2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Situasi Jepun Hari ini

Jepun ada 48 jam elak 'Chernobyl baru'

Loji nuklear boleh meletup menyebabkan tragedi lebih besar apabila paras radiasi meningkat
 
TOKYO: Jepun ada masa 48 jam untuk mengawal dengan segera krisis nuklearnya sebelum ia berdepan satu malapetaka 'lebih buruk berbanding Chernobyl'.
 
Jepun bergegas untuk mengelak kebakaran lebih teruk loji nuklearnya yang melepaskan radiasi pada tahap 809 mikrosievert sejam (unit radiasi) minggu ini.
 
Ada cubaan untuk menyejukkan kawasan itu dengan menjirus air laut dari helikopter dibatalkan kerana paras radiasi berbahaya di persekitaran bahagian atas loji.
 
Bacaan radiasi dekat bangunan itu mencapai 4,000 mikrosievert sejam ketika usaha itu dilakukan awal semalam.
 
Pihak berkuasa keselamatan nuklear di Perancis, berkata mereka pesimis sama ada jurutera Jepun dapat menghalang kebakaran teruk di loji jana kuasa Fukushima selepas satu kolam mengandungi batang besi bahan api nuklear berkeadaan terlalu panas dan mendidih dalam keadaan kering.
 
Thierry Charles, seorang pegawai keselamatan di Institut Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Radiologi Perancis (IRSN), berkata: "Tempoh 48 jam berikutnya akan menjadi penentu. Saya amat pesimis kerana sejak Ahad lalu, saya lihat hampir tiada satu pun penyelesaian berkesan."
 
Ditanya mengenai jumlah maksimum pembebasan radioaktif, beliau berkata: "Ia mungkin dalam kadar sama seperti Chernobyl."
 
Insiden di loji jana kuasa nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 57 kematian langsung, dengan tambahan 4,000 kematian akibat kanser.
 
Paras radiasi dalam bangunan yang dilanda bahaya itu malam tadi dikatakan amat tinggi selepas digegarkan dengan letupan awal, bermakna radiasi mungkin sudah berada dalam atmosfera.
 
Tokyo Electric, pemilik loji terbabit, berkata lima pekerjanya terkorban di tempat kejadian, dua lagi masih hilang dan 21 cedera.
 
Malam kelmarin, seorang ketua keselamatan nuklear Amerika, berkata kerajaan Jepun gagal mengakui tahap bahaya penuh situasi di loji Fukushima manakala amaran kepada rakyatnya tidak mencukupi dan tidak jelas.
 
Gregory Jaczko, pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika, memberi amaran, jika paras radiasi 'amat tinggi' adalah mustahil untuk kakitangan membuat pembetulan di loji mengambil kira 'dos' yang mereka mungkin alami berpotensi membawa maut dalam jangka pendek.
 
Jabatan Negara Amerika pula menyatakan, kerajaan menyewa sebuah pesawat untuk membawa warga Amerika keluar dari Jepun dan mengarahkan ahli keluarga petugas diplomatik pulang dari Nagoya dan Yokohama, membabitkan 600 orang.
 
Pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara mula gusar dengan sebarang kemungkinan seseorang dijangkiti radiasi dengan bertindak melancarkan pemeriksaan terhadap orang ramai, penumpang pesawat dan bot.
 
Ada laporan dari Korea Selatan dan Taiwan menyatakan pelancong yang tiba dari Jepun didapati ada sedikit tahap radiasi. – Agensi
 
 
+
 
IAEA pernah beri amaran

LONDON 17 Mac - Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah memberi amaran kepada Jepun dua tahun lalu bahawa satu gempa bumi kuat boleh menimbulkan 'masalah serius' kepada setesen-stesen tenaga nuklearnya.
 
Seorang pakar IAEA pada masa itu melahirkan kebimbangan reaktor-reaktor nuklear Jepun hanya direka bentuk untuk menahan gegaran sehingga 7.0 pada skala Richter, menurut akhbar Britain, Daily Telegraph, semalam.
 
Akhbar itu memetik kandungan kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) pada Disember 2008 yang diperoleh oleh laman web WikiLeaks.
 
Pegawai IAEA tersebut memberitahu satu mesyuarat Kumpulan Keselamatan dan Kawalan Nuklear Kumpulan Lapan (G8) di Tokyo pada 2008 bahawa garis panduan keselamatan nuklear Jepun ketinggalan zaman, menurut kabel itu.
 
"Dia (pegawai IAEA) menjelaskan garis panduan keselamatan bagi keselamatan seismik telah disemak hanya tiga kali dalam tempoh 35 tahun lalu dan baru sekarang IAEA mengkajinya semula," tambah kabel itu.
 
Kerajaan Jepun bertindak balas terhadap laporan IAEA itu dengan membina sebuah pusat bantuan kecemasan di loji nuklear Fukushima tetapi loji itu tetap direka hanya mampu bertahan dalam gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter.
 
Satu lagi kabel AS yang dihantar pada Mac 2006 menunjukkan kerajaan Jepun menentang satu perintah mahkamah untuk menutup sebuah loji di barat negara itu kerana timbul keraguan mengenai keupayaannya untuk menghadapi gempa bumi.
 
Menurut kabel itu, Agensi Keselamatan Nuklear dan Perindustrian Jepun percaya reaktor itu 'selamat' dan 'semua analisis keselamatan dijalankan dengan sewajarnya'. - AFP
 
 
+
 
Bandar raya Tokyo kelam-kabut

TOKYO - Ribuan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tidak berfungsi di bandar raya ini semalam manakala berjuta-juta warganya mula menyimpan beras dalam jumlah yang banyak ekoran ketakutan terhadap radiasi dari loji nuklear Fukushima Daiichi yang terletak kira-kira 240 kilometer dari sini.
 
Lebih memburukkan keadaan, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Banri Kaieda berkata dalam satu kenyataan, negara itu akan berdepan dengan masalah bekalan elektrik selama beberapa bulan lagi.
 
Amaran itu diberikan kerana bekalan tenaga elektrik ketika ini tidak mencukupi disebabkan masalah kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi.
 
Loji nuklear itu telah meletup sebanyak empat kali selepas gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun pada minggu lalu sehingga mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter.
 
Para pekerja kini berusaha untuk menyejukkan loji nuklear itu yang dikendalikan oleh Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) dengan menggunakan air laut.
 
Usaha itu dilakukan bagi mengelak lebih banyak kadar radiasi tersebar ke udara sehingga mengancam kesihatan penduduk.
 
 
+
 
Haba di loji nuklear semakin panas
 
TOKYO 17 Mac - Kebimbangan berhubung krisis nuklear Jepun semakin meningkat hari ini apabila helikopter tentera menggugurkan air ke atas loji kuasa nuklear yang semakin panas.
 
Di loji kuasa nuklear Fukushima, helikopter enjin berkembar Chinook menggugurkan bertan-tan air dalam usaha terdesak untuk menyejukkan reaktor yang terjejas akibat gempa bumi besar dan tsunami pada Jumaat lalu, mengakibatkan beribu-ribu penduduk yang hilang tempat tinggal kini berada dalam kesejukan ekoran ketiadaan bekalan elektrik.
 
Operasi helikopter di loji kuasa No. 1 Fukushima, di pantai Pasifik kira-kira 250 kilometer dari Tokyo dilakukan bagi memastikan batang besi bahan api terus berada dalam reaktor dan bekas simpanan bahan api tenggelam di bawah air.
 
Ancaman terbaru di loji tersebut adalah kolam menempatkan batang besi bahan api yang mengandungi rod bahan api terpakai yang masih belum dikeluarkan dari reaktor tetapi masih tinggi dengan kandungan radioaktif.
 
Struktur itu direndam dalam air sejuk selama bertahun-tahun sehingga ia memancarkan haba yang cukup bagi membolehkan simpanan dijalankan.
 
Menurut pakar, air di sebuah daripada kolam tersebut mula tersejat kerana rod mula memanas dan suhu semakin naik di dua lagi kolam selepas sistem pam penyejuk rosak akibat impak tsunami.
 
Pakar memberi amaran, jika tangki tersebut kering sehingga mengakibatkan rod terdedah, batang besi itu boleh melebur atau terbakar sekali gus mengakibatkan paras radiasi tinggi yang boleh membawa maut. - AFP
 
 
+
 
Rakyat asing digesa tinggalkan Tokyo

TOKYO 17 Mac - Kerajaan asing hari ini menggesa rakyat masing-masing menjauhi ibu negara Jepun dan bahagian timur laut negara ini ekoran kebimbangan gempa susulan dan ancaman radiasi daripada krisis loji nuklear di Fukushima yang semakin serius.
 
Australia antara negara yang menyeru rakyatnya supaya meninggalkan Tokyo.
 
"Jika anda berada di Tokyo atau mana-mana wilayah yang terjejas, dan kami telah menyenaraikan lapan wilayah, kami menasihatkan anda supaya pergi ke tempat lain," kata Menteri Luar, Kevin Rudd.
 
Syarikat penerbangan Australia, Qantas dalam keadaan bersiap sedia untuk menyediakan penerbangan tambahan jika perlu.
 
Pegawai Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada rakyatnya yang tinggal dalam lingkungan 80 kilometer dari loji Fukushima supaya berpindah atau mencari perlindungan kerana kebimbangan semakin meningkat mengenai keupayaan Jepun untuk mencegah malapetaka nuklear.
 
Britain turut menasihati rakyatnya meninggalkan Tokyo dan timur laut Jepun meskipun pegawai Britain berkata, setakat ini 'belum ada isu kesihatan manusia yang patut menimbulkan kebimbangan'.
 
Perancis pula berkata, dua pesawat kerajaan akan dihantar untuk membawa rakyatnya yang ingin meninggalkan Jepun, dengan mengesyorkan mereka berpindah dari Tokyo ke selatan negara ini atau pulang ke Perancis.
 
Kedutaan Vietnam menghantar tiga buah bas untuk membawa rakyatnya dari kawasan yang dilanda gempa bumi dan tsunami pada Jumaat, selain menyediakan makanan dan keperluan lain untuk mereka, lapor agensi berita Vietnam.
 
Vietnam Airlines akan menyediakan penerbangan tambahan di laluan Tokyo-Hanoi dan menawarkan diskaun tambang untuk rakyat Vietnam yang ingin pulang ke tanah air.
 
Jerman, Italy dan Belanda turut menasihatkan rakyat masing-masing supaya meninggalkan Tokyo atau mengelakkan perjalanan ke timur laut negara ini. - AFP
 
 
+
 
Radioaktif dikesan pada penumpang dari Jepun

TAIPEI: Pihak berkuasa Taiwan setakat ini mengesan zarah radioaktif pada 25 penumpang yang tiba dengan pesawat dari Jepun.
 
Sehari selepas kelengkapan mengimbas dipasang di tiga lapangan terbang utama di negara itu, lebih 4,400 orang yang tiba dari Jepun sudah diperiksa dan 25 didapati membawa zarah radioaktif, kata Majlis Tenaga Atom Taiwan.

"Kebanyakan zarah radioaktif itu ditemui pada kasut atau pakaian mereka," kata seorang pegawai.

Bagaimanapun, mereka dibenarkan memasuki negara itu selepas menukar kasut atau pakaian atau membasuh barangan yang terjejas dengan air.

Pakar unit tentera yang dilatih khas dalam menghadapi perang nuklear, ditempatkan di ketiga-tiga lapangan berkenaan.

Taiwan juga sudah mula mengimbas makanan yang diimport dari Jepun untuk mengesan kehadiran radioaktif. - Reuters'
Unknown , Sabtu, Mac 19, 2011 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog