Ketika saya berumur belasan tahun saya pernah terlibat dengan teman-teman mat rempit, menenggek belakang motosikal dari utara ke selatan, tetapi hanya dengan seorang teman dan tidak terlanjur.
Sekarang saya telah berkahwin dan akan melahirkan anak tidak lama lagi. Suami saya seorang yang begitu baik hati, penyayang dan terlalu mengambil berat terhadap keluarga. Tetapi sejak kebelakangan ini dia seolah-olah mengesyaki saya liar ketika muda. Saya menafikan dan dia memaafkannya, tetapi memberi amaran dia tidak reda dengan saya sekiranya saya bercakap bohong.
Saya merasa bersalah dengan apa yang saya lakukan waktu diangkut ke hulu ke hilir oleh teman lelaki saya dulu. Rasa bersalah kepada suami yang begitu jujur dan baik hati. Adakah saya perlu berterus terang dan menyatakan apa yang sebenarnya berlaku?
Saya bimbang apa yang saya lakukan tidak diterima Allah, makanan yang diberi, pakaian dan tempat tinggal tidak halal bagi saya. Saya telah insaf dan menyesal. Perkahwinan saya membuka lembaran baru dan saya mahukan anak-anak saya tidak ikut jejak langkah saya yang akhirnya menimbulkan kekesalan, rasa bersalah kepada suami yang jujur dan baik hati, biarpun saya jelaskan saya tidak terlanjur.
– Isteri setia, KL
JAWAPAN:
Persoalan utama yang perlu ditimbulkan ialah kenapa suami puan mula mengesyaki setelah puan hampir melahirkan anak. Mungkin lebih munasabah kalau dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik selepas malam pertama perkahwinan.
Seseorang lelaki yang hendak mengahwini perempuan yang diminati perlu menyelidiki latar belakang bakal pasangannya terlebih dahulu. Sikap atau amalan seperti ini juga perlu dilakukan oleh kaum wanita, malah mereka patut melakukannya lebih serius, daripada apa yang dilakukan oleh kaum lelaki, kerana masalah-masalah yang mendatang dalam urusan rumah tangga lebih banyak ditanggung oleh mereka, biarpun keadaan yang sebenar tidak sepatutnya berlaku sedemikian rupa, kerana kedua-dua pihak perlu sama bertanggungjawab. Kedua-dua pihak perlu menyelidiki latar belakang agama, tabiat sembahyang, keluarga, masalah yang berkaitan dengan sakit keturunan dan sebagainya terhadap pasangannya.
Andainya usaha seperti ini tidak dapat dilakukan sendiri, minta tolong orang lain yang dipercayai. Inilah yang banyak dilakukan oleh orang tua zaman dahulu, yang diistilahkan sebagai "meninjau," sebelum usaha "merisik" dilakukan.
Setelah itu barulah dilakukan "pertunangan". Saya beranggapan usaha seperti ini perlu sebelum upacara meminang. Sekiranya ada sesuatu yang tidak menyenangkan, kepastian yang tidak dapat bukti atau ada syak wasangka, usaha-usaha menemukan pasangan ini boleh dihentikan setakat itu, kerana di antara mereka masih tidak ada ikatan.
Pasangan yang telah ditunangkan, biarpun tidak ada ikatan perkahwinan dan boleh diputuskan, sama ada oleh pihak lelaki ataupun perempuan tetap meninggalkan kesan buruk, terutamanya kepada si gadis, kerana upacara pertunangan selalunya melibatkan ramai orang, kerana itu ia tetap tersebar.
Persoalan lain ialah apakah punca syak suami puan. Adakah kerana sikap puan yang masih berhubung dengan kawan-kawan lama, sama ada melalui telefon, kunjungan, ataupun dia terjumpa surat lama puan? Mungkin juga ada orang yang memberitahunya, secara sengaja atau tidak sengaja tentang peri laku puan ketika remaja.
Andainya punca tersebut bermula daripada puan, ia satu kesilapan besar. Bagi seorang isteri, suami yang baik itu adalah syurga baginya, begitulah sebaliknya, di mana suami memerlukan isteri yang soleh. Dalam sebuah hadis dari Abi Umamah, dinyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:
"Bagi seorang mukmin, setelah ia bertakwa kepada Allah, tiada sesuatu yang terbaik selain isteri yang soleh, iaitu apabila ia diminta melakukan sesuatu, ia taat, apabila dilihat, menyenangkan, apabila diberi janji diterima dan apabila ditinggalkan pergi, ia menjaga dirinya dan harta suaminya dengan baik". - Hadis riwayat Ibn Majah.
Di antara ciri-ciri isteri yang solehah ialah menggembirakan suami apabila si suami memandangnya. Rasa benci atau tidak suka suami melihat isterinya boleh berlaku kerana si isteri tidak taatkan si suami, melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan suami, termasuk rasa cemburu, syak wasangka, seperti isteri yang masih berhubung dengan teman-teman lelakinya dahulu, berkunjung ke rumah teman-teman lama tanpa pengetahuan atau keredaan suami.
Andainya ini terjadi, puan telah melakukan kesilapan. Seorang suami, biar baik sekalipun akan mengesyaki sesuatu yang tidak baik andainya hal-hal seperti ini berlaku, apatah lagi sekiranya ada orang lain memberitahu kelakuan isterinya ketika sebelum kahwin dahulu.
Sekiranya punca syak seperti ini bermula daripada puan, ia adalah peristiwa malang. Puan sepatutnya membuka lembaran baru sebaik-baik puan menjadi milik seorang suami ataupun lebih awal daripada itu biar betapa bebas diri puan ketika remaja dahulu.
Walaupun demikian, sekiranya punca itu tidak bermula daripada puan dan puan sedang berusaha menjadi isteri yang terbaik, tetapi rasa syak suami itu timbul, seperti yang terjadi, puan tidak perlu risau. Rasa tertekan dan kebingungan itu lahir, seperti yang puan alami merupakan perkara biasa, yang dicampur oleh rasa "salah diri" yang masih menjalar dalam diri puan akibat pergaulan bebas ketika remaja dahulu.
Ibu yang mengandung sepatutnya banyak berehat dan berusaha mencari ketenangan. Gangguan emosi ibu boleh melahirkan tindak balas anak dalam kandungan, serta membentuk perilaku anak yang bakal dilahirkan. Selain rehat yang sempurna, makanan yang sesuai dan mencukupi, ketenangan jiwa boleh didapati melalui berdoa dan beramal.
Amalan seperti ini biarpun banyak membantu untuk memperoleh ketenangan, namun terlalu sedikit orang yang memahaminya dan melakukannya. Ia juga sukar untuk dilakukan oleh mereka yang mengalami tekanan emosi.
Cara lain untuk memperoleh ketenangan jiwa ialah dengan beribadah pada waktu malam. Amalan ini amat besar fadilatnya. Allah menjelaskan (al-Muzammil: 6), bahawa bangun pada waktu malam itu lebih mudah mendapatkan rasa khusyuk terhadap ibadah yang dilakukan, manakala bacaan yang diucapkan, sama ada ketika sembahyang, membaca al-Quran, berdoa dan sebagainya lebih dapat dihayati, mudah menyerap dalam jiwa dan memberi kesan yang mendalam. Sembahyang di waktu malam melahirkan kekuatan jiwa. Satu cara penyucian hati dan memperkukuh iman, serta melahirkan rasa takarub yang lebih terhadap zat yang Maha Agung.
Rasulullah menyuruh agar setiap orang itu bangun pada waktu malam (mengerjakan sembahyang malam) kerana perbuatan tersebut menjadi kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu dan ia dapat mendekatkan diri kamu kepada Tuhan, menghapuskan kejahatan serta mencegah daripada dosa dan dapat menghalau penyakit dari badan.
Sikap suami puan yang dia tidak reda dunia, akhirat andainya puan menipu atau tidak menceritakan apa yang sebenarnya berlaku ketika remaja mungkin kerana ia terlalu mengasihi puan dan apabila dia mengesyaki perilaku buruk pada masa lampau, dia begitu kecewa.
Kasih sayang
Mungkin dia merasakan bahawa kasih sayang yang diberi olehnya selama ini tidak dihargai oleh puan walaupun seandainya puan menceritakan apa yang pernah berlaku dahulu, menceritakan ke mana puan pergi dengan siapa, berpegangan tangan, bercumbu-cumbuan di tempat sunyi misalnya, saya berkeyakinan bahawa pengakuan ini tidak langsung menyelesaikan masalah atau boleh menghilangkan rasa sangsi dan syak yang membuku dalam jiwanya.
Besar kemungkinan rumah tangga puan menjadi ribut, kerana itu, apa yang puan rahsia dari pengetahuannya mengenai apa yang telah berlaku adalah tindakan yang lebih bijak.
Puan tidak melakukan dosa terhadap suami, biarpun diandaikan puan ada melakukan maksiat ketika remaja. Ketika itu puan tidak ada kaitan dengannya. Puan bersalah atau berdosa kepada Allah andainya puan ada melakukan maksiat ketika itu, kerana itu puan perlu bertaubat, tidak mengulangi perkara yang sama juga dosa-dosa lain. Dan ini telah pun dilakukan. Puan telah berusaha untuk menjadi seorang isteri sebaik mungkin, kerana puan telah insaf.
Dalam usaha menangani keadaan ini puan perlu tenang, lupakan peristiwa lama, hilangkan rasa bersalah dan yakinkan diri bahawa puan telah melakukan yang terbaik untuk suami. Kalaulah hal-hal yang berlaku seperti ini hendak diungkit-ungkit, sama ada ia berpunca daripada kesilapan puan, atau desas-desus orang luar, puan juga berhak bertanya kepada suami adakah dia pernah melakukan maksiat ketika remaja dahulu. Kalau ini berlaku, kekusutan rumah tangga akan berpanjangan tanpa berpenghujung pada hal bayi semakin hampir waktu lahirnya.
Dalam masalah halal atau haram, makanan juga minuman yang puan nikmati, hasil titik peluh suami tidak timbul sama sekali. Tidak ada kaitan dengan sikap puan yang tidak berterus terang kepada suami apabila timbul rasa syak. Makanan dan minuman tetap halal andainya diperoleh daripada sumber yang halal. Begitu jugalah sebaliknya kalau ia diperoleh daripada sumber haram.
Peristiwa yang berlaku ini memberi pengajaran kepada setiap orang, terutamanya kaum wanita supaya menjaga diri, adab sopan dan kelakuan, juga batas-batasan yang mesti dipatuhi. Dalam kehidupan bermasyarakat, terutamanya dalam masyarakat yang mempunyai hubungan rapat, orang ramai sentiasa memerhati kelakuan kita biarpun mulutnya tidak berkata-kata, tetapi tingkah laku kita tetap dalam ingatan orang yang memerhati tadi dan ia boleh diluahkan kembali apabila orang yang diperhatikan itu berkahwin dengan orang yang dikenali oleh pemerhati tadi, sama ada kawan ataupun saudara.
Seperkara lain, tingkah-laku buruk, lebih-lebih lagi kalau ia melibatkan perzinaan akan menghantui pemikiran pelakunya apabila ia mendirikan rumah tangga. Bagi seorang isteri, ia sering merasa bersalah dan berdosa kepada suami yang berkahwin dengannya, kerana itu kita mesti menjaga diri biar di mana kita berada.
Allah memberi nikmat yang tidak ada bandingannya, dengan mengurniakan seorang suami yang jujur, baik dan begitu prihatin terhadap rumah tangga. Apakah ada nikmat yang lebih besar bagi seorang isteri yang dianugerahkan seorang suami yang begitu baik? Untuk membalas nikmat anugerah Allah yang begitu agung dalam kehidupan rumah tangga, puan perlu memberi kasih sayang sebaik mungkin.
Mungkin lantaran memperoleh seorang suami yang begitu baik, puan merasa bersalah atas perilaku yang terjadi ketika remaja dahulu. Segala-galanya telah berlaku dan tertulis di Loh Mahfuz yang tidak boleh diubah.
Allah Maha Mengetahui bagaimana hendak menjadikan puan seorang yang insaf yang baik, iaitu dengan menemukan jodoh jejaka yang paling baik biarpun ketika remaja puan berpasangan dengan orang lain.
Soal Jawab bersama Dr. Amran Kasimin

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .
Nama Penuh saya ialah Cik NiNe Binti Che Kadir, saya menggunakan nama pena C9 dan Cik 9P. Mulus

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "