Sifat Mahmudah Pra Syarat Capai Takwa
SABAN minggu kita diingatkan oleh imam atau khatib dalam khutbah Jumaatnya agar setiap umat Islam sentiasa berusaha meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH. Menurut khatib, takwa boleh dicapai dengan melaksanakan semua perintah ALLAH serta menjauhi segala larangan-NYA.
Tetapi persoalannya sekarang, adakah kita benar-benar faham makna istilah takwa itu? Ataupun oleh kerana istilah tersebut sering kali diperingatkan, lantas menganggap takwa itu sebagai satu kalimah yang tidak membawa sebarang erti yang mendalam, serta tiada apa-apa kaitan dengan iman kita.
Kepentingan takwa sebenarnya amat jelas apabila ia merupakan antara rukun khutbah Jumaat yang perlu diberi perhatian. Meninggalkan peringatan untuk sentiasa bertakwa kepada ALLAH dalam teks ucapan akan menyebabkan khutbah tersebut tidak sempurna.
Bagi mencapai takwa yang hakiki, ia bukan sekadar menghendaki kita untuk melaksanakan perintah ALLAH serta meninggalkan larangan-NYA sahaja. Bahkan, takwa memerlukan kita berbuat lebih daripada itu kerana ia melibatkan amalan roh dan jiwa.
Dalam bahasa Arab, perkataan takwa berasal dari kata kerja ittaqa yang membawa beberapa konotasi makna yang tertentu. Antaranya, ia membawa maksud berwaspada dan berjaga-jaga.
Takwa juga membawa maksud takut kepada ALLAH dan menjauhi segala larangan-NYA iaitu makna khusus apabila dikaitkan dengan-NYA. Selain itu, perkataan ittaqa juga membawa maksud menjadikan ALLAH sebagai pelindung daripada sesuatu perkara.
Berdasarkan beberapa pengertian dari sudut bahasa ini, jelaslah bahawa takwa bukan sahaja membawa maksud takut kepada ALLAH. Malah, takwa membawa makna pengiktirafan terhadap ALLAH sebagai satu-satunya Pelindung dan Pemelihara kita daripada sebarang perkara buruk serta bahaya. Lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kita tergolong dalam kalangan hamba-NYA yang rugi di akhirat nanti.
Oleh itu, amat jelas bahawa perlunya kita memahami erti takwa dengan lebih mendalam serta memperolehinya, bukanlah hanya melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-NYA semata-mata.
Hal ini kerana, berapa ramai di kalangan kita yang melaksanakan perintah ALLAH kerana tujuan-tujuan tertentu. Perintah tersebut tidak ditunaikan dengan niat semata-mata kerana ALLAH. Oleh itu, perintah ALLAH tersebut tidak dapat mencegah mereka daripada perkara-perkara yang keji dan mungkar.
Mungkin terdapat segelintir umat Islam yang melaksanakan perintah ALLAH kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada khalayak, ataupun mahu mendapat pujian dan sanjungan, atau kerana takut dipandang hina oleh masyarakat, atau semata-mata ingin menjaga kedudukan dan nama mereka di mata manusia.
Jika perintah ALLAH dilaksanakan kerana tujuan-tujuan tersebut, mana mungkin si pelakunya berjaya mencapai darjat takwa yang sebenar. Ketinggian tahap takwa ini amat jelas apabila ianya dijadikan kayu ukur kepada pemilihan hamba ALLAH yang dipandang mulia di sisi-NYA. Firman ALLAH di dalam al-Quran:
Wahai manusia! Sesungguhnya KAMI menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi ALLAH ialah yang paling bertakwa. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-NYA (akan keadaan dan amalan kamu). - Surah al-Hujurat : 13
Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menggunakan kalimah takwa atau perkataan yang membawa maksud takwa. Perkataan ini digunakan dalam bentuk yang berbeza-beza seperti kata perintah iaitu ittaqu yang bermaksud bertakwalah kamu semua (ramai). Selain itu, perkataan takwa juga disebut dalam al-Quran dengan merujuk kepada golongan yang bertakwa iaitu disebut sebagai muttaqin.
Antara cara untuk mencapai takwa ialah dengan melaksanakan saranan ALLAH terhadap amalan-amalan yang mempunyai kaitan rapat dengan takwa. Beberapa perbuatan atau amalan yang dikaitkan secara langsung dengan takwa dapat dilihat menerusi beberapa potong ayat al-Quran. Antaranya:
· Berbuat baik sesama insan serta bermaaf-maafan. Sebenarnya hal ini berkaitan dengan hubungan suami dan isteri yang telah bercerai. Meskipun kedua-dua individu ini memilih jalan untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing, namun mereka harus berbuat baik antara satu sama lain, serta memaafkan segala kesalahan yang pernah dilakukan. Hal ini amat penting lebih-lebih lagi jika kedua-duanya dianugerahkan zuriat. Hubungan baik antara bekas suami dan isteri ini akan membuatkan kebajikan si anak sentiasa terpelihara. Firman ALLAH di dalam al-Quran:
Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa melihat apa juga yang kamu kerjakan. - Surah al-Baqarah : 237
· Sentiasa berlaku adil. Dalam Islam, adil bermaksud meletakkan sesuatu yang hak pada tempatnya. Perlu menjadi ingatan semua bahawa adil dalam Islam bukan bermaksud sama rata atau sama banyak. Jika seseorang individu tidak berlaku adil dalam urusannya, maka layaklah dia digelar orang yang zalim. Islam memerangi golongan yang zalim ini secara terang. Perkara ini dijelaskan oleh ALLAH menerusi firman-NYA:
Wahai orang yang beriman. Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan. - Surah al-Ma’idah : 8
· Melakukan amalan dengan keikhlasan. Seperti mana yang sedia dimaklumi, ikhlas merupakan elemen penting dalam melaksanakan perintah ALLAH. Untuk mendapatkan rasa ikhlas dalam melaksanakan perintah ALLAH, segala faktor yang melibatkan kepentingan diri sendiri dan manusia lain harus dikesampingkan, lantas menjadikan kepentingan-NYA sebagai yang utama. ALLAH menjelaskan perkara ini serta mengambil ibadat korban sebagai contoh. Firman ALLAH dalam surah al-Haj:
Daging dan darah binatang korban itu tidak sesekali akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-NYA ialah amalan yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya. - Surah al-Haj : 37
· Melaksanakan perintah ALLAH dengan penuh sabar. Hal ini dijelaskan oleh ALLAH di dalam al-Quran serta mengambil contoh perintah solat bagi menggambarkan bahawa ibadat yang diperintahkan itu sememangnya memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya. Gangguan syaitan serta dorongan nafsu manusia yang mengarah kepada keburukan akan sentiasa menjadi penghalang utama dalam pelaksanaan ibadat dan perintah ALLAH. Firman-NYA di dalam surah Taha:
Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah kamu tekun bersabar menunaikannya. KAMI tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) KAMIlah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa. - Surah Taha : 132
· Menjaga hak orang lain dan memenuhi janji. Perkara ini amat penting dan ramai dalam kalangan kita yang mengambil mudah mengenainya. Sebagai umat Islam yang patuh kepada suruhan ALLAH, kita seharusnya lebih berhati-hati dalam setiap urusan hidup, lebih-lebih lagi yang melibatkan hak dan kepentingan orang lain. Begitu juga dengan perkara yang melibatkan janji. Lazimnya, membuat janji itu amat mudah. Namun hakikatnya, mungkin tidak semua janji itu berjaya kita tunaikan. Firman ALLAH:
Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang bertakwa. - Surah Ali ‘Imran : 76
Berdasarkan beberapa potong ayat suci al-Quran tadi, jelaslah bahawa untuk mencapai ketakwaan kepada ALLAH, ia amat berkait rapat dengan amalan jiwa seseorang muslim. Takwa tidak mungkin boleh dicapai hanya dengan melakukan segala perintah ALLAH dan meninggalkan semua larangan-NYA.
Tidak cukup dengan hanya melaksanakan perintah ALLAH, kita dituntut supaya ikhlas dalam melaksanakan perintah tersebut. Begitu juga dengan meninggalkan semua larangan ALLAH. Kita bukan sekadar dituntut meninggalkan larangan tersebut, bahkan menjadi kewajipan untuk menjauhinya dengan penuh sabar.
Perkara ini harus kita fahami dengan jelas agar takwa tidak dipandang remeh atau disalahertikan. Jika umat Islam tidak memahami pengertian takwa yang sebenar, natijah akhirnya akan menjadikan kita terus lalai dengan keindahan dan nikmat kehidupan di dunia yang bersifat sementara ini.
Dapat disimpulkan bahawa sifat-sifat mahmudah atau terpuji haruslah sentiasa disemai dalam diri setiap individu muslim bagi mencapai ketakwaan yang sebenar kepada ALLAH.
Berbaik sangka sesama manusia, mudah memberi dan meminta maaf, sabar, adil, ikhlas, memenuhi janji, berkasih sayang, dan juga redha adalah antara amalan-amalan hati yang boleh membentuk peribadi terpuji, serta menjadi pra syarat penting dalam usaha mencapai martabat golongan yang bertakwa. Tanpa takwa yang sebenar dalam diri, segala perintah ALLAH yang dilaksanakan tidak membawa sebarang manfaat kepada diri serta kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Marilah sama-sama berusaha untuk menyuburkan rohani dan jiwa kita dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji), seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah melalui keperibadiannya yang tinggi lagi luhur. Sifat-sifat mahmudah ini harus sentiasa berada dalam diri setiap muslim agar objektif untuk menjadi hamba-NYA yang bertakwa akan dapat dicapai.
Rasulullah telah mengajarkan kita satu doa bagi memohon kepada ALLAH agar dianugerahkan takwa yang hakiki menerusi sabdanya:
Ya ALLAH. Anugerahkanlah ketakwaan dalam jiwaku dan sucikanlah ia kerana ENGKAUlah sebaik-baik Zat yang menyucikan dan ENGKAUlah Pemiliknya serta Penguasanya. - Hadis riwayat Muslim
Selain itu, ALLAH secara jelas menyatakan bahawa takwa seharusnya dijadikan pakaian bagi diri setiap muslim dan ia adalah sebaik-baik pakaian. Firman-NYA:
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya KAMI telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (limpah kurnia) ALLAH (dan rahmat-NYA) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). - Surah al-A‘raf : 26
Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya bertajuk Tafsir al-Quran al-‘Azim menukilkan beberapa pendapat ulama tafsir mengenai makna ‘pakaian’ pada ayat al-Quran tersebut. Ikrimah menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan pakaian itu ialah pakaian yang dipakai oleh orang yang bertakwa pada hari kiamat.
Qatadah pula mentafsirkan yang dimaksudkan dengan ‘pakaian takwa’ itu ialah iman. Manakala al-‘Aufi mengambil pendapat Ibn Abbas yang mentafsirkan ‘pakaian takwa’ itu sebagai amal soleh.
Menurut Ibn Kathir, kesemua maksud tersebut membawa pengertian dan tujuan yang sama. Walau apa pun, perumpamaan ini jelas menunjukkan bahawa takwa itu amat penting dan setiap muslim berkewajipan untuk memilikinya, serta terus melaksanakan amalan-amalan yang dapat meningkatkannya. Takwa ini mempunyai kaitan langsung dengan soal iman. Takwa tidak dapat dipisahkan dengan iman. Bahkan, iman manusia itu adakalanya meningkat dan kadangkala menurun.
Semoga penjelasan ringkas serta pemahaman yang jelas mengenai takwa ini membolehkan kita tergolong dalam kalangan hamba-NYA yang bertakwa. Sesungguhnya ganjaran syurga akan menjadi milik hamba-NYA yang muttaqin (bertakwa). Firman ALLAH di dalam al-Quran:
Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan di dalam beberapa taman syurga dengan beberapa mata air terpancar padanya. - Surah al-Hijr : 45
Oleh MOHD SHAHRIZAL NASIR, 17 Disember 2012, Sinar Harian

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
Nama Penuh saya ialah Cik NiNe Binti Che Kadir, saya menggunakan nama pena C9 dan Cik 9P. Mulus

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "