penswastaan mengetepikan DEB. Contoh ikonik membabitkan penswastaan rangkaian hospital pakar milik Pantai Holdings Bhd kepada individu swasta kroni pilihan pemimpin tinggi politik Melayu. Pantai kemudiannya terlepas tangan kepada pemilik asing dan akhirnya terpaksa dibeli balik oleh Khazanah Malaysia dengan harga sangat mahal.
Kes Pantai mengecewakan saya secara peribadi selaku Pengerusi KPJ Healthcare Bhd (syarikat anak JCorp) ketika insiden berlaku. Kerana sebelum Pantai Holdings diswastakan ia terlebih dahulu dibeli oleh KPJ pada 1992, namun gagal disempurnakan setelah JCorp diarah kepimpinan politik negara membatalkan perjanjian jual-beli dan melepaskan Pantai untuk diswastakan.
Sekali pun JCorp membawa kes ini ke mahkamah pada 1993, tuntutan JCorp ditolak atas sebab teknikaliti undang-undang; kerana JCorp gagal mendapat kelulusan bertulis Kementerian Kewangan. Penguasa politik di Kementerian Kewangan sengaja tidak memberi kelulusan rasmi kepada JCorp dan KPJ membeli Pantai Holdings Bhd kerana lebih minat Pantai diswastakan!
Kesimpulannya, pada saya DEB digagalkan dan matlamat suci-mulianya dicemar dan di'sabotaj' sendiri oleh pemimpin politik Melayu setelah ramai lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan berkompromi politik daripada membela DEB.
DEB juga terketepi setelah pimpinan politik Melayu ghairah menciplak doktrin liberalisasi ekonomi Barat, terutama Dasar Penswastaan, langsung menyebabkan terlepasnya hak milik aset dan bisnes GLC institusi amanah negara.
Tanpa dasar seumpama DEB, bangsa Melayu patah sayap dan kehilangan instrumen menebus dan memperbaiki kedudukan ekonomi merapatkan jurang kaya-miskin. Setelah dilanda tsunami PRU13, tiba masanya pimpinan politik negara bangkit semula menyempurnakan amanah besar kepimpinan menegakkan keadilan ekonomi tanpa kompromi.
Pimpinan politik Melayu mesti berani memperkenal pembaharuan institusi, dan dalam masa sama tegas menolak Dasar Penswastaan dan doktrin liberalisasi ekonomi ciplakan Barat merosakkan.
*Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo.com, Sinar Harian, 10 Jun 2013

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
CHAIRMAN / FOUNDER :: Saya adalah pengasas dan pemilik Asal Blog Ini yang di mulakan pada tahun April 2004, dan menggunakan alamat blog http://ttuyup.blogspot.com. Pada awal tahun 2007 saya menjemput en. Adam Merah menyertai blog ini dan pada akhir tahun yang sama, saya meminta en. Adam menguruskan blog ini untuk saya.

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "