SALAH satu daripada tiga buah pesawat kalis radar B-2 Spirit tiba di pangkalan udara Whiteman di Missouri setelah menyelesaikan operasi di Libya.
Liga Arab ubah pendirian
TRIPOLI - Sokongan negara Arab terhadap peperangan yang diketuai Amerika Syarikat di Libya dilihat semakin rapuh selepas menyaksikan kemusnahan hebat yang disebabkan serangan itu.
Liga Arab yang mewakili 23 negara di rantau Timur Tengah itu sebelum ini menyokong pembentukan zon larangan terbang di Libya tetapi dilihat mula tidak yakin dengan keberkesanan cara itu selepas mendengar dakwaan orang awam menjadi mangsa serangan udara tentera bersekutu.
Selain itu, amaran oleh Gaddafi bahawa beliau sedia menghadapi perang yang panjang turut dikhuatiri memburukkan lagi keadaan selepas campur tangan kuasa Barat.
Namun, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa menegaskan pertubuhan itu menghormati usul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membenarkan penggunaan semua cara untuk menghentikan konflik dalaman di Libya.
Imej mayat-mayat mangsa terbakar akibat serangan Barat itu bukan sahaja menyebabkan pertubuhan itu berubah fikiran tetapi juga menyebabkan Rusia dan China menyuarakan kekesalan terhadap keganasan tentera bersekutu.
Gaddafi menganggap serangan itu sebagai cubaan penjajahan dan menegaskan rakyat Libya mempunyai kesabaran untuk berjuang dalam peperangan yang panjang.
Pemimpin Libya itu turut mengumumkan akan membuka pusat penyimpanan senjata bagi melengkapkan orang awam di negara itu dengan senjata untuk berjuang dalam peperangan tersebut.
Sekurang-kurangnya 64 terbunuh dan 100 cedera, termasuk orang awam, dalam serangan udara tentera Barat itu, sehingga semalam.
+
Anak lelaki Gaddafi dilaporkan terbunuh
TRIPOLI, 21 Mac Seorang anak lelaki Muammar Gaddafi, Khamis meninggal dunia di sebuah hospital di Tripoli, lapor laman web pembangkang dan media Arab hari ini.
Khamis Gaddafi dilaporkan cedera kelmarin apabila seorang juruterbang tentera udara Libya dengan sengaja menyebabkan jetnya terhempas ke pekarangan Bab al-Aziziyah, di mana Gaddafi dan sesetengah ahli keluarganya tinggal.
Beliau yang mengetuai sebuah briged tentera Libya cedera akibat kebakaran dalam serangan itu, lapor laman web Arabian News.
Sementara itu, sebuah peluru berpandu yang dilancarkan oleh tentera Barat semalam memusnahkan sebuah bangunan pentadbiran di pekarangan tersebut, kata wartawan AFP.
Bangunan itu, terletak hanya 50 meter dari khemah di mana Gaddafi sering menerima tetamunya, ranap sama sekali dalam bedilan itu, kata jurucakap kerajaan Libya, Moussa Ibrahim kepada wartawan yang dibawa ke lokasi kejadian dengan bas.
"Serangan yang tidak berperikemanusiaan itu boleh menyebabkan kematian beratus-ratus orang awam yang berkumpul di kediaman Gaddafi kira-kira 400 meter dari bangunan yang dibedil,'' kata Ibrahim.
Beliau mengutuk 'percanggahan dalam retorik Barat' dengan berkata, negara Barat mendakwa mahu melindungi penduduk awam tetapi mereka melancarkan serangan bom ke atas sebuah kediaman dengan menyedari orang awam berada di dalamnya.
Berpuluh-puluh penyokong Gaddafi berkejar ke kompleks Bab al-Aziziah di selatan Tripoli itu selepas tersebar khabar angin sebuah pesawat tentera bersekutu telah ditembak jatuh, tetapi mereka tidak menemui bangkai sebarang pesawat.
Kepulan asap menjulang dari pekarangan kediaman itu sementara meriam antipesawat melepaskan tembakan ke udara.
Tripoli digegarkan oleh beberapa letupan kuat lewat semalam, termasuk satu yang kedengaran dari kawasan sekitar kediaman Gaddafi. AGENSI
+
Tentera Gaddafi terus dibedil
TRIPOLI, 21 Mac Kuasa Barat melancarkan gelombang kedua serangan udara ke atas Libya awal hari ini selepas menyekat kemaraan tentera Muammar Gaddafi ke Benghazi dan membedil sistem pertahanan udara bagi membolehkan pesawat tentera bersekutu meronda di ruang udara negara ini.
Campur tangan ketenteraan dinamakan Operasi Odyssey Dawn dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sokongan Liga Arab itu bertujuan untuk melindungi penduduk awam yang terperangkap dalam pemberontakan menentang Gaddafi sejak sebulan lalu.
Namun serangan itu telah dikritik oleh Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa yang mempersoalkan keperluan untuk melancarkan bedilan besar-besaran yang katanya telah membunuh ramai penduduk awam.
Moussa juga berkata, operasi ketenteraan itu sudah terkeluar daripada objektif 'zon larangan terbang' yang disokong oleh Liga Arab.
Bagaimanapun Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan udara dengan bantuan Britain, Perancis, Itali dan Kanada antara lainnya berkata, kempen itu berhasil dan AS menolak gencatan senjata yang diumumkan oleh tentera Libya malam tadi.
Kementerian Pertahanan Britain berkata, sebuah kapal selamnya sekali lagi melancarkan peluru berpandu Tomahawk malam tadi sebagai sebahagian gelombang serangan kedua untuk menguatkuasakan resolusi PBB itu.
"Kami dan rakan-rakan kami meneruskan operasi bagi menyokong Resolusi 1973 Majlis Keselamatan PBB," kata seorang jurucakap kementerian.
Itali berkata, pesawat perangnya turut meronda di ruang udara, selepas kapal-kapal perang AS dan Britain melancarkan 110 peluru berpandu Tomahawk ke Libya lewat kelmarin dan pagi semalam.
Pengarah Turus Bersama tentera AS, Laksamana Bill Gortney memberitahu wartawan di Pentagon, tidak ada aktiviti udara atau pancaran radar baru yang dilakukan oleh tentera Libya tetapi mereka sebaliknya telah jelas mengurangkan pemantauan udara sejak serangan bermula lewat kelmarin.
Benghazi yang menjadi pangkalan pemberontak masih belum bebas daripada ancaman, kata Gortney tetapi tentera Gaddafi di kawasan itu dalam keadaan tertekan, tidak keruan dan tersisih selepas serangan udara. Reuters
+
Kubu Gaddafi musnah dibedil
TRIPOLI: Dalam tindakan yang sangat jarang diambil, pegawai Libya membawa wartawan asing melawat kubu Muammar Gaddafi semalam untuk menunjukkan bangunan yang musnah diserang tentera Bersekutu.
Tidak jauh dari khemah suram tempat Gaddafi menerima tetamunya, sebuah bangunan tiga tingkat musnah, selain sebuah lubang jelas kelihatan.
Wartawan di Tripoli mendengar satu letupan awal pagi semalam dan melihat asap berkepul dari kubu berkenaan.
Kawasan itu turut menempatkan kediaman peribadi, berek tentera dan kemudahan lain.
Bagaimanapun, tiada asap kelihatan apabila lawatan berkenaan diadakan.
Pegawai Gaddafi berkata, bangunan itu terkena peluru berpandu dan mendakwa Barat cuba membunuh pemimpin Libya itu.
Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim, berkata serangan itu tidak bertamadun.
"Ia bercanggah dengan kenyataan AS dan Barat yang menafikan mereka mensasarkan kawasan ini," katanya.
Mengesahkan tiada kecederaan berlaku dalam serangan itu, Mussa enggan menyatakan sama ada Gaddafi berada di situ ketika kejadian.
Sebelum ini, AS berkata, mereka tidak berniat mensasarkan Gaddafi ketika tentera negara itu dan sekutunya meningkatkan serangan ke atas Libya.
Tidak jauh dari situ, penyokong Gaddafi dibenarkan masuk ke kompleks berkenaan untuk menjadi benteng manusia jika serangan udara berlaku lagi.
Mereka melaungkan slogan anti-Barat, termasuk menggesa Presiden Barack Obama dibunuh.
Di belakang kawasan itu, seorang tentera mengawasi ruang udara bersama kelengkapan senjata antikapal terbang yang diletakkan di atas sebuah lori pikap.
Lewat malam kelmarin, penyokong Gaddafi melepaskan tembakan ke udara ketika sebahagian yang lain menari sambil mengibarkan bendera Libya.
Penyokong Gaddafi itu berkata, mereka rela mati untuk pemimpin terbabit.
Seorang jurutera, Muatas, 45, berkata dia sangat sayangkan Gaddafi. "Dia adalah bapa kami dan kami rela mati kerananya," katanya. - Reuters
+
Pesawat Stealth pulang selepas bom Libya
MISSOURI - Seramai enam orang juruterbang pesawat kalis radar B-2 Stealth selamat pulang ke Amerika Syarikat (AS) selepas mengharung perjalanan sejauh 18,507 kilometer dari Libya, lapor sebuah akhbar semalam.
Dipandu oleh dua pemandu setiap pesawat, mereka terpaksa berada di dalam kokpit pesawat selama 25 jam untuk menyempurnakan tugasan mengebom Libya.
Semua juruterbang itu membuat perjalanan dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri ke Libya dan kembali semula ke pangkalan.
Menurut Tentera Udara Amerika Syarikat, ketiga-tiga buah pesawat itu tiba pada pagi semalam selepas operasi pertama yang menyaksikan lebih 112 peluru berpandu Tomahawk telah dilancar dari kapal perang tentera bersekutu di Laut Mediterranean.
Tidak dapat dipastikan bagaimana para juruterbang itu mampu berjaga sepanjang Operasi Odesi Subuh itu. Tetapi sebelum ini, terdapat katil lipat di bahagian belakang tempat duduk pemandu.
Mereka juga mustahil untuk menggunakan alat kawalan pandu automatik untuk keseluruhan perjalanan, apatah lagi sewaktu mengebom sasaran kerana operasi tersebut memerlukan sepenuh perhatian. - Agensi
+
Gaddafi jadi sasaran serangan Britain
LONDON - Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox mengaku bahawa Britain menjadikan Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi sebagai sasaran sah untuk dibunuh sambil memberi jaminan orang awam akan terselamat daripada serangan tersebut, lapor sebuah akhbar semalam.
Kenyataan itu jelas bercanggah dengan kenyataan pegawai Pentagon dan pemimpin Barat lain yang menegaskan Gaddafi bukanlah sasaran operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operasi Odesi Subuh itu.
Fox juga menyatakan Britain berikrar untuk menghancurkan seluruh infrastruktur ketenteraan Gaddafi.
Dalam serangan malam kedua oleh tentera sekutu Barat, sebuah bangunan pentadbiran tiga tingkat yang terletak dalam kawasan istana Gaddafi dikenali sebagai Bab Al-Aziziya musnah sama sekali selepas dibom. Seramai 300 penyokong pemimpin itu dipercayai berada di kawasan sama semasa serangan berkenaan.
Tentera Britain membedil menggunakan peluru berpandu dalam serangan itu. Pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) pula melakukan pengeboman lanjut ke lokasi sama yang menempatkan kuarters-kuarters, berek-berek tentera, senjata anti-pesawat dan kemudahan lain.
Sekurang-kurangnya 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan oleh tentera Amerika dan Britain yang memusnahkan 20 daripada 22 sasaran yang terletak di sekitar Tripoli dan Misrata.
+
Cubaan bunuh pemimpin Libya bukan idea bijak: Gates
DALAM PESAWAT TENTERA AS: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, berkata tidak bijak bagi tentera Bersekutu cuba membunuh Muammar Gaddafi dalam serangan ke atas Libya.
Ketika ditanya mengenai gesaan rakan sejawatannya dari Britain, Liam Fox, yang mencadangkan agar serangan itu mensasarkan Gaddafi, Gates berkata, operasi itu sepatutnya kekal dalam lingkungan resolusi diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Saya berpendapat adalah penting bagi kita menjalankan operasi berdasarkan mandat PBB," katanya.
Gates yang bercakap dalam pesawat tentera Amerika yang dalam penerbangan ke Russia berkata, campur tangan di Libya itu disokong oleh "pakatan yang amat berbeza-beza" dan memberi amaran, sebarang tindakan meluaskan matlamatnya akan merumitkan keadaan.
"Saya juga berpendapat, adalah tidak bijak untuk menetapkan perkara yang anda boleh atau tidak boleh mencapainya sebagai matlamat khusus," katanya.
Dia turut memberi amaran mengenai rancangan memberi sokongan secara langsung kepada pemberontak bagi menggulingkan Gaddafi.
Katanya, isu itu perlu diselesaikan rakyat Libya sendiri. "Ada atau tidak bantuan dari luar untuk pemberontak, kita perlu tunggu dan lihat. Matlamat asalnya ialah untuk melumpuhkan pasukan tentera udara Gaddafi bagi melindungi orang awam," katanya. - AFP
+
Tentera Barat tingkat serangan
TRIPOLI: Kuasa Barat melancarkan gelombang kedua serangan udara terhadap Libya semalam selepas menyekat kemaraan tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ke Banghazi.
Mereka mensasarkan sistem pertahanan udara untuk membolehkan pesawat mereka meronda ruang angkasa negara itu.
Campur tangan yang dibenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi orang awam yang terperangkap dalam revolusi yang bermula bulan lalu untuk menentang pemerintahan 41 tahun Gaddafi diselar oleh ketua Liga Arab, Amr Mousa, yang mempersoalkan kewajaran pengeboman besar-besaran yang dikatakannya menyebabkan kematian ramai orang awam.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat yang melakukan serangan udara itu bersama-sama dengan Britain, Perancis, Itali dan Kanada berkata, kempen itu berjaya mencapai matlamat dan menolak gencatan senjata yang diumumkan oleh tentera Libya petang semalam.
Kementerian Pertahanan Britain berkata, sebuah kapal selamnya sekali lagi melepaskan peluru berpandu Tomahawk awal semalam sebagai sebahagian daripada serangan gelombang kedua untuk menguatkuasakan ketetapan PBB
"Kami dan rakan antarabangsa kami meneruskan operasi menyokong Ketetapan 1973 Majlis Keselamatan PBB," menurut seorang jurucakap kementerian.
Serangan itu adalah yang terbesar terhadap sebuah negara Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003. Ketika ditanya mengenai kenyataan Amr, Setiausaha Rendah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Michele Flournov memberitahu BBC: "Saya berpendapat ada orang yang tidak faham mengenai dimensi tentera yang diperlukan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang. Tetapi, saya boleh memberitahu anda, kami masih menerima mesej sokongan dan kenyataan yang menyokong tindakan kami daripada beberapa negara Arab."
Sementara itu, jurucakap kerajaan Perancis, Francois Baroin berkata, tidak ada maklumat yang diterima oleh markas pemerintahan tentera negara itu mengenai orang awam yang terbunuh. - AP
+
AS mahu Perancis ketuai operasi
DALAM PESAWAT TENTERA: Setiausaha pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates berkata, Pentagon menjangka akan menyerah kawalan missi tentera terhadap Libya kepada satu pakatan yang diketuai sama ada oleh Perancis dan Britain atau Nato, dalam masa beberapa hari.
Dalam kenyataan pertamanya sejak pengeboman itu dilancarkan, Gates berkata, Presiden Barack Obama merasakan perlunya mengehadkan peranan Amerika dalam operasi terhadap pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Beliau juga berkata, Presiden Amerika Syarikat itu lebih memahami berbanding orang lain mengenai tekanan yang dihadapi tentera Amerika.
"Meskipun Amerika mempunyai peranan ketenteraan dalam pakatan itu, ia tidak akan memainkan peranan yang menonjol," kata Gates.
Beliau membuat kenyataan itu ketika kapal dan pesawat Amerika meneruskan pengeboman terhadap Libya. - Reuters
+
Venezuela kecam serangan
CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez, mengecam tindakan ketenteraan antarabangsa ke atas Libya yang dianggapnya membabi-buta dan mendesak dialog diadakan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.
Sehari selepas menganggap tindakan itu hanyalah untuk merampas kekayaan petroleum oleh Barat, Chaves menuntut keganasan ke atas Libya dihentikan.
Katanya, melontarkan bom bukanlah jawapan kepada isu konflik dalaman di negara utara Afrika itu.
"Empayar Yankee (Amerika Syarikat) memutuskan untuk menyingkirkan Muammar Gaddafi dengan mengambil kesempatan atas kebangkitan rakyat.
"Melalui lautan darah, mereka mahu menguasai minyak Libya," katanya dalam ucapan mingguan, Alo Presidente yang disiarkan stesen radio dan televisyen Venezuela.
AS, Britain dan Perancis mula melancarkan serangan udara dan peluru berpandu ke atas sasaran terpilih di Libya sejak awal pagi kelmarin.
Ia diambil selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bagi melindungi rakyat yang bangkit mencabar Gaddafi di negara itu.
Chavez turut mengingatkan AS dan sekutunya supaya tidak memikirkan kaedah sama untuk menguasai minyak Venezuela.
"Jangan sekali-kali berfikir untuk datang ke Venezuela," katanya.
Chavez pernah membandingkan Gaddafi dengan wira pembebasan Amerika Latin, Simon Bolivar dan mengkritik masyarakat antarabangsa kerana enggan menerima cadangannya mencari penyelesaian di Libya. - AFP
+
AS, sekutu langgar undang-undang antarabangsa: China
BEIJING: Akhbar rasmi China, semalam meningkatkan bantahan terhadap serangan udara Barat ke atas Libya dengan menuduh negara yang menyokong serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa serta bertindak untuk mewujudkan kekacauan baru di TImur Tengah.
Kecaman paling serius mengenai serangan terhadap tentera Muammar Gaddafi itu disiarkan dalam akhbar People's Daily, akhbar rasmi Parti Komunis yang memerintah China, sekali gus membayangkan bagaimana konflik itu menjadi pertelingkahan baru antara Beijing dengan Washington.
Akhbar itu menuduh Amerika Syarikat dan sekutunya mencabuli undang-undang antarabangsa. Ia menyamakan serangan itu dengan pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat terhadap Iraq pada 2003 dan berpendapat ia sebahagian daripada taktik Barat dalam mencampuri hal ehwal negara lain.
"Apa yang dilalui Iraq selama lapan tahun dan penderitaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata rakyatnya sepatut menjadi pengajaran. Serangan terhadap Libya menyusuli perang di Afghanistan dan Iraq, kali ketiga beberapa negara melancarkan tindakan ketenteraan terhadap negara yang merdeka dan berdaulat," kata akhbar itu.
"Setiap minit tindakan ketenteraan dilakukan untuk menangani krisis adalah tamparan kepada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan peraturan dalam hubungan antarabangsa," tambah kenyataan itu. - Reuters
+
Kubur jadi bukti
TRIPOLI: Pegawai kerajaan Libya semalam menunjukkan kawasan perkuburan yang didakwa menempatkan mangsa serangan tentera Bersekutu ke atas negara itu.
Sambil diiringi anggota keselamatan, wartawan asing melihat kemarahan penyokong Muammar Gaddafi terhadap serangan peluru berpandu awal pagi kelmarin.
Waris mangsa memberikan kenyataan berbeza-beza mengenai apa sebenarnya berlaku sehingga saudara-mara mereka terbunuh.
Seorang lelaki, Muhammad Salim, berkata serangan udara itu memusnahkan rumah anak saudaranya sehingga budak perempuan berusia tiga setengah bulan terbabit terbunuh. Katanya, ibu mangsa pula cedera.
Bagaimanapun, bapa budak itu mendakwa serangan berkenaan tidak menyebabkan sesiapa tercedera.
Seorang remaja pula mempertikaikan apa yang berlaku itu kerana membunuh orang tidak berdosa.
"Inikah mereka anggap demokrasi? Semua ini tidak lebih daripada pembunuhan orang awam dan bayi!" katanya.
Mereka kemudian menggesa supaya jihad dilancarkan bagi mempertahankan Libya.
Kematian seorang daripada mangsa, Ramadan al-Zirgany, turut menimbulkan kekeliruan. Ketika sesetengah saksi berkata Ramadan bekerja sebagai pemandu teksi, saksi lain mendakwa dia sebenarnya menganggur.
Mereka juga gagal bersepakat mengenai usia dan bagaimana Ramadan terbunuh. Sebahagian mendakwa Ramadan terbunuh akibat dihempap dinding konkrit yang runtuh selepas terkena bom. Saksi lain mendakwa Ramadan terbunuh apabila kereta dinaikinya terkena peluru berpandu.
Penduduk lain pula mengadu Libya sengaja dipilih negara kuasa besar Barat yang mengamalkan dasar talam dua muka.
Mereka mempertikaikan mengapa tindakan ketenteraan hanya dilakukan di Libya dan Barat tidak berbuat apa-apa terhadap krisis di Bahrain dan Yaman.
Pekerja syarikat bekalan air, Muhammad al-Himalee, 30, berkata apa yang berlaku adalah konspirasi jahat Barat ke atas Libya.
"Apa yang berlaku tidak ada kena-mengena dengan kerajaan Libya," katanya.
Bagaimanapun, semua penduduk yang hadir di tanah perkuburan itu bersetuju bahawa Libya menjadi sasaran kerana simpanan petroleumnya.
Peniaga pakaian, Ahmad al-Dawee, 30, berkata jika Barat mahu menguasai minyak Libya, mengapa mereka mesti membunuh orang awam.
"Jika mereka mahu mencuri minyak kami, silakan, tapi kami akan membakar mereka sepanjang proses itu," katanya.
Seorang pegawai perubatan kerajaan Libya berkata, seramai 64 orang terbunuh dalam serangan terbesar di rantau Arab sejak penaklukan Iraq pada 2003 itu. - Reuters
+
Mesir enggan sekongkol
KAHERAH: Mesir memutuskan tidak mengambil bahagian dalam operasi ketenteraan terhadap negara jirannya, Libya, atas alasan keselamatan dalam negeri serta hakikat terlalu ramai rakyat Mesir menetap di negara itu.
Menteri Luar, Nabil Eraby, berkata Mesir - yang menyaksikan kebangkitan rakyatnya menggulingkan Hosni Mubarak dan membantu mencetuskan revolusi di Libya - menyokong gesaan Liga Arab supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan zon larangan terbang di ruang udara negara berkenaan semata-mata atas alasan kemanusiaan.
"Mesir sama sekali tidak berkata akan mengambil bahagian dalam pakatan tentera antarabangsa terhadap Libya atas alasan yang berkaitan keselamatan dalam negeri serta sejumlah besar warga kita tinggal di negara itu," katanya.
Mesir diperintah oleh junta tentera sejak kebangkitan rakyat berjaya menggulingkan Hosni pada 11 Februari lalu.
Lebih sejuta rakyat Mesir bekerja di Libya apabila revolusi menentang Muammar Gaddafi bermula pertengahan Februari lalu. Sejak konflik itu tercetus, puluhan ribu meninggalkan negara berkenaan.
Mesir dan Libya berkongsi sempadan sepanjang 1,000 kilometer dari pantai Laut Mediterranean hingga ke padang pasir Sahara. Kedua-dua negara itu pernah berperang pada 1977.
Sementara itu, Qatar mengumumkan pendirian untuk mengambil bahagian dalam tindakan ketenteraan terhadap Libya. - AP
+
Ban beri kata dua
KAHERAH: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata Libya mesti menghentikan keganasan ke atas pemberontak negara itu sebelum boleh berunding mengenai serangan tentera antarabangsa terhadap rejim Muammar Gaddafi.
Kata Ban, dia juga berharap pemimpin Libya itu berpegang kepada janjinya selepas membuat gencatan senjata baru semalam.
Bercakap pada permulaan lawatan sehari ke Kaherah, Ban berkata, menamatkan serangan ke atas kubu pemberontak di Benghazi adalah permulaan kepada penyelesaian krisis berkenaan.
"Saya sangat berharap dan menggesa pihak berkuasa Libya berpegang kepada janjinya," katanya.
Gaddafi mengumumkan gencatan senjata sebagai tindak balas gesaan Kesatuan Afrika bagi menyelesaikan konflik di Libya.
Kata Ban, Gaddafi menelefonnya sekurang-kurangnya dia kali sejak beberapa hari lalu. "Mereka terus menyerang orang awam.
"Justeru, tawaran gencatan senjata ini mesti dibuktikan dengan perbuatan," katanya. - AFP
+
Qatar, UAE pertahan tindakan, kecam Iran
ABU DHABI: Negara Teluk semalam menolak campur tangan Iran dan asing dalam hal ehwal dalaman negara mereka.
Mereka juga berkata, Qatar serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengambil bahagian dalam operasi ketenteraan terhadap Libya kerana keselamatan.
Setiausaha Agung Majlis Kerja Sama Teluk, Abdul Rahman al-Attiyah, berkata pertubuhan itu menolak keras sebarang usaha campur tangan asing, termasuk Iran, dalam hal ehwal dalaman negara terbabit.
Abdul Rahman bercakap kepada wartawan di satu persidangan di Abu Dhabi ketika ditanya mengenai bantuan tentera Arab Saudi dan UAE kepada kerajaan Bahrain dalam menangani tunjuk perasaan.
Apabila ditanya mengenai pembabitan UAE dan Qatar dalam operasi ketenteraan diketuai negara kuasa besar Barat melancarkan serangan terhadap pemimpin Libnya, Muammar Gaddafi, Abdul Rahman berkata, mereka menyertainya atas faktor keselamatan.
"Kami juga menyokong operasi pakatan tentera Bersekutu itu kerana ia selaras dengan ketetapan diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini" katanya. - Reuters
+
Nato bantu sekat senjata
BRUSSELS: Duta Nato meluluskan pelan operasi pertubuhan itu bagi membantu menguatkuasakan sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas Libya, semalam.
Dalam kenyataan itu, pegawai Nato berkata, Turki pada awalnya menentang campur tangan di Libya.
Wakil dari 28 anggota Nato akan bertemu sekali lagi hari ini untuk mencari persetujuan mengenai pelaksanaan pelan sekatan senjata itu.
Jika diluluskan, ia mungkin membabitkan penggunaan pesawat udara dan laut Nato bagi menghalang sebarang senjata tiba kepada tentera Muammar Gaddafi.
Sebahagian daripada anggota Nato - diketuai Amerika Syarikat, Perancis dan Britain - mengambil bahagian dalam serangan udara ke atas Libya awal pagi kelmarin.
Bagaimanapun, Nato sebagai sebuah pertubuhan - yang bertindak hanya melalui persetujuan anggotanya, masih berbelah-bagi sama ada perlu terbabit atau sebaliknya.
Jerman turut menyatakan bantahan terhadap campur tangan asing di Libya.
Diplomat berkata, Perancis juga membantah pembabitan Nato dengan mengambil kira kesan reputasi pertubuhan itu di kalangan negara Arab. Sumber berkata, AS dan Kanada adalah antara negara yang mahu Nato mengepalai operasi di Libya. - Reuters
..
Rabu, Mac 23, 2011
|
0
komentar ::
Blog Gadgets

,

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang Libya & Pengganas silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "