Selasa, 10 Mac 2009

'Berhati-hati guna ubat kuat'

Produk perangsang seks mengandungi bahan kimia memudaratkan kesihatan

PETALING JAYA: Orang ramai diminta berhati-hati dengan 11 jenis produk minuman termasuk kopi Viagra buatan tempatan mengandungi bahan perangsang seks campuran bahan kimia seperti tadalafil dan sildenafil yang boleh memudaratkan kesi-hatan, termasuk menyebabkan kematian.

Produk dijual dalam bentuk serbuk, uncang dan bancuhan adalah Coffee Hari2-mau Power X2, B-Fit Coffee, Spring Cafe, Ali Baba Coffee 10 in 1, Kopi Kucing Galak, Kopi Pahlawan, Kopi Tenaga Tok Lebai Plus, Mentalk Candy Ginseng & Coffee, Kopi Bagus AAA dan Evo Green Mix For Healthy & Vitality.


Ketua Penolong Pengarah Farmasi (Kuat kuasa) Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail, berkata bahan itu adalah sebahagian daripada produk tidak berdaftar bernilai RM29 juta yang dirampas di seluruh negara, tahun lalu.

"Ia mengandungi bahan kimia perangsang seks seperti sildenafil, Analog sildenafil, Aminotadafil, manakala Evo Green Mix for Healthy & Vitality mengandungi sibutramine dan analog sildenafil. Produk ini dirampas hasil intipan serta aduan orang ramai," katanya kepada Berita Harian.

Beliau diminta mengulas masalah lambakan ubat perangsang seks, termasuk yang diseludup masuk secara haram ke negara ini.

Produk seperti kopi yang mengandungi campuran sebatian sildenafil itu boleh mengundang padah selain kesan sampingan yang memudaratkan. Malah ia amat berbahaya kepada mereka yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kandungan lemak tinggi dalam badan.


Mazlan berkata pihaknya turut mengesan taktik syarikat pengeluar bahan perangsang seks ini yang menghasilkan produk dalam bentuk gula-gula. Ini termasuk Power 1 Walnut, Mentalk Candydan Hotton Candy yang tidak berdaftar dan mengandungi Aminotadafil.

Selain itu, sepanjang tahun lalu, produk racun dan tradisional tidak berdaftar menjadi nilai rampasan tertinggi iaitu 46 peratus berbanding kosmetik, perangsang seks dan produk bagi mengurangkan berat badan.

"Ia sebahagian kira-kira 20,709 produk tidak berdaftar yang dikesan dijual sepanjang tahun lalu. Kebanyakan atau 83 peratus produk tidak berdaftar ini berasal dari luar negara iaitu Indonesia, China, Filipina, India, Thailand, Singapura, Asia Barat atau Timur Tengah, Afrika dan Eropah," katanya. - bh

Oleh Nurul Adlina Kamaludin : dlina@bharian.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan