2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Orang kita sudah hilang malu

D

ALAM hal yang satu ini saya bersetuju betul dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. “Orang kita sudah hilang malu,” kata mantan perdana menteri itu dalam satu ceramah baru-baru ini.

Dulu-dulu sikap malu menjadi salah satu ciri kemelayuan.

Tidak sukar untuk melihat kebenaran apa yang dikatakan oleh Tun M. Contoh paling mudah, dan boleh diperhatikan setiap hari ialah gaya wanita, lebih-lebih lagi gadis kita hari ini. Telah diceritakan, menerusi hikayat dan syair, zaman nenek dan emak kita dulu, jarang aurat didedahkan secara amat menyerlah. Dalam kalangan anggota keluarga pun mereka tidak membuka betis dan paha.

Zaman sekarang gadis dan sesetengah wanita Melayu – maaf cakap, termasuk yang sudah digelar nenek! – membuka tubuh dengan senang, malah megah, di khalayak umum. Bukan setakat betis dan paha, tetapi pangkal paha, dada, ketiak, punggung hatta pusat pun diperagakan untuk tontonan umum.

Memang diakui ramai malu dan menutup aurat seperti yang dituntut agama. Tetapi ramai juga yang tidak malu sedikit pun dengan terus membuka luas bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya hanya untuk tontonan suami, pada waktu-waktu tertentu.

Tidak sahaja pakaian, dalam hal-hal lain pun orang kita sudah tiada malu. Dulu-dulu orang kita menjaga sangat aib keluarga. Kalau ada sesuatu tidak baik dilakukan oleh mana-mana anggota keluarga, contohnya mencuri ayam, keluarga akan seboleh-bolehnya merahsiakan itu. Sebab itu ada pepatah ‘biar pecah di perut jangan pecah di mulut’.

Hari ini kes curi-curi seperti itu sudah biasa sangat. Orang kita terlibat bukan sahaja curi ayam, tetapi curi kereta, curi bas, curi kontena. Curi mesin ATM pun sudah perkara biasa. Ada yang curi cip komputer satu treler, nilainya RM juta-juta. Malah, ada yang curi tanah, curi balak beribu hektar.

Baik si pelaku, waima keluarga, tidak rasa malu sekiranya terlibat dalam kes curi balak atau curi tanah. Malah, semacam bangga pula mereka sekiranya gambar tersiar di media atas tuduhan menceroboh tanah atau songlap kawasan balak. Mereka datang ke mahkamah, naik kenderaan mewah hasil menceroboh kawasan balak. Mana ada malu!

Dulu-dulu sekiranya ditahan polis kerana lesen memandu sudah lupus, malu bukan main untuk beritahu pada keluarga. Hari ini pemandu kita – termasuk pemandu bas ekspres dan pengemudi treler 16 tayar – sudah tidak malu sekiranya ditangkap kerana kesalahan lalu-lintas.

Bukan sahaja salah sebab lesen memandu, tetapi kesalahan lain yang lebih besar dan merbahaya termasuk memecut melebihi had laju, membawa lebih muatan, langgar lari, memandu dalam keadaan mabuk. Ada pemandu yang dikesan melakukan lebih 20 kesalahan lalu-lintas, tidak nampak malu sedikit pun ketika dibawa ke mahkamah.

Kita sekarang juara bidang rasuah. Dulu-dulu kalau ada penjawat awam yang menerima rasuah – disebut juga makan suap – RM10 atau RM20 malunya bukan mainan, boleh berhenti kerja, boleh pindah tempat lain.

Hari ini rasuah sudah menjadi budaya di tempat kita. Pelakunya tidak kira status –  dari pencuci pejabat, pegawai rendah, pegawai tinggi hatta pegawai tertinggi semua terlibat rasuah.

Seperti yang telah banyak kali dibuktikan orang politik pun main rasuah juga. Politik wang bukan rahsia lagi. Baik pemimpin kecil peringkat cawangan, pemimpin rendah, pemimpin tinggi, pemimpin tertinggi semua main rasuah, RM ribu-ribu, puluh-puluh ribu, juta-juta, puluh-puluh juta.

Ada yang telah dihukum kerana kesalahan rasuah politik. Nama dan gambar masuk surat khabar, tetapi mereka tidak malu walau sedikit pun. Agaknya mereka menganggap rasuah macam main guli, atau main congkak. Duit rakyat habis dirasuahkan, tetapi mereka boleh tersenyum tanpa rasa bersalah, jauh sekali rasa malu.

Orang Jepun ada malu, jika melakukan penyelewengan akan meletak jawatan atau ‘harakiri’ @ bunuh diri. Orang kita tiada malu, yang menyeleweng tidak melepaskan jawatan, malah kadang-kadang diberi jawatan lebih tinggi.

Benarlah tidak ada lagi malu di jiwa dan tubuh orang kita. Apa yang tinggal dan kekal di tubuh kita sekarang hanyalah ‘malu’ yang disertakan dengan penambahan ‘ke’ dan ‘an’.


 

*Oleh ABD. JALIL ALI, Sinar Harian, 7 Februari 2013

Rokiah Mad Dom , Khamis, Februari 07, 2013 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

PENULIS Rokiah Mad Dom

Seorang Surirumah Sepenuh Masa

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog