ANAK gadis itu menghayunkan langkahnya ke dapur. Suara celoteh mama bersama nenek menggamitnya untuk turut serta. Ditambah dengan aroma yang menyelerakan hasil dari masakan nenek. Dihampiri wanita yang sedang duduk menghiris bawang. Bibirnya masih lagi mengukir senyuman. Tina membalas senyumannya dengan mesra.
"Papa dah bangun ke Sofie?" Tina bangun menghampiri Mak Limah bersama mangkuk berisi hirisan bawang.
Pintu peti sejuk dibuka. Kotak yang berisi susu kacang soya dikeluarkan. Sofea memanjat kerusi lalu menuangkan susu tersebut ke dalam mug yang tersedia di atas meja. "
Kat atas kerusi tu. Tengah baring, matanya masih pejam."
"Biarlah dia. Nenek belum masak sayur lagi." Mak Limah mengacau sesuatu di dalam periuk.
"Nanti dah siap masak kejutkan dia, kita makan sama-sama."
Sofea memanjangkan leher menjenguk dapur. Macam masak lemak cili api aje. "Nenek masak apa tu?"
"Nenek masak pecal ikan keli sungai."
"Pecel?" keningnya dikerutkan. Perkataan itu tidak pernah memasuki ruangan mindanya. Sofea merapati Mak Limah. "Apa tu nek?"
"Pecel tu macam masak lemak cili api, tapi ikannya di panggang dulu." Tina merapati Sofea lalu mencubit pipi gebunya itu.
"Mama pun tau?"
"Mestilah. Mama kena tau semua makanan kegemaran papa. Senanglah mama nak pujuk papa nanti."
"Kejutkan papa Sofie. Dah boleh makan." Mak Limah menuju periuk nasi elektrik. Wap menyerbu keluar setelah penutupnya dibuka.
Patuh anak itu menurut. Perlahan langkahnya menuju kerusi malas. Badan papa digoncangkan. "Papa, bangun... makan."
Fikri bangun menuju dapur. Sofea menuruti langkahnya. Tersenyum Fikri melihat hidangan di atas meja. Makanan kegemarannya dihidangkan dengan begitu cermat. Punggungnya dihenyakkan di kerusi bersebahan Tina. Huluran pinggan berisi nasi dihulurkan oleh Tina disambut mesra.
Masakan pada tengah hari itu begitu menyelerakan. Bertambah mereka semua akibat penangan pecal yang dimasak oleh Mak Limah. Mereka menikmati makan tengahari dalam suasana mesra dan ceria. Fikri cukup gembira melihat kemesraan di antara Sofea dan Tina. Kemesraan yang semulajadi, tak ubah seperti kasih ibu terhadap anak.
--ooOoo-
POHON ru yang ditanam rapat-rapat membentuk kanopi semulajadi yang menghijau. deru angin yang lembut meliukkan rambut separas bahu. Jarinya mengelus sebahagian rambut yang mengerbang di pinggir pipi ke belakang telinga. Matanya tidak putus mengekor gerak-geri Sofea.
Lega hatinya kerana Sofea menerima tempat baru untuk bersiar dan bermain. Keadaan lokasi baru tidak banyak berbeza dari lokasi yang lama. Kedua-duanya mempunyai tasik dan beberapa wakaf untuk berteduh. Jambatan untuk menyeberangi tasik pun ada. Malah buatannya sama, sama-sama dari beroti. Segaja Tina membawa Sofea ke lokasi baru. Agar Sofea tidak dapat bertemu dengan Farisya. Secara tidak langsung dia tak sakit hati.
Beberapa pemancing yang sedang menunggu joran menggamit pandangannya. Tidak seperti lokasi yang lama, tiada pemancing. Seronok bila melihat joran yang dinaikkan berbuahkan hasil. Pasti ada ikan yang besar-besar tersangkut di hujung kail. Sofea berlarian mendapatkan Tina yang sedang duduk beralaskan sleeping mat yang dibawa dari rumah.
Punggungnya dilabuhkan bersebelahan Tina. Kepalanya diliukkan ke badan mama, manja. "Mama, banyak ke ikan kat tasik ni?"
Kepala anak gadis itu diusap bila teringatkan kata-kata Mak Limah. Anak kecil terasa dirinya disayangi bila kepalanya diusap. "Banyak juga. Macam-macam ikan ada."
"Mama macam Pak Abas aje." Sengihan Sofea menampakkan barisan gigi putihnya.
"Pak Abas? Pak Abas mana?" Kerutan timbul di dahinya. Kurang pasti akan maksud yang dituturkan oleh anak kecil itu.
"Pak Abas Astro, macam macam ada..." Gelakan kecil Sofea disambutnya dengan mesra. Pandai juga budak kecil ni buat lawak.
Jari mulusnya menggeletek pinggang Sofea. Mengekek Sofea sambil menepis tangannya. Pantas Sofea bangun lalu berlari meninggalkannya. Dia tidak menanti lama, sambil ketawa dia bangun lalu berlari mengejar Sofea. Langkahnya terhenti apabila Sofea yang tadi berlarian di hadapan mata tiba-tiba hilang.
Badannya dirapatkan pada batang pokok. Mata kecilnya mengintai bagi mengecam lokasi mama. Sofea menekup mulutnya, gelihati melihat wajah risau mama. Dibiarkan mama tercari-cari susuk tubuh kecilnya. Kepala dijengahkan kembali, menjenguk kedudukan mama. Aik, dah hilang... Mana perginya mama ni?
Terjengket-jengket Tina berjalan. Perlahan dia merapati tubuh kecil yang bersembunyi di balik pokok. Lantas dia menangkap tubuh kecil setelah dia berada rapat dengannya. "Hah. Dapat pun. Dah tak boleh lari lagi."
Sofea mengekek di dalam pelukannya. Gembira hatinya, tiada sesiapa yang boleh mengganggu mereka.
--ooOoo-
LETIH dia menanguk seorang di taman yang berhamparan rumput yang menghijau bumi. Puas dinanti pada yang dikasihi. Namun bayangnya pun tak kunjung tiba. Dia berlalu menuju Perodua Kelisa. Badannya disandarkan pada tempat duduk kereta. Hawa dingin yang beralun dibiarkan menyejukkan badannya. Ke mana pulak Sofea, selalunya ada dah dua hari takde. Mungkin dia seronok dengan mama dia. Biarlah, orang dah ada mama baru.
Pedal minyak ditekan. Hala pemanduannya ditujukan ke arah Pusat Bandar Pasir Gudang. Wang tunai di tangan sudah berada pada paras minima. Kerana itulah dia bersesak menuju ke bank untuk mengeluarkan wang melalui ATM. Keretanya diberhentikan setelah kereta di hadapannya berhenti kerana mematuhi peraturan lalulintas. Ah lama pulak lampu merah. Isy, lori kontena pulak sebelah, karang dihimpitnya aku habis la, dah la kereta aku ni kecil.
Pelindung matahari diturunkan bagi menyemak kedudukan kad ATM. Lega hatinya, lokasi kad tersebut masih tidak berubah. Matanya merenung beberapa keping not RM 100 yang masih tersisip kemas. Wang pemberian Fikri langsung tidak digunakan. Bukan saja tidak digunakan, dikira pun tidak. Berapa jumlahnya dia pun tak tahu. Dia membaikpulih kerosakan keretanya dengan menggunakan wang sendiri. Bukannya dia mahu angkuh, sekadar tidak mahu terhutang budi.
Selalu terlintas di minda untuk memulangkan kembali wang tersebut kepada Fikri. Tetapi hatinya seingkali mengimiginasikan sesuatu yang negatif akan berlaku. Takut-takut kalau ada yang terasa hati bila duit itu dipulangkan. Takut juga ada yang tidak berpuas hati atas pemulangannya yang ikhlas itu.
Farisya meneruskan pemanduan setelah lampu bertukar hijau. Arah fikirannya ditumpukan pada trafik. Risau juga berlaku sebarang kemungkinan yang buruk. Dengan cermat Perodua Kelisa diletakkan pada petak kosong berhampiran dengan bank. Mujur ada petak kosong yang dekat, jika tidak pasti menapak jauh.
Pintu cermin ditolak lalu dia meloloskan diri ke dalam. Dia beratur di barisan yang paling pendek.
Ramai juga yang berurusan di ATM. Dengan sabar dia menanti. Matanya mengerling ke arah jam tangan. Takpe ada masa lagi. Dah terlanjur kat ATM ni, baik bayar bil elektrik sekali. Senang, tak payah nak bayar bil bulan ni, walaupun belum dapat bil lagi. Bibirnya mengukirkan senyuman.
--ooOoo-
PINTU Anjung JFC dibuka. Langklah kakinya dihayun kemas. Fikri mengeluh kerana terpaksa berjalan jauh menuju kereta. Dia tidak tahu pembekal mahu bertemu di situ, jadi dia meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran dengan Hospital Penawar.
Namun hatinya berasa sedikit lega kerana pembekal tersebut bersetuju untuk mengurangkan harga bekalan. Peruntukan yang dibekalkan kepadanya di dalam usaha pembangunan prototaip Computer Aided Logic Controller memaksanya untuk meminta pembekal mengurangkan harga barangan yang dibekalkan.
Tangannya mengibaskan baju kemejanya yang dibasahi peluh. Terasa kurang selesa dengan keadaan sebegitu. Kerana itulah dia berjalan tergesa-gesa menuju kereta. Dan dalam keadaan itulah dia terasa satu objek melanggar bahunya dari sisi.
"Opsss... Maaf encik, saya tak perasan encik tadi."
Fikri terpaku seketika. Telinganya menangkap suara yang biasa didengar. "Takpe, saya rasa awak memang suka langgar orang."
Eh, betul ke apa yang aku dengar ni? Macam familiar dengan suaranya. Dia merenung wajah di hadapannya, seraya mukanya masam.
"Oh, awak, Encik Adam Fikri." Farisya memalingkan kepalanya.
"Kecil juga Pasir Gudang ni yer. Kat mana-mana saya boleh jumpa awak, Cik Hawa Farisya."
Matanya merenung susuk tubuh di hadapannya. Lalu berpaling pada arah munculnya Farisya.
Tersenyum apabila dia mendapati tujuan Farisya ke situ. "Duit dah abis ke?"
Ha... Duit, bagus juga dia ingatkan aku. "Sebut pasal duit ni, saya ingat sesuatu. Boleh awak tunggu sebentar?"
Kepalanya dianggukkan tanda setuju. Dia menanti dengan kerutan di dahi. Sukar menangkap maksud gerak badan Farisya. Fariysa keluar dari kereta, membawa sesuatu ditangan. Fikri mengecam apa yang dibawa oleh gadis itu. Dia terus berlalu meninggalkan Farisya.
Wanita itu cuba mengejar Fikri. Dia dapat merasakan apa di hati pemuda itu. Kepingan not RM 100 itu masih lagi berada digenggaman. Mungkinkah Fikri merasa dia terlalu ego kerana memulangkan kembali wang tersebut? Farisya masih lagi berdiri bersama persoalan diminda. Persoalan bagaimana caranya untuk dia memulangkan kembali wang tersebut.
--ooOoo-
" KENAPA ni Sya? Macam tak seronok aje Syam datang." Kata-kata itu membuatkannya kembali ke alam nyata. Peristiwa yang berlaku petang tadi masih bertandang di minda, bersama persoalannya.
Muka muncung Syamsul direnung. Dia tidak mahu lelaki itu terasa hati dengan lakunya. "Takde la, Sya lagi suka Syam datang."
Farisya mengukirkan senyuman bagi memujuk pemuda tampan di hadapannya.
Pandangannya dialihkan dari meninjau tanah pulau yang ditumbuhi bangunan batu untuk menatap wajah ceria Farisya. Gemerlapan cahaya bersinar dari bangunan yang gah berdiri di Singapura tidak lagi diendahkan. Wajah Farisya kini mempunyai lebih tarikan daripada keindahan pulau itu.
"Betul ke Sya seronok Syam kat sini?"
"Mestilah. Berapa lama nak tunggu Syam datang. Datang dua tiga hari lepas tu lenyap lima enam bulan." Wajah Syamsul masih lagi memenuhi ruangan mata. Segak dan sedap mata memandang.
"Tapi bila Syam datang, letih Sya nak layan."
"Eleh. Rehat dah berbulan-bulan, nak layan baru dua tiga hari, takkan dah flat." Farisya menunduk malu. Tutur nakal Syamsul membuatkan muka yang tanpa mengenakan blusher itu memerah.
"Iyelah, semuanya nak diteroka, mestilah letih." Farisya mengekek kecil. Mukanya tidak lagi merah, sudah kembali pada keadaan normal.
"Nakal la Syam ni. Jangan nakal-nakal, nanti Sya piat telinga."
Farisya terkedu. Tutur bicaranya membuatkan dia teringat kepada Sofea. Anak gadis yang comel itu menari-nari di ruangan mindanya. Keadaan Sofea yang merintih tatkala telinga dipulas Tina masih lagi segar diingatan. Entah apa jadi pada Sofea sekarang ni. Jika Tina menjalankan tugasnya dengan ikhlas dia bersyukur, terbela nasib anak kecil itu. Jika sebaliknya, dia sanggup menculik Sofea untuk tinggal bersamanya.
"Sya... Asyik termenung aje. Kenapa ni? Ada masalah?"
"Takde la. Sya teringatkan Sofea. Dah lama tak jumpa. Rindu rasanya."
"Tu lah, Syam ajak kahwin Sya tak nak. Kalau ada anak sendiri kan seronok, tak perlu mengharap kasih anak orang."
Sekali lagi muka Farisya memerah. Tutur selamba Syamsul membuatkan dia berasa malu. "Apa la Syam ni. Sya cuma rindukan dia aje ok. Tak nak la cerita pasal kahwin ni. Belum masanya."
Syamsul mengeluh. Bukan sekali dia mengusulkan perkara tersebut. Sudah berkali-kali.
"Habis tu bila Sya. Takkan kita nak terus hidup macam ni?"
"Why? Sya rasa seronok hidup macam ni. Sya boleh enjoy tanpa dikongkong dengan ikatan." Suara itu mula meninggi. Bosan. Kahwin, kahwin, kawin... takde benda lain nak cerita. Nantilah, akan tiba masanya.
"Ok, ok, ok... Kita cerita pasal benda lain." Syamsul cuba menjernihkan kekeruhan. Dia tahu usul itu tidak patut menjadi topik perbualan. Muka wanita itu akan berubah kelat apabila ianya diusulkan.
"Takpelah... Sya nak balik." Farisya bangun dan terus meinggalkan Syamsul yang termangu.
Kepalanya dipalingkan apabila menyedari Syamsul tidak menuruti langkahnya. "Tunggu apa lagi tu. Hantarlah Sya balik."
Tangannya mencapai kunci di atas meja. Meletakkan sekeping not RM 50 lalu mendapatkan Farisya yang berada tak jauh dari Perodua Kembara. Hatinya sesal kerana tersilap mengatur ayat sehingga membuatkan pertemuannya dengan Farisya hari itu tidak berakhir dengan keseronokan dan kegembiraan. Ah takpelah, bukan susah nak pujuk. Esok lusa baiklah tu.
--ooOoo-
TERKEJUT dua gadis yang sedang menonton televisyen. Dentuman kuat akibat pintu yang dihempas membuatkan mereka membisu. Rita dan Zureen berpandangan sesama sendiri.
Tingkahlaku ganjil Kak Isya membuatkan mereka tertanya-tanya apa puncanya. Mungkinkah kehadiran mereka di rumah itu menimbulkan rasa amarahnya? Mungkinkah ada antara tingkahlaku mereka menimbulkan rasa tidak puas hati Farisya? Mereka tertanya-tanya sesama sendiri. Namun untuk bertanyakan kepastiannya tidak sekali. Takut nanti Farisya bertambah berang.
Langkah kerasnya menuju bilik di tingkat atas. Dia tidak tahu mengapa dia sungguh marah. Tidak seperti sebelum ini sekadar merajuk dan reda bila dipujuk. Entahlah, makin lama makin susah nak memahami diri sendiri. Tangannya mencapai tuala lantas menuju bilik mandi. Mungkin dengan keadaan yang sejuk boleh meredakan marahnya.
Rambutnya dibungkus dengan tuala putih. Dia membetulkan t shirt panjang separas lutut. Dengan lembut dia menuruni tangga. Hatinya sudah mula reda. Rasa amarah sudah mula berkurangan.
Farisya melemparkan senyuman mesra ke arah Zureen dan Hanarita. Senyuman Farisya itu disambut mereka dengan mesra walaupun mereka hairan dengan telatah Farisya. Mata mereka menyoroti Farisya yang menghampiri. Bimbang juga Farisya akan memarahi.
Gerun mereka melihat tingkah laku Farisya sebentar tadi.
"Korang dah makan?" Farisya mula menutur kata setelah lama membisu.
"Dah. Tapi kalau nak belanja, masih ada ruang kosong lagi." Zureen cuba memeriahkan sausana.
Cuba untuk mencari adakah mereka terlibat dalam punca amarah Farisya. Rita menyiku Zureen bagi menyatakan dia tidak setuju dengan Zureen.
"Erm... Akak lapar. Nak keluar malas, dah pakai macam ni." Dia merenung baju. Menyesal juga tak sempat makan semasa bersama Syamsul tadi. Kan dah lapar. Ah pedulikan.
"Korang tolong tapaukan. Nasi ayam merah."
"Eh... Reen bergurau aje tadi kak."
"Ala... tolonglah..." Farisya menghulurkan wang kertas kepada Zureen.
"Ooo... Akak tau, korang suka kalau akak mati kelaparan. Pastu bolehlah korang take over rumah ni."
"Ish... akak ni, ada ke kata macam tu. Oklah Reen pergi." Wang kertas bertukar tangan. Zureen menarik tangan Rita. Tudung yang tersangkut di belakang pintu bilik masing-masing dicapai. Kunci skuter milik Farisya turut dicapai Zureen.
--ooOoo-
MAK Limah menggelengkan kepalanya. Dari dulu tak habis-habis termenung. Dia merapati Fikri yang sedang melayani perasaan di atas pangkin. Jika dulu memang macam tu, belum ada pasangan hidup. Sekarang ni, takkan Tina tak dapat memeriahkan hati.
"Fikri." Teguran lembut itu membuatkannya kembali ke alam nyata.
"Mak, kenapa tak tidur lagi?" Wajah tua Mak Limah direnung dengan penuh kasih.
"Kau tu kenapa? Tina dah lama tidur, kau masih kat sini." Mak Limah merenung wajah sugul di hadapannya. "Ada apa-apa ke?"
"Takdelah mak." Fikri menarik nafas panjang. Risau hatinya memikirkan apa yang akan berlaku.
"Saya nak pergi outstation. Kena pergi Jepun."
"Lama ke?"
"Entah, paling sekejap pun sebulan." Runsing untuk meninggalkan Sofea begitu lama. Tak pernah dia meninggalkan Sofea. Baginya itulah satu-satunya harta yang tidak ternilai peninggalan isterinya. Dan satu-satunya anugerah yang paling berharga dari Allah.
"Tak usahlah kau fikirkan pasal Sofie. Mak kan ada, mak boleh jaga. Lagipun, Tina kan ada" Tutur lembut Mak Limah memujuk hatinya. Ada betulnya apa yang dikatakan orang tua itu.
"Amboi, rancak berbual sampai tak perasan orang kat belakang." Tina menghampiri suaminya.
"Borak pasal apa je tadi mak?"
"Abang nak pergi Jepun. Ada hal kat sana." Jemarinya membelai rambut lurus Tina. Haruman syampu masih lagi terlekat.
"Abang risau nak tinggalkan Sofie."
"Kan mak dah kata, mak boleh jaga. Selama ni pun mak yang jaga." Mak Limah mengangkat punggung. Meninggalkan sepasang suami isteri bermesra di pangkin.
"Ayang pun boleh jaga dia. Sofie dah boleh terima mama dia yang ni." Tina merebahkan kepalanya ke bahu Fikri. Terasa dirinya disayangi bila dibelai dengan manja.
"Bila flight?"
"Diorang booked minggu depan. Hari Isnin malam selasa."
"Ayang akan doakan abang selamat pergi dan balik."
--ooOoo-
FARISYA merengus perlahan. Marah waktu tidurnya diganggu. Nokia 3230 yang berdering lagu Mungkin Nanti dendangan Peter Pan dicapai. Dia tahu siapa yang menghubunginya. "Yup..."
"Sya..." Tutur itu terhenti "Sya masih marahkan Syam lagi?"
"Takdelah... Dah tak marah dah..." Dengan mata yang masih terpejam dia bertutur acuh tak acuh.
"Lusa Syam dah kena bertolak ke KL. Jadi boleh tak kita jumpa esok."
"Urmmm... ok... tempat biasa..."
"Ok... Sya tunggu Syam yer... Kalau Syam lambat jangan marah."
"Urmmm..."
"Sya..."
"Urmmm..."
"Syam sayangkan Sya..."
Tiada jawapan lagi terdengar. Talian diputuskan tiba-tiba. Syam terasa Farisya masih lagi memarahinya. Namun dibiarkan. Dia akan cuba memujuk Farisya esok. Dicuba sedaya upaya. Dah kenal dah, mesti dapat pujuk punya. Ini Syam la, jangan panggil Syam kalau dia tak makan pujuk.
--ooOoo-
TELEFON bimbit di atas katil diraih. Eh, bila masa pulak off. Dia menekan suis, hidupnya tak lama, mati semula. Habis bateri pulak. Takpelah kat kereta ada charger. Alamak dah lambat ni. Farisya tergesa-gesa menuruni tangga.
Enjin kereta dihidupkan dan terus dipandu menuju tempat kerja. Dia tidak mahu terlewat. Bukan terlewat masuk kerja, dia tidak mahu terlewat keluar dan terperangkap di dalam kesesakan.
Keadaan semakin meruncing sekrang ni. Mungkin rakyat Malaysia dah kaya-raya, semua dah ada kereta. Sebab tu banyak kereta yang memenuhi jalanraya.
Handfree diselitkan ke telinga apabila telefon bimbitnya berdering. Dari bunyi nada deringnya dia sudah tahu siapa yang menghubungi.
"Hello... Syam..."
"Sya... macamana hari ni? Jadi ke?"
Hari ni? Apa pulak mamat ni. Apa yang jadi tu. Timbul rasa hairan bila mendengar apa yang dituturkan oleh Syam.
"Apa yang kena dengan hari ni?"
Eh, dia soal balik. Bukan ke malam tadi dia dah setuju. Syamsul berasa aneh apabila Farisya menyoal sebegitu.
"Bukan ke Sya dah janji nak jumpa Syam tempat biasa hari ni?"
Ala mamat ni, dah mula buat perangai. Bila masa pulak aku janji dengan dia.
"Bila Sya janji. Takde pun."
Syamsul tersenyum sendirian. Pandangannya menembusi tingkap kaca itu. Dia tahu apa yang telah dialami oleh Farisya.
"Ni mesti malam tadi Sya mengigau masa jawab telefon Syam."
Eh, aku ada jawab ke? Macam dalam mimpi aje aku jawab malam tadi.
"Syam ade call Sya ke malam tadi?"
"Yup."
Farisya menepuk dahi. Tergelak sendirian. Macamanalah boleh terlelap masa jawab telefon yer. Malu pulak rasanya.
"Sorryla Syam. Sya tak sedar la masa tu. Hari ni tak boleh la... esok camne?"
"Esok Syam dah kena balik KL."
Nafas panjangnya ditarik. Dia mahu meluangkan masa bersama Syamsul. Hika tidak hari ini entahkan bila Syamsul akan datang ke JB lagi.
"Ok la, tapi malam-malam sikit. Sya ada kerja nak buat. Ok la Syam, got to go. I'll call you later."
"Ok." Talian diputuskan. Syamsul merebahkan badannya di atas katil. Selesa sungguh, nama pun Hotel Selesa. Tiada tempat lain yang dituju untuk menginap, selain hotel tersebut. Kadangkala tiba masa tertentu dia ada juga bermalam di rumah Farisya, itupun Farisya yang beriya-iya mengajak.
--ooOoo--
Suasana di KLIA pada malam itu agak riuh. Di satu sudut, seorang pemuda mendukung anaknya, mesra. Bagaikan tidak mahu ditinggalkan. Kasih yang terpaut sekian lama mengutuhkan sayang.
Pilu rasanya meninggalkan anak kesayangan, walaupun bukan meningalkannya sendirian.
"Dah la tu papa. Nanti tertinggal flight pulak." Tina mengusap lembut belakang suaminya. Memujuk agar melepaskan anaknya dengan tenang dan senang hati. "Mama boleh jaga Sofie."
"Iye la papa, mama boleh jaga Sofie, nenek pun ada. Papa tak yah susah hati." Dengan yakin mulut kecil itu bertutur. Mungkin dengan apa kata-katanya itu sedikit sebanyak meredakan gelora di hati papa.
"Mama, balik nanti drive baik-baik. Papa tak nak apa-apa berlaku pada Sofiea tau."
"Sofie aje? Mamanya macamana? Tak sayang ke?" Tina memuncungkan bibir, merajuk.
Fikri tersenyum. Gelihati melihat Tina yang sedang menjuihkan bibir.
"Sayang juga. Tapi, bukan ke mama yang kena jaga Sofie, mama boleh jaga diri sendiri." Fikri mencuit hidung isterinya.
Sofea menontonnya sambil tersengih. Macam dalam drama bersiri yang selalu ditonton nenek. Ada bakat papa dengan mama berlakon. Tangan tua nenek digenggam kemas. Melambai papa yang melepasi pintu berlepas. Menghantar papanya dengan senyuman dan doa agar selamat pergi dan kembali.
Fikri merenung daratan yang baru saja ditinggalkan. Dipanjatkan doa agar anaknya selamat bersama Mak Limah dan Tina. Untuk apa dirisaukan, Sofea dan mula mesra dengan Tina. Selama ini pun Tina dah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Nampak tersusun dan tinggi nilai kasihnya terhadap Sofea. Mak Limah pun boleh tolong tengokkan. Semoga kau selamat Sofie.
........................ bersambung .....................

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
CHAIRMAN / FOUNDER :: Saya adalah pengasas dan pemilik Asal Blog Ini yang di mulakan pada tahun April 2004, dan menggunakan alamat blog http://ttuyup.blogspot.com. Pada awal tahun 2007 saya menjemput en. Adam Merah menyertai blog ini dan pada akhir tahun yang sama, saya meminta en. Adam menguruskan blog ini untuk saya.

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "