Selasa, 10 Mac 2009

Spesies tumbuhan baru Jambulima ditemui di Sarawak

KUCHING 8 Mac - Saintis tempatan dan luar negara berjaya menemui spesies tumbuhan baru dikenali sebagai Rhizantes atau Jambulima yang menyerupai bunga Rafflesia di negeri ini.

Fellow Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr. Mohamed Abdul Majid berkata, spesies tersebut ditemui oleh sekumpulan saintis sewaktu Ekspedisi Hidupan Liar Lanjak Entimau pada Jun tahun lalu.

''Rhizantes adalah tumbuhan epifit iaitu spesies tumbuhan menumpang yang sama sifatnya dengan bunga Rafflesia. Bunganya besar, berdiameter 60 sentimeter iaitu kira-kira 0.6 meter lebar," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) dan Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Mohd. Naroden Majais.

Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Lanjak Entimau terletak di Nanga Bloh dalam daerah Sibu.
Menurut Mohamed, bunga Rhizantes mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan seperti daging busuk dan menarik perhatian lalat apabila mencapai tahap matang dan mula mengembang.

Katanya, spesies baru yang jarang sekali ditemui itu dijangka mampu menyumbang terhadap industri ekopelancongan negara sekali gus menarik minat pencinta alam semulajadi untuk datang berkunjung ke negeri ini.

Terdahulu, seramai 150 orang terdiri daripada peserta ekspedisi, saintis tempatan dan golongan pemegang amanah menghadiri Seminar Ekspedisi Saintifik Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau anjuran ASM, Jabatan Perhutanan Sarawak (SFD) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Dalam pada itu, Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Seminar berkata, acara itu susulan kepada Ekspedisi Saintifik Santuari Liar Lanjak Entimau pada Jun tahun lalu.

Menurutnya, seminar kali ini memberi peluang kepada penyelidik-penyelidik yang menyertai ekspedisi tersebut membentangkan penemuan dan hasil kajian yang dijalankan.

Tambahnya, segala penemuan dan hasil kajian tersebut akan dibukukan dan seterusnya diterbitkan oleh ASM. - utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan