GENEVA 16 Mei - Sebutir berlian berusia beratus tahun milik kerabat diraja Eropah turun-temurun berjaya dijual pada harga AS$9.7 juta (RM30.2 juta) pada satu jualan lelong, di sini semalam.
Berlian seberat 35 karat yang diberi nama 'Beau Sancy' itu pernah dipakai Ratu Marie de Medici, isteri Raja Henry IV, pada hari pertabalannya pada 1610.
Terdapat lima pembida dari tiga benua bersaing mendapatkan berlian itu pada jualan lelong anjuran Sotheby, sekali gus menggambarkan tidak berlaku krisis kewangan global.
Berlian yang diletakkan di pasaran oleh House of Prussia itu menjadi milik pembida yang membuat bidaan melalui telefon dan disifatkan oleh Sotheby sebagai perhiasan ''paling memukau dan romantik'' pernah dilelong setakat ini.
''Saya jatuh cinta dengannya apabila melihatnya. Ia adalah bahan bersejarah," kata Philipp Herzog von Wuerttenberg, Pengerusi Sotheby di Eropah.
Wuerttenberg berkata, berlian Sancy Beau berbentuk buah pear itu menarik bidaan dari Amerika Utara, Eropah dan Asia.
Beliau, bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat mengenai pembelinya. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan