Get Free Updates in your Inbox
Follow us on:

Buaya air masin terbesar ditangkap di Filipina [5f@G]

Rate this posting:
{[["☆","★"]]}

'Sang Bedal' lebih besar diburu
 
Penduduk kampung di Bunawan adakan majlis rai kejayaan tangkap reptilia
 
MANILA : Selepas berjaya menangkap buaya seberat satu tan yang mungkin menjadi reptilia paling besar pernah dijerat hidup-hidup di dunia, pegawai Filipina berkata, mereka kini memburu reptilia jauh lebih besar daripada itu yang bersembunyi di pedalaman wilayah selatan negara itu.
 
Penduduk kampung dan pemburu veteran menjerat buaya air masin sepanjang 6.1 meter hujung minggu selepas tiga minggu memburu di sepanjang anak sungai di Bunawan yang terletak di pedalaman wilayah Agusan del Sur, apabila penduduk kampung yang ketakutan melaporkan sekurang-kurangnya satu serangan maut dilakukan haiwan ganas itu.
 
Buaya itu, seberat 1,075 kilogram, adalah yang terbesar ditangkap hidup-hidup di Filipina dalam beberapa tahun ini.
 
Pegawai hidupan liar cuba mengesahkan sama ada itu adalah tangkapan terbesar di dunia, kata jurucakap Biro Kawasan dan Hidupan Liar Dilindungi, Theresa Mundita Lim.
 
Guinness World Records menyenaraikan buaya air masin yang ditangkap di Australia sebagai yang terbesar, berukuran 5.48 meter. Buaya air masin boleh hidup lebih 100 tahun dan membesar sehingga tujuh meter.
 
Penduduk kampung di Bunawan yang lega, mengadakan majlis kerana kejayaan menangkap buaya itu hidup-hidup, yang perlu ditarik dengan tali oleh kira-kira 100 penduduk daripada anak sungai ke kawasan lapang dan menggunakan kren untuk mengangkatnya masuk ke dalam trak. Mulutnya diikat dengan kabel nilon dan jaring.
 
"Ia seperti pesta, ramai penduduk kampung hadir," kata Datuk Bandar Bunawan, Edwin Cox Elorde.
 
Pegawai hidupan liar, Ron Sumilier, yang memburu 'buaya pengacau' selama 20 tahun dan mengetuai pasukan yang melakukan tangkapan di Bunawan, berkata pencarian sedang dijalankan memburu buaya lebih besar yang pernah dilihatnya dan penduduk kampung merayau di pinggir bandar itu.
 
"Ada yang lebih besar dan ia mungkin yang mencetuskan masalah. Penduduk kampung berkata, 10 peratus ketakutan mereka hilang kerana tangkapan itu. Namun masih ada 90 peratus yang masih tinggal," kata Sumilier kepada The Associated Press melalui telefon dari Bunawan, kira-kira 830 kilometer ke tenggara Manila.
 
Dibantu lima pemburu yang dilatihnya, Sumilier meletakkan 20 perangkap kabel besi dengan bangkai haiwan sebagai umpan di sepanjang anak sungai, lokasi buaya pertama ditangkap.
 
Sumilier berkata, dia tidak menemui saki baki manusia apabila memaksa buaya yang ditahan itu muntah.
 
Katanya, dia juga dipanggil oleh pegawai Bunawan dua tahun lalu selepas seekor buaya besar menyerang dan membaham seorang kanak-kanak mangsa bot tenggelam.
 
Elorde berkata, dia bercadang menjadikan buaya yang ditangkap itu sebagai 'bintang terbesar' di taman eko-pelancongan yang akan dibina. - AP
© 2014. 2 + 4. Design by Viet Phuong + Edited by Slee DO