Gambar yang dirakamkan menerusi telefon bimbit ini menunjukkan penangkapan Encik Gaddafi selepas beliau cedera parah. - Foto AFP
SIRTE : Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi meninggal dunia akibat kecederaan parah, semalam, semasa pemberontak melancarkan serangan ke atas bandar kelahirannya di Sirte, Libya, sekali gus menandakan pengakhiran rampasan kuasa berdarah yang bermula di negara itu lapan bulan lalu.
Kematiannya disahkan Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC), Mahmoud Jibril dan disertai penyiaran gambar Gaddafi yang berlumuran darah oleh stesen televisyen Libya. Agensi berita Al-Jazeera kemudian menyiarkan gambar mayat Gaddafi yang diheret pemberontak di atas jalan raya selepas kematiannya.
Seorang pejuang anti-Gaddafi berkata, pemimpin itu ditemui bersembunyi dalam lubang di bawah tanah dan menjerit 'Jangan tembak! Jangan tembak!' kepada individu yang menangkapnya. Beliau dipercayai meninggal dunia akibat ditembak di perut dan kepala.
Menurut jurucakap NTC, mayat Gaddafi di bawa ke sebuah masjid di Misrata Selain itu, anak lelaki Gaddafi, Mo'tassi yang berada bersamanya turut ditangkap hidup-hidup, menurut stesen televisyen Al-Arabiya.
Pegawai NTC, Abdel Majid Mlegta berkata, Gaddafi, 69, cedera pada kedua belah kaki, tengahari semalam (waktu Malaysia) semasa cuba melarikan diri dalam konvoi yang diserang jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sebelum beliau bersembunyi di bawah tanah.
Nato turut mengesahkan jet pejuangnya menyerang dua kenderaan tentera di Sirte, semalam.
Pembunuhan Gaddafi, yang berlaku sejurus beliau ditangkap, adalah perkembangan paling dramatik di dalam revolusi dunia Arab yang sebelum ini menyaksikan penggulingan pemimpin Mesir dan Tunisia, serta menggoyahkan kedudukan pemimpin Syria dan Yaman.
Lokasi persembunyiannya itu serupa dengan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang ditangkap tentera Amerika Syarikat pada 13 Disember 2003 sebelum dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 30 Disember 2006.
Kematian Gaddafi bermakna NTC yang kini mentadbir Libya perlu memulakan tugas berat membentuk sistem demokrasi baru dan proses itu pastinya dicemari campur tangan kuasa Barat yang hanya menunggu masa untuk membentuk kerajaan pro-Barat di Libya.
Gaddafi, individu dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan membunuh orang awam, digulingkan pada 23 Ogos lalu, selepas 42 tahun memimpin negara pengeluar minyak di Afrika itu.
+
Mayat Gaddafi diheret dan dikasari
KAHERAH 21 Okt. – - Rakaman televisyen menunjukkan mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang berlumuran darah diheret dan dikasari pasukan tentera anti Gaddafi.
KAHERAH 21 Okt. – - Rakaman televisyen menunjukkan mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang berlumuran darah diheret dan dikasari pasukan tentera anti Gaddafi.
Dalam rakaman yang disiarkan Al Arabiya, muka Gaddafi berlumuran darah dan tentera anti-kerajaan mengheret mayat bekas pemimpin itu di atas tanah manakala terdapat kesan luka di kepalanya.
Sementara itu, rangkaian televisyen Al Jazeera menyiarkan rakaman mayat Gaddafi yang hampir bogel sehingga paras pinggang diletakkan di atas tanah.
Selain itu, Al Jazeera turut menyiarkan gambar mayat Gaddafi di belakang ambulans dan mukanya tidak berlumuran darah. - REUTERS
+
Gaddafi akhirnya mati ditembak
SIRTE – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam.
Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu.
"Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala," kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters.
NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu.
"Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati," tambahnya.
Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam.
Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan.
NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu.
Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut.
NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi.
Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi.
Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans.
Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: "Jangan tembak, jangan tembak."
Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya.
Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut.
Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh.
"Dia sudah pun mati," katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera.
Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC.
"Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan," kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi.
Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata.
Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya.
Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak.
Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte.
Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli.
Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh.
Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi.
Gambar itu yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan wajah yang pucat, berdarah dan mata hampir tertutup mirip Gaddafi.
Foto tersebut menunjukkan rambut kerinting halus dan struktur muka mirip Gaddafi.
Ketika gambar tersebut disiarkan, masih tidak jelas sama ada dia masih hidup atau cedera.
Foto tersebut menunjukkan terdapat darah dari bahagian mulutnya.
Adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi para pejuang Gaddafi merakamkan gambar di lokasi pertempuran.
Seorang lagi pegawai tentera Libya mengesahkan bahawa satu foto yang menunjukan seorang lelaki yang mirip Gaddafi mati itu dan disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera adalah Gaddafi yang sebenar.
Pegawai itu iaitu anggota jawatankuasa keselamatan NTC di Tripoli, Kolonel Mostafa Noah berkata: "Ya, itu adalah betul."
Bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis dilaporkan turut terbunuh di pelabuhan Sirte, menurut stesen televisyen Free Libya.
Stesen itu menunjukkan gambar Abu Bakr dengan kecederaan di bahagian dada.
Menurut laporan media, Abu Bakr mengiringi Gaddafi semasa dia terbunuh.
Gaddafi dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung dakwaan membunuh sejumlah orang awam.
Rejim pemerintahannya tumbang pada 23 Ogos lalu selepas memerintah selama 42 tahun di negara yang kaya dengan minyak itu.
Gaddafi menjadi pemimpin Libya selepas dia melakukan rampasan kuasa tentera semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara pada tahun 1969.
Ketika itu, Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera Libya.
Kebangkitan di Libya untuk menumbangkan Gaddafi bermula di bandar Benghazi menerusi tunjuk perasaan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya pada Februari lalu.
Tunjuk perasaan itu mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua pemimpin di negara berkenaan tidak lagi berkuasa.
Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran dalam kalangan penduduk yang membentuk kumpulan pejuang menentang Gaddafi.
Kematian Gaddafi itu menyebabkan NTC kini menguasai sepenuhnya Libya selepas mereka bertempur selama lapan bulan. - Agensi
+
Jangan bunuh saya, anak saya: Muammar Gaddafi
SIRTE : Ditarik keluar dari pembentungan paip, bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, yang cedera mengangkat tangannya dan merayu kepada Pejuang Revolusi: "Jangan bunuh saya, anak saya."
Dalam tempoh sejam, beliau meninggal dunia; tetapi masih hidup ketika rakyat Libya yang berang menarik rambut bekas pemimpin yang memerintah negara itu selama 42 tahun sebelum berarak membawa Gaddafi yang sudah berlumuran darah di belakang sebuah kenderaan. - AP
+
Mo'tassim ditahan, Saif sembunyi di Bani Walid
KAHERAH : Anak lelaki Muammar Gaddafi, Mo'tassim, ditahan hidup-hidup di Sirte, kata pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), semalam.
Menteri Penerangan NTC, Mahmoud Shammam, berkata walaupun tidak dapat mengesahkan laporan itu, dia diberitahu, Mo'tassim kini berada dalam kawalan mereka di Sirte.
Terdahulu, al-Jazeera dan al-Arabiya turut melaporkan penahanan berkenaan.
Seorang lagi anak Gaddafi, Saif al-Islam, masih diburu dan dipercayai bersembunyi di kawasan padang pasir Libya.
Seorang anggota NTC memberitahu al-Jazeera, kali terakhir Saif al-Islam dikesan ialah di bandar padang pasir Bani Walid.
Dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Saif al-Islam dipercayai bersembunyi di sekitar bandar berkenaan.
"Tapi dia akan ditangkap tak lama lagi," katanya. - Reuters
Sabtu, Oktober 22, 2011
|
0
komentar ::
Blog Gadgets

,

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang Perjalanan Gaddafi berakhir... silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "