Bantu keluarga terdekat lebih utama daripada cuba berbakti kepada orang jauh
KEWAJIPAN bagi seorang lelaki, selain isteri dan anak-anaknya, ialah beliau juga hendaklah berbakti kepada dua ibu bapanya sebagai mana firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23 iaitu: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berlaku ihsan (berbuat baik) kepada ibu bapamu dengan dengan sebaik-baiknya.
Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW bersabda: "Sangat hina, sangat hina, sangat hina orang yang sempat bertemu dengan salah seorang atau kedua orang tuanya di saat mereka sudah tua, namun ia tidak masuk syurga (dengan berbakti kepada mereka)."
Dalam hadis yang lain, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Mu'awiyah bin Jahimah as-Salami, bahawa Jahimah pernah datang kepada Nabi SAW, ia berkata, "Wahai Rasulullah, aku ingin turut serta berperang dan aku datang meminta pandanganmu."
Rasulullah SAW bersabda, "Adakah kamu masih memiliki ibu?" Jahimah menjawab, "Ya."
Rasulullah SAW bersabda: "Tetap bersamanya, kerana sesungguhnya syurga berada di kedua-dua kakinya (sebab dengan keredaannya kamu dapat masuk syurga)."
Selepas Allah SWT memerintahkan supaya berbakti kepada ibu bapa, ia juga memerintahkan supaya membantu kaum kerabat dan mempereratkan hubungan silaturahim sebagai mana firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 26 iaitu: "Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau."
Maksud kaum kerabat pada ayat ini ialah menguatkan tali silaturahim dengan mereka, bergaul mesra dengan mereka dan membantu mana-mana yang memerlukan bantuan sekiranya mereka dalam kesusahan.
Imam Ibn Kathir rhm dalam tafsir pula menyebut pandangan Mujahid iaitu seandainya seseorang menyumbangkan semua hartanya di jalan yang benar, maka hal itu tidak termasuk pemborosan. Sebaliknya, meskipun hanya sedikit tetapi dibelanjakan bukan bagi jalan yang benar, maka keadaan berkenaan disifatkan dengan pemborosan."
Sebagai mana yang disebutkan dalam hadis riwayat Imam Ahmad yang disahihkan oleh Syeikh al-Arna-uth iaitu: "Utamakan (dalam bersedekah itu) ibumu, lalu ayahmu, lalu orang yang berikutnya dan berikutnya (yang lebih dekat hubungan kerabatnya denganmu).
Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada seorang yang berasal dari Bani Yarbu', ia bercerita, "Aku pernah datang kepada Nabi SAW, ketika itu aku mendengar Baginda sedang bercakap dengan orang lain (iaitu): Tangan yang banyak memberi itulah tangan yang mulia. Dahulukan ibumu (dalam bersedekah), lalu ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu, kemudian dahulukan yang mana lebih dekat kekerabatannya kepadamu dan seterusnya.
Begitu juga hadis yang lain, daripada Miqdam bin Ma'dikarib daripada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ayahmu, sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada kepada ibumu, sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu, sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu, sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada keluarga-keluargamu, yang lebih dekat sebelum yang lebih jauh."
Justeru, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa jika seseorang itu hendak diluaskan rezekinya, hendaklah ia menghubungkan silaturahim seperti sabda Nabi SAW: "Barang siapa yang ingin rezekinya diluaskan, usianya dipanjangkan, maka hendaklah ia menjalinkan silaturahim."
Persoalan rezeki di tangan Allah SWT sebagai mana firman-Nya dalam surah al-Isra' ayat 30 menyebut: "Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezekimu kepada siapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.
Wallahua'lam.
Oleh Ustaz Zahazan Mohamed
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "