Ibu bapa bantah Sonia
NEW DELHI 19 Dis. - Ibu bapa pemimpin Parti Kongres India, Sonia Gandhi menentang perkahwinannya dengan bekas Perdana Menteri, Rajiv Gandhi, menurut kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) yang didedahkan oleh WikiLeaks semalam.
Sonia juga dilaporkan pernah berkata pada Ogos 2006, beliau 'akan menulis sebuah buku suatu hari nanti bagi menceritakan segala-galanya' tentang keengganan beliau untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2004 selepas merencanakan kemenangan mengejut Kongres pada pilihan raya.
Kenyataan terus-terang itu dibuat dalam perbualan dengan Maria Shriver, isteri Gabenor California, Arnold Schwarzenegger dan terkandung dalam satu kabel bertanda 'sulit' mengenai pertemuan tersebut semasa Shriver melakukan lawatan rasmi ke India.
Judul kabel A garrulous Sonia Gandhi opens up to Maria Shriver (Sonia Gandhi yang suka bercakap berterus-terang kepada Maria Shriver) menggambarkan bagaimana pemimpin India yang biasanya pendiam itu bercakap dengan bebas.
Menurut kabel itu, Sonia yang tiba di India sebagai seorang pengantin pemalu berusia awal 20-an dan yang biasanya 'pendiam di khalayak ramai', mendedahkan beberapa perkara tentang dirinya semasa bercakap mengenai isu-isu wanita dan kehidupan politik.
Sonia mendedahkan ibu bapanya sendiri membantah perkahwinannya dengan Rajiv Gandhi tetapi beliau 'membenci pendirian mereka' dan meneruskan hasratnya untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya itu.
Rajiv Gandhi menjadi Perdana Menteri pada 1984 dan terbunuh pada 1991 dalam satu serangan pengebom berani mati wanita.
Sonia yang merupakan anak kepada seorang kontraktor binaan di Itali, bertemu dengan bakal suaminya semasa kedua-duanya menuntut di Universiti Cambridge.
Selepas berkahwin, Sonia berubah menjadi seorang wanita India yang berpakaian sari dan fasih berbahasa Hindi.
Kehidupannya dalam keluarga Gandhi, terutamanya semasa ibu mertuanya Indira menjadi Perdana Menteri sebelum beliau mati dibunuh pada 1984, memberinya kefahaman mendalam tentang politik India yang selalu bergolak. - AFP
+
WikiLeaks masih berfungsi
ELLINGHAM, United Kingdom - Bekas penggodam yang kini menjadi amat terkenal, Julian Assange semalam menyatakan laman web WikiLeaks yang diasaskannya masih berfungsi dengan lancar walaupun Bank of America menghentikan transaksi kewangan ke laman itu.
Dia membuat kenyataan itu semasa tinggal di rumah rakannya yang juga seorang wartawan di sini setelah dibebaskan daripada tahanan dengan ikat jamin pada Khamis lepas.
Assange ditahan atas dakwaan dia mencabul dan merogol dua wanita di Sweden.
Penggodam yang juga wartawan itu ditahan pada 7 Disember lalu oleh polis Britain semasa dia berada di Britain.
Namun, dia perlu melaporkan diri di sebuah balai polis berhampiran dan memakai tag elektronik.
Menurut pihak Bank of America, pihaknya menghalang transaksi itu kerana percaya bahawa WikiLeaks mungkin terlibat dengan aktiviti yang tidak sesuai dengan dasar dalaman bank berkenaan.
Sebelum ini, MasterCard, PayPal dan Visa Europe turut menghalang transaksi ke laman berkenaan.
Laman web WikiLeaks telah mendedahkan lebih 250,000 kabel diplomatik yang mengandungi maklumat sulit Amerika Syarikat (AS).
Maklumat itu turut mengandungi komen pemimpin AS terhadap ketua kerajaan negara lain.
"Kita merupakan pertubuhan yang kuat. Semasa saya berada di dalam kurungan, kami meneruskan penyiaran maklumat pada setiap hari dan ia tidak akan berubah," kata Assange.
Dalam perkembangan pendedahan WikiLeaks kelmarin, pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyatakan siasatan sedang dilakukan berhubung dakwaan Presiden Sudan, Omar al-Bashir memasukkan AS$9 bilion (RM28.21 bilion) ke dalam akaun-akaun bank. - Agensi
+
Rumitkan diplomasi antarabangsa
GENEVA 18 Dis. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyifatkan pendedahan dokumen sulit oleh WikiLeaks sebagai tidak patut dan akan merumitkan diplomasi antarabangsa.
"Pendedahan dokumen ini sesuatu yang tidak patut berlaku kerana akan menyukarkan urusan secara normal dan waras, terutamanya dalam dunia diplomatik," katanya.
Selama beberapa minggu ini, pengasas WikiLeaks, Julian Assange dan rakan-rakannya mendedahkan kabel diplomatik rahsia Amerika Syarikat (AS) di laman web mereka dan bekerjasama dengan akhbar di seluruh dunia untuk memperluaskan siarannya.
Beberapa pendedahan sebelum ini telah pun memalukan AS dan beberapa negara lain.
Ki-moon sendiri turut tidak terkecuali daripada pendedahan WikiLeaks itu.
Menurut kabel itu, Jabatan Negara AS meminta wakil AS di ibu pejabat PBB dan di tempat lain untuk mendapatkan kad kredit dan nombor penerbangan yang selalu digunakan, nombor telefon bimbit dan beberapa data rahsia lain daripada pegawai-pegawai PBB dan diplomat asing.
Setiausaha Agung PBB itu bagaimanapun, menolak untuk mengulas berhubung kes mahkamah Assange di Berlin, di mana pengasas WikiLeaks itu berusaha menentang permintaan Sweden untuk mengekstradisinya.
Beliau bagaimanapun berkata, sesetengah maklumat perlu dirahsiakan. Banyak negara terus menyimpan dokumen sulit untuk tempoh 30 tahun atau lebih.
"Perlu ada pertimbangan antara hak mengetahui maklumat dengan kebebasan pendedahan untuk memelihara kerahsiaan diplomasi,'' ujarnya. - Reuters
+
Steven Spielberg diboikot 14 negara Arab
LONDON 18 Dis. - Satu kabel WikiLeaks mendedahkan penerbit filem terkenal berketurunan Yahudi, Steven Spielberg dan yayasan miliknya, Righteous Persons Foundation diboikot oleh Liga Arab pada 2007.
Spielberg disenarai hitamkan oleh Pejabat Boikot Liga Arab selepas dia menderma sebanyak AS$1 juta (RM3.2 juta) kepada Israel semasa konflik bersenjata di Lebanon pada 2006.
Satu memo Kedutaan Amerika Syarikat yang didedahkan oleh WikiLeaks menunjukkan semasa persidangan Liga Arab pada April 2007, diplomat atau wakil dari 14 negara mengundi untuk menggantung semua filem dan produk-produk lain berkaitan dengan Spielberg atau yayasan miliknya.
Menurut memo itu, ketua jabatan pemboikotan serantau terhadap Israel dari Syria, Muhammad al-Ajami berkatam Algeria, Iraq, Lebanon, Kuwait, Libya, Maghribi, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Sudan, Syria, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu dan Yemen bersetuju untuk menggantung semua hasil kerja Spielberg.
Malaysia, Iran, Pakistan dan Indonesia yang turut hadir pada sidang itu menyokong keputusan itu. Memo dari Kedutaan Amerika di Damsyek ke Washington menyatakan bahawa 'negara tersebut dan negara lain akan melaksanakan penggantungan mereka sendiri, sama seperti yang diambil oleh negara Arab'.
Pada mesyuarat itu, syarikat Estée Lauder juga disenarai hitamkan manakala firma kewangan, Merrill Lynch diletakkan dalam 'senarai pengawasan'.
Negara Arab tunggal yang tidak menghadiri mesyuarat itu ialah negara yang memeterai perjanjian damai dengan Israel iaitu Mesir, Mauritania dan Jordan. Tidak hadir ialah Djibouti dan Somalia.
Jurucakap bagi Spielberg, Marvin Levy berkata, tatkala pihaknya tidak boleh memberi ulasan mengenai kabel yang dibocorkan rahsia itu, ia tahu bahawa filem-filem dan DVD telah dijual ke seluruh dunia menerusi saluran pengedaran biasa selama ini.
Jurucakap Majlis Pemahaman Arab-British, Chris Doyle berkata, boikot itu adalah reaksi yang boleh difahami sebagai tindak balas kepada derma Spielberg itu.
''Ia adalah konsisten dengan keputusan lain sebelum ini terhadap syarikat atau individu yang telah melakukan perkara sama.
''Sumbangan derma itu dilihat sebagai hipokrit di pihak Spielberg memandangkan pendirian etika yang diambil oleh Spielberg dalam isu lain termasuk Darfur, malah ia boleh mengakibatkan lebih banyak kemarahan.
''Malah pemaparan watak orang Arab dalam filem Raiders of the Lost Ark adalah sangat buruk, macam kartun dan penuh dengan stereotaip,'' katanya.
Spielberg menubuhkan yayasan Righteous Persons pada 1994. Menggunakan hasil keuntungan dari filem Schindler's List dan Munich, yayasan itu memberi tumpuan bagi mewujudkan masyarakat Yahudi yang teguh di Amerika Syarikat. - AGENSI
+
WikiLeaks sasar Bank of America
NEW YORK: Pengasas WikiLekas, Jilian Assange semalam berikrar untuk membocorkan maklumat mengenai bank pula kerana pertubuhan pimpinannya sering menjadi sasaran serangan institusi kewangan tertentu.
Assange berkata, kebocoran maklumat bank terbabit akan memberikan gambaran sebenar mengenai bagaimana institusi itu bertindak di peringkat eksekutif dalam cara akan merangsang siasatan dan perbaharuan.'
Rakyat Australia itu berkata, beliau bersedia untuk mendedahkan berpuluh ribu dokumen yang mungkin akan menjatuhkan satu atau dua bank. Sasaran utama adalah Bank of America, berdasarkan komen tahun lalu daripada Assange.
Selepas menyiarkan beribu-ribu kabel diplomatik rahsia, Assange ditahan kerana serangan seksual dan menyaksikan sekurang-kurangnya satu akaun bank Switzerland dibekukan.
Bank of America pula menyertai langkah MasterCard, PayPal, Visa Europe dan agensi perbankan lain untuk tidak memproses transaksi WikiLeaks.
Sementara itu, di STOCKHOLM, dua wanita Sweden yang menuduh Assange merogol, melakukan pencabulan seksual secara paksaan didedahkan sebagai aktivis wanita berusia 31 tahun dan seorang peminatnya berusia 27 tahun.
Sejak kes itu didedahkan, mereka mula menjauhkan diri daripada menjadi tumpuan dengan seorang daripadanya ke wilayah Palestin untuk misi Kristian manakala seorang lagi memotong talian telefonnya.
Identiti mereka dirahsiakan oleh pendakwa Sweden. Mereka dinamakan sebagai Miss A dan Miss W dalam perbicaraan di sebuah mahkamah British.
Mereka masih menangguhkan tuntutan untuk mengesktradisi Assange ke Sweden untuk soal siasat mengenai dakwaan kejadian berlaku pada 14 Ogos lalu. AFP

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
Berkerjasama dengan Adam Merah (end 2009)

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "