
Tentera Gaddafi bedil masjid.
BENGHAZI 24 Feb. - Tentera Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi hari ini membedil menara sebuah masjid dengan peluru berpandu antipesawat udara dan senjata automatik selepas berpuluh-puluh penunjuk perasaan antikerajaan enggan meninggalkan kawasan masjid itu.
Ramai penunjuk perasaan yang berkhemah di dalam dan luar masjid itu terbunuh atau cedera dalam serangan ke atas bandar Zawiya, 50 kilometer ke barat Tripoli, menurut seorang saksi yang tidak dapat menyatakan angka sebenar.
Tentera dan militia yang pro-Gaddafi bertindak balas dengan ganas apabila pemimpin veteran itu menyaksikan cengkamannya semakin longgar, selepas Zawiya dan bandar serta pekan lain yang dekat dengan ibu negara jatuh ke tangan pemberontak.
Setelah hampir seluruh bahagian timur negara ini dikuasai oleh penunjuk perasaan, mereka berikrar pula untuk 'membebaskan' Tripoli, di mana Gaddafi bertahan dengan pasukan militia meronda di jalan raya dan kereta kebal berkawal di pinggir ibu negara.
Saksi berkata, serangan ke atas masjid itu berlaku pada 9 pagi ini (3 petang waktu Malaysia), sehari selepas seorang pegawai Gaddafi bernama Abdullah Megrahi datang ke Zawiya dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya 'beredar atau mereka akan menyaksikan pembunuhan beramai-ramai'.
"Kami memberitahunya kami tidak akan berganjak, sama ada kami mati atau mencapai kemenangan," kata saksi itu.
Pihak berkuasa sebelum itu menggesa penunjuk perasaan menyerahkan senjata mereka dan menawarkan hadiah wang tunai kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat mengenai para pemimpin protes.
Sementara itu, Gaddafi semakin hilang penguasaan ke atas beberapa wilayah hari ini selepas kawasan yang terlepas daripada kawalannya semakin meluas di sebelah timur negara ini termasuk beberapa bandar berhampiran ibu negara Tripoli.
Terdapat empat lokasi strategik yang akan menjadi kunci penentu sama ada Gaddafi mampu terus bertahan atau sebaliknya iaitu ibu negara Tripoli, bandar padang pasir tempat kelahiran Gaddafi di Sirte di sebelah timur dan terminal minyak di Teluk Sirte di Ras Lanuf serta bandar Marsa el-Brega .
Bandar, Benghazi tempat bermula pemberontakan sejak lapan hari lalu telah jatuh ke tangan penunjuk perasaan antikerajaan.
''Kita tahu... Benghazi pada dasarnya telah mengisytiharkan merdeka daripada Tripoli,'' kata penaganalisis Peter Zeihan yang berpangkalan di Stratfor Amerika Syarikat.
Satu laporan dalam Facebook menyatakan berlaku pertempuran di Garyan kira-kira 100 kilometer di sebelah selatan Tripoli.
Wartawan asing melaporkan sukar untuk mendapatkan pengesahan apa yang sebenarnya sedang berlaku di Libya sekarang. - AP/Reuters
+
Operasi minyak di Libya dihenti
NEW YORK 24 Feb. - Operasi pengeluaran minyak di Libya mula terhenti secara perlahan-lahan semalam ekoran syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di negara itu menutup kemudahan mereka selepas tunjuk perasaan di negara itu berterusan.
Eni, syarikat dari Itali yang merupakan firma minyak terbesar di Libya dan firma minyak dari Sepanyol, Repsol berkata, mereka telah menggantung beberapa operasi pengeluaran mereka di negara itu.
Syarikat minyak Total dari Perancis, BASF dari Jerman dan OMV dari Australia turut menyatakan bahawa mereka akan mengurangkan atau menghentikan pengeluaran di negara di utara Afrika itu.
Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilaporkan telah mengarahkan perkhidmatan keselamatan untuk mensabotaj kemudahan minyak, menurut Time Magazine, semalam.
Menurut Eni, saluran paip bawah Laut Mediterranean dari Libya ke Itali yang membekalkan 10 peratus gas ke negara Eropah itu turut telah dihentikan.
Sementara itu, beberapa buah negara sedang berusaha mengeluarkan rakyat mereka dari negara bergolak itu.
Sebuah pesawat milik Ireland mendarat di Tripoli semalam untuk membawa pulang rakyat Ireland di Libya, tetapi dihalang pengawal keselamatan Libya.
Menurut Kementerian Luar Ireland, pesawat tersebut kemudian terbang pulang ke Malta setelah berada selama empat jam di sana.
Kedutaan China di Libya pula berusaha menguruskan pemindahan rakyatnya di negara itu menerusi udara, laut dan darat hari ini. Penerbangan pemindahan pertama dijangka tiba di China, hari ini.
Kedutaan China di Tunisia berkata, kedutaan tersebut menguruskan 30 buah bas untuk memindahkan seramai 2,900 rakyat China yang terkandas di pusat pemeriksaan sempadan Ras Jedir dan akan membawa mereka ke Girba, sebuah kawasan peranginan di Tunisia, sebelum membawa mereka pulang menggunakan pesawat.
Sementara itu, pejabat Luar Negara Britain memberitahu bahawa sebuah pesawat dijadual tiba di Tripoli hari ini untuk memindahkan kira-kira 300 rakyatnya di Libya dan pesawat kedua akan tiba tidak lama lagi. - AGENSI
+
Gaddafi arah serangan di Lockerbie?
LIBYA 24 Feb. Bekas menteri keadilan Libya berkata, beliau mempunyai bukti pemimpin Muammar Gaddafi terlibat mengarahkan serangan ke atas jet syarikat penerbangan Pan American 103 yang meletup di Scotland pada 1988 mengakibatkan 270 orang terbunuh.
Pendedahan itu dibuat ketika pemberontakan rakyat Libya semakin memuncak menuntut Gaddafi meletakkan jawatan.
Semalam, Mustafa Abdel-Jalil yang meletakkan jawatan sebagai protes terhadap tindakan kekerasan rejim Gaddafi terhadap penunjuk perasaan antikerajaan berkata, Gaddafi mengarahkan Abdelbaset al-Megrahi meletakkan sebutir bom di dalam jet itu yang membunuh semua 259 orang di dalam pesawat tersebut dan 11 orang lagi di darat.
Al-Megrahi, 58, adalah satu-satunya individu yang dihukum ekoran kejadian pada 21 Disember, 1988 ketika jet itu dalam perjalanan dari London ke New York.
Dia dipenjarakan pada 2001, tetapi dibebaskan atas dasar peri kemanusiaan pada 2009 kerana tenat akibat kanser.
"Saya mempunyai bukti Gaddafi mengeluarkan arahan dalam serangan di Lockerbie.
"Untuk menyembunyikan rahsia itu, Gaddafi melakukan segala usaha untuk mendapatkan al-Megrahi dikembali ke Libya dari Scotland," kata Mustafa. - Agensi
+
Keganasan rejim Libya didedah
Gaddafi izin tentera tembak sesuka hati
PARIS: Seramai 2,000 orang terbunuh di Libya selepas pemimpinnya, Muammar Gaddafi mengizinkan anggota keselamatan mengganas bagi menghentikan protes antipemerintah, kata seorang menteri kanan Itali dan bekas pegawai kanan Tripoli.
Ini didedahkan oleh duta hak asasi Perancis, Francois Zimeray dalam wawancara dengan agensi berita.
"Kekacauan dan pertumpahan darah itu umpama pengusiran pengikut Nabi Musa oleh Firaun," kata Menteri Luar Itali, Franco Frattini sambil meramalkan beribu-ribu warga Libya akan lari ke negaranya.
Awalnya, angka korban itu didedahkan oleh ketua protokol Muammar Gaddafi, Nouri el-Mismari, sambil menambah lebih 600 daripada mangsa terbunuh di Tripoli.
Mismari yang berkunjung ke Perancis lewat tahun lalu atas alasan kesihatan, berkata pemberontakan itu setakat ini menyebabkan 'lebih 1,000 orang maut di seluruh Libya' namun tidak menjelaskan sumber anggaran.
Selasa lalu, rejim Libya berkata, 300 orang terkorban dalam bantahan, namun Persekutuan Hak Asasi Antarabangsa (IFHR) pula melaporkan sekurang-kurangnya 640 orang maut.
"Keadaan ini amat serius, rakyat Libya tidak akan berhenti untuk menamatkan pemerintahan 41 tahun. Ini adalah kebangkitan menamatkan pemerintahan Gaddafi. Malah, sokongan kepada Gaddafi tidak sampai lima peratus," kata Mismari.
Anggota puak yang menyokongnya tidak 'berjuang untuk Gaddafi tetapi untuk diri mereka,' tambahnya.
Mismari juga mendakwa, askar upahan yang melakukan pembunuhan terhadap rakyat Libya secara besar-besaran.
"Mereka tembak membabi buta sementara tentera udara tidak akan menembak rakyat," katanya lagi.
"Gaddafi amat bertuah jika mati. Jika tidak, rakyat mahukan beliau dibicarakan seperti Saddam Hussein."
Rejim Gaddafi kehilangan kawasan meluas di timur Libya terhadap pemberontakan itu, ia muncul kelmarin ketika Barat bersiap sedia untuk mengeluarkan rakyatnya secara besar-besaran daripada 'pertumpahan darah' di negara Afrika Utara itu.
Katanya, Gaddafi memakai baju kalis peluru di sebalik pakaiannya dan alat perlindungan di bawah serbannya ketika berucap di televisyen Selasa lalu apabila beliau mengarahkan pasukan keselamatan menyuraikan pemberontakan. - Agensi
+
Penentang kuasai lebih banyak bandar
TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilapor semakin hillang penguasaan terhadap lebih banyak bandar ketika kumpulan antikerajaan meneruskan tunjuk peerasaan di negara Afrika Utara itu meskipun beliau mengancam tindak balas ganas.
Penunjuk perasaan di Misurata, barat Libya, berkata, mereka sudah menguasai bandar berkenaan. Dalam kenyataan menerusi Internet, pegawai tentera yang ditempatkan di bandar berkenaan menyatakan ikrar mereka untuk menyokong penunjuk perasaan sepenuhnya.
Penunjuk perasaan juga dilihat menguasai sebahagian besar wilayah timur negara itu dan seorang koresponden televisyen Al-Jazeera yang melaporkan dari bandar Tobruk, 140 kilometer dari sempadan Mesir berkata, tidak ada anggota keselamatan kelihatan di bandar berkenaan.
"Daripada apa yang saya lihat, saya boleh berkata penduduk di timur Libya menguasai wilayah itu," kata wartawan Al-Jazeera, Hoda Abdel Hamid.
Menurutnya, tidak ada pegawai yang mengendalikan pintu sempadan ketika krew stesen televisyen itu menyeberang masuk ke Libya.
"Di sepanjang sempadan, kami tidak menemui seorang pun anggota polis atau tentera. Penduduk memberitahu kami, mereka sudah melarikan diri atau bersembunyi dan yang berkuasa ketika ini ialah penduduk. Keadaan ini berlaku di Tobruk hingga ke Benghazi. Saya juga diberitahu, keadaan agak tenang di Baida dan Benghazi. Namun di sebelah malam, menurut penduduk, terdapat kumpulan militia berkeliaran di jalan raya. Mereka adalah lelaki Afrika yang bercakap Perancis. Penduduk yakin kumpulan itu berasal dari Chad," kata Hoda.
Pemerintah tentera di Tobruk, Mejar Jeneral Suleiman Mahmoud memberitahu Al Jazeera, pasukan yang diketuainya sudah berpaling tadah untuk menyokong penunjuk perasaan.
"Kami kini berpihak kepada rakyat. Saya bersama-sama Gaddafi sebelum ini tetapi keadaan sudah berubah. Dia seorang yang zalim," kata pegawai tentera itu.
Benghazi, bandar kedua terbesar Libya menjadi tempat pertama kebangkitan rayat dalam menentang pemerintahan 42 tahun Gaddafi lebih seminggu lalu, sebelum ia merebak ke bandar lain. Al-Jazeera
+
Gaddafi arah serang balas penentang
BENGHAZI: Anggota keselamatan yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, melancarkan serangan balas semalam, ketika kumpulan pemberontak terus meningkatkan ancaman terhadap kedudukan beliau dengan menawan beberapa bandar penting berhampiran ibu negara, Tripoli.
Kebimbangan terhadap kemungkinan perang saudara besar-besaran di negara Afrika Utara itu mendorong pelbagai negara termasuk Kanada dan China menyewa feri dan pesawat untuk membawa keluar rakyat mereka, walaupun masalah komunikasi berlaku dan keganasan berterusan.
Beribu-ribu warga asing memenuhi lapangan terbang Tripoli dengan harapan dapat meninggalkan Libya yang kacau bilau, manakala mereka yang berjaya keluar menyifatkan keadaan semakin buruk dengan makanan dan bekalan air kian berkurangan.
Pemimpin dunia mengecam serangan balas berdarah dilakukan Gaddafi bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang memecah-belahkan Libya, manakala Presiden Amerika, Barack Obama ketika membuat ulasan pertamanya, mengecam tindakan itu sebagai 'memalukan' dan 'tidak boleh diterima sama sekali'.
Obama juga mengarahkan pentadbirannya bersedia dengan pelbagai pilihan termasuk kemungkinan mengenakan sekatan yang boleh membekukan aset dan melarang pegawai Libya melakukan perjalanan ke Amerika.
Satu lagi cadangan yang semakin mendapat sokongan ialah meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan zon larangan terbang ke atas Libya bagi menghalang negara itu menggunakan pesawatnya untuk menyerang penunjuk perasaan.
Pesuruhjaya PBB Bagi Hak Asasi Manusia, Ravi Pillay, berkata, jika laporan serangan itu disahkan, 'perlindungan segera perlu diberikan kepada rakyat Libya'.
Pembangkang sudah menguasai bandar utama di timur termasuk Benghazi, manakala laporan bahawa bandar Misrata dan Zuara di Barat juga jatuh ke tangan mereka membawa pemberontak semakin hampir ke kawasan dikuasai Gaddafi.
Pasukan yang setia kepada Gaddafi, semalam menyerang militia anti kerajaan yang menguasai Misrata dan membunuh beberapa pemberontak dalam pertempuran berhampiran lapangan terbang bandaraya itu.
"Briged yang pro-Gaddafi berjaya menguasai lokasi terbabit, tetapi kami masih berusaha untuk mengusir mereka. Pertempuran masih berlaku sekarang," kata saksi kepada Reuters.
Keganasan juga melanda bandar Az-Zawiyah 50 kilometer ke barat Tripoli. Reuters
+
Warga asing tinggalkan Libya
PARIS: Kerajaan di seluruh dunia semalam bergegas membawa pulang warga masing-masing dari Libya.
Kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya perang saudara besar-besaran mendorong negara dari Kanada hingga ke China untuk menyewa feri dan pesawat bagi membawa keluar rakyat mereka ke kawasan selamat.
Ribuan warga asing bersesak-sesak di lapangan terbang Tripoli dengan harapan untuk menyelamatkan diri selepas keadaan keselamatan di Libya semakin meruncing.
Mereka yang berjaya melarikan diri menceritakan suasana anarki yang berlaku di negara berkenaan dengan bekalan air dan makanan semakin berkurangan. - Reuters
+
Gaddafi diramal bunuh diri
STOCKHOLM: Seorang bekas menteri Muammar Gaddafi semalam meramalkan pemimpin Libya itu akan mengikut jejak langkah Adolf Hitler dengan membunuh diri daripada menyerah kuasa.
Mustapha Abdeljalil, yang menjadi Menteri Kehakiman sehingga beliau meletak jawatan minggu lalu kerana membantah tindakan ganas rejim Gaddafi terhadap penunjuk perasaan memberitahu akhbar Sweden, Expressen, beliau menjangka Gaddafi akan melaksanakan ikrarnya untuk mati di bumi Libya daripada hidup dalam buangan.
"Masa Gaddafi sudah berakhir. Beliau akan mengikut jejak langkah Hitler. Beliau akan membunuh diri," kata Mustapha.
Hitler membunuh diri dalam kubunya di Berlin pada April 1945 selepas menyaksikan perpecahan empayar Nazi Jerman.
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman web akhbar itu, Mustapha berkata, Gaddafi secara peribadi mengarahkan pengeboman pesawat di ruang udara Lockerbie pada 1988 yang menyebabkan 270 penumpang terbunuh dan berkata, beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan itu. - AP
Adam Merah
,
Sabtu, Februari 26, 2011
|
0
komentar ::
Blog Gadgets
...lagi Artikel yang Berkaitan :
Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah
JOIN TO MEMBER BLOG
atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
Author / Penulis
PENULIS
Adam Merah
CHAIRMAN :: Saya bermula di blog ini pada februari 2007 selepas dijemput oleh Mr. Ttuyup. Pada bulan november 2007 saya mengambilalih sepenuhnya bloh ini daripada Mr. Ttuyup, tetapi bermula Mac 2008 saya mengubah bentuk dan corak penampilan blog ini. Saya pernah mengubah alamat blog ini kepada www.red10.tk yang diperolehi secara percuma. Selepas setahun kemudian alamat ini dipadamkan selepas pihak terbabit mengenakan bayaran.
The Blog 2x5

Anda sedang membaca artikel tentang
Berita Semalam dari Libya silahkan Anda COPAS di situs anda atau sebar luaskan artikel ini, jangan lupa untuk meletakkan link dibawah ini sebagai sumbernya...!!!
0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "