NOKIA 3230 dihempaskan ke katil. Kecewa lagi. Insan yang dicari masih belum dapat dipastikan di mana lokasinya. Setiap kali pertanyaan diajukan pasti negatif menjadi jawapan. Brooch yang mengikat tudung dilonggarkan. Tudung dibuka dan diletakkan pinggir katil.
Farisya duduk berteleku di atas lantai. Kedua belah tangannya dibiarkan menekup muka. Membiarkan minda beralun menjelajah fantasi beberapa ketika. Agar semua masalah yang dihadapi terbang bersama. Namun semuanya degil masih lagi mahu mendominasi fikiran.
Terasa semakin tertekan dengan semua masalah yang mula menaiki takhta di fikirian. Badannya seakan semakin lemah dan tidak terdaya untuk meneruskan hidup. Digagahkan tubuh untuk bangun mencapai tuala. Farisya melangkah lemah menuju bilik mandi. Membiarkan tubuh dibasahi air pancuran.
Dengan kepala yang masih berbungkus tuala, Farisya turun untuk menyertai mereka yang sedang khusyuk menonton VCD. Telatah Allaharyam Tan Sri P Ramlee yang lucu membuatkan rumah teres dua tingkat itu hingar dengan gelak tawa. Cerita Pendekar Bujang Lapuk masih lagi lucu walaupun sudah ditonton berulang kali.
Gelojak perut yang meminta makanan sudah terasa. Farisya mendapatkan cordless phone lalu mendail nombor. Malas untuk keluar makan juga tidak mahu menyusahkan sesiapa. Yang pasti, dapur sudah dijengah semasa pulang dari kerja dan tiada makanan yang tertinggal.
Bunyi hon setelah setengah jam berlalu membuatkan Farisya berkejar untuk mendapatkan pintu. Perut sudah minta diisi. Isian perut sudah berada di depan pintu, hanya tinggal ambil dan beri duit saja.
"Assalammualaikum cik." Pemuda berkaca mata agak mesra turun dari motor dan membuka beg yang disandang.
"Waalaikumussalam. Nah, keep the change." Farisya mendapatkan dua kotak bersama beg plastik besar.
"Banyak ni kak. Ambil la baki dia, saya tak boleh terima, banyak ni." Wang baki dihulur dengan cermat.
"Takpelah, simpan aje. Ada gunanya nanti. Guna untuk bayar yuran sem depan."
Terkejut pemuda sederhana tinggi. "Macamana akak tau saya masih belajar?"
Farisya tersenyum meinggalkan pemuda itu. "Akak teka aje, simpan baik-baik."
Pintu kayu tertutup perlahan. Lenguh tangannya menjinjing beg plastik sambil mengangkat dua kotak berwarna coklat. Berhati-hati kesemua itu diletakkan di hadapan penghuni rumah. Terkejut mereka melihatnya. Langsung tidak menyedari entah bila Farisya membuat tempahan sehingga pizza itu sudah berada di hadapan mata.
Tanpa menanti pelawaan, semuanya menghampiri untuk menikmati pizza yang masih berada di dalam kotak. Zureen memandang Farisya yang begitu berselera mengunyah sepotong pizza. "Akak tak de mabuk ke?"
"Tak de pulak, masa awal-awal dulu la, itupun tak lama seminggu aje."
"Boleh ke Kak Isya makan pizza ni mak?" Jelas raut gelisah pada wajah Rita. Merenung Mak Limah inginkan kepastian.
"Entah la. Boleh kot, doktor tak kata apa pun. Orang tua dulu-dulu memang banyak pantang larang, tapi dulu mana ada pizza. Takde la pantang larang yang mengatakan mengandung tak boleh makan pizza"
Berderai ketawa mereka mendengar Mak Limah berseloroh.
--ooOoo-
LAGU dendangan Kopratasa itu mengusik naluri wanitanya. Permata Untuk Isteriku membawa maksud yang cukup dalam jika direnung. Alunan nasihat dan harapan suami bernada lembut mampu meresap masuk hati isteri. Lagu itu membawa Farisya ke awangan seketika. Mengimbang fantasi angan-angan di mana dirinya dibelai sepenuh hormat oleh seorang suami.
Suami... perkataan itu membuatkan Farisya teringatkan sesuatu. Perlahan tangannya mengusap perut. Perbezaan yang tidak berapa ketara. Sering ditegur rakan sepejabat, dia kelihatan lebih berisi. Masakan Mak Limah yang menyelerakan sering dijadikan alasan juga sebagai pelindung supaya tiada yang menyesyaki.
Tidak putus kata nasihat dari teman-teman supaya menjaga berat badan agar tidak kelihatan seperti orang membawa anak. Sedikit terasa bila perkara sedemikian diusulkan. Namun Farisya tahu dia perlu berhati-hati supaya rahsia kegemukannya tidak tersebar. Kalau tidak, pasti satu Pasir Gudang kisahnya dicanang.
Tumpuan terhadap kerja sudah mula berkurangan sejak diberitahu dia sudah berbadan dua. Mood untuk menjalankan tugas bersungguh-sungguh bagaikan sudah hilang sebahagiaannya. Apa yang dilakukan cuma berlakon di hadapan bos, agar dirinya tidak menjadi mangsa hamburan marah lelaki tegas itu.
Telefon berdering, memberhentikan semua khayalan minda. Mengembalikan fikiran ke dunia realiti.
Gagang telefon dicapai perlahan. "Hello."
"Hello, Kak Isya."
"Yer Zureen, ada apa?"
"Takde apa, cuma nak tanya akak balik bila."
"Lambat sket kot. Nape?"
"Mak suruh tanya, risau katanya."
"Jangan la risau. Kirim salam pada dia"
"InsyaAllah. Assalammualaikum." Kedengaran gagang di hujung talian diletakkan. Belumpun sempat Farisya menjawab salam. Farisya meneruskan tugas setelah gagang dikembalikan ke tempatnya.
--ooOoo-
NAFASNYA dihela sedalam mungkin. Kemudian dilepaskan perlahan. Fikirannya kosong, tiada apa yang mampu diproses. Mengisi hari sepi tanpa melakukan aktiviti yang menghairahkan membuatkan dia bosan. Matanya dibiarkan bebas memerhati manik-manik air yang wujud akibat kondensasi menuruni gelas berisi minuman ringan.
Sedikit sesalan mula bercambah di hati. Tina tahu dia terlalu menurutkan nafsu. Memikirkan apakah alasan yang perlu diberikan kepada Fikri. Masakan tidak menyoal bertalu-talu apabila anak kesayangan hilang tanpa apa-apa sebab. Mungkin juga akan hilang pertimbangan lalu memaki hamun dan seterusnya bertindak dengan lebih liar.
Ngeri Tina membayangkannya. Tidak dapat meneruskan semua kebarangkalian ngeri yang akan membuatkan dirinya terluka. Paling minimum hatinya akan terluka. Mungkin dia perlu menerima segala kemungkinan itu sebagai balasan melukai hati orang. Orang di sekeliling yang tidak berdosa pasanya, terutama Sofea dan Mak Limah.
Burger fillet ikan masih lagi tidak bersentuh. Hanya minuman sahaja yang berkurangan. Penantian begitu lama membuatkan fantasi membawa hatinya belayar. Apa yang menakutkan, kesemuanya hanya menimbulkan kengerian. Tiada kebahagiaan dan keceriaan yang terlayar. Tepukan pada bahu menandakan penantiannya berakhir.
Pemuda itu duduk berhadapan dengan Tina. Tenungan Tina dibalas dengan senyuman dan muka yang bersahaja. "Lama ke tunggu?"
Tina mencebik, melarikan pandangannya ke luar. Kenderaan yang bersusun di jalan raya sudah cukup untuk menggambarkan kesesakan di Jalan Masai Lama. Membiarkan suasana sepi memenuhi meja sebelum dia berpaling semula ke arah Shahrul.
"Lama tu tak la. Penat Tina tunggu."
"Sorry, bukannya sengaja, Tina pun dah nampak sendiri kan macamana tu?" Shahrul memuncungkan bibir menembusi cermin.
"Jammed gila. Jangan la merajuk sayang. Tak reti la nak memujuk."
"La, mana ada Tina merajuk, marah pun tidak. Cuma bosan aje tunggu lama-lama kat sini."
"Kenapa tak makan lagi?" Shahrul memandang burger fillet ikan yang masih belum luak. Curly fries juga tidak terusik.
"Tunggu Shah la. Shah tak order lagi?"
"Ada ni hah." Shahrul mengambil tray dari meja sebelah.
Kelincahan lidah Shahrul yang sekali-sekala mengolah jenaka membuatkan suasana meja berubah ceria. Tina tidak lagi bermuram dan termenung seperti tadi. Shahrul pandai mengolah kata, dan semua jenakanya bukanlah sekadar lawak bodoh. Bukan sahaja mampu membuat Tina tersenyum malah membolehkan Tina mengekek kecil.
Makan malam mereka berjalan dengan penuh bahagia Shahrul dapat menceriakan Tina hingga terlupa segala kisah ngeri yang terlayar di minda. Pemanduan Shahrul cukup tenang, juga diisi dengan pelbagai perbualan. Isu masa depan mereka menjadi pilihan walaupun Tina lebih banyak menyepi dari memberi usul atau memangkah pendapat.
Pintu kamar dibuka luas. Lampu yang agak samar membuatkan suasananya cukup romantis. Sehinggakan Shahrul tidak begitu sabar untuk menunggu. Lantas dirangkul Tina membawanya ke katil. Tina membiarkan segala perbuatannya. Merelakan apa yang berlaku. Kerana Shahrul adalah orang yang pertama merasai segala isian tubuhnya.
--ooOoo-
PERHENTIAN Bas Masai tidak sibuk dengan manusia. Hanya beberapa yang masih setia menanti pengangkutan seawal pagi untuk pulang ke destinasi masing-masing. Fikri yang baru sahaja menuruni tangga bas ekspress mencari pengangkutan bagi membolehkan dia menyambung perjalanan ke rumah. Fikri mendapatkan sebuah teksi yang sedang menunggu pelanggan.
Setelah berunding beberapa ketika dan kedua-duanya bersetuju, teksi berwarna merah berbumbung kuning itu meluncur menghampiri Taman Bukit Dahlia. Fikri tidak banyak bersuara sepanjang perjalanan. Perasaan rindu terhadap keluarga begitu tebal, walaupun hanya sebulan dua minggu meninggalkan mereka.
Perasaan rindu membawanya untuk pulang ke rumah dengan segera. Walaupun dia boleh bermalam di Kuala Lumpur bersama teman, dia menolak, rindu pada Sofea cukup mengazabkan. Dia tidak mahu berterusan menanggung derita rindu itu. Bertemu dengan Sofea adalah penawar.
Fikri berlalu masuk setelah membayar tambang. Tidak sabar untuk menatap wajah comel Sofea.
Tidak sabar untuk mencubit pipi gebu Sofea. Pintu bilik Mak Limah diketuk. "Sofea, papa dah balik ni. Meh peluk papa."
Tiada jawapan, tombol pintu dipulas, mudah saja terbuka. Tidak berkunci dari dalam seperti selalu. Kosong. Keadaan katil tersiap kemas, nampak seperti tidak pernah disentuh. Menghairankan, ke mana perginya Mak Limah pada awal pagi begini. Tak kan la ke pasar, baru pukul empat pagi, pasar mana yang buka.
Dengan hati yang disaluti pelbagai soalan Fikri memanjat anak tangga menuju bilik utama. Mencari Tina bagi menjawab semua persoalan. Mungkin Mak imah balik kampung, bercuti. Memang patutpun Mak Limah bercuti. Pintu berkunci, menggagalkan percubaan untuk masuk dengan mudah.
Gugusan kunci dikeluarkan dari beg galas. Dengan tenang Fikri membuka pintu bilik. Tanpa mengharapkan apa-apa kejutan. Dua tubuh yang sedang bertaut di atas katil menambahkan lagi persoalan. Wajah Tina yang sedang nyenyak tidur di dalam pelukan lelaki tidak berbaju direnung.
Rasa panas menyerbu hatinya. Membangkitkan rasa marah yang cuba dibendung.
"Tina!" Jeritan bergema sekeliling bilik, mengakibatkan pasangan yang sedang bertautan itu terjaga. Fikri cuba melawan perasaannya. Dia tahu pada ketika itu syaitan sedang menghasut supaya melakukan sesuatu yang di luar batasan.
"Korang berdua pergi berambus, aku tak nak rumah ni panas akibat perbuatan korang."
--ooOoo-
KEPUTUSAN yang dibuat mahkamah diterima dengan tenang. Memang dia mahukan keputusan itu. Penceraian mengakhiri kisah perkongsian hidup antara dia dan Tina. Lebih baik bercerai dari bermadu dengan lelaki lain.
Hatinya turut bersyukur dengan berita baik yang disampaikan oleh pegawai Polis. Sofea tidak hilang mahupun diculik. Anak gadis itu berada di bawah jagaan Farisya. Fikri memandu terus menuju alamat yang diberikan oleh pegawai polis tersebut.
Dia hanya mahu melihat Sofea selamat dan bahagia. Baginya Sofea adalah sebahagian dari hidupnya. Hidupnya tenang bila melihat Sofea ceria. Kereta diberhentikan betul-betul di hadapan rumah lot tepi. MyVi emas berada statik di bawah porch, menandakan Farisya berada di rumah dan berkemungkinan Sofea juga ada bersama Mak Limah.
"Assalammualaikum." Fikri menggoncangkan pintu pagar bagi memudahkan tuan rumah menyedari kehadirannya.
Farisya menjengah dari tingkap. Dia mengenali lelaki yang memberi salam. Dia tahu tujuan lelaki itu.
"Waalaikumussalam." Farisya membuka pintu kayu.
"Masuklah, mangganya dah terbuka."
Fikri berjalan masuk. Persekitaran yang cukup mendamaikan. Dia memilih untuk menanti di luar. Tidak mahu jiran-jiran meandang serong apabila bertamu di dalam rumah anak dara.
Pintu bilik Mak Limah diketuk. "Sofie, bangun sayang. Tengok siapa datang ni."
Mak Limah yang muncul dari dapur turut tertanya-tanya. Sofea membuka pintu. Melangkah keluar, perlahan. Tidak teruja untuk mendapatkan tamu.
Langkahnya terhenti di ruang tamu. Matanya digenyeh lagi, bagaikan tidak percaya. Papa berdiri di hadapan mata. Mimpi ke? Digenyeh lagi. Betul-betul wujud. "Papa!"
Kepalanya beralih mencari arah suara. Fikri tersenyum dan menghulurkan kedua-dua belah tangan ke arah Sofea.
"Sofie, papa rindu sangat."
--ooOoo-
SOFEA dibiarkan bermain dan berlarian bebas. Fikri merenung tepat mata Farisya. Menanti jawapan pada soalannya. Namun ketidak sabaran memaksa Fikri untuk mangajukan soalannya kembali.
"Betul ke awak mengandung?"
Farisya tidak mampu menjawab. Dia hanya menganggukkan kepala. Tidak mahu berbohong lagi.
"Anak siapa?"
"Tak perlulah awak tau. Orangnya dah takde."
"Saya tawarkan diri untuk menjaga maruah awak."
Farisya tersenyum. Menggangguk tidak menggeleng pun tidak. Membiarkan soalan Fikri sepi tanpa jawapan.
Fikri kian resah. Soalannya tidak berjawab. "Saya pun duda. Untuk kali yang kedua."
Wanita itu masih lagi mendiamkan diri. Tanpa membidas, juga membantah. Hanya senyuman yang menghiasi bibir Farisya.
"Saya dah cakap pada awak, saya akan ingat awak sampai bila-bila."
Fikri meraih tangan Farisya. Membelainya dengan lembut. Namun tidak lama, Farisya menarik tangannya perlahan.
"Saya harap awak ingat kata-kata saya. Saya tak boleh terima mana-mana lelaki. Tunggu lah, kalau jodoh kita kuat, kita bersama juga."
--ooOoo-
DIA mengharapkan pencariannya berakhir dengan pertemuan. Pertemuan dengan tubuh yang boleh berkata-kata. Bukannya pertemuan dengan tubuh kaku atau tiang nisan. Syamsul terasa bersalah pada Farisya. Dia tiak tahu adakah kesalahannya itu dimaafkan atau tidak.
Syamsul benar-benar mengharapkan agar Farisya tidak terlalu berkira dengan perbuatannya itu. Mungkinkah Farisya boleh memaafkan? Biarlah, walau apa pun jawapan yang akan diberikan dia seharusnya tabah dan pasrah. Dia tidak perlu takut.
Seorang pemuda berketinggian lebih sedikit darinya menghampiri. Dengan wajah yang penuh dengan kekusutan. Tiada sinar kebahagiaan. Bagaikan insan yang sedang memikul beban dosa yang teramar besar. Senyuman yang menghiasi bibir juga hambar. Tangan diluhur menantikan Syamsul meyambut.
"Are you Mr Syamsul Hadi from Malaysia?"
"Yes, sure."
"Sorry."
"It's ok. Rasanya tak seronok berbual dalam bahasa yang orang sekeliling kita tahu. Boleh berbahasa melayu?"
"Boleh. Tak de masalah."
"Tentu Encik Azmi tertanya-tanya mengapa saya berhajat benar untuk bertemu dengan anda."
"Boleh tak kita guna ganti nama yang lebih informal?" Pemuda berkulit cerah tersenyum, terasa janggal dengan kata ganti nama yang agak formal.
"Memang aku confuse, banyak pertanyaan yang ingin diajukan. Tapi bila kau sebut pasal tu, aku dah dapat agak maksud sebenarnya walaupun aku tak pernah kenal kau sebelum ni."
"Aku dah tau kenapa dia tolak setiap kali aku melamar." Syamsul memandang sayu ke arah wajah bersih pemuda tersebut.
"Sejak aku dah tau puncanya, aku anggap dia lebih dari seorang kawan, mahupun kekasih. Dia seperti adik aku sendiri."
Syamsul terhenti, membiarkan pemuda itu tahu kedudukan yang sebenar.
"Aku sebatang kara, dia juga. Aku ambil dia jadi adik aku, bila tengok dia hidup bersendirian, aku cuba untuk mengisi hatinya. Tapi kini aku tahu siapa yang bertakhta di hatinya. Kembalilah ke pangkuan dia. Di saat ini dia memerlukan seseorang untuk dia teruskan hidup."
"Apa maksud kau?" Kata-kata Syamsul membuatkannya tertanya-tanya. Bertambah penuh kemusykilan bertandang di kepala.
"Dia dah mengandung. Sebagai seorang abang, aku tak sanggup melihat adik aku dihina. Aku cuba untuk membantu. Tapi dengan sopan dia menolak, cintanya begitu utuh."
"Aku tak terdaya nak berhadapan dengan dia. Aku dah buat kesalahan yang besar dalam hidupnya. Aku dah meragut masa depan dia. Tak mungkin aku dapat membayar semua itu." Air mata yang cuba diempang mengalir sedikit membasahi pipi.
"Aku yakin dia boleh maafkan kau. Percayalah."
"Mana mungkin. Kepulangan aku ke Malaysia akan menambahkan derita dia."
"Silaturrahim itu terletak di 'arasy, sesiapa yang menyambungkan maka terhubung la dia dengan Allah, sesiapa yang memutuskannya, terputuslah hubungannya dengan Allah."
Syamsul mengurut lembut bahu pemuda yang sedang bertarung dengan air mata. "Terpulang pada kau, aku rasa lebih elok kau balik."
Kata-kata itu membuatkan Azmi terpaku. Begitu dalam maksudnya. Membawa hatinya untuk pulang ke tanah air yang ditinggalkan, untuk melarikan diri dari derita. Farisya, kau begitu bertuah memiliki abang yang benar-benar menyayangi kau. Aku akan pulang, bolehkah kau menerima kepulanganku?
--ooOoo-
PANGGILAN dari Syamsul benar-benar mengejutkan. Menghilang masa dicari. Muncul semula setelah mula putus asa. Entah apa kejutan yang ingin dibawa. Farisya hanya menurut. Menanti di rumah besar tidak jauh dari Masjid Jamek Pasir Gudang. Rumah yang tidak asing baginya. Tempat di mana dia membesar tanpa mengenal ayah juga ibu.
Kembara yang dikenali meluncur masuk dengan perlahan. Di dalamnya kelihatan dua orang pemuda. Membuatkan minda Farisya bermain dengan teka-teki. Dibiarkan rasa sangsi yang mula bertakhta. Syamsul keluar dari Perodua Kembara dan mendapatkan Farisya yang sedang duduk dengan tenang di bawah redup pohon rendang.
"Assalammualaikum."
"Waalaikumussalam."
"Sorry lama tunggu."
"Takpe."
"Syam nak mintak maaf. Syam buat salah pada Sya." Farisya mengerutkan kening. Dia gagal memahami apa yang cuba dimaksudkan oleh Syamsul.
"Syam da menceroboh privacy Sya."
"Tak paham la."
"Dah berapa lama Sya tak bukak email?" Farisya terlupa yang dia mempunyai email berasaskan web. Selama ini dia berususan dengan menggunakan email syarikat sahaja.
"Syam dapat bukak email Sya dan Syam da tau semuanya. Syam mintak maaf."
"Takpela, benda dah lepas."
"Ada seseorang ingin bertemu dengan Sya."
"Siapa?"
"Sebentar. Sya kena paling arah lain. Jangan tengok dulu. Kalau tak, tak surprise."
Syamsul mendapatkan Perodua Kembara. Membawa seorang pemuda bertemu dengan Farisya. Farisya masih lagi tidak memandang ke arah mereka seperti yang diarahkan.
Pemuda itu berdiri di belakang Farisya. "Apa khabar Diya?"
Mendengarkan nama dipanggil, Farisya berpaling. Nama yang hanya dikenali oleh penghuni Darul Hanan. Tidak berkedip memandang pemuda tinggi di sebelah Syamsul. "Jemi?"
"Diya, Mi mintak maaf..." kata-kata teputus di situ. Farisya meletakkan jari ke mulut Azmi.
"Shhh... Diya dah maafkan Mi dari dulu lagi." Farisya tersenyum gembira. Girang. Sebahagian semangatnya terbina semula.
"Kita jalan ke tasik macam dulu-dulu, nak?"
Azmi berpaling ke arah Syamsul, mencari persetujuan. Syamsul mengangguk, membenarkan pasangan itu berjalan. Gembira hatinya, usaha untuk menemukan pasangan itu termakbul.
Perjalanan yang agak singkat itu dipenuhkan dengan mengulit kenangan-kenangan silam. Sewaktu mereka membesar bersama-sama di lokasi itu. Kini mereka berada di pinggir tasik. Farisya duduk di atas rumput. Azmi menuruti.
"Mi masih ingat tasik ni?"
"Kita ponteng kelas, masa tu dah abis periksa tingkatan satu, sekolah seberang jalan nun." Azmi menuding jari ke arah sekolah yang tersergam di seberang jalan.
"Kita main kayak, itupun sebab Diya yang beriya-iya nak main."
Farisya tersenyum, imbasan kenakalan mereka semasa kecil kembali terlayar. Namun wajahnya bertukar mendung.
"Diya ingat lagi. Diya hampir lemas kat sini. Jemi yang selamatkan kami."
Azmi menganguk. Kenakalan mereka membawa padah. "Tula, tak reti main, nak main."
"Masa tu Jemi ada cakap, kami terhutang nyawa pada Jemi sebab Jemi selamatkan kami." Farisya terdiam. Sayu hatinya.
"Mungkin Jemi berseloroh, tapi bagi kami, kata-kata itu memang benar. Kami terhutang nyawa pada Jemi. Kami sanggup membuat apa saja demi membalas hutang itu."
Terkedu Azmi dibuatnya. Dia tidak menyedari kata-kata itu meluncur dari bibirnya. Dia tidak berupaya untuk bertingkah kata dengan Farisya, membiarkan wanita bertudung di hadapannya meneruskan kata.
"Sejak peristiwa itu kami phobia. Takut nak berenang, bermain dengan air."
Titisan air mata mula mengalir membasahi pipi Azmi. "Mi tau mi banyak salah pada Diya. Mi dah ragut kebahagiaan Diya."
"Dah la tu Jemi. Diya bukan nak mengungkit, cuba nak imbas kembali kisah silam. Bagi Diya, semua itu dah ditentukan oleh Allah."
"Kalau Jemi tak berkeras tentu Diya dah bahagia."
"Diya bahagia sekarang ni."
"Tidak. Dulu Diya bahagia. Sekarang ni Diya Cuma berlakon."
"Sudah la Jemi."
"Jemi tahu Jemi bayak bersalah pada Diya. Kerana Jemi dia pergi."
"Ajal, maut di tangan Allah. Semua tu nak dijadikan sebab aje."
"Tak sepatutnya Jemi ganggu tempoh bulan madu Diya dengannya. Jemi ni degil sangat, beriya-iya ajak dia temankan Jemi pergi memancing." Terbayang ketika dia tergapai-gapai di dalam Tasik Kenyir. Entah bagaimana kedua-dua belah kakinya sukar digerakkan.
Azmi yang dikenali sebagai perenang yang hebat kini menggapai mengharapkan bantuan. Melihat Azmi sedang bertarung nyawa membuatkan pemuda itu lupa. Terlupa dia bukan tahu berenang.
Namun segala kudrat digagahkan agar sahabat baiknya itu dapat meneruskan hidup.
"Jemi yang bunuh Hir. Dia mati sebab Jemi." Mengalir lagi air mata lelaki. Begitu pilu, teringatkan sahabat baiknya tergapai-gapai dan tenggelam di hadapan mata. Tiada apa daya yang dapat dilakukan. Keempat-empat anggotanya tidak dapat digerakkan setelah terlantar di tebing tasik.
Azmi menyeluk poket. Nota dari Shahir masih disimpan sehingga kini. Mungkin Shahir sudah mengetahui ajalnya bakal menjemput. Nota ringkas itu disampaikan kepada Farisya. Membiarkan Farisya menatap nukilan suami.
'Jemi,
Sekiranya apa-apa berlaku pada aku, tolong aku jagakan Diya. Kau jaga dia macamana kita jaga dia dulu. Macamana kita bertiga melalui masa kecil kita bersama.
Aku dah terhutang nyawa pada kau, kali ini kalau aku mati kerana menyelamatkan kau, aku berasa puas. Aku telah membayar hutang sepertimana yang kau ucapkan dulu.
Jagalah isteriku, Daniya Farisya binti Kamaludin
Sahabat sepanjang hayat,
Ahmad Shahir Ahmad Firdaus'
Farisya turut menitiskan air mata. Seperti yang dijangka, suaminya turut menggenggam janji yang disemat. Azmi memandang air tasik yang tenang. Hanya riak kecil mengikut rentak angin.
"Mi sahabat yang tak guna. Dah la ragut nyawa sahabat sendiri, biarkan sahabat sendiri merana meneruskan hidup sendirian. Sedangkan Diya amanah yang Hir berikan pada Mi."
"Yang dah lepas tu biarlah. Orang dah pergi, untuk apa dikenang lagi."
...... bersambung......

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
CHAIRMAN / FOUNDER :: Saya adalah pengasas dan pemilik Asal Blog Ini yang di mulakan pada tahun April 2004, dan menggunakan alamat blog http://ttuyup.blogspot.com. Pada awal tahun 2007 saya menjemput en. Adam Merah menyertai blog ini dan pada akhir tahun yang sama, saya meminta en. Adam menguruskan blog ini untuk saya.

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "