"Sue !"
Mona mengetap bibir. Perempuan ini kalau sudah menatap majalah agaknya pejabat runtuh pun dia tidak sedar. Dengan geram dia bangun menuju ke arah Suraya yang sedang khusyuk membaca majalah. Ditepuknya meja Suraya dengan kuat sehingga gadis itu terlatah-latah.
"Gila ke kau ni ? Tak boleh panggil aku elok-elok ?"marah Suraya.
"Gila ke kau ni ? Tak boleh panggil aku elok-elok ?"ejek Mona pula cukup dengan riak muka dan pergerakan badan sekali.
"Aku panggil dah sepuluh kali kau tu yang pekak badak. Tu ! Bos panggil kau. Masuk bilik dia sekarang." Mona memuncung ke arah bilik bos mereka.
Suraya tersengih. "Encik Remie ke ?"
"Habis siapa lagi ? Encik Rahmat bukannya ada…"
Senyuman Suraya kian melebar. Cermin kecil dijelingnya sekilas sambil membetul-betulkan rambut dan bajunya. Kemudian dia bangun berlenggang ke bilik Encik Zuraimi sambil memberi jelingan kepada Mona yang menjuihkan bibir kepadanya.
"Hoi tak payah nak berangan. Orang tu dah ada bini. Calon yang kedua pun dah ada, kau nak jadi calon nombor empat ke ?"teriak Mona. Suraya menunjuk angka tiga dengan jarinya.
"Yang ketiga tu aku la …."
Kata-kata Mona itu dibalas Suraya dengan menjelirkan lidahnya sebelum dia mengetuk pintu bilik Remie.
Sebaik pintu dibuka hatinya dilanda debaran melihat Remie sedang khusyuk memandang ke skrin laptopnya tanpa menjeling pun kepadanya yang baru masuk. Suraya merasakan Remie semakin hari semakin tampan. Apakah ketampanan lelaki itu memang bertambah mengikut detik waktu atau dia hanya ditipu ilusi pandangannya sahaja yang nyata telah terpikat, Suraya berteka-teki sendiri.
"Apa yang I boleh tolong ?"tegurnya. Remie tersenyum lalu memandang Suraya. Buat seketika pandangan matanya tertumpu ke tubuh gadis itu yang pada pandangannya kelihatan begitu menarik hari itu. Tubuhnya dibaluti top berbentuk V berwarna oren, dilapisi dengan kot putih dan skirt paras lutut juga berwarna putih.
"Lawa you hari ni…"pujinya.Suraya mengulum senyum.
"Bagi I sendiri setiap hari I kelihatan lawa."
"Bagus ! Ini yang buat I suka pada you, confident. Bukan macam sesetengah perempuan. Bila kena puji, mulalah nak merendah diri tak tentu pasal."
Suraya tertawa kecil. Berbaloi juga usahanya menghiaskan diri. Remie akhirnya memuji kecantikannya. Dia sangat berharap lelaki itu akan tertarik kepadanya. Meski pun diketahui Remie sudah beristeri, Suraya tidak gentar bermain api. Baginya memadai dapat bergandingan dengan pujaan hatinya di luar andai tidak mampu menjadi miliknya yang abadi. Mana tahu takdir Tuhan suatu hari nanti Remie jatuh ke tangannya jua.
"So, ada apa hal you panggil I ? Ada apa-apa yang boleh I tolong ?"
"Sajalah…hari ni I belum tengok muka you lagi. Rindu pulak rasanya…"
Hati Suraya berdetak. Dia tahu Remie bergurau namun gurauan itu sedikit sebanyak mengembangkan saraf-saraf cinta di hatinya yang mula berakar umbi. Dan selebihnya dia suka dengan pujian itu malah setiap patah kata-kata yang keluar dari mulut Remie.
Di luar bilik itu Mona keresahan. Sekejap-sekejap dia menjeling ke pintu bilik bosnya namun pintu itu masih terkatup rapat. Sesekali kedengaran ketawa halus Suraya. Apa saja yang dibincangkan mereka, sudah enam belas minit berlalu. Dialihkan pula pandangannya ke sofa panjang berwarna merah hati di tepi dinding. Wanita yang sedang duduk menanti bersilang kaki itu walaupun kelihatan tenang namun wajahnya agak tegang. Pasti ada sesuatu yang dipendamkannya. Dalam hati Mona hanya berdoa agar Suraya cepat-cepat keluar dari bilik Remie.
Sebentar kemudian wanita itu kelihatan tidak betah menunggu lagi. Matanya menjeling jam di tangan dan bilik Remie bersilih ganti.
"Siapa kat dalam ?"tanyanya.
"Suraya. Tadi bos panggil, katanya nak bincang sesuatu."Mona menjawab perlahan. Tidak berani dia menentang pandangan mata wanita seksi itu. Dalam hatinya membuat perbandingan, secantik-cantik Suraya, cantik lagi wanita ini. Seseksi-seksi Suraya, seksi lagi kekasih bosnya ini. Akal jahatnya membayangkan bagaimana Suraya terkial-kial disembur Elly kalau wanita ini tahu niat cinta Suraya terhadap kekasihnya itu. Ketika Elly mula melangkah ke bilik Remie, Mona tergeleng-geleng sambil sekuntum senyum tersumbing di bibirnya.
Ramai orang suka benar bermain api walau pun menyedari ia bakal menyakitkan. Syukurlah hatinya tidak terjangkit penyakit cinta Remie. Kalau tidak pasti dirinya akan lebih menderita. Tentu saja bosnya itu tidak akan terpikat dengan penampilannya yang sederhana tanpa secolek mekap, badan pula rendang berisi dan wajah bulat penuh itu. Siapalah dia kalau hendak dibandingkan dengan kekasih atau isteri Remie.
Elly langsung saja menolak daun pintu bilik Remie setelah menunggu hampir lima belas minit. Sebaik pintu terbuka, matanya merenung tajam ke arah dua manusia itu yang sedang terkekeh-kekeh ketawa. Kedua-duanya agak terkejut dengan pencerobohan yang tiba-tiba itu. Tanpa ketukan, tanpa salam tiba-tiba muncul seorang wanita berwajah serius. Suraya segera meminta diri. Dia tidak kenal perempuan itu tetapi dapat mengagak mungkin inilah kekasih Remie yang dikatakan lebih cantik dan seksi daripada isteri Remie sendiri. Dia juga tidak pernah melihat isteri Remie tetapi dalam hati tetap mengakui wanita di hadapannya ini memang cantik semulajadi.
Remie mempersilakan Elly duduk sebaik saja Suraya menutup pintu dari luar. Buat seketika dia merenung kekasihnya itu tanpa sepatah kata. Elly juga hanya diam merenung Remie bagai sedang berkomunikasi secara senyap. Wajahnya sudah tidak setegang tadi malah kini kelihatan murung pula. Dalam hati Remie tertanya-tanya.
"Kan I dah cakap jangan datang office secara mengejut macam ni. Kalau ada apa-apa call sajalah. Dah lama you tak call I, tiba-tiba muncul kat sini. Kenapa ni ?"
Elly masih diam berpeluk tubuh. Hatinya teramat sakit melihat reaksi Remie yang bersahaja. Malah masih lagi boleh bertanya kenapa tiba-tiba muncul di sini setelah lama tidak call?
Kalaulah dia terdaya untuk membuat lelaki ini sakit hati ! Namun dia sedar Remie tidak akan mudah melatah dengan sesuatu perkara. Apatah lagi perkara yang dianggapnya enteng dan remeh-temeh. Remie akan tetap berlagak cool dan balik-balik yang sakit hati hanyalah dirinya sendiri.
"You apa khabar ? Dah lama kita tak jumpa. I rindu…"
Akhirnya Elly bersuara perlahan. Matanya buntang merenung ke mata Remie. Walau bagaimana sakit hatinya akibat diperlakukan lelaki ini, dia tidak boleh menunjukkan kekerasan. Apatah lagi memberontak atau mengamuk tidak tentu fasal. Remie sudah pasti tidak akan melayannya dan akhirnya hanya dia yang berputih mata bila Remie tetap mendambakan Riana. Dia perlu menggunakan kaedah diplomasi yang paling halus.
Mendengarkan itu Remie tersenyum lebar. Disandarkan kepalanya ke kerusi empuk.
"Ke mana you menghilang ? Merajuk ke ? You tahu kan lately I sibuk sangat. Projek I dengan jabatan tu dah berjalan tau. Sekarang I tengah plan nak supply dome untuk Genting pulak. I betul-betul takde masa. Tapi kalau you call I,kita masih boleh jumpa sekali-sekala. Are you mad with me ?"
Elly hanya menggeleng. Pandangan matanya sayu sesayu hatinya kini.
"Mana boleh I marah pada you. I tak pernah marah pada you honey… I cuma rindukan you saja."tangannya mencapai tangan kanan Remie lalu dipegangnya erat. Remie tersentuh melihat kelembutan Elly kali ini. Apakah ini strategi terbaru Elly untuk menakluki hatinya ? Kalau sebelum ini Elly selalu marah-marah dan mengamuk sakan setiap kali dia gagal ke kediamannya seperti yang dipinta. Malah selepas peristiwa dia menampar pipi Elly tanpa sengaja beberapa bulan lalu, dia ada mengunjungi Elly di apartmentnya sekali. Tujuannya mahu meminta maaf dan berdamai tetapi Elly mengambil peluang itu untuk menyerangnya habis-habisan. Malah sempat mengugut akan melakukan sesuatu kalau dia tidak segera berpindah ke apartment itu dan meninggalkan Riana.
Remie hangat hati. Dia masih sudi menjenguk ke apartment sudah cukup baik tetapi Elly seolah-olah tidak tahu bersyukur. Baginya sebagai seorang lelaki dia tidak perlu mengikut telunjuk sesiapa. Dia bebas berbuat apa saja sesuka hati. Apatah lagi bila disuruh memilih satu antara dua ! Sama ada memilih Riana atau Elly, segalanya terletak di dalam tangannya sendiri. Sesiapa pun tidak mungkin dapat mempengaruhi keputusannya. Semenjak hari itu dia langsung tidak berkunjung ke apartment Elly lagi. Panggilan dari wanita itu juga diabaikannya. Niatnya mahu mengajar Elly agar tidak semudah itu memijak kepalanya.
Dan hari ini Elly secara tiba-tiba muncul di pejabatnya. Sedikit sebanyak rindu terhadap wanita itu bertandang juga.
"Malam ni you ada program apa-apa ?"tanya Elly lembut. Remie membelek organizer seketika.
"Rasanya tak ada. Kenapa ? You nak ajak I tidur kat rumah you ?"soalnya pula dengan lirikan senyum menggoda. Elly tersenyum nipis.
"I nak masakkan something special untuk you. Dah lama kita tak makan sama kan. Jadi untuk reunion apa salahnya I buat sesuatu untuk impress you."
Remie ketawa kuat. Mengigaukah Elly ? Ruang dapur pun berkerak ada hati mahu memasak. Lagi pun, sejak bila pula dia pandai memasak ? Sejak bila pula menjadi rajin ? Remie dilanda musykil.
"What, masak ? You nak masak apa ni darling ? Chicken chop ? Black paper chicken wings ? Lamb chop ? Atau special sphagetti ?"soal Remie dengan ketawa yang masih bersisa. Elly hanya tersenyum. Dia tidak kecil hati kerana memang telah dijangkakan Remie akan ketawa bila mendengar dia mahu memasak. Seumur hidupnya belum pernah memasak apa-apa kecuali memanaskan pizza dingin untuk diri sendiri.
"Nasi beriani special untuk my dearest sweetheart Zuraimi Ahmad Zaki."
Remie terlopong. Kemudian menyambung ketawa dengan lebih kuat lagi. Wajah Elly yang merona merah ditatapnya sungguh-sungguh. Dia sangkakan percubaan memasak Elly yang pertama tentulah makanan barat yang menjadi kegilaannya, ini… nasi beriani yang disebutnya. Remie jadi keliru.
"Well, apa yang buat you tiba-tiba jadi macam ni ? Hmmm….you menyepikan diri dua bulan tu sebab belajar memasak ya."teka Remie. Elly mengiakan dengan tersenyum simpul.
"Betullah tu. Kan I dah cakap nak impress you. So macam mana, malam ni kat rumah I ya ?"
"Ok. Lepas habis waktu kerja nanti I pergi."
Senyuman Elly melebar. Dia bangun mencapai tas tangan dan bersedia untuk keluar.
"See you honey. Tonight, we'll be back to heaven. Bye."pipi dan bibir Remie dikucupnya sekali sebelum keluar dari bilik itu. Remie mengekori dengan pandangan mata.
**************************
Ketibaannya di apartment Elly malam itu disambut dengan harum bau masakan yang begitu menggoda selera makannya. Dia terus saja menyusul ke dapur. Elly sedang membuat sentuhan terakhir di meja makan yang sudah siap terhidang makanan. Terpandang nasi beriani kekuning-kuningan siap dengan ayam madu itu, Remie terus kecur air liur. Sudah lama tidak merasa variasi makanan Melayu sebegitu.
"Nope. Lepas mandi baru boleh makan."tegur Elly ketika dia cuba hendak merasa hidangan itu.
"Takkan try pun tak boleh ?"
Elly menggeleng sambil mendorong Remie ke bilik mandi. Di situ sudah tersedia satu tub penuh air hangat dengan wangian aroma terapi bunga-bungaan. Di hujung tub pula sudah terpasang beberapa batang lilin kecil berwarna pink yang menimbulkan suasana romantik dan menyenangkan. Remie mendiamkan diri saja ketika Elly menolong membukakan pakaiannya dan menyuruh dia berendam di dalam tub itu.
"Mandi dengan I ?"pinta Remie. Elly menolak lembut.
"I dah mandi. Lagi pun I ada kerja sikit lagi kat dapur. Final touch. Dah sudah mandi nanti panggil ya."
Elly berlalu meninggalkannya berseorangan menikmati kehangatan air mandian itu. Remie memejamkan matanya rapat-rapat. Selesa sungguh. Bukan tidak pernah bermandian bersama Elly dengan wangian aroma terapi tetapi kali ini dirasakan layanan Elly begitu berbeza. Lembut dan mempersonakan. Malam ini Elly bagaikan bidadari yang diperturunkan khas untuk menghiburkan dirinya yang kepenatan setelah seharian bekerja. Buat seketika dia melupakan semua hal-hal lain. Biarlah malam ini dinikmati bersama kekasih hatinya yang telah agak lama diabaikan itu.
Di ruang makan Elly telah memadamkan lampu utama. Yang menyala cumalah sebuah lampu kecil yang malap berwarna kehijauan dan dua batang lilin di meja makan. Uh, candle light dinner. Remie tidak pernah menyangka seumur hidupnya akan menghadapi malam seromantis ini siap dengan hidangan candle light dinner. Seperti si romeo yang diraikan. Dalam hatinya tergelak. Untuk apa dia melalui semua ini. Namun melihat kesungguhan Elly, dia mengakui tidak wajar memperlekehkan usaha wanita itu.
"Sedap tak honey ? I berusaha keras tau untuk masak nasi ni. Tak ada siapa pun ajar I, semua I belajar dari buku resepi dan rakaman video."
"Ummm…not bad. Berapa kali you buat try and error ?"tanya Remie pula setelah mencicipi sedikit nasi dan ayam madu. Elly ketawa manja.
"Banyak kali. I try and try…..sampailah I puas hati. Macam ni I boleh masakkan untuk you selalu kan ?"
Selesai hidangan nasi, Elly membawa pula salad buah-buahan dan sepotong kek black forest.
"Salad buah ni pun I buat sendiri,rasalah. Tapi kek tu I beli…tak larat nak buat. Takut nanti tak jadi black forest pula."terang Elly.
Sambil menghirup café late panas yang beraroma vanila, hati Remie merintih sendiri. Terasa pilu menatap sinar mata Elly yang penuh pengharapan. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat lagi. Antara Riana dan Elly, masing-masing telah menjadi sebahagian daripada pelengkap hidupnya. Siapa yang harus menjadi korban…Remie sungguh-sungguh tidak tahu.
Ingatan terhadap Riana hilang dengan sendirinya bila Elly mendorongnya ke bilik tidur.
****************************
Sudah jam dua pagi ketika Riana tiba-tiba terjaga. Rupa-rupanya dia tertidur di sofa di ruang menonton. Segera dia menjengah ke bilik tidur. Remie tidak ada. Di bilik air juga tiada. Di dapur gelap gelita. Riana mencapai telefon bimbit. Hanya suara rakaman Remie yang menyambut panggilannya. Perlahan-lahan Riana memanjat ke katil dan mengerekot di situ sambil merenung telefon. Remie tidak balik, tidak juga menelefon. Sudah lama Remie tidak membuat perangai gila seperti ini.
Adakah Remie sudah kembali kepada perempuan itu ?
Dia berkalih pula ke kiri. Dan dia mengakui, selagi dia mencintai seorang lelaki bernama Zuraimi Ahmad Zaki, selagi itulah hatinya akan terus dilukai…
Bunyi telefon yang nyaring tiba-tiba menyentakkan Riana. Pantas dicapai telefon yang terselit di celah selimut. Kotak pesanan ringkas dibuka dengan perasaan tidak sabar. Dia menjangkakan Remie yang menghantar berita tetapi rupa-rupanya seseorang yang tidak dikenali membawa kehampaan sekaligus pertanyaan ke benaknya yang kusut.
'Apa khabar Yana, boleh jumpa esok ? Tunggu di Coffe Bean'
Riana terkebil-kebil memandang skrin telefon.
Note: sue ........ sue ... :)
Bersambung..........................

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.
Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :
1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "