2+4 hrs...Twogether Fourever

/

..:: Mungkinkah... (Episod 4) ::..

KERUSI yang bergantungan diayunkan sedikit. Keadaan menyamankan apabila udara bergerak seperti angin menyapa pipi. Tangan mulusnya mengusap rambut dan diselitkan ke belakang telinga. Terasa kurang selesa apabila rambut menyemak di pinggir pipi. Lebih-lebih lagi ketika mahu menyuap makanan.

Farisya merenung muka tenang pemuda berambut pendek dan ikal dihadapannya. Bibirnya mengukir senyuman apabila mata yang agak sepet bertentang dengan matanya.

Pemuda berkulit kuning langsat turut tersenyum melihat wanita itu tersenyum. Syamsul mencapai tisu di atas meja, lalu mulutnya dilap. Matanya masih lagi menonton Farisya yang sedang berayun perlahan.

"Sya dah berubah lah. Tak macam dulu."

Farisya mengangkat alisnya yang sememangnya nipis itu. Apa yang berubahnya, mungkin aku makin gemuk agaknya. Rasa macam badan dipam-pam pulak sekarang ni, makin naik.

"Iye ke Syam? Sya dah gemuk ke?" lantas badannya dibelek bagi memastikan perubahan yang dimaksudkan.

Berderai tawa Syamsul melihat telatah Farisya. Ternyata bukan itu maksudnya. "Apala Sya ni. Syam bukan nak kata Sya makin gemuk. Sya makin cantik sekarang ni. Semakin ayu. Sedap mata memandang."

"Iyela tu cik abang. Ni puji lebih-lebih ada makna ke?" Farisya mengerling ke arah Syamsul. Mencari maksud tersirat di sebalik frasa pujian yang dituturkan.

Kerlingan Farisya dibuat endah tak endah. Matanya menerawang menembusi dinding kaca. Hamparan permaidani rumput hijau meliputi bumi sungguh merehatkan saraf optik. Sengaja dia membiarkan suasana meja itu sunyi.

"Syam." Panggilan lembut itu membuatkan dia berpaling ke arah empunya suara.

"Kenapa? Sya ada buat salah ke?"

"Takde lah. Syam cuma..." Farisya menanti Syamsul meneruskan tuturnya. Syamsul tertunduk, mungkin kerana malu atau mungkin... Entahlah, sukar untuk meramal rasa hati pemuda itu.

Kepalanya diangkat kembali dengan bibir yang mekar dengan senyuman. "Takpelah... nanti Sya akan faham."

La... buat penat aje tunggu, tak juga dikhabarkan. Farisya mengeluh perlahan. Keluhan kecil itu tidak tertangkap oleh telinga Syamsul.

"Jom la balik. Sya penatlah. Lagipun hari ni takde siapa kat rumah."

"Housemate mane?"

"Cuti hujung minggu ni panjang, tiga hari, diorang balik kampung."

Syamsul mengangguk tanda faham. Lantas menuruti langkah Farisya meninggalkan restoran makanan segera tersebut. Plaza Angsana masih lagi menampung kebanjiran pengunjung yang datang bertali-arus.

 

--ooOoo-

"BERTAMBAHLAH berat cucu nenek nanti." Tutur mesra Mak Limah yang diakhiri dengan senyuman.

Hujung selendangnya dikibaskan suasana agak panas. Kalau bukan kerana makanan yang menyelerakan tak mungkin dia memanggang diri di situ.

"Kenapa nek?" Sofea tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Mak Limah.

"Iye lah, Sofie makan mi satu tan." Sofea masih terpinga. Sukar minda kecilnya untuk menangkap maksud yang tersirat.

"Apa la nenek ni. Sofie baru makan semangkuk, bukannya satu tan."

Fikri hanya tersenyum menonton telatah Mak Limah dan Sofea.

"Ni kan Mi Wantan. Bukan ke one tu satu. Jadi ganti ajelah. Mi satu tan."

"Iye la nek." Sofea sendawa sambil menekup mulut setelah menghabiskan mi tersebut. "Rasa macam dah makan satu tan."

Mata kecilnya memandang ke arah papa yang dari tadi termenung. Selalunya papa seronok kalau shopping ataupun window shopping kat Plaza Angsana ni. Tapi, hari ni senyuman yang diukirkan bagaikan tak ikhlas. Raut ceria pada wajah langsung tidak kelihatan.

"Papa, kenapa? Papa tak sihat ke?"

Soalan yang ditutur oleh Sofea menghapuskan segala kenangan yang berlayaran di minda. Kenangan manis yang sukar dilupakan. Mana bisa kenangan bersama isterinya disingkirkan dari ingatan.

"Tak ada apa-apa." Tangan sasanya mengusap lembut kepala anak perempuan tunggalnya itu.

"Dah siap makan dah?" Sofea hanya mengangguk bagi mengiakan.

"Jom..."

Mak Limah dan Sofea hanya menuruti langkah Fikri. Keadaan Plaza Angsana masih sama. Cuma ada beberapa kedai yang bertukar imej. Mindanya melayarkan kembali saat indah dia duduk berpegangan tangan bersama isteri apabila terpandangkan tembok simen yang behampiran ekskalator.

Dia sendiri tidak mengetahui mengapa hatinya begitu terusik hari itu. Mungkin kerana tarikh hari itu merupakan ulang tahun perkahwinannya bersama Fathiah. Atau mungkin kerana munculnya wajah seiras Fathiah yang senantiasa bertamu di minda. Wajah Farisya masih lagi bergentayangan di minda walaupun Tina sudahpun boleh menerima kehadiran Sofea.

Khyalan mindanya sering memperdaya mata, wajah Farisya muncul di mana-mana. Boleh dikatakan setiap wanita muda yang dipandang berwajahkan Farisya. Seringkali dia menggenyeh mata bagi menghilangkan ilusi tersebut. Tapi, kenapa kali ni perempuan itu masih berwajahkan Farisya, walaupun matanya digenyeh berulang kali. Mungkinkah perempuan tersebut memang Farisya yang sebenar. Ah. Ilusi semua ni. Digenyeh lagi matanya.

"Nek, tu Cik Isya." Tudingan jari dihulurkan ke arah perempuan muda yang sedang berjalan bersama seorang jejaka. Telatah Sofea membuatkan Fikri berhenti mengenyeh. Memang Farisya rupanya. Patut pun dia tolak lamaran aku, dah ada pasangan rupanya. Tak apalah biarlah dia bahagia bersamanya. Gadis sepertinya sukar untuk menerima duda macam aku.

Berlarian Sofea mendapatkan Farisya yang masih belum lagi menyedari kemunculan mereka bertiga. Tangan kecilnya menarik hujung kemeja T yang dipakai oleh Farisya.

"Cik Isya." Senyuman girang diukirkan, sambil kepalanya dilentokkan sedikit untuk menjengah wajah putih kemerahan yang seiras dengannya.

"Sofie..." Dia bertinggung, kasihan melihat anak kecil itu mendongak untuk menatap wajahnya. Pipi halus Sofea dicubit mesra.

"Sofie datang dengan siapa?"

Terbit rasa hairan di hati Syamsul melihatkan keakraban mereka. Tingkah-laku mereka tak ubah seperti ibu dengan anak. Perasaan ingin tahunya dipendam bagi memberi laluan kepada perbualan mereka. Terhibur juga melihat kelincahan Sofea.

"Dengan nenek juga papa." Kedua-dua pasang mata mengekor arah tudingan Sofea.

Kemunculan Fikri di hadapan mata membuatkannya tidak senang hati. Namun rasa tersebut disembunyikan dari dilihat.

"Mama tak ikut sekali?"

Sedikit sugul mendengar soalan Farisya. Dia cuba untuk menceriakan wajahnya. "Mama Sofie dah takde."

"Sofie main dengan siapa kelmarin?"

Sofea terdiam seketika. Mencari orang yang dimaksudkan oleh Farisya. Tidak beberapa lama dia tersenyum. "Oh, itu auntie Tina."

"Cik Isya, siapa ni?" Sofea mengerling ke arah jejaka yang berdiri berhampiran Farisya.

Senyuman terukir di bibir Farisya yang merah dibasahi lipstick.

"Kenalkan, Uncle Syam. Syam this is Sofie, my little friend."

Tangannya mengusap lembut kepala Sofea. Kelincahan Sofea menggamit perhatiannya.

"Ini la kawan yang selalu temankan Sya kat tasik tu yer. Comel, muka pun seiras, dah macam anak Sya."

"Kalau anak Sya, mesti lagi comel dari Sofie."

Fikri berdehem. Mematikan perbualan rancak tersebut. "Nak kenal dengan Sofie aje ke? Yang lain ni macam mana?"

Syamsul menghulurkan tangan ke arah Fikri. Huluran itu bersambut dan mereka bersalaman dengan agak mesra.

"Syamsul Hadi." Spontan dia menyebut nama penuhnya tanpa diminta.

"Adam Fikri, bapa Sofie dan ini Mak Limah, nenek Sofie."

Senyuman kian mekar di bibir Mak Limah. Gembira hatinya melihat kemesraan yang dilihat di antara Farisya dan Syamsul. Sama padan. Bagai pinang dibelah dua. Matanya menyoroti jejak pasangan itu. Namun dia turut bersimpati dengan Fikri. Harapan hanya tinggal kenangan.

Fikri semakin murung. Terbit satu perasaan di hatinya. Perlu ke aku cemburu? Masakan gadis cantik itu mahukan duda. Tak mungkin. Untuk apa aku cemburu dengan kemesraan itu. Biarlah setiap insan perlu bahagia. Semoga kau bahagia Isya, bahagia di samping kesayanganmu.

 

--ooOo-

PASANGAN itu berjalan seiring menuju tempat letak kereta di luar bangunan. Syamsul membiarkan Farisya berjalan bebas tanpa memimpin tangannya. Dia kenal benar dengan Farisya, tak betah untuk berpimpin tangan, kecuali memimpin tangan anak kecil.

Gembira hatinya melihat Farisya ceria dan tidak putus dengan senyuman di bibir. Baginya pertemuan petang itu adalah pertemuan yang paling indah. Sehinggakan dia boleh melupakan perasaan cemburunya dengan kemunculan Fikri. Segala persoalan berkaitan dengan kemunculan Fikri yang wujud di minda diabaikan begitu saja. Dia tidak mahu keceriaan yang menjadi halwa mata berubah menjadi mendung apabila persoalan itu menjadi topik perbualan.

Farisya membuka pintu Perodua Kembara setelah Syamsul menekan alat kawalan. Dia lebih selesa membuka sendiri, terasa diri terlalu manja apabila ada yang membukakan pintu untuknya. Dan dia memang sudah biasa dengan kenderaan milik Syamsul itu. Kasut bertumitnya dibuka lalu bersila di atas tempat duduk sebelah pemandu. Syamsul hanya melihat telatahnya, dibiarkan kerana semua keistimewaannya sudah berada di dalam kocek pemuda itu.

Perodua Kembara itu bergerak perlahan dan berhenti setelah lampu isyarat bertukar merah. Tempat duduknya direndahkan, mahu merehatkan minda bukan untuk melelapkan mata. Syamsul mengerling ke arahnya dan menonton kontur bentuk badannya. Dia membiarkan mata Syamsul bergerak menyoroti setiap lekuk timbul pada badannya.

"Dah, jangan tengok lama-lama. Nanti accident."

"Hai, takkan marah kot." Syamsul meneruskan pemanduannya.

"Bukan marah nasihat." Selamba Farisya mencapai sweater dari tempat duduk belakang untuk menyelimuti tubuhnya.

"Sejuk ke?"

"Bukan sejuk. Tak nak bagi mata nakal Syam menonton yang bukan-bukan."

"Ala mana luak." Syam cuba mengerling lagi. Pemandangan itu kini tidak sejelas tadi kerana diliputi kain yang tebal.

"Hah. Tengok lagi tu. Cucuk matanya kang." Farisya menghunus dua jari ke arah Syamsul.

Perlakuannya membuatklan Syamsul berpaling terus. Terhambur tawanya melihat keadaan Syamsul yang tidak tentu arah itu.

"Apa la Syam ni, baru gertak sikit dah takut."

"Eleh. Tak takut pun." Syamsul mencebik.

"Nak balik rumah terus ke Sya? Tak nak ke mana-mana lagi?"

"Balik rumah Sya ajelah Syam. Sya dah penat ni. Satu JB kita round hari ni." Kerusi dinaikkan semula. Bibirnya mekar dengan senyuman girang.

"Penat-penat pun seronok. Dah lama Sya rasa seronok macam ni."

 

--ooOoo-

PINTU pagar dibuka bagi membolehkan Rexton RX270Xdi memasuki porch. Mak Limah menutup semula pintu pagar. Sofea yang keluar dari pintu belakang mendapatkan Mak Limah yang sedang membuka pintu kayu tebal. Mereka berjalan berpimpin tangan memasuki rumah dengan senyuman masih lagi mekar.

Kepalanya disandarkan ke tempat duduk. Dia masih lagi di tempat duduk pemandu untuk merehatkan minda. Peristiwa yang berlaku di Plaza Angsana terlayar kembali di ruangan ingatan.

Mindanya masih lagi mempersoalkan status lekaki yang berdampingan dengan Farisya. Siapa yer? Suami dia ke? Kalau tak pun balak dia kot. Tapi, kenapa aku mesti cemburu. Bukankah aku dah ada Tina.

Dia bukannya cemburu Farisya dimiliki oleh lelaki lain. Rasa cintanya yang menebal terhadap Fathiah membuatkan hatinya terasa bagaikan Fathiah yang bersama dengan lelaki lain. Keseirasan wajah kedua-dua wanita itu menjadikan dia terasa sebegitu.

Telinganya menangkap bunyi ketukan pada pintu keretanya. Lantas dia membuka pintu.

"Papa dah tak nak masuk rumah ke? Papa nak tidur dalam kereta?" Mulut kecil yang lincah meluncurkan kata-kata membuatkan bibirnya mengukir senyuman.

Fikri keluar dari kereta lalu mendukung Sofea masuk ke dalam. "Papa, macamana muka mama?"

Soalan itu membuatkan lidahnya kelu. Lidahnya pasti kelu setiapkali menjawab soalan yang diajukan oleh Sofea walaupun sudah berkali-kali.

"Muka mama sama macam muka Sofie. Ada lesung pipit. Cantik macam Sofielah"

Pipi halus Sofea dicubit. Lenguh rasanya mendukung anak itu, lalu didudukan di atas sofa. Punggungnya dihenyak bersebelahan dengan anak gadis itu.

"Kalau Sofie nak tau lagi, tanyalah nenek."

"Ala. Nenek tengah sibuk kat dapurlah." Sofea memuncungkan bibir. "Takpelah nanti Sofie tanya."

Muncul Mak Limah dari dapur bersama mug yang berisi jus oren.

"Sofie nak tanya pasal ape? Sampai ke dapur dengar suara Sofie."

"Nak tanya pasal mama."

Fikri menghabiskan minumannya lalu mendaki tangga. Letih sangat agaknya, jauh perjalanan mereka petang itu. Dia hanya menyoroti setiap langkah pemuda itu dengan anak matanya.

"Apa yang Sofie nak tau pasal mama?"

"Rupa mama macamana?"

"Kan papa dah jawab."

"Ala, papa kata muka mama macam muka Sofie. Takkanlah muka mama kecil macam muka Sofie."

Tersenyum dia mendengar leteran Sofea. Pandai anak itu berfikir. Betul juga apa yang disebutkan.

"Kira Sofie nak tau macamana muka mama yang sebenarnya?"

Hanya anggukan saja yang diberikan.

"Muka mama benar-benar mirip macam Cik Isya. Kira hampir semua sifat mama ada pada Cik Isya."

"Iye ke nek?" Mak Limah mengangguk. Sofea termenung seketika.

"Patut pun Sofie rasa macam bersama mama bila dengan Cik Isya."

Terkenangkan saat pertama kali bertemu dengan Farisya di taman dia berasa lucu. Bagaikan tak percaya bila melihat wajah semirip Fathiah duduk santai di hadapan mata. Memang benar Farisya bukan saja memiliki wajah yang seiras Fathiah, tapi gerak-lakunya, sifatnya dan hampir kesemuanya sama. Hilang sedikit rindu setelah berbual seketika dengan Farisya walaupun pada masa itu dia tidak tahu apa-apa butir yang dituturkan Farisya.

 

--ooOoo-

TANGANNYA mencapai tombol pintu, lalu di pulas. Bibirnya masih lagi mengukirkan senyuman mesra. Rambutnya yang basah dibiarkan mengurai bebas. Pintu kayu tebal terbuka luas. Farisya menjongket kening dengan bibir yang masih dihiasi senyuman.

Pemuda itu faham akan maksud Farisya, lalu langkahnya dihayunkan menuju pintu. Sempat lagi tangannya mencapai rambut Farisya. Spontan tangan gatalnya ditepis Farisya.

"Dah la Syam. Nanti orang nampak."

"Eleh, apa nak takut."

"Nanti diorang panggil JAWI macamana?"

Syamsul tersenyum. Gelihati dengan apa yang dituturkan oleh Farisya.

"Kat sini takde JAWI la cik kak oi."

"Apa pulak takdenya. Adalah!"

"Kat sini orang tak panggil JAWI. Diorang panggil JAIJ. Ingat Sya, Sya bukan kat KL lagi."

Eh ye ke? Farisya menggigit jarinya. Iyelah, ni Johor.

"Sukati orang la nak kata apa." Dia bersuara tegas.

Kepalanya digelengkan sambil menghayunkan langkah menuju kereta. Dia sudah arif akan kedegilan Farisya. Syamsul meloloskan badannya ke bahagian pemandu. Enjin Perodua Kembara dihidupkan dan dipandu keluar menuju ke jalan utama. Senyuman mekar di bibirnya. Keseronokan bersama Farisya mengubati keletihannya. Ah, menyesal pulak tak mandi kat rumah Sya tadi. Nak mandi kat mana ni? Berhenti ajelah kat mana-mana surau ke pump station.

 

--ooOoo-

SUASANA tenang dengan angin yang bertiup pada kadar yang rendah menyegarkan minda. Farisya memejamkan mata. Membiarkan angin meliukkan rambut dan menyapa pipinya. Terasa bagaikan dirinya melayang terbang, meninggalkan semua tekanan kerja.

Ditundukkan kepalanya, mata kecil itu mengamati rumput hijau di hujung kaki. Kakinya digoyangkan, sepi rasanya. Tiada papa, tiada auntie Tina juga tiada Nek Limah. Semua sibuk melakukan kerja. Tiada siapa yang mahu menemankannya di taman.

Kepalanya diangkat lalu matanya meliar memerhati sekeliling. Mencari sesuatu yang sudi menghiburkan hatinya. Matanya tertancap pada satu tubuh yang sedang berdiri di puncak bukit kecil. Tubuh yang amat dikenali. Eh, tu kan Cik Isya. Tengah berangan tu, sergah best juga ni.

Langkah kaki kecilnya dihayunkan mendaki bukit. Spontan tangannya memeluk kaki wanita itu.

"Hah. Dapat dia. Makan budak."

Terkejut Farisya apabila kakinya dipeluk erat. Bibirnya mengukirkan senyuman apabila mendengar suara yang diridui.

"Sofie. Bagilah salam. Terkejut auntie." Sofea meleraikan pelukannya. Menarik lengan wanita itu ke bangku simen yang berhampiran.

"Cik Isya, Sofie ade cerita nak bagitau Cik Isya."

"Uhurm." Farisya mengangkat kening. "Apa dia? Ceritalah."

"Papa kata, muka Cik Isya sama macam muka mama."

Farisya tersenyum. Wah, dah advance. Guna taktik baru. Suruh anak goda aku pulak.

"Papa tipu Sofie tak?"

"Betul, nenek pun kata macam tu." Tutur Sofie bersungguh-sungguh. Dia mahu wanita itu mempercayainya.

"Nenek kata muka Sofie sama macam mama dan Cik Isya."

Sukar untuk mempercayainya. Bukannya dia tidak mempercayai kata-kata itu. Dia lebih mempercayai tutur bicara kanak-kanak dari orang dewasa. Pernyataan itu bagaikan satu teori sogokan yang tidak mempunyai pembuktian yang nyata. Mana mungkin untuknya mempercayai semua itu bulat-buat.

Kacamata hitamnya disangkutkan di kepala. Matanya meliar mencari tubuh kecil yang biasanya bermain di taman itu. Hish, menyusahkan betul la. Mana pulak budak ni. Kalau aku dapat, siap dia.

Tina berjalan mencari Sofea yang dikatakan hilang oleh Fikri. Bertambah panas hatinya. Kemesraan yang dipertontonkan oleh dua insan di atas bukit kecil bagaikan menyemak di retina matanya. Budak kecik ni menyusahkan aku aje. Si betina ni pun satu, macam tak de budak lain nak dibuat kawan.

"Sofie!" Jeritan itu mematikan gurau senda di antara Farisya dan Sofea. "Balik! Papa cari tu."

"Alah, nantilah. Lagipun Cik Isya boleh hantarkan Sofie balik."

Degil ya. Nanti kau. Pantas dia mendaki bukit itu. Telinga Sofie ditarik sesampainya di puncak. "Jadi budak tu cuba jangan degil sangat."

"Cik Tina, tak elok mendera kanak-kanak." Bukan niatnya mencampuri urusan orang. Dia kasihan melihat Sofea merintih sambil tangannya memegang tangan Tina yang sedang memegang kemas cuping telinganya.

"Hei perempuan. Kau jangan nak jaga tepi kain orang." Tangannya membebaskan cuping telinga Sofie.

"Dia ni bakal jadi anak aku, sukati aku lah nak buat apa kat dia."

"Nampaknya Cik Tina perlu menghadiri kursus mendidik anak. Cara pemerintahan kuku besi dah tak boleh digunakan lagi."

Senyuman sinis mekar di bibir Farisya. Dia memulakan langkah pulang.

"Dah la Sofie, Sofie balik dulu. Esok lusa kita cerita lagi yer."

--ooOoo-

" I tau I yang salah. Sorry." Fikri masih lagi membatu. Melayani perbualan Tina secara endah tak endah. Tina cuba meraih perhatiannya

"I janji I tak buat lagi."

"I bukannya apa Tina. Cuma I kecewa, you belumpun jadi mak tiri dia, tapi you dah pun tunjuk sifat mak tiri you pada dia."

Tiupan bayu laut menyapa lembut pipinya. Matanya dibawakan berarak menonton kapal besar yang diterangi lampu. Fikri menekup mulut dengan kedua belah tangannya.

"Sorryla. I tak sengaja. I geram tengok dia mesra sangat dengan perempuan tu. I jelous tau." Tina menarik muka, jelas dia menyampah dengan Farisya.

"Tu you baru nampak anak I mesra dengan dia, belum I lagi." Nafas panjang dihela. Sukar untuk memujuk Sofea untuk bermesra kembali dengan Tina.

"Sekarang ni dia Sofie dah tak suka dengan you lagi. Macamana nak buat?"

Tina merengus. Balik-balik anak dia. Takde benda lain nak diceritakan. "Ala, I nak kahwin dengan you bukan dengan dia."

"Memang you nak kahwin dengan I. Tapi dia tu anak I, anak kandung I. Mana boleh I ketepikan dia."

Bibirnya dimuncungkan. Kurang selesa dimarah sebegitu. Apatah lagi yang memarahi adalah orang yang tersayang.

"Iye la. Nanti I cuba pujuk balik la anak intan you tu."

"Jangan janji tinggal janji."

 

--ooOoo-

SOFEA menyambut huluran tangan itu dengan senyuman. Bukan mudah untuk dia melupakan perbuatan yang dirasakan kejam oleh wanita itu. Makan seminggu juga dia merajuk. Setelah dipujuk Nek Limah dan papa dia menerima kehadiran wanita itu. Dia cuba menyesuaikan diri untuk bermesra dengan wanita itu.

Pimpinan tangan comel itu digenggam kemas. Tina mahu anak kecil itu tahu yang dia menyayanginya. Senyuman mekar mengindahkan lagi wajah Tina yang dikenakan blusher. Solekan nipis menyerikan lagi wajahnya.

"Mulai dari hari ni, Sofie panggil auntie, mama. Jangan panggil auntie lagi yer." Sofie mengangguk tanda akur. Walaupun jauh jurang di antara Tina dan Farisya dia masih lagi boleh menerima Tina.

Apa yang diharapkan Tina akan tabah berperanan sebagai seorang ibu kelak.

"Minggu depan, mama akan jadi isteri papa. Mama akan tinggal dengan Sofie, akan jaga Sofie dengan baik. Sofie jangan nakal-nakal tau."

"Kenapa? Kalau Sofie nakal nanti mama pulas telinga Sofie?"

Berderau darah Tina. Mahu saja ditampar mulut comel itu. Namun bila terkenangkan janjinya terhadap Fikri dia memujuk hatinya. Diselitkan rasa simpati disudut hatinya.

"Takde lah, mama tak kan buat macam tu. Mama kan sayang Sofie."

Tangan lembut Tina dikucup. "Sofie pun sayangkan mama. Mama pun kena janji tak nakal-nakal nanti."

Perlakuan Sofea membuatkan hatinya terharu. Mungkinkah Sofea dapat menerimanya dengan sepenuh jiwa. Mungkinkah dia akan menyayangi anak kecil itu sepenuhnya. Sukar untuknya menyayangi bukan zuriatnya. Susah juga bernikah dengan duda anak satu ni yer. Dua hati nak kena jaga. Apa nak buat hati dah sayang.

 

--ooOoo-

MAJLIS pada hari itu sama seperti mimpinya, cuma pengantin perempuan berbeza. Di sebelahnya kini Tina, bukan Farisya seperti di dalam mimpinya. Tak kesahlah siapapun, yang penting Sofea dapat menerima ibu barunya nanti.

Sofea melemparkan senyuman kepada papa dan mama barunya itu. Seronok melihat mereka bersanding di atas pelamin hasil tangan Nek Limah dengan bantuannya. Berbakat juga Nek Limah dalam bidang hiasan dalaman. Cantik, itulah perkataan yang dapat mewakili kesempurnaan solekan dan pakaian Mama Tina. Mama Tina kelihatan lebih anggun pada masa itu.

Muka Tina yang manis dengan senyuman tiba-tiba masam. Kehadiran si betina yang mengusap rambut Sofea membuatkan hatinya tidak tenteram. Kemesraan yang utuh terjalin di antara Farisya dan Sofea mencarik hatinya.

Fikri menyedari perubahan pada wajah isterinya.

"Dah le tuh. Jangan la rosakkan majlis dengan sifat cemburu you tu." Tuturnya dalam keadaan berbisik.

Tina menjeling ke arah Fikri. Dicuba untuk mengukirkan senyuman, berjaya juga. Kemudian kepalanya dipalingkan ke hadapan. Lega hatinya apabila Farisya sudah tiada di hadapan mata.

Barulah senyuman boleh terhasil secara semulajadi, bukan berlakon seperti tadi.

Alhamdulillah... Syukur, selamat dengan sempurna pernikahan dan majlis. Fikri meraup muka. Gembira didampingi isteri baru. Harapannya terhadap Tina cuma satu, menjaga dan menyayangi Sofea seperti anak sendiri. Apa yang dilihat berlaku di hadapannya kini, dia percaya harapannya sudah tercapai.

Sofea mengekek kegelian apabila tapak kakinya digeletek olehnya. Tina berpaling ke arah Fikri setelah menyedari perlakuannya ditonton. Senyuman bahagia dilemparkan ke arah Fikri. Dia berasa bahagia sekarang. Berada di samping Fikri yang penyayang sememangnya didambakan sejak siri pertemuan yang tidak disengajakan. Dipanjatkan doa semoga ikatan yang terjalin kekal selamanya.

..... bersambung ...

Muhammad Ttuyup , Sabtu, Oktober 30, 2010 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

PENULIS Muhammad Ttuyup

CHAIRMAN / FOUNDER :: Saya adalah pengasas dan pemilik Asal Blog Ini yang di mulakan pada tahun April 2004, dan menggunakan alamat blog http://ttuyup.blogspot.com. Pada awal tahun 2007 saya menjemput en. Adam Merah menyertai blog ini dan pada akhir tahun yang sama, saya meminta en. Adam menguruskan blog ini untuk saya.

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog